28 August 2011

Ekspresi raya Remy, Khairy


DUA figura daripada gelanggang berbeza, Remy Ishak dan Khairy Jamaluddin sebenarnya jauh berbeza sejak karier mereka bermula. Seorang pelaku dari gelanggang seni, seorang lagi ahli pencak di gelanggang politik, namun atas satu lintasan persamaan, wajah aktor Melayu jati serta pengemudi pemuda negara itu berjaya diterkam dalam warna dan nada yang bercantum likat.

Larut dan terpisah seketika dari variasi rutin seharian, secara rasminya, mereka bertemu mata dan berjabat salam buat pertama kalinya di sini, di Kampung Budaya 1Malaysia, Menara Kuala Lumpur (KL). Mengambil kira bisik orang, konon-kononnya Remy dan Khairy seakan seiras, sengaja paparan eksklusif ini Sensasi Bintang dihidangkan. 

Indahnya, ia bukan sekadar drama tapi silaturahim antara Remy dan Khairy itu cepat terbentuk. Mereka bersembang tentang bola sepak, tentang rutin yang harus ditempuh. Borak-borak kosong orang lelaki. 

Spontan kata Khairy, kalau dia bergelar artis, dia bukan jenis yang boleh berdepan bermacam kisah sensasi. Sengaja kami menyatakan bahawa para selebriti hanya dijentik manja dalam sensasi mereka. Terkejut seketika, Khairy menambah dalam jenaka:

"Kalau itu namanya jentik, memang saya tak sanggup jadi artis." 

Bersambung cerita tentang iras muka yang bukan kali ini sampai di telinga mereka, Khairy melontar ramah: 

"Rasanya sejak setahun lepas lagi, ada orang beritahu kononnya muka saya macam Remy Ishak. Ada juga yang SMS memberitahu perkara yang sama. Kalau kami dikatakan adik-beradik, Remy adalah 'the handsome brother'."

Mengakui ada mengikuti perkembangan dunia hiburan khususnya filem, ujarnya, dia juga salah seorang penonton filem Cun, filem berlatarkan sawah lakonan Remy bersama Maya Karin. Bukan sengaja direka-reka tetapi lelaki berkarisma 35 tahun ini memang mengikuti dunia perfileman. Kali terakhir, dia menonton siri Harry Potter di pawagam bersama isteri tersayang. 

Sama juga dengan Remy, jujur ceritanya: "Dua tahun lepas lagi saya dengar ada orang kata muka saya sama dengan Khairy. Saya anggap pertemuan ini satu penghormatan besar sebab beri peluang kepada saya jumpa Khairy. Bagi saya dia mewakili generasi muda dalam politik. Daripada peribadi dan pendiriannya, nampak sifat pejuang dalam dirinya."

Kebetulan pula, jarak daerah kelahiran Khairy di Rembau, Negeri Sembilan dan Remy, Masjid Tanah, Melaka secara tidak langsung memesrakan lagi borak lokasi antara mereka.

Dari satu persepsi yang lain, dua nama itu ibarat dipinjamkan seketika sebuah kerusi bersepuhkan cahaya. Ada letaknya nama mereka di hati umum. Khairy laksana ayam yang tangkas di tengah gelanggang, tuturnya bijak berisi misi terhadap perjuangan yang didepani manakala untuk Remy, si pemain muda itu yang sedang beraja di mata banyak penerbit dan pengarah filem. Nasib dalam percaturan dan walau siapapun mereka, baik artis atau ahli politik, masing-masing dambakan restu dan sokongan ramai. Analoginya begitu, ia sekadar kiasan di sebalik kelibat sosok mereka yang disatukan ini.

Ekspresi Lebaran 

Seiring langit Ramadan yang kian melabuhkan tirainya, pengertian 1 Syawal yang kebetulan jatuh dalam nafas negara sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan juga dipinta.

Kata Khairy, hari raya yang akan disambut pada 30 Ogos (Selasa ini) diharap membawa keistimewaan berganda. Ia bakal menjadi tanggal keramat buat Malaysia kerana menyambut Hari Kemerdekaan dalam suasana kemeriahan Aidilfitri.

"Saya cuma berharap masyarakat akan mengambil kesempatan untuk menikmati apa yang kita ada tanpa mengira agama atau bangsa. Jadi, hari raya nanti diharap akan membawa kegembiraan kepada semua, inilah saat keemasan yang jarang berlaku.

"Jadi, sekiranya ada sikit-sikit perasaan tidak puas hati, sambutlah raya ini dalam suasana aman damai," katanya yang menyifatkan patriotik cara generasi merdeka hari ini tidak sama dengan cara generasi terdahulu.
DIKATAKAN mempunyai air muka yang hampir seiras, Remy dan Khairy menerima jolokan itu dengan hati terbuka dan senyum membunga.


Tambah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu, setiap individu mempunyai jiwa patriotik cuma cara menzahirkan semangat itu tidak sama.

"Secara peribadinya, cukuplah saya zahirkannya dengan kesyukuran kepada Allah, agama dan tanah air, bila kesemua itu bercantum, jiwa patriotik itu indah. Ia tidak boleh dipaksa terutamanya terhadap anak muda, jiwa mereka mudah memberontak.

"Orang sekarang ada macam-macam cara patriotik, boleh tonjolkan dalam karya filem, pameran foto atau lukisan. Semuanya terpulang kepada niat," hurai menantu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi penuh mesej.

Menyambut hari raya dalam gaya pemimpin rakyat dan semenjak terpilih sebagai Ahli Parlimen Rembau, tuntutan bertemu rakyat jadi keutamaan.

"Kalau dulu raya hanya untuk diraikan bersama keluarga sendiri sekarang berbeza sedikit. Malam raya biasanya kami ahli keluarga akan berkumpul di Kuala Lumpur untuk sama-sama berbuka puasa pada malam terakhir Ramadan. Esoknya, saya akan berangkat ke salah sebuah masjid di Rembau untuk solat hari raya sebelum ziarah ke mana-mana rumah penghulu terdekat di situ. Menjelang tengah hari, saya akan pulang semula ke rumah mertua di ibu negara.

