02 February 2012

Pilih Bintang Seberang, Pierre Andre Tidak Pandang Ringan Aktres Tempatan


Pierre Andre dan pelakon Indonesia, Nurul Ekasari beraksi dalam filem Chantek 
Pengarah filem Pierre Andre berkata pemilihan pelakon Indonesia, Nurul Ekasari sebagai heroin filem Chantek kerana kesesuaian paras rupa dan karakter aktres itu sebagai pembantu rumah Indonesia untuk filem berkenaan.
Pierre, 26, juga menolak persepsi dia bersikap prejudis terhadap kredibiliti aktres tempatan sehingga mencari pelakon dari seberang bagi menggalas watak bernama Chantek menerusi filem komedi romantik itu.
"Tiada isu prejudis di sini. Bukan kerana pelakon Malaysia tidak bagus. Saya sendiri adalah karyawan Malaysia cuma di Indonesia pilihan untuk watak pembantu rumah itu lebih banyak berbanding di negara kita.
"Pemilihan Nurul adalah berdasarkan kesesuaiannya dengan watak itu ketika uji bakat diadakan," katanya pada sidang media selepas pra-tonton filem itu di Cathay e@Curve, di sini, Selasa.
Pierre berkata kesesuaian watak dan pilihan yang lebih ramai di kalangan pelakon Indonesia menjadi faktor dia mencari pelakon negara berkenaan bagi watak tersebut.
"Memang saya boleh ambil aktres tempatan tetapi untuk mejayakan watak itu, pasti penjiwaannya kurang kerana konflik lenggok dan stail pertuturan bahasa Indonesia yang tepat.
"Apabila kami mencari aktres Indonesia, ramai pelakon popular dan berbakat yang menghadiri uji bakat, sekaligus menawarkan banyak pilihan kepada kami untuk mencari calon paling sesuai," katanya.
Ditanya tentang cadangan pelakon asal iaitu Acha Septriasa bagi watak itu, Pierre berkata ia terpaksa ditukar memandangkan skrip filem yang ditulis hampir lima atau enam tahun yang lalu itu diterbitkan oleh syarikat produksi yang berbeza.
"Kalau mengikut perancangan asal, penerbit David Teo daripada MIG yang meminta saya menggunakan khidmat Acha sebagai watak pembantu rumah.
"Namun, ia tertangguh dan saya simpan sahaja skrip ini sehingga bertemu penerbit baru, Empat Semudra.
"Apabila mereka berminat, kami memutuskan untuk mencari pelakon lain yang lebih sesuai dengan watak itu," katanya.
Selain Nurul Ekasari dan Pierre sendiri, filem terbitan Empat Semudra Plantation Sdn Bhd ini turut membariskan Chew Kin Wah dan Maimon Mutalib.
Ia bakal ditayangkan pada 16 Februari ini di seluruh Malaysia.

Gambar Neelofa Di Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26)



Tergoda bila tengok gambar Neelofa di Anugerah Juara Lagu 26 yang lalu.Sangat cantik dan kelihatan Neelofa sangat sesuai dengan pakaian beliau. Pakaiannya juga sepertinya menarik perhatian ramai. Bertulisan atau lebih diilustrasikan sebagai pakaian tampalan kertas. Memang unik dan jarang dipertontonkan. 

  

