27 May 2012

Adibah Noor Lepas Rindu Jadi Guru Dalam Oh My English!



Adibah melepaskan rindu bergelar guru dalam Oh My English!
Penyanyi dan pelakon Adibah Noor mengakui dapat melepaskan rindu terhadap kerjayanya sebagai seorang guru Bahasa Inggeris apabila memegang watak Cikgu Hajar dalam program Oh My English!.
Adibah berkata, peluang berlakon dalam siri berbentuk pendidikan itu telah mengubat rindunya untuk mempraktikkan kembali kemahiran mengajar yang telah ditinggalkan hampir 17 tahun lalu.
"Saya rindu saat-saat dapat memberikan motivasi kepada para pelajar saya dan apabila ditawarkan berlakon dalam siri ini saya terus terima kerana tertarik dengan konsepnya.
"Selain menekankan penggunaan Bahasa Inggeris dengan betul banyak juga elemen lain yang turut diterapkan dalam Oh My English! supaya ia menggambarkan situasi sebenar di sekolah," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, Adibah berkata, walaupun kini dia kelihatan lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang lakonan dan pengacaraan tetapi hakikatnya dia masih mengutamakan karier nyanyian.
Adibah berkata, pelawaan untuknya mengadakan persembahan lebih banyak daripada lakonan atau pengacaraan cuma ia kurang mendapat publisiti dalam media.
"Saya banyak terlibat dalam acara tertutup dan majlis-majlis yang tidak melibatkan media sebab itu ia kurang mendapat liputan dan sekaligus nampak karier nyanyian saya seperti senyap.
"Berbanding dengan lakonan dan pengacaraan ia disiarkan di televisyen dan boleh ditonton oleh masyarakat," katanya.
Adibah bersama para pelakon yang menjayakan siri yang ke udara setiap Ahad, pukul 10 pagi di Astro TViQ saluran 610.
Sementara itu, Adibah memberitahu dia baru sahaja muncul dengan single terbaru berjudulKe Sana Denganmu iaitu kolaborasi dirinya dengan Sam dari kumpulan Inuendo.
Adibah berkata, lagu ciptaan komposer Azlan Abu Hassan itu dengan lirik yang ditulis sendiri olehnya disifatkan sebagai cukup istimewa kerana mendapat idea ketika menghadiri perkahwinan rakannya iaitu Harith Iskandar.
"Saya ingin menulis lagu tentang perkahwinan dan perasaan mereka yang melangkah ke fasa baru itu dan mendapat ilham ketika menghadiri perkahwianan Harith.
"Lagu ini juga ditujukan khas kepadanya dan isteri," katanya.
Tambah Adibah, buat sementara ini dia tidak akan mengeluarkan album penuh sebaliknya menumpukan kepada single dan berharap dapat menghasilkan lebih banyak single terbaru untuk para peminatnya.

26 May 2012

Lisa Surihani Gembira Berat Badan Naik Selepas Kahwin



Lisa Surihani
Pelakon Lisa Surihani mengakui berat badannya telah meningkat sebanyak empat kilogram selepas tiga bulan berkahwin dengan pengarah, Yusry Abdul Halim.
Lisa berkata, dia memang berhasrat untuk menaikkan berat badannya kerana merasakan dirinya terlalu kurus.
"Berat sebelum kahwin 46 kilogram dan sekarang telah bertambah kepada 50 kilogram dan saya gembira dengan peningkatan itu kerana berat badan saya dibawah paras ideal sebelum ini," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Lisa, dia tidak mengetahui punca peningkatan itu namun tidak menafikan bahagia bergelar isteri sebagai salah satu sebab kepada penambahan itu.
"Mungkin tengah bahagia kot," ujarnya bergurau.
Lisa dan Yusry berkahwin pada 23 Mac lalu dan pernikahan mereka diadakan di Hotel Marriot, Putrayaja.
Dalam pada itu, Lisa berkata, kehidupan sebagai seorang isteri adalah sangat menyeronokkan walaupun kedua-dua mereka sering sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Bagiamanapun kata Lisa, dia bertuah kerana mereka saling memahami tentang tanggungjawab dan kerjaya tambahan pula berada dalam satu industri yang sama.
"Yusry banyak bertolak ansur apabila cuba mengikut jadual kerja saya supaya kami dapat menghabiskan masa berkualiti bersama.
"Apabila saya sedang bekerja dia juga akan turut bekerja dan akan berhenti selepas saya selesai menjalani penggambaran," ujarnya.
Tambah Lisa, kadang-kala suaminya itu akan bertandang ke lokasi penggambarannya untuk membuat kerja sementara menunggunya.
Sementara itu, Lisa berkata dia mungkin tidak akan menerima lagi sebarang tawaran untuk berlakon dalam drama bersiri kerana ingin menumpukan lebih perhatian terhadap rumah tangga dan suami.
Ujar Lisa, drama bersiri Dimanakan Juwitaku sebanyak 15 episod untuk siaran Astro Ria yang sedang menjalani penggambaran berkemungkinan akan menjadi siri terakhirnya.
"Keputusan ini bukan atas paksaan Yusry atau daripada orang lain tetapi atas kesedaran diri sendiri kerana apabila sudah berkahwin tumpuan dan tanggunjawab saya sebagai isteri telah berubah.
"Walaubagaimanapun itu cuma kemungkinan dan jika rezeki memang kepada drama bersiri saya tetap akan buat," katanya.
Selain Dimanakan Juwitaku, Lisa bakal muncul dengan filem Dendam Orang Mati, Saya Amat Mencintaimu, Istanbul Aku Datang dan Ular.