"Biasanya saya akan bercuti selepas raya, tahun lepas saya sekeluarga bercuti dalam negara, jadi tahun ini akan ke luar negara pula," kata Khairy.

Disentuh sedikit emosi jantannya, lelaki penuh gaya ini mengaku tidak dapat menahan sebak setiap kali menjelang malam raya. 

"Perasaan sebak itu hadir malam raya mengenangkan bapa yang sudah tiada. Tetapi pagi raya esoknya, saya lontarkan kegembiraan dan menyambut Aidilfitri dengan famili seperti biasa," akuinya tanpa segan atau selindung malu. 

Emosi Remy 

Saat menghitung suasana Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan yang berselisih hari, Remy berlainan pegangan berbanding Khairy. Hero filem seram epik Azazil arahan Khabir Bhatia yang masih dalam pembikinan itu ada hemah tersendiri.

"Bagi sesetengah orang, ia memang bagus tapi dua perayaan itu sepatutnya disambut dengan dua emosi berlainan, memanglah hari raya adalah hari kemenangan manakala hari kemerdekaan pula hari pembebasan, tapi definisinya berbeza. Dalam kes raya tahun ini, kita harus sambut ia seadanya," katanya yang boleh diresap semangat patriotik pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu Hari Kemerdekaan.

"Jujurnya setiap kali 31 Ogos, secara automatik saya boleh sebak tapi cara nak menzahirkan jiwa patriotik itu bukan dengan tindakan sebaliknya lebih kepada nilai sentimental dan dalam momen-momen tertentu. Kadang-kadang, bila jalan-jalan dan nampak bendera berkibar pun timbul semangat patriotik. Walaupun tidak naik motosikal sambil kibar bendera, tapi nilai itu ada dalam hati," luah Remy yang akan meneruskan tradisi raya di Masjid Tanah, Melaka bersama keluarga.

Hari-hari terakhir Ramadan begini, akui Remy, hatinya mudah tersentuh bahkan tuturnya: 

"Momen paling seronok adalah dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum raya. Malam raya sehinggalah menjelang sesi bersalaman pada pagi hari raya. Berkat hari itu terasa lain macam padahal setiap hari kita akan bersalaman."

Penutup cerita, salam mereka 'adik-beradik' bertaut pada petang tiga Ramadan. Bukan hanya di situ, selepas bersua muka, salam bersambung di laman sosial Twitter yang rajin dilawati mereka. Sama kacak rupa dan visi, semoga pengisian pertemuan ini sama-sama dirasai khalayak yang melihat dan membaca.

Sumber : Kosmo!

27 August 2011

Karipap-karipap penyatu cinta




IMPAK keunikan kuih karipap, mampu menggoncang sukma hingga jatuh terperosok ke lembah cinta. Dek kerana resipi rahsia yang ada pada sebiji karipap mampu membuatkan Sarah jatuh hati kepada Ali.

Mungkin ada yang tertanya-tanya siapa pula gerangan Sarah dan siapakah Ali? Sebenarnya, kedua-dua watak ini telah digarap dengan sempurna daripada naskhah asal iaitu sebuah novel nukilan Nazri M. Annuar berjudul Karipap Karipap Cinta.

Setelah difilemkan, kedua-dua watak utama itu masing-masing direalisasikan oleh Gambit Saifullah dan pendatang baharu dalam industri perfileman, Melia Amellia.

Bagi Gambit, kesempatan yang diberikan untuk berlakon dalam filem yang diarahkan oleh sutradara yang terkenal dengan mesej sinikal dalam setiap karya, Othman Hafsham, bukan calang-calang nilainya.

"Seronok berlakon dengannya (Othman Hafsham) yang sentiasa berdisiplin, cabarannya terletak pada saya sendiri yang sebelum ini tidak pernah membaca novel berkenaan dan hanya mendalami watak menerusi imaginasi dan skrip sahaja," kata aktor yang mula berjinak berlakon filem menerusi watak Khalif dalam filem Cinta pada tahun 2006 itu.

Malah kata pemilik nama sebenar Gambit Saifullah, 26, itu lagi, kesabaran benar-benar teruji apabila berlakon pada bulan puasa.

"Penggambaran ini dimulakan pada bulan puasa tahun lepas dan saya harapkan berkat bulan Ramadan dan Syawal tahun ini membolehkan peminat datang menontonnya di pawagam," katanya yang terpesona dengan kreativiti lawak yang ditonjolkan dalam filem itu.

Filem tersebut mengisahkan seorang pemuda bernama Ali yang bekerja di sebuah syarikat akhbar politik dan majalah misteri yang jatuh hati pada Sarah, seorang graduan dari Universiti Al-Azhar dan bertugas sebagai seorang kartunis.
 
EMPAT SEKAWAN. Gelagat melucukan empat aktor Karipap Karipap Cinta. Dari kiri: Syawal, Gambit, P. Jagen, Elyas Iskandar.


Demi menambat hati Sarah, Ali terpaksa berbohong dengan menyatakan dia juga lulusan daripada universiti yang sama seperti Sarah.

Dalam satu insiden yang memaksanya memecah masuk ke dalam rumah bosnya, Ali menemui resipi rahsia untuk memperoleh kebahagiaan bersama Sarah melalui kuih karipap.
Filem sulung Melia.

Bagi gadis berusia 18 tahun, Melia Amellia yang baru pertama kali muncul menghiasi layar perak, berdepan cabaran sebagai pendatang baharu menjadi isu utama buat dirinya.

"Mungkin ramai yang kurang mengenali Melia kerana sebelum ini Melia sering terlibat dengan berlakon drama dan tampil dengan imej bertudung mahupun isteri orang.

"Ini permulaan buat Melia untuk mengembangkan karier Melia dalam industri filem dan watak yang diberikan kepada Melia kali ini juga agak mencabar,"

Namun, mentelaah novel asal setebal 254 muka surat tidak menjadi hal buat Melia yang terpilih daripada 180 calon yang hadir uji bakat untuk filem tersebut.

"Selepas mendapat skrip, Melia berkurung dalam bilik selama tiga hari tiga malam untuk menghafal dan menghayati skrip yang diberikan.

