|
IMPAK keunikan kuih karipap, mampu menggoncang sukma hingga jatuh terperosok ke lembah cinta. Dek kerana resipi rahsia yang ada pada sebiji karipap mampu membuatkan Sarah jatuh hati kepada Ali.
Mungkin ada yang tertanya-tanya siapa pula gerangan Sarah dan siapakah Ali? Sebenarnya, kedua-dua watak ini telah digarap dengan sempurna daripada naskhah asal iaitu sebuah novel nukilan Nazri M. Annuar berjudul Karipap Karipap Cinta.
Setelah difilemkan, kedua-dua watak utama itu masing-masing direalisasikan oleh Gambit Saifullah dan pendatang baharu dalam industri perfileman, Melia Amellia.
Bagi Gambit, kesempatan yang diberikan untuk berlakon dalam filem yang diarahkan oleh sutradara yang terkenal dengan mesej sinikal dalam setiap karya, Othman Hafsham, bukan calang-calang nilainya.
"Seronok berlakon dengannya (Othman Hafsham) yang sentiasa berdisiplin, cabarannya terletak pada saya sendiri yang sebelum ini tidak pernah membaca novel berkenaan dan hanya mendalami watak menerusi imaginasi dan skrip sahaja," kata aktor yang mula berjinak berlakon filem menerusi watak Khalif dalam filem Cinta pada tahun 2006 itu.
Malah kata pemilik nama sebenar Gambit Saifullah, 26, itu lagi, kesabaran benar-benar teruji apabila berlakon pada bulan puasa.
"Penggambaran ini dimulakan pada bulan puasa tahun lepas dan saya harapkan berkat bulan Ramadan dan Syawal tahun ini membolehkan peminat datang menontonnya di pawagam," katanya yang terpesona dengan kreativiti lawak yang ditonjolkan dalam filem itu.
Filem tersebut mengisahkan seorang pemuda bernama Ali yang bekerja di sebuah syarikat akhbar politik dan majalah misteri yang jatuh hati pada Sarah, seorang graduan dari Universiti Al-Azhar dan bertugas sebagai seorang kartunis.
Demi menambat hati Sarah, Ali terpaksa berbohong dengan menyatakan dia juga lulusan daripada universiti yang sama seperti Sarah.
Dalam satu insiden yang memaksanya memecah masuk ke dalam rumah bosnya, Ali menemui resipi rahsia untuk memperoleh kebahagiaan bersama Sarah melalui kuih karipap.
Filem sulung Melia.
Bagi gadis berusia 18 tahun, Melia Amellia yang baru pertama kali muncul menghiasi layar perak, berdepan cabaran sebagai pendatang baharu menjadi isu utama buat dirinya.
"Mungkin ramai yang kurang mengenali Melia kerana sebelum ini Melia sering terlibat dengan berlakon drama dan tampil dengan imej bertudung mahupun isteri orang.
"Ini permulaan buat Melia untuk mengembangkan karier Melia dalam industri filem dan watak yang diberikan kepada Melia kali ini juga agak mencabar,"
Namun, mentelaah novel asal setebal 254 muka surat tidak menjadi hal buat Melia yang terpilih daripada 180 calon yang hadir uji bakat untuk filem tersebut.
"Selepas mendapat skrip, Melia berkurung dalam bilik selama tiga hari tiga malam untuk menghafal dan menghayati skrip yang diberikan.
FILEM Karipap Karipap Cinta menemui penonton di pawagam pada Hari Raya Pertama.
"Oleh kerana perwatakan Sarah dalam filem dan novel ini (Karipap Karipap Cinta) adalah lemah lembut sesuai dengan kelulusannya dari Universiti Al-Azhar berbanding diri sebenar Melia yang agak kasar bermakna lebih homework perlu dibereskan sebelum mula penggambaran," ujarnya yang juga berdepan dengan kesukaran bersilat yang menuntutnya beraksi dalam beberapa babak.
Menangis setiap kali aksi berlawan disebabkan berdepan kesukaran untuk beraksi lasak, watak Sarah juga memerlukannya bertutur dalam bahasa Arab.
"Jadi, setiap kali ada babak yang perlukan Melia berlawan atau bercakap dalam bahasa Arab mesti ada seorang guru yang akan membetulkan mana-mana silap yang Melia buat," tambahnya.
Teruja menantikan filem sulungnya yang bakal terbit di panggung seluruh negara pada hari raya pertama, pemilik nama sebenar Noor Melia Aimiellia Zaidi itu juga ternanti-nanti berkat Syawal pada tahun ini.
"Karipap Karipap Cinta filem pertama saya, mana mungkin tidak teruja dan cemas dengan hasil yang bakal dibikin kelak.
"Begitu pun, semoga keberkatan bulan mulia ini mengiringi perjuangan filem pertama saya di panggung wayang," katanya yang berkemungkinan beraya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Sumber : Kosmo!
Sumber : Kosmo!
No comments:
Post a Comment