Showing posts with label Pierre Andre. Show all posts
Showing posts with label Pierre Andre. Show all posts

02 February 2012

Pilih Bintang Seberang, Pierre Andre Tidak Pandang Ringan Aktres Tempatan


Pierre Andre dan pelakon Indonesia, Nurul Ekasari beraksi dalam filem Chantek 
Pengarah filem Pierre Andre berkata pemilihan pelakon Indonesia, Nurul Ekasari sebagai heroin filem Chantek kerana kesesuaian paras rupa dan karakter aktres itu sebagai pembantu rumah Indonesia untuk filem berkenaan.
Pierre, 26, juga menolak persepsi dia bersikap prejudis terhadap kredibiliti aktres tempatan sehingga mencari pelakon dari seberang bagi menggalas watak bernama Chantek menerusi filem komedi romantik itu.
"Tiada isu prejudis di sini. Bukan kerana pelakon Malaysia tidak bagus. Saya sendiri adalah karyawan Malaysia cuma di Indonesia pilihan untuk watak pembantu rumah itu lebih banyak berbanding di negara kita.
"Pemilihan Nurul adalah berdasarkan kesesuaiannya dengan watak itu ketika uji bakat diadakan," katanya pada sidang media selepas pra-tonton filem itu di Cathay e@Curve, di sini, Selasa.
Pierre berkata kesesuaian watak dan pilihan yang lebih ramai di kalangan pelakon Indonesia menjadi faktor dia mencari pelakon negara berkenaan bagi watak tersebut.
"Memang saya boleh ambil aktres tempatan tetapi untuk mejayakan watak itu, pasti penjiwaannya kurang kerana konflik lenggok dan stail pertuturan bahasa Indonesia yang tepat.
"Apabila kami mencari aktres Indonesia, ramai pelakon popular dan berbakat yang menghadiri uji bakat, sekaligus menawarkan banyak pilihan kepada kami untuk mencari calon paling sesuai," katanya.
Ditanya tentang cadangan pelakon asal iaitu Acha Septriasa bagi watak itu, Pierre berkata ia terpaksa ditukar memandangkan skrip filem yang ditulis hampir lima atau enam tahun yang lalu itu diterbitkan oleh syarikat produksi yang berbeza.
"Kalau mengikut perancangan asal, penerbit David Teo daripada MIG yang meminta saya menggunakan khidmat Acha sebagai watak pembantu rumah.
"Namun, ia tertangguh dan saya simpan sahaja skrip ini sehingga bertemu penerbit baru, Empat Semudra.
"Apabila mereka berminat, kami memutuskan untuk mencari pelakon lain yang lebih sesuai dengan watak itu," katanya.
Selain Nurul Ekasari dan Pierre sendiri, filem terbitan Empat Semudra Plantation Sdn Bhd ini turut membariskan Chew Kin Wah dan Maimon Mutalib.
Ia bakal ditayangkan pada 16 Februari ini di seluruh Malaysia.

04 October 2011

Tak kisah digelar Raja Filem Seram


DUA tahun menyepi dari dunia seni tidak bermakna pengarah muda yang diberi nama Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre atau nama komersialnya Pierre Andre telah berputus asa dari dunia hiburan tempatan. 

Menurut Pierre Andre atau lebih mesra disapa sebagai Pierre, selepas krisis yang melanda dirinya bersama penerbit Metrowealth Movies (MIG), David Teo kira-kira dua tahun lalu, dia mengakui pernah berasa kecewa , lantas nekad ingin bersara dari industri hiburan. 

"Dulu, saya terlalu banyak memberi sehingga tiada apa-apa yang tinggal untuk saya. Jadi, kali ini saya tenangkan diri untuk mencari idea selepas berlakunya konflik tersebut. Saya akui saya pernah kecewa dengan industri ini, dan saya berfikir mahu memulakan perniagaan. 

"Sepanjang tempoh dua tahun itu, saya kerap berulang-alik ke Indonesia dan Kuala Lumpur. Malah, saya sempat berlakon filem serta berkenalan dengan pengkarya-pengkarya dan juga pernah ditawarkan untuk menjadi artis di sana," ujar Pierre yang pernah berlakon dalam filem Indonesia arahan Rako Prijanto yang berjudul Krazy Crazy Krezy pada tahun 2009. 