FILEM Karipap Karipap Cinta menemui penonton di pawagam pada Hari Raya Pertama.


"Oleh kerana perwatakan Sarah dalam filem dan novel ini (Karipap Karipap Cinta) adalah lemah lembut sesuai dengan kelulusannya dari Universiti Al-Azhar berbanding diri sebenar Melia yang agak kasar bermakna lebih homework perlu dibereskan sebelum mula penggambaran," ujarnya yang juga berdepan dengan kesukaran bersilat yang menuntutnya beraksi dalam beberapa babak.

Menangis setiap kali aksi berlawan disebabkan berdepan kesukaran untuk beraksi lasak, watak Sarah juga memerlukannya bertutur dalam bahasa Arab.

"Jadi, setiap kali ada babak yang perlukan Melia berlawan atau bercakap dalam bahasa Arab mesti ada seorang guru yang akan membetulkan mana-mana silap yang Melia buat," tambahnya.

Teruja menantikan filem sulungnya yang bakal terbit di panggung seluruh negara pada hari raya pertama, pemilik nama sebenar Noor Melia Aimiellia Zaidi itu juga ternanti-nanti berkat Syawal pada tahun ini.

"Karipap Karipap Cinta filem pertama saya, mana mungkin tidak teruja dan cemas dengan hasil yang bakal dibikin kelak.

"Begitu pun, semoga keberkatan bulan mulia ini mengiringi perjuangan filem pertama saya di panggung wayang," katanya yang berkemungkinan beraya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


Sumber : Kosmo!

Teman Lelaki Tak Suka Farhan AF4?

Betulah kata orang-orang tua, orang yang kita benci itulah yang kita akan dapat satu hari nanti. Inilah yang terjadi kepada teman lelaki kepada bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 4 (AF4), Farhan iaitu Ahmad Rashdan Suhaimi, di mana sebelum ini jejaka kelahiran Kuantan itu mengakui tidak menyukai Farhan.

“Saya dah kenal Farhan kira-kira lapan tahun lalu. Kami kenal melalui rakan-rakan. Masa mula-mula dulu, kawan saya yang minat dia, saya tak minat dia. Malah, ketika dia masuk AF4 dulu, saya memang paling tak suka dia,” ujar Rashdan membuka bicara.

“Kami selalu bergaduh kerana al-maklumlah anak sulung, jadi masing-masing keras kepala. Namun, dua, tiga bulan sebelum Raya tahun 2009, kami mula serius. Satu hari itu, dia datang ke rumah keluarga saya dan masak. Dia masak apa yang saya suka iaitu sup. Walaupun hanya sup kosong, rasa sup itu yang saya suka. Sejak itu kami mula rapat dan akhirnya kami ‘declare’ melalui telefon.”

Rashdan yang berusia 27 tahun merupakan penuntut di Universiti Coventry, West Midlands, England dalam Master In Finance. Baru kembali ke Malaysia sejak sebulan lalu, Rashdan kini bekerja sebagai International Branding and Event Manager dalam sektor hartanah.

Anak sulung dari empat beradik ini turut memberitahu menyukai Farhan kerana sikapnya yang berdikari, kuat serta peramah dengan keluarganya. Menurut Rashdan, setelah hampir enam tahun berpasangan, beliau mengakui bercadang untuk merisik Farhan tidak lama lagi.

“Secara jujur, saya tak pernah terfikir akan bercinta dengan artis. InsyaAllah, pihak saya akan datang merisik dia dan kami akan bertunang pada tahun depan. Bila tarikh sebenarnya, saya tak pasti lagi tapi mungkin awal tahun.”

Bagi Farhan pula, beliau menyukai Rashdan kerana sifat lucu yang dimiliki oleh teman lelakinya itu. Menurut pelantun lagu ‘Aku Sahaja Yang Tahu’ ini, walaupun bercinta jarak jauh dengan kekasihnya, namun dia bersyukur kerana hubungan mereka masih okay sehingga sekarang.

“Rashdan merupakan seorang yang pendiam, sombong tapi sebenarnya dia seorang yang lucu. Dia pandai ambil hati saya dan banyak mengalah serta sabar dengan saya. Setakat ini, hubungan kami okay walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan. Tidak dinafikan, bercinta jarak jauh merupakan sesuatu yang mencabar buat kami.

“Dia jauh dan saya tak tahu apa yang dia buat di sana. Kami selalu bergaduh sebab jarang berjumpa. Tapi, benda-benda beginilah yang merapatkan hubungan kami lagi. Masa dia nak balik Malaysia, saya rasa teruja sangat.

“Soal kahwin, kami tak rancang lagi, tapi insyaAllah tahun depan dia datang merisik. Jika boleh, sudah tentu saya nak cepat sebab banyak sangat dugaan,” ujar Farhan sebelum mengakhiri perbualan.

Sumber : Gua.com.my

26 August 2011

Nur Kasih The Movie Di Siar Pada Hari Raya Pertama di TV3


Setiap kali Syawal menjelma, pasti stesen-stesen televisyen tempatan berlumba-lumba menyediakan program-program menarik untuk tatapan penonton setia mereka. Bagailkan satu kewajiban, tayangan filem-filem hebat mesti termasuk dalam senarai. Apa tidaknya, ketika musim perayaan inilah ramai yang mengambil kesempatan untuk menonton TV. Stesen TV yang menayangkan filem-filem pecah panggung sudah pasti menjadi pilihan utama.

Dua stesen televisyen di bawah naungan Media Prima Berhad, TV3 dan TV9 meneruskan tradisi penyiaran filem-filem hebat ini. Sebanyak 17 buah filem pelbagai genre telah terpilih untuk menghangatkan suasana raya anda. 11 filem di TV3 dan enam filem di TV9.  Berikut senarai penuh filem-filem yang akan ditayangkan di kedua-dua buah stesen.


