|
DUA tahun menyepi dari dunia seni tidak bermakna pengarah muda yang
diberi nama Mohd. Pierre Andre Nazarul Andre atau nama komersialnya
Pierre Andre telah berputus asa dari dunia hiburan tempatan.
Menurut Pierre Andre atau lebih mesra disapa sebagai Pierre, selepas
krisis yang melanda dirinya bersama penerbit Metrowealth Movies (MIG),
David Teo kira-kira dua tahun lalu, dia mengakui pernah berasa kecewa ,
lantas nekad ingin bersara dari industri hiburan.
"Dulu, saya terlalu banyak memberi sehingga tiada apa-apa yang
tinggal untuk saya. Jadi, kali ini saya tenangkan diri untuk mencari
idea selepas berlakunya konflik tersebut. Saya akui saya pernah kecewa
dengan industri ini, dan saya berfikir mahu memulakan perniagaan.
"Sepanjang tempoh dua tahun itu, saya kerap berulang-alik ke
Indonesia dan Kuala Lumpur. Malah, saya sempat berlakon filem serta
berkenalan dengan pengkarya-pengkarya dan juga pernah ditawarkan untuk
menjadi artis di sana," ujar Pierre yang pernah berlakon dalam filem
Indonesia arahan Rako Prijanto yang berjudul Krazy Crazy Krezy pada
tahun 2009.
Pierre juga mengakui pernah ditawarkan untuk menjadi artis di bawah
naungan beberapa produksi filem di Indonesia, namun kerana masih ingin
menabur bakat di negara sendiri, dia berazam ingin meneruskan karier
sebagai penggiat seni di sini.
"Masalahnya, jika saya ingin menjadi pelakon di bawah syarikat
produksi di sana, saya harus menjadi warganegara Indonesia dan tinggal
di sana. Jadi, saya tidak mahu mengambil keputusan itu kerana saya mahu
menjadi penggiat karya di Malaysia.
"Saya akui ada yang mengkritik tentang percakapan saya sebagai orang
bukan Indonesia, mungkin lenggok bahasa saya aneh bagi penonton di sana.
Bagi saya itu perkara biasa," luah Pierre yang ditemui semasa previu
filem terbaharu arahannya, Al-Hijab, di e@ Curve, Damansara, Selangor
baru-baru ini.
|
Badi Jangan Pandang Belakang
Menjadi pengarah filem pada usia muda, tidak mengehadkan anak muda
berusia 26 tahun ini untuk berkarya dalam satu genre filem sahaja.
Antara filem yang pernah diarahnya termasuklah Jangan Pandang Belakang,
Seru, Jangan Tegur, I'm Not Single dan 9 September. Walaupun pernah
menggarap filem berunsur romantik komedi, namun kejayaan Pierre dilihat
lebih 'menjadi' melalui hasil karya filem-filem seram arahannya.
Membicarakan mengenai kejayaan dua filem seramnya sebelum ini iaitu
Jangan Pandang Belakang dan Jangan Tegur, diusik andai dia rela digelar
dengan gelaran 'Raja Filem Seram', Pierre hanya tersenyum, namun dia
mengakui bersyukur andai dia ditakdirkan meraih gelaran tersebut.
"Mungkin juga ia badi Jangan Pandang Belakang kerana sejak itu orang
mula pandang saya sebagai 'muka hantu' atau sayalah penulis skrip dan
lakon layar cerita-cerita seram. Saya akui, saya ingin menjadi pengarah
yang versatil, dan ingin bikin macam-macam filem.
"Cuma kadangkala, tidak dapat saya nafikan, walaupun ada genre lain
yang saya hasilkan, ia tidak sehebat filem seram. Mungkin secara tidak
sedar, saya lebih dekat dengan penulisan genre seram.
"Dan jika suatu hari saya dilabelkan sebagai Raja Filem Seram, tidak
mengapa, saya tidak kisah. Jika di Jepun, mereka ada Hideo Nakata yang
terkenal dengan filem-filem seram seperti Dark Water dan The Ring, siapa
tahu rezeki saya di sini kerana Malaysia masih belum mempunyai pengarah
yang mendapat label sebegitu," jelasnya yang juga menyebut Hideo Nakata
menjadi idolanya.
|
Bicara Pierre, banyak yang perlu dipelajarinya dan menganggap empunya diri masih anak-anak kecil yang masih perlu mencari ilmu.
Menurutnya lagi, kematangan akan datang dari pengalaman yang dilalui sendiri selama ini.
"Ia adalah jalan terbaik untuk mempraktikkan skil bagi menjadi pengarah yang baik," ujarnya.
Tekanan
Setelah dua tahun menyepi, Pierre kini kembali memilih genre seram
menerusi Al-Hijab dan katanya ia juga bagai mengingatkan kembali
penonton bahawa Pierre masih berada dalam industri dan kini kembali
berkarya.
"Saya memilih genre seram kerana umum telah kenali saya dengan Jangan
Pandang Belakang. Jadi, dari situ saya ingin kejutkan semula peminat
filem tempatan untuk kembali mengingati saya yang dulu.
"Selain itu, saya ada juga rancangan untuk bikin filem-filem aksi
namun kini saya beri peluang kepada diri saya untuk membina nama dalam
industri ini dengan apa yang saya pernah atau berjaya lakukan,"
jelasnya.
Mengakui tertekan sepanjang membikin Al-Hijab kerana harapan besar
yang diletakkan oleh penonton terhadapnya selepas sukses menerusi Jangan
Pandang Belakang dan Jangan Tegur, ungkap Pierre: "Saya mengambil ia
sebagai satu cabaran dan tidak menganggap ia sebagai bebanan yang
berat."
Kosmo!
No comments:
Post a Comment