Showing posts with label Nabila. Show all posts
Showing posts with label Nabila. Show all posts

13 November 2011

Bila anak malukan bapa



DALAM dunia glamor, apa sahaja kelakuan selebriti terutama salah percaturan, memang mudah menimbulkan isu besar yang mengundang sensasi. Bukan sahaja memburukkan imej sendiri malah 'arang' yang mereka cipta itu akan mencalit hitam ke muka keluarga masing-masing.
Lebih teruk lagi, apabila keluarga sama ada ibu atau bapa sang selebriti terbabit adalah orang tersohor dalam industri. Itu yang sedang berlaku kepada dua insan bergelar bapa popular, seorang tukang masak selebriti, Chef Wan dan seorang lagi, rocker ternama, Amy Search. Angkara perbuatan sang anak, nama mereka terheret dalam kancah kontroversi yang memuncak. Malunya bukan kepalang!
Amy mahu Nabila tampil
Umum sedar, Amy Search masih seorang rockers tapi dari sisi yang lain, imej dan hidupnya semakin cenderung ke arah jalan mendekati agama Islam. Ketika perancangan konsert besar sedang menanti, kenakalan anak perempuan sulungnya memuncak lagi. Sudah habis menjawab dengan isu bercerai, Amy terpukul pula dengan penyebaran gambar-gambar 'panas' Nabila bersama teman lelakinya ketika bercuti dan menyambut perayaan Halloween di sebuah pulau peranginan.
Sebagai bapa, dia menjadi tumpuan sementelah Nabila masih enggan memperbetulkan keadaan.
"Saya harap dia (Nabila) tidak melarikan diri daripada kesilapan yang dilakukan dan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.
"Saya tidak tahu tentang gambar-gambar itu, tapi sebagai bapa saya berharap dia menjaga tingkah lakunya kerana dia seorang perempuan.
"Dia memilih untuk menjadi selebriti dan seharusnya dia tahu menjaga tingkah laku dan fokus dengan karier, bukannya dengan melakukan perkara yang boleh merosakkan (nama dan masa depan)," katanya ketika ditemui media majlis pelancaran single bersama Hazama berjudul Simetri, Selasa lalu.
Dalam gambar-gambar yang tersebar di Internet, Nabila dirakam berpesta dengan hanya memakai bikini di Pulau Tioman bersama seorang lelaki yang dipercayai jurulatih selam serta teman lelakinya.
Amy enggan mengulas lanjut tetapi dia hanya mampu berharap Nabila sedar bahawa perbuatanya itu satu dosa.
Chef Wan mengamuk
CHEF WAN berdepan saat memalukan apabila anaknya, Chef Riz melakukan penipuan resume.

Turut mencetuskan kontroversi minggu lalu ialah kes putar belit pengalaman kerja yang dilakukan Chef Mohd. Nadzri atau Chef Riz.

Kelayakan pengacara siri relaliti MasterChef Malaysia itu terbongkar selepas sebuah syarikat di New York menafikan Chef Riz pernah bekerja dengannya sekali gus dianggap sebagai tragedi paling memalukan dalam hidup bapanya, Chef Wan.
Dalam butiran kelayakan yang telah pun padamkan, Chef Riz mendakwa pernah bekerja sebagai Ketua Chef di restoran paling popular dunia milik Mario Batali, Babbo di bandar raya New York ketika usianya baru 22 tahun dan pernah bertugas sebagai orang kedua terkuat dalam sistem dapur di Le Bernardin, restoran mewah milik Eric Ripert.
Reputasi Chef Wan sebagai chef ternama tidak dipertikaikan, tetapi tindakan anak sulungnya yang menokok-tambah profil peribadi itu sangat mengecewakan hatinya.
Kemarahan dan kekecewaannya diluahkan dalam beberapa kenyataan terbuka di laman Facebook miliknya.
Chef Wan mengeluarkan ungkapan seperti 'propa' dan 'padan muka' dan 'letak kepala dalam lutut', seolah-olah memulangkan paku buah keras terhadap anak lelaki yang mengikuti jejak langkahnya sebagai chef selebriti itu.
Namun sebagai bapa, Chef Wan sedikit beremosi apabila Chef Riz semakin bertubi-tubi dihujani reaksi dan komen negatif. Walaupun awalnya dia bersikap rasional, Chef Wan mula mengeluarkan kenyataan balas yang lebih panas malah menghentam blog-blog dan pihak-pihak yang tunjuk pandai dalam penulisan yang menghina imej anak lelaki tunggalnya itu.
Memetik satu kenyataan Chef Wan dalam Facebook:
"Hentikan semua fitnah dan belajarlah memaafkan. Janganlah merugikan tenaga dengan komen negatif di Facebook dan blog. Semua itu akan merosakkan masyarakat dan mempopularkan blog masing-masing dengan komen-komen pengikut.
"Sudahlah otak macam letak di lutut, komen pula entah apa-apa, macam pandai sangat. Membaca komen-komen itu, tidak dapat dibayangkan betapa bodohnya mereka semua."