FILEM RAYA TV3
1) Nur Kasih The Movie – Minggu Raya Pertama, 9.00malam
2) Susuk - Minggu Raya Pertama, 5.00petang
3) Brainscan 21 - Minggu Raya Pertama, 6.00petang
4) Jangan Pandang Belakang Congkak - Minggu Raya Pertama, 5.00petang
5) Ladyboss - Minggu Raya Pertama, 6.00petang
6) Congkak - Minggu Raya Pertama, 6.00petang
7) Senario Beach Boys – Minggu Raya Pertama, 9.00malam
8) Momok The Movie - Minggu Raya Pertama, 5.00petang
9) Adnan Sempit – Minggu Raya Pertama, 9.00malam
10) Zoo – Minggu Raya Pertama, 9.00malam
11) 4 Madu – Minggu Raya Pertama, 9.00malam
12) Duyung - Minggu Raya Pertama, 2.00petang
13) Senario Ep 1 -  Minggu Raya Pertama, 2.00petang
14) Kecoh Betul -  Minggu Raya Pertama, 2.00petang
15) Syurga Cinta - Minggu Raya Pertama, 2.00petang
16) Jin Notti - Minggu Raya Pertama, 3.00petang


FILEM RAYA TV9
1) Niyang Rapik – 30 Ogos, 1.30 tghari
2) Antoo Fighter – 31 Ogos, 1.30 tghari
3) Lu Fikirlah Sendiri The Movie  – 1 September, 1.30 tghari
4) Evolusi KL Drift  – 2 September, 1.30 tghari
5) Evolusi KL Drift 2 – 2 September, 1.30 tghari
6) Pisau Cukur – 4 September, 1.30 tghari


Sumber: Gua.com.my

22 August 2011

Beraya bersama buah hati


DUA figura kesayangan ramai ini sememangnya agak sukar menzahirkan perasaan mengenai soal hati. Baik Lisa Surihani Mohamed, 26, mahupun Farid Kamil Zahari, 30, masing-masing lebih selesa bercerita tentang kerjaya lakonan. 

Namun, tiada siapa tahu mengenai kuntuman bunga yang sedang mekar dan harum di hati mereka tatkala menyentuh mengenai sambutan Syawal pada tahun ini.

Bertemu dengan Lisa dan Farid ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan malam kongsi raya anjuran syarikat Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor, kedua-duanya kelihatan begitu teruja bercerita mengenai persiapan raya tahun ini. 

Malah, tanpa berselindung, Lisa dan Farid mengaku akan beraya ke rumah buah hati masing-masing iaitu Yusry KRU dan Diana Danielle.

Lisa akan beraya ke rumah Yusry pada minggu pertama hari raya nanti manakala Farid pula akan singgah ke rumah Diana Danielle di Perak sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur selepas beraya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah.

"Kami tiada perancangan teliti mengenai raya nanti kerana masing-masing begitu sibuk dengan kerja tetapi saya akan beraya ke rumah Yusry pada hari raya nanti. Minggu pertama puasa hari itu pun Lisa ada datang ke rumah Yusry berbuka bersama keluarganya," katanya tanpa berselindung.

Mengaku hubungan dia bersama Diana Danielle kini ke arah lebih matang, Farid pula memberitahu, "Insya-Allah, sebelum pulang ke Kuala Lumpur selepas beraya di Alor Setar saya akan singgah beraya di rumah Diana di Perak."

Farid yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Wasiat untuk Astro Prima juga merancang untuk bercuti lama pada hari raya nanti.
LISA SURIHANI dan Farid Kamil akan mengunjungi rumah kekasih hati masing-masing iaitu Yusry dan Diana Danielle pada Lebaran ini.

Walaupun keduanya serasi tatkala menyentuh mengenai raya bersama buah hati, namun apabila menyentuh mengenai persiapan raya, ternyata pendirian Lisa dan Farid berbeza. Lisa sudah bersedia hampir 80 peratus untuk menyambut lebaran nanti dengan baju yang ditempah bersama juadah manakala Farid lebih senang melakukan persiapan di saat akhir.

"Setakat ini persiapan raya Lisa sudah hampir 80 peratus siap. Tidak terlalu menyeluruh tetapi semua kelengkapan raya buat keluarga sudah tersedia. Untuk Lisa sendiri sebanyak lima pasang baju raya sudah ditempah. Dua pasang dengan pereka Nurita Harith dan tiga pasang lagi dengan Lindasu," katanya yang membeli sebahagian baju raya di Bangkok, Thailand.

Bagi Farid pula: "Saya merancang untuk membeli baju raya warna hijau kerana tidak pernah memiliki warna tersebut pada hari raya".

Rumah terbuka

Untung daripada filem arahan Farid iaitu Kongsi yang menerima kutipan sebanyak RM8.5 juta, pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Persembahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menerima wang bonus daripada pemilik syarikat Metrowealth, David Teo sebanyak RM50,000. Tuah Farid juga bukan setakat itu sahaja apabila dia turut menerima wang tajaan belajar ke luar negara sebanyak RM50,000.

Merasakan tuahnya itu harus dikongsi bersama peminat, anak kepada Datuk Dr. Zahari Che dan Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah itu juga merancang mengadakan rumah terbuka buat pertama kali untuk peminat di Kedah sempena berkongsi bonus yang diterima pada hari raya ketiga nanti.

Farid juga merancang untuk menjemput Diana ke rumah terbukanya nanti. "Sebelum ini mak ayah saya sahaja yang mengadakan rumah terbuka. Tahun ini saya pula yang akan mengadakan rumah terbuka untuk peminat-peminat sempena berkongsi bonus yang diterima.

"Saya tidak merancang untuk membawa Diana pulang ke Kedah kerana dia akan beraya di kampung halamannya di Perak tetapi saya akan menjemputnya pada hari rumah terbuka itu nanti," ujar hero filem Lagenda Budak Setan itu yang menjanjikan juadah seperti soto, lontong dan nasi tomato ayam masak merah pada rumah terbukanya nanti.

Sebaliknya, bagi heroin filem Lagenda Budak Setan, Lisa Surihani pula, dia tidak merancang untuk mengadakan rumah terbuka pada tahun ini.

"Saya teringin untuk buat rumah terbuka tetapi kena tengok keadaan dan masa yang sesuai dulu. Takut makanan tak cukup dan sesetengah daripada tetamu yang hadir tidak dapat saya layan," katanya berterus terang.


