Showing posts with label Ella. Show all posts
Showing posts with label Ella. Show all posts

17 December 2011

Ella, Awie Kongsi Pentas Untuk Sebuah Konsert Rock


Ella teruja dapat bergandingan dengan Awie dalam sebuah konsert.
Ratu rock negara, Ella menyatakan rasa teruja apabila dapat berganding dengan vokalis kumpulan Wings, Awie dalam sebuah konsert pada Januari depan.
Ella berkata, walaupun telah lama mengenali Awie dan pernah membuat persembahan bersama, Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Malaysia itu adalah konsert pertama yang menggandingkan mereka berdua.
"Ella tidak berfikir panjang ketika menerima tawaran untuk menjayakan konsert ini bersama-sama Awie kerana ia adalah peluang besar untuk berganding dengannya dalam sebuah konsert yang sama," katanya ketika ditemui sidang media konsert berkenaan di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Ella berkata, dia masih berbincang dengan pengarah muzik konsert itu, Edrie Hashim mengenai pemilihan lagu untuk dipersembahkan kerana terlalu banyak lagu yang diminati oleh peminat.
Ujarnya, dia perlu berhati-hati dalam memilih lagu yang akan dibawa kerana tidak mahu peminat berasa terkilan jika tidak menyanyikan lagu yang disukai mereka.
"Ella ada lagu yang diminati dan peminat ada lagu yang mereka inginkan. Jadi ia sedikit sukar," ujarnya.
Pun begitu, Ella berkata dia tidak akan melepaskan peluang untuk berduet dengan Awie menerusi lagu Baldu Biru yang sebelum ini tidak pernah dinyanyikan secara langsung di hadapan peminat.
"Selain Baldu Biru, Awie dan Ella akan menyanyikan beberapa lagu duet yang dipilih daripada koleksi lagu-lagu kami sendiri," ujarnya.
Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Malaysia bakal diingati oleh peminat.
Sementara itu, Awie menyifatkan konsert tersebut adalah sebuah pengiktirafan dan penghormatan daripada seorang rakan kepada seorang kawan yang lain.
Katanya, dia terharu apabila rakan baiknya, Hans Isaac sudi untuk menerbitkan konsert tersebut yang dianggap sebagai hadiah buat dirinya dan Ella.
"Ini adalah satu tanggungjawab besar buat saya dan Ella. Sudah pasti kami tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan oleh Hans," ujarnya.
Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Malaysia akan diadakan selama empat hari bermula pada 12 Januari 2012. Dalam konsert itu sebanyak enam persembahan akan diadakan oleh mereka.
Memasang hasrat - Hans Isaac
Sementara itu Hans Isaac, mengakui teruja dapat menerbitkan sebuah konsert khas untuk dua rakan baiknya itu.
Hans berkata, dia telah lama memasang hasrat untuk menerbitkan sebuah konsert sejak menubuhkan syarikat produksi Tall Order Productions (TOP) lima tahun lalu.
"Selepas hampir lima tahun baru kini saya berpeluang menerbitkan sebuah konsert khas dan ia seperti melaksanakan sebuah impian.
"Tambah manis apabila konsert itu nanti bukan sahaja menampilkan dua legenda dan ikon dalam genre rock tetapi juga mereka adalah sahabat baik saya," ujarnya.
Dalam pada itu, Hans berkata, pemilihan Awie dan Ella adalah berdasarkan kekuatan mereka yang memberi impak kepada seluruh rakyat Malaysia dan masih digemari oleh peminat.
Hans berkata, Edrie Hashim akan mengetuai persembahan pada malam itu di samping Ujang Exists (drum), Ujang (gitar), Fly (bass), Amir Feerza (percussion), Kudin dan Jason Voo (keyboard).
"Semua pemuzik adalah yang terbaik dalam alatan masing-masing untuk persembahan itu nanti dan sudah pasti ia tidak akan mengecewakan," ujarnya.
Tiket untuk Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock Malaysia telah pun mula dijual pada 14 Disember dengan harga dari RM40 hingga RM450 dan tempahan tiket boleh dibuat melalui www.TICKET2U.BIZ atau boleh menghubungi 03-4147 8600.