Pierre juga mengakui pernah ditawarkan untuk menjadi artis di bawah naungan beberapa produksi filem di Indonesia, namun kerana masih ingin menabur bakat di negara sendiri, dia berazam ingin meneruskan karier sebagai penggiat seni di sini. 

"Masalahnya, jika saya ingin menjadi pelakon di bawah syarikat produksi di sana, saya harus menjadi warganegara Indonesia dan tinggal di sana. Jadi, saya tidak mahu mengambil keputusan itu kerana saya mahu menjadi penggiat karya di Malaysia. 

"Saya akui ada yang mengkritik tentang percakapan saya sebagai orang bukan Indonesia, mungkin lenggok bahasa saya aneh bagi penonton di sana. Bagi saya itu perkara biasa," luah Pierre yang ditemui semasa previu filem terbaharu arahannya, Al-Hijab, di e@ Curve, Damansara, Selangor baru-baru ini.
PIERRE ANDRE dan Nur Fathia merupakan tenaga penting dan daya tarikan filem seram terbaharu, Al-Hijab. 
 
Badi Jangan Pandang Belakang
Menjadi pengarah filem pada usia muda, tidak mengehadkan anak muda berusia 26 tahun ini untuk berkarya dalam satu genre filem sahaja. Antara filem yang pernah diarahnya termasuklah Jangan Pandang Belakang, Seru, Jangan Tegur, I'm Not Single dan 9 September. Walaupun pernah menggarap filem berunsur romantik komedi, namun kejayaan Pierre dilihat lebih 'menjadi' melalui hasil karya filem-filem seram arahannya. 

Membicarakan mengenai kejayaan dua filem seramnya sebelum ini iaitu Jangan Pandang Belakang dan Jangan Tegur, diusik andai dia rela digelar dengan gelaran 'Raja Filem Seram', Pierre hanya tersenyum, namun dia mengakui bersyukur andai dia ditakdirkan meraih gelaran tersebut.

"Mungkin juga ia badi Jangan Pandang Belakang kerana sejak itu orang mula pandang saya sebagai 'muka hantu' atau sayalah penulis skrip dan lakon layar cerita-cerita seram. Saya akui, saya ingin menjadi pengarah yang versatil, dan ingin bikin macam-macam filem.

"Cuma kadangkala, tidak dapat saya nafikan, walaupun ada genre lain yang saya hasilkan, ia tidak sehebat filem seram. Mungkin secara tidak sedar, saya lebih dekat dengan penulisan genre seram. 

"Dan jika suatu hari saya dilabelkan sebagai Raja Filem Seram, tidak mengapa, saya tidak kisah. Jika di Jepun, mereka ada Hideo Nakata yang terkenal dengan filem-filem seram seperti Dark Water dan The Ring, siapa tahu rezeki saya di sini kerana Malaysia masih belum mempunyai pengarah yang mendapat label sebegitu," jelasnya yang juga menyebut Hideo Nakata menjadi idolanya.
PRODUKSI Al-Hijab menggandingkan buat pertama kalinya bakat dan aura Pierre dan Nur Fathia.
 
Bicara Pierre, banyak yang perlu dipelajarinya dan menganggap empunya diri masih anak-anak kecil yang masih perlu mencari ilmu. 

Menurutnya lagi, kematangan akan datang dari pengalaman yang dilalui sendiri selama ini. 

"Ia adalah jalan terbaik untuk mempraktikkan skil bagi menjadi pengarah yang baik," ujarnya. 

Tekanan
Setelah dua tahun menyepi, Pierre kini kembali memilih genre seram menerusi Al-Hijab dan katanya ia juga bagai mengingatkan kembali penonton bahawa Pierre masih berada dalam industri dan kini kembali berkarya. 

"Saya memilih genre seram kerana umum telah kenali saya dengan Jangan Pandang Belakang. Jadi, dari situ saya ingin kejutkan semula peminat filem tempatan untuk kembali mengingati saya yang dulu. 

"Selain itu, saya ada juga rancangan untuk bikin filem-filem aksi namun kini saya beri peluang kepada diri saya untuk membina nama dalam industri ini dengan apa yang saya pernah atau berjaya lakukan," jelasnya.

Mengakui tertekan sepanjang membikin Al-Hijab kerana harapan besar yang diletakkan oleh penonton terhadapnya selepas sukses menerusi Jangan Pandang Belakang dan Jangan Tegur, ungkap Pierre: "Saya mengambil ia sebagai satu cabaran dan tidak menganggap ia sebagai bebanan yang berat." 

Kosmo!