KONGSI REZEKI. Farid (kanan) dan Lisa bermesra sambil mengedarkan duit raya kepada anak-anak yatim yang turut menjadi tetamu majlis berbuka puasa anjuran Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Menyentuh mengenai juadah raya, pastinya juadah harissa (sejenis makanan Arab) menghiasi menu lebarannya.

Katanya, hidangan wajib ada setiap kali raya sudah semestinya nasi beriani Arab masakan ibunya serta juadah-juadah Arab lain.

Memori raya

Indahnya suasana Syawal pastinya meninggalkan memori buat yang meraikannya. Bagi Farid, setiap kali raya bersama keluarga merupakan kenangan yang manis buat dirinya. Namun, dia juga tidak boleh melupakan insiden sedih yang berlaku menjelang raya dan juga ketika raya. Insiden baju raya koyak ketika berada di tingkatan tiga dan juga terpaksa bekerja pada hari raya pertama sehingga hari raya ketiga selepas menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan kenangan paling utuh dalam memorinya.

"Masa tingkatan tiga saya pernah pakai baju raya naik motosikal sehari sebelum raya. Mungkin tak sabar sangat nak beraya. Akhirnya saya terjatuh motosikal dan baju raya yang dipakai koyak. Esoknya, pada hari raya saya terpaksa pinjam baju adik.

"Lagi satu kenangan paling saya tidak boleh lupa masa kena kerja di Kentucky Fried Chicken (KFC) selepas SPM pada hari raya pertama sehingga ketiga," katanya yang mula berlakon pada usia 21 tahun.

Bagi Lisa yang akan menyambut rayanya di Kuala Lumpur pula, memori raya paling utuh dalam memori ketika tahun terakhir bersama arwah bapanya, Mohamed Mahbob.

"Tahun-tahun terakhir sebelum ayah meninggal disebabkan barah hati pada tahun 2008 merupakan raya paling menggembirakan. Walaupun beraya di hospital ketika arwah ayah sakit, kami tetap sambut dengan memakai baju raya dan meriah," katanya mengenai arwah ayahnya yang jatuh sakit selepas dia pulang belajar di United Kingdom (UK).

Lisa juga berkongsi cerita mengenai rayanya ketika belajar di UK. Walaupun dikelilingi rakan-rakan bersama pelbagai juadah suasana tetap tidak semeriah beraya bersama keluarga tercinta.

Hakikatnya, raya Lisa tahun ini sedikit sebanyak berjaya membuatkan hatinya melonjak girang kerana beraya di samping buah hatinya, Yusry.

21 August 2011

Iklan Nurul cetus kontroversi

POSTER kempen iklan terbaharu Nurul yang mengundang kontroversi.

AWAL minggu lalu, nama Nurul Huda Wahab menjadi sasaran serangan penulis-penulis blog. Lebih kecoh lagi, ada yang menyuarakan kemarahan sambil menyelar poster iklan produk pelangsingan badan Glow & Glamour yang memaparkan Nurul Wahab dalam pakaian menjolok mata. Kemarahan mereka bertambah kerana Nurul dirakam berlatarbelakangkan imej masjid sekali gus dianggap sebagai satu tindakan biadab. 

Nurul turut berdepan kata-kata cemuhan. Dia turut disindir seksi tidak bertempat dan tidak mempedulikan sensitiviti umum tambahan pula kempen berkenaan diterbitkan untuk bulan Ramadan.

Bagaimanapun, komen-komen dan teguran daripada pelbagai pihak itu sebenarnya satu tindakan yang masuk akal. Hasil komen-komen berkenaan, barulah Nurul serta pengurusnya, Badrul Hisham menyedari salah percaturan pihak yang berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan kepada pihak Glow & Glamour dan tidak sampai dua hari, iklan yang mengundang kontroversi itu ditarik balik daripada penyiaran di media cetak dan elektronik. Pihak Glow & Glamour sendiri sudah tampil dengan kenyataan maaf.

“Sebenarnya komen-komen itu bagus, kami terima setiap teguran yang baik dengan hati terbuka kerana dari situ juga kami menerima maklum balas untuk dikemukakan kepada pihak yang bertanggungjawab. Tapi jika teguran itu sekadar maki-hamun dan bersifat serangan peribadi, itu terpulang.

NURUL menerima banyak teguran gara-gara kempen terbaharu iklan Glow & Glamour yang dikatakan menjolok mata dan tidak sesuai diterbitkan pada bulan Ramadan. Iklan berkenaan ditarik penyiarannya susulan perbincangan dengan pengeluar.

“Iklan produk pelangsingan badan dan poster itu tidak salah tetapi tersalah siar pada bulan puasa dan berlatarbelakangkan imej masjid. Itu memang tidak kena. Pihak Glow & Glamour sendiri mengakui bahawa mereka terlepas pandang sensitiviti umat Islam,” jelas Badrul.

Nurul ketika dihubungi, enggan mengulas panjang tetapi menjelaskan, pihak pengurusannya serta pihak Glow & Glamour akan memberikan kenyataan. 

“Pihak kami sudahpun berbincang, perkara tersebut berlaku kerana kurang kefahaman terhadap sensitiviti agama Islam. Soal dihentam kerana iklan berkenaan, saya lebih senang ambil keputusan untuk berdiam sahaja,” katanya yang berada di Sandakan, Sabah atas urusan perniagaan.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Glow & Glamour, Claire Ong menjelaskan pihaknya tidak mengetahui tentang etika pemakaian ketika Ramadan bahkan reka bentuk iklan itu sendiri dibuat oleh pereka bukan Muslim.

Claire berkata, semasa iklan itu diserahkan kepada pihak penyiar, mereka tidak mendapat sebarang respons negatif.

“Glow & Glamour sendiri dinaungi oleh orang bukan Islam, jadi kami akui kurang arif tentang sensitiviti pemakaian serta imej-imej yang boleh mendatangkan kemarahan.

“Selepas poster itu dimuat-naik dalam laman Facebook dan laman web rasmi kami, ia mendapat reaksi yang sangat cepat. Jadi kami memohon maaf secara terbuka terhadap pihak Nurul serta seluruh umat Islam kerana menimbulkan kontroversi dengan penyiaran iklan tersebut. Kami juga telah membuat keputusan menarik balik penyiaran iklan tersebut,” katanya semasa dihubungi Sensasi Bintang.

