DALAM dunia glamor, apa sahaja kelakuan selebriti terutama salah percaturan, memang mudah menimbulkan isu besar yang mengundang sensasi. Bukan sahaja memburukkan imej sendiri malah 'arang' yang mereka cipta itu akan mencalit hitam ke muka keluarga masing-masing.
Lebih teruk lagi, apabila keluarga sama ada ibu atau bapa sang selebriti terbabit adalah orang tersohor dalam industri. Itu yang sedang berlaku kepada dua insan bergelar bapa popular, seorang tukang masak selebriti, Chef Wan dan seorang lagi, rocker ternama, Amy Search. Angkara perbuatan sang anak, nama mereka terheret dalam kancah kontroversi yang memuncak. Malunya bukan kepalang!
Amy mahu Nabila tampil
Umum sedar, Amy Search masih seorang rockers tapi dari sisi yang lain, imej dan hidupnya semakin cenderung ke arah jalan mendekati agama Islam. Ketika perancangan konsert besar sedang menanti, kenakalan anak perempuan sulungnya memuncak lagi. Sudah habis menjawab dengan isu bercerai, Amy terpukul pula dengan penyebaran gambar-gambar 'panas' Nabila bersama teman lelakinya ketika bercuti dan menyambut perayaan Halloween di sebuah pulau peranginan.
Sebagai bapa, dia menjadi tumpuan sementelah Nabila masih enggan memperbetulkan keadaan.
"Saya harap dia (Nabila) tidak melarikan diri daripada kesilapan yang dilakukan dan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.
"Saya tidak tahu tentang gambar-gambar itu, tapi sebagai bapa saya berharap dia menjaga tingkah lakunya kerana dia seorang perempuan.
"Dia memilih untuk menjadi selebriti dan seharusnya dia tahu menjaga tingkah laku dan fokus dengan karier, bukannya dengan melakukan perkara yang boleh merosakkan (nama dan masa depan)," katanya ketika ditemui media majlis pelancaran single bersama Hazama berjudul Simetri, Selasa lalu.
Dalam gambar-gambar yang tersebar di Internet, Nabila dirakam berpesta dengan hanya memakai bikini di Pulau Tioman bersama seorang lelaki yang dipercayai jurulatih selam serta teman lelakinya.
Amy enggan mengulas lanjut tetapi dia hanya mampu berharap Nabila sedar bahawa perbuatanya itu satu dosa.
Chef Wan mengamuk
Kelayakan pengacara siri relaliti MasterChef Malaysia itu terbongkar selepas sebuah syarikat di New York menafikan Chef Riz pernah bekerja dengannya sekali gus dianggap sebagai tragedi paling memalukan dalam hidup bapanya, Chef Wan.
Dalam butiran kelayakan yang telah pun padamkan, Chef Riz mendakwa pernah bekerja sebagai Ketua Chef di restoran paling popular dunia milik Mario Batali, Babbo di bandar raya New York ketika usianya baru 22 tahun dan pernah bertugas sebagai orang kedua terkuat dalam sistem dapur di Le Bernardin, restoran mewah milik Eric Ripert.
Reputasi Chef Wan sebagai chef ternama tidak dipertikaikan, tetapi tindakan anak sulungnya yang menokok-tambah profil peribadi itu sangat mengecewakan hatinya.
Kemarahan dan kekecewaannya diluahkan dalam beberapa kenyataan terbuka di laman Facebook miliknya.
Chef Wan mengeluarkan ungkapan seperti 'propa' dan 'padan muka' dan 'letak kepala dalam lutut', seolah-olah memulangkan paku buah keras terhadap anak lelaki yang mengikuti jejak langkahnya sebagai chef selebriti itu.
Namun sebagai bapa, Chef Wan sedikit beremosi apabila Chef Riz semakin bertubi-tubi dihujani reaksi dan komen negatif. Walaupun awalnya dia bersikap rasional, Chef Wan mula mengeluarkan kenyataan balas yang lebih panas malah menghentam blog-blog dan pihak-pihak yang tunjuk pandai dalam penulisan yang menghina imej anak lelaki tunggalnya itu.
Memetik satu kenyataan Chef Wan dalam Facebook:
"Hentikan semua fitnah dan belajarlah memaafkan. Janganlah merugikan tenaga dengan komen negatif di Facebook dan blog. Semua itu akan merosakkan masyarakat dan mempopularkan blog masing-masing dengan komen-komen pengikut.
"Sudahlah otak macam letak di lutut, komen pula entah apa-apa, macam pandai sangat. Membaca komen-komen itu, tidak dapat dibayangkan betapa bodohnya mereka semua."
No comments:
Post a Comment