22 August 2011

Beraya bersama buah hati


DUA figura kesayangan ramai ini sememangnya agak sukar menzahirkan perasaan mengenai soal hati. Baik Lisa Surihani Mohamed, 26, mahupun Farid Kamil Zahari, 30, masing-masing lebih selesa bercerita tentang kerjaya lakonan. 

Namun, tiada siapa tahu mengenai kuntuman bunga yang sedang mekar dan harum di hati mereka tatkala menyentuh mengenai sambutan Syawal pada tahun ini.

Bertemu dengan Lisa dan Farid ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan malam kongsi raya anjuran syarikat Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor, kedua-duanya kelihatan begitu teruja bercerita mengenai persiapan raya tahun ini. 

Malah, tanpa berselindung, Lisa dan Farid mengaku akan beraya ke rumah buah hati masing-masing iaitu Yusry KRU dan Diana Danielle.

Lisa akan beraya ke rumah Yusry pada minggu pertama hari raya nanti manakala Farid pula akan singgah ke rumah Diana Danielle di Perak sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur selepas beraya di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah.

"Kami tiada perancangan teliti mengenai raya nanti kerana masing-masing begitu sibuk dengan kerja tetapi saya akan beraya ke rumah Yusry pada hari raya nanti. Minggu pertama puasa hari itu pun Lisa ada datang ke rumah Yusry berbuka bersama keluarganya," katanya tanpa berselindung.

Mengaku hubungan dia bersama Diana Danielle kini ke arah lebih matang, Farid pula memberitahu, "Insya-Allah, sebelum pulang ke Kuala Lumpur selepas beraya di Alor Setar saya akan singgah beraya di rumah Diana di Perak."

Farid yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Wasiat untuk Astro Prima juga merancang untuk bercuti lama pada hari raya nanti.
LISA SURIHANI dan Farid Kamil akan mengunjungi rumah kekasih hati masing-masing iaitu Yusry dan Diana Danielle pada Lebaran ini.

Walaupun keduanya serasi tatkala menyentuh mengenai raya bersama buah hati, namun apabila menyentuh mengenai persiapan raya, ternyata pendirian Lisa dan Farid berbeza. Lisa sudah bersedia hampir 80 peratus untuk menyambut lebaran nanti dengan baju yang ditempah bersama juadah manakala Farid lebih senang melakukan persiapan di saat akhir.

"Setakat ini persiapan raya Lisa sudah hampir 80 peratus siap. Tidak terlalu menyeluruh tetapi semua kelengkapan raya buat keluarga sudah tersedia. Untuk Lisa sendiri sebanyak lima pasang baju raya sudah ditempah. Dua pasang dengan pereka Nurita Harith dan tiga pasang lagi dengan Lindasu," katanya yang membeli sebahagian baju raya di Bangkok, Thailand.

Bagi Farid pula: "Saya merancang untuk membeli baju raya warna hijau kerana tidak pernah memiliki warna tersebut pada hari raya".

Rumah terbuka

Untung daripada filem arahan Farid iaitu Kongsi yang menerima kutipan sebanyak RM8.5 juta, pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Persembahan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menerima wang bonus daripada pemilik syarikat Metrowealth, David Teo sebanyak RM50,000. Tuah Farid juga bukan setakat itu sahaja apabila dia turut menerima wang tajaan belajar ke luar negara sebanyak RM50,000.

Merasakan tuahnya itu harus dikongsi bersama peminat, anak kepada Datuk Dr. Zahari Che dan Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah itu juga merancang mengadakan rumah terbuka buat pertama kali untuk peminat di Kedah sempena berkongsi bonus yang diterima pada hari raya ketiga nanti.

Farid juga merancang untuk menjemput Diana ke rumah terbukanya nanti. "Sebelum ini mak ayah saya sahaja yang mengadakan rumah terbuka. Tahun ini saya pula yang akan mengadakan rumah terbuka untuk peminat-peminat sempena berkongsi bonus yang diterima.

"Saya tidak merancang untuk membawa Diana pulang ke Kedah kerana dia akan beraya di kampung halamannya di Perak tetapi saya akan menjemputnya pada hari rumah terbuka itu nanti," ujar hero filem Lagenda Budak Setan itu yang menjanjikan juadah seperti soto, lontong dan nasi tomato ayam masak merah pada rumah terbukanya nanti.

Sebaliknya, bagi heroin filem Lagenda Budak Setan, Lisa Surihani pula, dia tidak merancang untuk mengadakan rumah terbuka pada tahun ini.

"Saya teringin untuk buat rumah terbuka tetapi kena tengok keadaan dan masa yang sesuai dulu. Takut makanan tak cukup dan sesetengah daripada tetamu yang hadir tidak dapat saya layan," katanya berterus terang.


KONGSI REZEKI. Farid (kanan) dan Lisa bermesra sambil mengedarkan duit raya kepada anak-anak yatim yang turut menjadi tetamu majlis berbuka puasa anjuran Metrowealth Movies Production Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Menyentuh mengenai juadah raya, pastinya juadah harissa (sejenis makanan Arab) menghiasi menu lebarannya.

Katanya, hidangan wajib ada setiap kali raya sudah semestinya nasi beriani Arab masakan ibunya serta juadah-juadah Arab lain.

Memori raya

Indahnya suasana Syawal pastinya meninggalkan memori buat yang meraikannya. Bagi Farid, setiap kali raya bersama keluarga merupakan kenangan yang manis buat dirinya. Namun, dia juga tidak boleh melupakan insiden sedih yang berlaku menjelang raya dan juga ketika raya. Insiden baju raya koyak ketika berada di tingkatan tiga dan juga terpaksa bekerja pada hari raya pertama sehingga hari raya ketiga selepas menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan kenangan paling utuh dalam memorinya.

"Masa tingkatan tiga saya pernah pakai baju raya naik motosikal sehari sebelum raya. Mungkin tak sabar sangat nak beraya. Akhirnya saya terjatuh motosikal dan baju raya yang dipakai koyak. Esoknya, pada hari raya saya terpaksa pinjam baju adik.

"Lagi satu kenangan paling saya tidak boleh lupa masa kena kerja di Kentucky Fried Chicken (KFC) selepas SPM pada hari raya pertama sehingga ketiga," katanya yang mula berlakon pada usia 21 tahun.

Bagi Lisa yang akan menyambut rayanya di Kuala Lumpur pula, memori raya paling utuh dalam memori ketika tahun terakhir bersama arwah bapanya, Mohamed Mahbob.

"Tahun-tahun terakhir sebelum ayah meninggal disebabkan barah hati pada tahun 2008 merupakan raya paling menggembirakan. Walaupun beraya di hospital ketika arwah ayah sakit, kami tetap sambut dengan memakai baju raya dan meriah," katanya mengenai arwah ayahnya yang jatuh sakit selepas dia pulang belajar di United Kingdom (UK).

Lisa juga berkongsi cerita mengenai rayanya ketika belajar di UK. Walaupun dikelilingi rakan-rakan bersama pelbagai juadah suasana tetap tidak semeriah beraya bersama keluarga tercinta.

Hakikatnya, raya Lisa tahun ini sedikit sebanyak berjaya membuatkan hatinya melonjak girang kerana beraya di samping buah hatinya, Yusry.

No comments:

Post a Comment