Sumber: Kosmo!

(Gambar) Nanu Baharuddin bersama anak anjing

Nampaknya artis kita Nanu Baharuddin berminat dengan haiwan yang bukan menjadi pilihan kebanyakkan orang Islam untuk dipegang mahupun dipeluk. Tapi dari gambar yang diperolehi menunjukkan Nanu "bahagia" dengan haiwan tersebut. 

image
image
image
image

16 August 2011

NUZUL AL-QUR’AN : Kitab Allah Bukan Sekadar Untuk Dibaca

Tanggal 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah dan media massa terutamanya televisyen tidak akan terlepas menyiarkan rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul (penurunan) Al-Qur’an. Majlis Tilawah Al-Qur’an juga tidak pernah ketinggalan diadakan bersempena meraikan bulan yang penuh keberkatan ini. 

Ratusan ribu dibelanjakan setiap tahun semata-mata untuk memperdengarkan bacaan Al-Qur’an oleh peserta-peserta yang bersaing merebut gelaran Qari atau Qari’ah. Pendek kata, pelbagai program tak putus diadakan sempena menyambut tarikh penurunan Al-Qur’an ini. Bagi kebanyakan individu pula, pada bulan inilah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Qur’an sebagai satu kelaziman.

Memang benar bahawa setiap Muslim sepatutnya memperingati tarikh penurunan Al-Qur’an. Al-Qur’an merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk disampaikan kepada umat manusia. Al-Qur’an adalah petunjuk (huda) dan pembeza (furqân). Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
 
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)” [TMQ al-Baqarah (2):185].

Seperti penjelasan Imam al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan bahawa Allah menurunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia; menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, berbagai peringatan dan hukum-hakam, serta pembeza antara yang haq dan yang batil. Al-Qur’an adalah huda (petunjuk), artinya Al-Qur’anlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan umat manusia. 

Al-Qur’an telah menjelaskan perbuatan apa yang wajib dilakukan, mana yang sebaiknya dilakukan, mana yang boleh dilakukan, mana yang sebaiknya ditinggalkan dan mana yang wajib ditinggalkan. Al-Qur’an juga menjelaskan apa yang boleh diambil dan apa yang tidak. Al-Qur’an adalah furqân (pembeza), artinya menjadi piawai yang menentukan mana yang haq dan mana yang batil. 

Oleh kerana itu, al-haq (kebenaran) adalah apa saja yang dinyatakan benar oleh Al-Qur’an dan al-bâthil (kebatilan) adalah apa saja yang dinyatakan batil oleh Al-Qur’an. Yang dituntut dari kita hanyalah menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk yang memandu dan memimpin kehidupan kita; sebagai sumber hukum yang wajib kita ambil dan kita terapkan; juga sebagai sumber penyelesaian bagi seluruh masalah kehidupan kita.
 
Justeru, umat Islam wajib mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan. Umat Islam wajib berpegang teguh kepada Al-Qur’an sebagaimana Rasulullah dan para sahabat berpegang teguh dengannya. Sesiapa sahaja yang tidak mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan, maka hendaklah ia takut akan diadukan oleh Rasul Sallallahu ‘alaihi wa Sallam ke hadhrat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan pengaduan seperti dalam firman-Nya,
 
“Berkatalah Rasul, “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan.” [TMQ al-Furqan (25):30].

Maksudnya, mereka menjadikan Al-Qur’an sebagai kitab yang ditinggalkan, diabaikan dan tidak dipedulikan. Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya telah merinci hal-hal yang termasuk ke dalam sikap tidak mengacuhkan Al-Qur’an. Di antaranya adalah tidak mengimani dan membenarkannya; tidak mentadabbur (mengkaji) dan memahaminya; tidak mengamalkan dan mematuhi perintah dan larangannya; berpaling darinya dan lebih memilih yang lain, baik berupa syair, ucapan, nyanyian, permainan, atau jalan hidup yang diambil dari selain Al-Qur’an; tidak mahu menyemak dan mendengarkan Al-Qur’an serta membuat kecoh hingga tidak mendengar Al-Qur’an saat ia dibacakan.
 
Adakah Al-Qur’an Sekadar Untuk Diperingati dan Dibaca?
 
Sempena Nuzul Al-Qur’an ini, marilah kita dengan penuh iman dan taqwa memuhasabah diri kita, apakah kita selama ini telah mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan, atau selama ini kita hanya beriman dengan sebahagian dari Al-Qur’an atau justru telah mengabaikan Al-Qur’an? Apakah selama ini Al-Qur’an telah benar-benar kita jadikan petunjuk, sumber hukum, sekaligus sebagai penyelesai segala masalah kehidupan kita? Ataukah sebaliknya, kita malah meninggalkan dan mencampakkannya? 

Kebanyakan kita berusaha menjaga fizik Al-Qur’an. Kita tidak akan meletakkan Al-Qur’an di lantai atau di kerusi atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak ‘menjaga’ Al-Qur’an. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat Al-Qur’an dipijak, dibakar atau dibuang di dalam tandas. Kita juga tidak akan berdiam diri jika Al-Qur’an dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa bentuk sekalipun. 

Kita memang akan menjaga kemurnian Al-Qur’an dari segala bentuk penodaan dan pemalsuan. Segala usaha ini sangat baik dan memang sudah menjadi tugas dan kewajiban kita yang harus kita tunaikan. Namun, kita sering hanya berhenti sebatas ini sahaja. Umat Islam berusaha untuk menjaga fizik Al-Qur’an, tetapi tidak berusaha untuk memahami isi kandungannya dan menerapkan hukum-hakamnya. Umat Islam marah apabila Al-Qur’an dihina, tetapi mereka sendiri ‘menghina’ Al-Qur’an dengan tidak mengamalkan hukumhukum yang terdapat di dalamnya. 

Umat Islam sakit hati apabila Al-Qur’an dikatakan telah ketinggalan zaman, tetapi mereka sendiri telah berzaman meninggalkan ajaran Al-Qur’an. Inilah hakikat umat Islam! Mereka mengambil Al-Qur’an hanya sebagai sebuah kitab yang ‘wajib’ dibaca tetapi melemparkan segala hukum-hakam yang ada di dalamnya. Para pemerintah kaum Muslimin membaca Al-Qur’an tetapi mereka mencampakkan segala perintah dan larangan Allah yang ada di dalamnya. Mereka mengadakan pelbagai program untuk membaca Al-Qur’an tetapi dalam masa yang sama mereka tidak berhukum dengan hukum Al-Qur’an, malah lebih buruk mereka memerangi dan menangkap sesiapa sahaja dari golongan umat Islam yang ikhlas berjuang menegakkan hukum Al-Qur’an. 

Mereka kononnya menyeru kepada Al-Qur’an tetapi mereka sebenarnya cukup anti dan takut kepada golongan yang yang benar-benar berusaha untuk mengembalikan hukum Al-Qur’an. Bukan setakat itu, mereka malah menganggap bahawa golongan yang ingin menegakkan agama Allah sebagai penjenayah yang mesti dihapuskan. Maha Suci Allah yang memuliakan golongan yang berdakwah ke jalanNya dan semoga Azab Allah menimpa golongan yang menghalang penerapan syariatNya.

Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengingatkan kalian bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan Al-Qur’an bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih dari itu. Membaca Al-Qur’an adalah ibadah (sunat) dan InsyaAllah kita akan beroleh pahala kerananya, tetapi mengamalkan isi kandungannya adalah WAJIB dan sesiapa sahaja mengabaikannya maka ia telah berdosa besar dan Allah jualah yang Maha Membalas segala dosanya. Siapa sahaja yang yang tidak berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan, maka azab Allah menantinya di akhirat!
 
Bagi mereka yang tidak memikul amanat Allah yang telah diturunkanNya melalui Al-Qur’an, maka Allah telah membuat satu perumpamaan yang hina ke atas mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,

“Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepada mereka Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak mengamalkan isinya), adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”. [TMQ al-Jumu‘ah (62):5].

Melalui ayat di atas, Allah menghina kaum yang tidak memikul wahyu yang diturunkanNya dengan perumpamaan seperti keldai. Bayangkanlah jika ada orang yang mengatakan kepada kita, “Anda ini seperti keledai!” Apakah perasaan kita? Apalagi yang menyatakan seperti itu bukanlah manusia, melainkan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang kita harapkan keredhaan dan keampunanNya. Orang yang benar-benar beriman, bertakwa dan mengharapkan redha Allah sudah tentu akan merasa takut dan gentar akan perumpamaan yang dibuat olehNya. 

Beberapa Kekeliruan Lain Terhadap Al-Quran 

Sebagaimana yang telah diterangkan, di antara kesalahfahaman yang ketara tentang Al-Qur’an oleh umat Islam adalah mereka hanya mengambilnya sebagai bahan bacaan semata-mata tanpa difahami dan diamalkan isi kandungannya. Walhal yang dituntut oleh Islam adalah penerapan atas apa yang dibaca. Al-Quran bukan kitab untuk mendapat ilmu pengetahuan semata, tetapi jauh lebih dari itu, ia mengandungi hukum-hakam yang wajib diamalkan oleh manusia. Al-Qur’an merupakan kitab syariat yang tidak hanya sekadar untuk dibaca dan dihafalkan sahaja, melainkan harus difahami dan diamalkan isi kandungannya dalam kehidupan sehari-hari. 

Al-Qur’an adalah Kalamullah yang merupakan mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sebagai petunjuk untuk umat manusia. Apakah sesuatu itu boleh dikatakan sebagai petunjuk jika kita tidak memahaminya, apatah lagi tidak mengamalkannya? Petunjuk adalah lawan dari kesesatan, maksudnya jika seseorang itu tidak memahami petunjuk, maka ia termasuk di dalam golongan yang sesat. Dengan kata lain, tidak mengambil Al-Qur’an sebagai petunjuk bermakna seseorang itu berada di dalam kesesatan. Di dalam hal ini, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengingatkan kita,
 
“Aku telah meninggalkan pada kalian dua perkara; jika kalian berpegang teguh pada keduanya maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah NabiNya” [HR Muslim].
 
Sebahagian lain kaum Muslimin tidak mengambil A-Qur’an sebagai petunjuk, tetapi menjadikan al-Quran sebagai sebuah ‘kitab mistik’. Al-Quran disimpan baik-baik di rumah dan hanya digunakan untuk hal-hal yang berunsurkan mistik misalnya menjadikannya sebagai azimat, tangkal, pelaris, penolak bala, pengusir syaitan dan sebagainya. Malangnya Al-Quran tidak dijadikan sebagai ’pengusir’ pelbagai macam sistem kufur yang diterapkan di tengah-tengah umat saat ini seperti Sekularisme, Kapitalisme, Liberalisme, Demokrasi, Hak Asasi Manusia dan lain-lain lagi. Mereka lebih suka mengambil Al-Qur’an sebagai sebuah ‘kitab magik’ yang boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki, berubat, menghalau hantu dan pelbagai ‘kepentingan peribadi’ lainnya daripada mengambil A-Qur’an sebagai kitabullah yang mengandungi syariat yang wajib diterapkan ke atas umat manusia keseluruhannya serta membawa rahmat ke seluruh penjuru alam.
 
Umat Islam senantiasa mengatakan bahawa Al-Qur’an adalah pedoman hidup, tetapi pada masa yang sama mereka tidak menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur kehidupan. Umat Islam hanya memilih hukumhakam tertentu yang ada di dalam Al-Qur’an untuk diamalkan dan mereka meninggalkan sebahagian besar hukum-hakam yang lain. Mereka mengambil ayat-ayat tentang akhlak tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang mua’malat. Mereka mengambil ayat-ayat tentang wudhu’ tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang hudud. Mereka mengambil ayat-ayat tentang solat tetapi meninggalkan ayat-ayat tentang jihad. Dan begitulah seterusnya. Mereka hanya memilih hukum-hukum yang mereka suka untuk diamalkan. Mereka berusaha menundukkan Al-Qur’an agar sesuai dengan hawa nafsu mereka. Mereka malah mengambil hukum kufur yang dibuat oleh penjajah dan meninggalkan hukum Allah. Dengan sebab inilah Allah menurunkan kehinaanNya ke atas mereka.
 
