01 February 2012

Bakal Suami Ubah Persepsi Negatif Ana Raffali Terhadap Lelaki


Ana Raffali dan Naim bakal disatukan pada 25 Februari ini. 
Penyanyi Ana Raffali atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, 26, mengakui sukar mempercayai golongan lelaki selepas beberapa kali dikecewakan.
Bagaimanapun, Ana berkata, perkenalan dengan teman karibnya, Ahmad Aznaim Abdullah, 30, atau Naim itu terus memberikan persepsi berbeza mengenai golongan itu apabila memulakan perkenalan pada tahun 2005.
"Dia seorang yang penyabar dan sangat memahami diri saya. Sedikit demi sedikit perasaan sayang mula wujud dan kami bercinta secara rasminya pada 8 Oktober 2008.
"Bagaimanapun, kami tidak pernah menganggap yang kami adalah pasangan bercinta sebaliknya lebih senang dengan gelaran kawan karib.
"Malah ketika saya dilamar, Naim terus berkata “jom kahwin” dan keluarganya terus merisik saya pada awal Disember tahun lalu. Dia langsung tak romantik," seloroh Ana pada sidang akhbar pengumuman majlis perkahwinannya di PNB Darby Park, di sini, Selasa.
Ana dan Naim bakal bergelar suami isteri pada 25 Februari 2012. Mereka akan bernikah di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, di sini.
Majlis dimulakan dengan acara bertunang pada pukul 10.30 pagi dan sejam kemudian, Ana akan dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohd Raffali Mod Nor.
Dalam pada itu, acara resepsi pula diadakan pada hari sama sejurus selepas akad nikah di masjid tersebut berlangsung.
Bagaimanapun, Ana memberitahu dia tidak akan memperlahankan aktiviti nyanyiannya selepas berumah tangga.
Sebaliknya fasa kehidupan barunya itu merupakan satu semangat untuk dia terus melakarkan nama dengan muzik yang ditonjolkan di persada seni tanah air.
"Saya tahu, orang selalu menganggap seseorang artis wanita itu akan memperlahankan karier seninya sejurus selepas kahwin.
"Tak mungkin saya berbuat begitu kerana sebaliknya saya mendapat semangat baru untuk meneruskan kerjaya nyanyian saya .
"Malah, saya akan mengeluarkan album terbaru pada bulan Mei ini dengan memuatkan sebanyak 10 buah lagu," ujarnya.
Sementara itu Naim yang bekerja sebagai pengurus kerjaya seni Ana berkata, dia gembira kerana akhirnya hubungan teman rapat itu menjadi satu ikatan suami isteri yang sah dan ia lebih memudahkan mereka untuk bergerak ke mana-mana tanpa ada batasan.
"Ini merupakan satu perkongsian hidup antara dua sahabat. Kalau nak tahu, kami mempunyai banyak persamaan daripada segi pemikiran. Sebagai contoh, kami sering berkata serentak apabila ingin memberi pendapat mengenai sesebuah hal.
"Selain itu, saya dan Ana juga suka makan. Selain itu kami juga berkongsi minat tentang apa-apa saja berkaitan dengan seni," ujarnya.
Pada majlis perkahwinan penyanyi yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku itu, dia akan menerima sebanyak tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas sembilan.
Bagaimanapun, wang hantaran tidak akan diberikan sebaliknya pihak perempuan hanya menerima mas kahwin yang belum ditentukan jumlahnya.

No comments:

Post a Comment