12 October 2011

Nilai Seorang Ella












WALAUPUN telah lama berada di dalam industri seni, aura dan bahang Ratu Rock Malaysia masih lagi dirasai dan dinantikan oleh peminatnya seantero dunia. Wanita yang telah memulakan perjalanan karier seninya seawal umur 17 tahun ini masih lagi menjadi yang terhangat di pasaran tidak kiralah di dalam bidang nyanyian mahupun lakonan.
Berbicara mengenai lakonan, Norzila Aminuddin atau lebih dikenali dengan nama Ella ini pernah beberapa kali tampil di layar perak dan antara filem hebat lakonannya ialah Bayangan Maut, Pemburu Bayang dan yang terakhir Hanya Kawan.
Namun, berbanding pencapaiannya di dalam bidang nyanyian, ianya berbeza bagai langit dan bumi. Walaupun filem-filem lakonannya berjaya mengaut kutipan pecah panggung, Ella yang ditemui pada majlis sidang akhbar yang perkenalkan dirinya sebagai penyanyi pembuka tirai persembahan Whitesnake World Tour 2011 - Live In Malaysia di Hotel Hilton Kuala Lumpur berkata bidang nyanyian masih menjadi keutamaannya.
"Filem terakhir lakonan Ella ialah Hanya Kawan dan itu pada tahun 1997. Bukannya kerana ketiadaan tawaran berlakon untuk Ella, namun kesibukan jadual merupakan salah satu sebab mengapa Ella menolak.
"Ini kerana jika Ella berlakon, Ella perlukan banyak masa untuk terlibat dalam penggambaran. Namun, ada satu tawaran yang Ella masih pertimbangkan. Ella tidak boleh beritahu ia sekarang kerana ia belum lagi dipastikan. Tapi, Ella akui watak tersebut sangat menarik dan kerana itu Ella pertimbangkan," cerita Ella yang mana katanya produksi tersebut memberi peluang pada Ella untuk memilih hero gandingannya kelak.
Akui Ella juga, sebenarnya antara sebab yang sering menghalangnya daripada menerima tawaran berlakon adalah kerana dia tidak mempunyai bakat di dalam bidang tersebut, dan bukannya kerana kejayaan yang dinikmatinya Ella semakin jual mahal atau sombong.
"Ella suka tengok orang berlakon, tapi hakikatnya pada diri Ella sendiri, Ella tidak pandai berlakon. Itu sebabnya Ella tolak banyak tawaran sebelum ini kerana Ella tidak mahu kecewakan mereka," jelas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.
ELLA bakal mengeluarkan jenama jeans sendiri pada tahun hadapan.
Mungkin ini masanya yang ditunggu-tunggu oleh peminat fanatik Ratu Rock ini, iaitu penghasilan sebuah album yang akan mengubati kerinduan mereka terhadap wanita berpewatakan manja ini.

Komitmen tetap Ella sentiasa difokuskan kepada penghasilan album baharunya yang belum lagi mempunyai judul. Apa yang dibicara Ella, album baharunya bakal dilancarkan sebelum hujung tahun ini yang mana progres album ini telah pun sempurna lebih daripada 50 peratus.
Album yang bakal lahir ini mengandungi lapan buah lagu dan single pertama daripada album tersebut bakal dikeluarkan dalam masa sebulan dua lagi.
"Album Ella belum lagi diberi judul kerana ia belum siap sepenuhnya. Bagaimanapun, album tersebut akan Ella lancarkan pada tahun ini juga. Kerana itu Ella sedikit sibuk dengan penghasilan album ini kerana Ella mahukan yang terbaik bagi album ini.
"Ella hanya memuatkan sebanyak lapan buah lagu kerana jika terlalu banyak, kelak orang tidak mahu mendengar. Jadi, biarlah ia menjadi cukup-cukup sahaja," jelas Ella yang mana albumnya akan diedarkan oleh Warner Music.
RESIPI kejayaan Ella bertahan adalah dengan mengekalkan kualiti kerjayanya.
Selain sibuk dengan penghasilan album, Ella juga di dalam perancangan untuk mengeluarkan jenama jeans sendiri. Ini kerana, ceritanya, setiap kali membuat penampilan di mana-mana persembahan dan negara, pasti peminat akan mendekatinya untuk bertanyakan mengenai jeans yang dipakainya.

"Peminat selalu tanya Ella, dari mana beli jeans, jenama apa, model apa, dan soalan-soalan yang terperinci. Jadi, setelah difikirkan, baik Ella mereka jeans sendiri dan menjualnya kepada peminat.
"Saya memang peminat jeans, jadi tidak salah jika saya berkongsi minat saya itu bersama peminat," tutur Ella yang juga mengatakan jeans itu akan dikeluarkan di dalam pelbagai saiz bagi lelaki dan wanita.
Jelasnya, mungkin jika tiada halangan, jenama jeans itu akan dilancarkan pada tahun hadapan selepas selesai dengan pelancaran album baharunya.
Menyelit persoalan yang sering ditanya pihak media mahupun peminat, bilakah Ella ingin mendirikan rumah tangga, jawab Ella diselangi ketawa besar dengan gelagat manjanya, Ella menjelaskan jika benar dirinya sudah berpunya dan ingin menamatkan zaman solonya, dia tidak akan menyembunyikan perkara tersebut.
Jelasnya juga, dia juga tidak akan teragak-agak untuk berbicara mengenai hal tersebut dan akan mengumumkan berita gembira itu.
Kosmo!