09 November 2011

Nabila Tegar Solo












ADA getar antara sayu dan kekuatan yang terdengar jelas dalam nada bicara seorang Nabila Huda Suhaimi atau nama pentasnya Nabila dan senang juga disapa sebagai Abil.
Bagaimanapun saat ditanya tentang perjalanan hidupnya yang kini kembali solo, sambil tersenyum dia memberitahu dia kuat menerima dugaan hidup yang datang kepadanya. Sementelah kata Abil lagi, keputusan untuk berpisah datang daripada dirinya sendiri dan dia harus menerima apa yang terjadi dengan hati terbuka.
Sebolehnya dia tidak mahu membogelkan lagi kisah rumah tangga bersama Zaidy Zailani yang dibina tiga tahun lalu yang sudah berpenghujung baru-baru ini. Dengan berhemah aktres tersebut meminta jasa baik semua pihak agar memahami situasinya. Dia mahu biar cerita duka antara mereka hanya selesai secara rasmi di mahkamah dan 'kes' itu ditutup rapat.
Bukan tidak mahu berkongsi cerita dengan khalayak, namun kata Abil dia tidak suka memburukkan lagi keadaan. Akuinya, Zaidy yang juga akrab disapa Eddy yang terlebih dahulu telah menjadi kekasihnya selama lapan tahun adalah seorang lelaki yang baik. Dan lagi, soal jodoh dan maut semua itu kerja Tuhan.
Wanita berusia 27 tahun itu juga bukan memberi alasan bahawa rumah tangga yang berkecai itu dipulangkan semula kepada 'kerja Tuhan', sebaliknya mengaku bahawa dia juga bukan wanita dan seorang isteri atau ibu yang sempurna. Bagi Abil, tanggungjawab seorang isteri itu cukup besar sehingga terkadang dia tewas dengan tanggungjawab yang harus digalas sebaik mungkin.
"Eddy adalah seorang lelaki yang baik, mungkin saya sahaja bukan seorang wanita dan isteri yang sempurna. Jujur saya katakan, saya tidak mahu menjadi isteri derhaka yang sentiasa ada perasaan marah atau kurang puas hati terhadap suami. Daripada sering bertengkar tentang isu berbangkit, saya nekad minta dilepaskan," katanya.
Bagaimanapun bukan semudah itu dia membuat keputusan untuk dilepaskan. Jika ada pihak yang melihat ia sebagai isu remeh atau sengaja dibikin besar untuk dia kembali menjalani kehidupan solo kerana berasa terkongkong, itu adalah satu tuduhan kurang bernas. Bagi aktres itu, biar hanya dia dan Eddy yang mengetahui punca utama perpisahan mereka.
WALAUPUN mereka sudah berpisah dengan suami, mereka sepakat untuk menjaga anak, Keisha Laila secara sama rata.
Mengulas tentang dia berasa terkongkong selepas berkahwin, kata Abil: "Tidak sama sekali. Sejak berkahwin dan menjadi isteri Eddy, dia tidak pernah melarang saya melakukan kerja yang amat saya cintai iaitu berlakon. Jadi tidak timbul isu tersebut kerana kami menjalani rutin kehidupan yang normal, hanya saya akui saya terlalu sibuk bekerja sehingga selalu tidak mempunyai masa untuk suami dan anak. Sebab itu saya katakan bahawa saya juga bukan seorang wanita dan isteri yang sempurna."

Abil kemudian terjerit kecil apabila soalan tentang dia bermain kayu tiga dengan seorang lelaki kaya yang menjadi punca keruntuhan rumah tangga mereka diajukan.
Pantas mulutnya mengatakan: "Itu fakta bodoh. Saya tidak ada orang ketiga atau bercinta dengan lelaki kaya. Saya tidak berkawan dengan lelaki kaya. Itu bukan saya."
Ujar anak kepada rockers Amy Search ini lagi, dia bagaimanapun tidak boleh menutup mulut orang daripada terus melemparkan pelbagai spekulasi. Sudah alah tegal biasa, Abil sebaliknya meminta khalayak cuba berfikiran positif dan jangan suka untuk menuduh sembarangan tanpa duduk di dalam situasi yang dihadapi seseorang seperti dirinya.
Ditanya tidakkah dia memikirkan soal anak sulung mereka, Keisha Laila, dua tahun, kata Abil, Keisha adalah punca yang membuat dia mempertahankan dan cuba memperbaiki masalah rumah tangganya sebelum ini. Namun setelah sekian lama, dia akhirnya tewas dengan perasaan sendiri.
"Tahu tak, saya selalu sedih kerana tidak mempunyai banyak kualiti masa dengan anak saya. Sebagai seorang ibu, saya selalu rasa kecewa apabila memikirkan hal itu kerana saya harus menghabiskan banyak masa di lokasi, tempat saya mencari rezeki. Tapi saya tidak boleh berbuat apa kerana saya harus keluar bekerja," katanya yang bagaimanapun tetap bertemu anaknya setiap hari, namun tidak mempunyai kesempatan untuk meluangkan lebih banyak masa membelai anaknya.
Mengaku dia kasihan terhadap Keisha dan menganggap perpisahan yang terjadi sebagai memalukan, dia dan Eddy bagaimanapun sepakat untuk bergilir menjaga buah cinta mereka sebaik mungkin. Mereka juga mahu Keisha tidak berasa kekurangan kasih sayang ibu dan bapa, biar cinta dia dan Eddy tidak lagi bersemi.
Semua itu kata Abil cuba direalisasikan sebaik mungkin memandangkan dia dan bekas suami tidak berseteru selepas berpisah. Mereka sebaliknya menjadi lebih bertolak ansur dan belajar menghargai serta memahami antara satu sama lain.
"Jika saya sibuk, Eddy akan menjaga Keisha dan begitu sebaliknya. Kami bertekad untuk memastikan Keisha mendapat kasih sayang yang sempurna daripada kami walaupun kami berpisah," ujarnya yang sudah mula bergilir menjaga Keisha dengan Eddy.
Kosmo!