27 August 2011

Teman Lelaki Tak Suka Farhan AF4?

Betulah kata orang-orang tua, orang yang kita benci itulah yang kita akan dapat satu hari nanti. Inilah yang terjadi kepada teman lelaki kepada bekas peserta program realiti Akademi Fantasia 4 (AF4), Farhan iaitu Ahmad Rashdan Suhaimi, di mana sebelum ini jejaka kelahiran Kuantan itu mengakui tidak menyukai Farhan.

“Saya dah kenal Farhan kira-kira lapan tahun lalu. Kami kenal melalui rakan-rakan. Masa mula-mula dulu, kawan saya yang minat dia, saya tak minat dia. Malah, ketika dia masuk AF4 dulu, saya memang paling tak suka dia,” ujar Rashdan membuka bicara.

“Kami selalu bergaduh kerana al-maklumlah anak sulung, jadi masing-masing keras kepala. Namun, dua, tiga bulan sebelum Raya tahun 2009, kami mula serius. Satu hari itu, dia datang ke rumah keluarga saya dan masak. Dia masak apa yang saya suka iaitu sup. Walaupun hanya sup kosong, rasa sup itu yang saya suka. Sejak itu kami mula rapat dan akhirnya kami ‘declare’ melalui telefon.”

Rashdan yang berusia 27 tahun merupakan penuntut di Universiti Coventry, West Midlands, England dalam Master In Finance. Baru kembali ke Malaysia sejak sebulan lalu, Rashdan kini bekerja sebagai International Branding and Event Manager dalam sektor hartanah.

Anak sulung dari empat beradik ini turut memberitahu menyukai Farhan kerana sikapnya yang berdikari, kuat serta peramah dengan keluarganya. Menurut Rashdan, setelah hampir enam tahun berpasangan, beliau mengakui bercadang untuk merisik Farhan tidak lama lagi.

“Secara jujur, saya tak pernah terfikir akan bercinta dengan artis. InsyaAllah, pihak saya akan datang merisik dia dan kami akan bertunang pada tahun depan. Bila tarikh sebenarnya, saya tak pasti lagi tapi mungkin awal tahun.”

Bagi Farhan pula, beliau menyukai Rashdan kerana sifat lucu yang dimiliki oleh teman lelakinya itu. Menurut pelantun lagu ‘Aku Sahaja Yang Tahu’ ini, walaupun bercinta jarak jauh dengan kekasihnya, namun dia bersyukur kerana hubungan mereka masih okay sehingga sekarang.

“Rashdan merupakan seorang yang pendiam, sombong tapi sebenarnya dia seorang yang lucu. Dia pandai ambil hati saya dan banyak mengalah serta sabar dengan saya. Setakat ini, hubungan kami okay walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan. Tidak dinafikan, bercinta jarak jauh merupakan sesuatu yang mencabar buat kami.

“Dia jauh dan saya tak tahu apa yang dia buat di sana. Kami selalu bergaduh sebab jarang berjumpa. Tapi, benda-benda beginilah yang merapatkan hubungan kami lagi. Masa dia nak balik Malaysia, saya rasa teruja sangat.

“Soal kahwin, kami tak rancang lagi, tapi insyaAllah tahun depan dia datang merisik. Jika boleh, sudah tentu saya nak cepat sebab banyak sangat dugaan,” ujar Farhan sebelum mengakhiri perbualan.

Sumber : Gua.com.my

No comments:

Post a Comment