“.....apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada azab yang sangat berat.....” [TMQ Al-Baqarah (2):85].
 
Mereka mengambil hukum Barat dan merasa bangga dengannya, lalu hukum Barat ini dipertahankan oleh mereka sebagaimana mereka mempertahankan aqidah mereka. Apabila ditanya kenapa mereka tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka akan memberi seribu satu alasan. Mereka yakin bahawa hukum kufur Barat adalah lebih baik dari hukum Allah, maka hukum Barat diterapkan, hukum Allah dicampakkan. Allah Azza wa Jalla berfirman di dalam Al-Qur’anul Karim,
 
“Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki. Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maidah (5):50].
 
Pada hakikatnya, orang yang menolak aturan-aturan Allah dan menggantinya dengan hukum-hukum buatan Barat adalah orang yang mendustakan dan menyombongkan dirinya di hadapan ayat-ayatNya. Allah Rabbul Izzati mengkhabarkan kepada kita bahawa orang-orang semacam ini mustahil akan masuk syurga Allah, sebagaimana mustahilnya unta masuk ke lubang jarum. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
 
“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan dibukakan pintu-pintu langit (ampunan) dan mereka tidak pula akan masuk syurga hingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berbuat kejahatan”. [TMQ al-A‘raf (7):40].

Kembali Kepada Al-Qur’an Dengan Cara Yang Benar 

Wahai kaum Muslimin! Marilah kita akhiri sikap yang tidak sepatutnya terhadap Al-Qur’an. Kuburkanlah segala kesalahfahaman kita tentang Al-Qur’an. Mari kita jadikan Ramadhan dan Nuzul Qur’an ini sebagai momentum untuk kembali kepada fahaman yang benar terhadap Al-Qur’an. Mari kita jadikan Ramadhan ini sebagai momentum untuk meneguhkan tekad kita untuk senantiasa memuhasabah diri kita dengan Al-Qur’an; membaca, memahami dan menghayati maknanya; mengamalkan isi kandungannya; serta menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur segala urusan kehidupan kita dan sumber penyelesaian atas seluruh masalah kita; seterusnya menerapkan segala isi kandungannya di dalam bentuk per individu, bermasyarakat dan bernegara. 

Al-Qur’an adalah Kalamullah yang mengandungi seluruh hukum-hakam bagi kehidupan manusia. Di dalamnya terdapat hukum-hakam yang mengatur seluruh interaksi samada manusia dengan Al-Khaliq, manusia dengan manusia yang lain mahupun manusia dengan dirinya sendiri. Al-Qur’an mengandungi hukum-hakam tentang aqidah dan ibadah; tentang mua’malat dan uqubat; tentang akhlaq, pakaian dan makanan. Al-Qu’ran adalah cahaya, mengambilnya adalah petunjuk, meninggalkannya adalah sesat. Menerapkan hukum di dalam Al-Qur’an adalah wajib, meninggalkannya adalah berdosa. Sedarlah wahai saudaraku, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berpesan kepada kita, siapa saja yang meletakkan Al-Quran sebagai pemimpin di depannya nescaya ia akan memimpinnya ke syurga, sebaliknya, siapa saja yang meletakkan Al-Quran di belakangnya, nescaya ia menjerumuskannya ke dalam neraka. Na‘ûdzu billâh min dzâlik!

Wahai kaum Muslimin! Daulah Khilafah telah dihancurkan pada 3 Mac 1924. Sejak saat itu, hukum Allah tidak lagi diterapkan di muka bumi, sebaliknya diganti dengan hukum kufur penjajah. Sejak saat itulah manusia telah tidak berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan, sebaliknya menggantikannya dengan hukum-hakam buatan tangan manusia. Al-Qur’an bukan setakat diambil acuh tak acuh, malah ditinggalkan terus dan lebih buruk, dipertikaikan kesesuaian hukumnya. Hukum Al-Qur’an telah lenyap seiring dengan lenyapnya Daulah Khilafah. Tanpa ada sebuah negara, mustahil semua ayat Al-Qur’an dapat diterapkan. 

Benarlah kata Imam Al-Ghazali, “Agama adalah asas dan kekuasaan (negara) adalah penjaganya. Sesuatu yang tidak ada asasnya akan rapuh; sesuatu yang tidak ada penjaganya, akan hilang.”
 
Wahai kaum Muslimin! Kami ingin mengakhiri Sautun Nahdhah pada kali ini dengan sebuah Hadis yang mulia yang menceritakan kepada kita semua tentang Al-Qur’an. Semoga kita semua mengambil pengajaran dari Hadis ini demi untuk kebaikan kita di dunia dan akhirat:
 
“Dari Ali, radhiaAllahu ‘anhu, katanya: Ingatlah, aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, bersabda: “Awaslah, sesungguhnya akan berlaku fitnah”. Aku bertanya: “Apakah jalan keluar darinya ya Rasulullah?” Baginda menjawab: Kitabullah. Di dalamnya terdapat kisah-kisah apa yang sebelum kamu dan pengkhabaran apa yang akan datang sesudahmu; dan hukum-hakam di antara kamu; Ia (Al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa sahaja yang meninggalkannya kerana sombong, akan dibinasakan oleh Allah; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk dari selainnya akan disesatkan oleh Allah; Ia adalah tali Allah yang teguh dan ia adalah pengajaran yang bijaksana; Ia adalah As-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng atau terpesong; dan ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar atau berputar belit; dan para ulama pula tidak pernah puas darinya; (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata “Sesungguhnya kami mendengar bacaan Al-Qur’an yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya.”; sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; dan sesiapa sahaja yang beramal dengannya, pahalalah ganjarannya; dan sesiapa sahaja yang berhukum dengannya, adillah ia; dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya ia menunjuk kepada Siratil Mustaqim (jalan yang lurus).” [HR Tirmizi dan Darimi].