01 February 2012

Bakal Suami Ubah Persepsi Negatif Ana Raffali Terhadap Lelaki


Ana Raffali dan Naim bakal disatukan pada 25 Februari ini. 
Penyanyi Ana Raffali atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, 26, mengakui sukar mempercayai golongan lelaki selepas beberapa kali dikecewakan.
Bagaimanapun, Ana berkata, perkenalan dengan teman karibnya, Ahmad Aznaim Abdullah, 30, atau Naim itu terus memberikan persepsi berbeza mengenai golongan itu apabila memulakan perkenalan pada tahun 2005.
"Dia seorang yang penyabar dan sangat memahami diri saya. Sedikit demi sedikit perasaan sayang mula wujud dan kami bercinta secara rasminya pada 8 Oktober 2008.
"Bagaimanapun, kami tidak pernah menganggap yang kami adalah pasangan bercinta sebaliknya lebih senang dengan gelaran kawan karib.
"Malah ketika saya dilamar, Naim terus berkata “jom kahwin” dan keluarganya terus merisik saya pada awal Disember tahun lalu. Dia langsung tak romantik," seloroh Ana pada sidang akhbar pengumuman majlis perkahwinannya di PNB Darby Park, di sini, Selasa.
Ana dan Naim bakal bergelar suami isteri pada 25 Februari 2012. Mereka akan bernikah di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, di sini.
Majlis dimulakan dengan acara bertunang pada pukul 10.30 pagi dan sejam kemudian, Ana akan dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohd Raffali Mod Nor.
Dalam pada itu, acara resepsi pula diadakan pada hari sama sejurus selepas akad nikah di masjid tersebut berlangsung.
Bagaimanapun, Ana memberitahu dia tidak akan memperlahankan aktiviti nyanyiannya selepas berumah tangga.
Sebaliknya fasa kehidupan barunya itu merupakan satu semangat untuk dia terus melakarkan nama dengan muzik yang ditonjolkan di persada seni tanah air.
"Saya tahu, orang selalu menganggap seseorang artis wanita itu akan memperlahankan karier seninya sejurus selepas kahwin.
"Tak mungkin saya berbuat begitu kerana sebaliknya saya mendapat semangat baru untuk meneruskan kerjaya nyanyian saya .
"Malah, saya akan mengeluarkan album terbaru pada bulan Mei ini dengan memuatkan sebanyak 10 buah lagu," ujarnya.
Sementara itu Naim yang bekerja sebagai pengurus kerjaya seni Ana berkata, dia gembira kerana akhirnya hubungan teman rapat itu menjadi satu ikatan suami isteri yang sah dan ia lebih memudahkan mereka untuk bergerak ke mana-mana tanpa ada batasan.
"Ini merupakan satu perkongsian hidup antara dua sahabat. Kalau nak tahu, kami mempunyai banyak persamaan daripada segi pemikiran. Sebagai contoh, kami sering berkata serentak apabila ingin memberi pendapat mengenai sesebuah hal.
"Selain itu, saya dan Ana juga suka makan. Selain itu kami juga berkongsi minat tentang apa-apa saja berkaitan dengan seni," ujarnya.
Pada majlis perkahwinan penyanyi yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku itu, dia akan menerima sebanyak tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas sembilan.
Bagaimanapun, wang hantaran tidak akan diberikan sebaliknya pihak perempuan hanya menerima mas kahwin yang belum ditentukan jumlahnya.

Neelofa Minta Tidak Dibandingkan Dengan Ogy


Neelofa 
Pelakon jelita Neelofa berharap penonton akan lebih bertimbang rasa dalam menilai kemampuannya menggalas watak Azura menerusi filem Azura 2012 berbanding lakonan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dalam filem tersebut terbitan 1984.
Neelofa berkata walaupun dia sudah menjangkakan perbandingan pasti akan berlaku, dia tetap berharap penonton akan bersikap adil kepadanya kerana watak itu adalah percubaan sulungnya dalam dunia lakonan.
"Perbandingan lakonan saya dan Ogy adalah sesuatu yang sudah dijangkakan dari awal lagi apabila saya menerima tawaran ini.
"Sebab itu saya sudah bersedia untuk dikritik dan dinilai oleh penonton yang sudah menonton kedua-dua versi filem ini," katanya ketika ditemui selepas pra-tonton filem itu di GSC One Utama, di sini, Isnin.
Ujar Neelofa, sebagai pendatang baru adalah tidak adil jika penonton menghukum atau memperlekehkan percubaannya menggalas watak itu tanpa memberikan peluang terlebih dahulu.
"Saya begitu sedar watak Azura sangat besar dan keramat kerana impak lakonan yang ditinggalkan oleh Ogy.
"Saya sudah berusaha untuk memberikan penghayatan terbaik tanpa asas dan pengalaman lakonan di dada.
"Tidak adil jika orang membandingkan lakonan saya dengan Ogy kerana beliau hebat dan berpengalaman berbanding pelakon baru seperti saya," katanya.
Neelofa berkata jika dilihat pada sudut positif, cabaran dan kesulitan menggalas watak itu sangat berguna dan baik untuk perkembangan kerjaya lakonannya.
"Selain menjadi profil yang bagus untuk saya, ilmu dan pengalaman dalam menjayakan watak ini sangat berguna bagi memantapkan mutu lakonan.
"Saya berharap ia akan jadi platform yang baik bagi perkembangan karier lakonan," katanya.
Selain Neelofa dan gandingannya Shahrizal Jaszle sebagai Zek, filem arahan Aziz M. Osman itu turut dibintangi Afdlin Shauki, Erma Fatima, Afida Es dan Nini Marlini.
Filem tersebut bukan filem versi baru (remake) tetapi hanya diadaptasi daripada konsep dan idea asal filem 1984 itu dengan olahan berbeza dan mengikut peredaran semasa.
Lakonan Neelofa dalam filem tersebut agak mengejutkan apabila beberapa pihak melihat pelakon itu gagal menghayati watak yang diberikan dengan baik.
Azura 2012 akan ditayangkan kepada umum bermula Khamis ini di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura