Showing posts with label Kamal Adli. Show all posts
Showing posts with label Kamal Adli. Show all posts

19 October 2011

Kamal, Olivia Nafi Bercinta



DUA figura ini merupakan tunjang utama filem Gerimis Mengundang.
KAMAL ADLI dan Olivia Lubes Jensen adalah nama yang cukup besar dalam industri seni di negara masing-masing. Dengan populariti yang diraih itu menyebabkan mereka telah digandingkan dalam sebuah filem berjudul Gerimis Mengundang yang diterbitkan oleh Erama Creative Sdn. Bhd.
Sebuah filem bercorak cinta, Gerimis Mengundang mengisahkan mengenai seorang juruterbang bernama Zamani (Kamal Adli) telah bertemu dengan seorang gadis dari Jakarta (Olivia) yang juga anak kepada Pak Harjo, wakil Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia.
Dengan satu pertemuan yang tidak disengajakan ketika berada di Kota Kinabalu, Sabah dalam satu situasi salah faham sehingga membabitkan perasaan cinta di antara mereka berdua.
Bagaimanapun, di sebalik pembikinan filem yang kali pertama menggabungkan kedua-dua pelakon itu, terdapat satu kisah menarik yang dipaparkan tentang hubungan cinta yang terjalin di antara mereka berdua.
Dalam rancangan hiburan, Informasi Selebriti yang diterbitkan di negara tersebut dan pernah disiarkan di Malaysia melalui saluran Indopek Astro, mereka berdua digambarkan sebagai pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta.
Ketika ditemui ketika proses alih suara filem berkenaan di ibu negara minggu lalu, Kamal dengan bersungguh-sungguh menafikan menjalin hubungan istimewa dengan pelakon cantik dari negara seberang itu.
“Sebenarnya apa yang dipaparkan dalam rancangan berkenaan adalah gosip yang sengaja direka-reka oleh pihak produksi. Apa yang saya tahu, mereka sengaja berbuat demikian memandangkan Olivia bergandingan dengan saya dalam filem Gerimis Mengundang.
“Dalam rakaman rancangan itu, mereka memaparkan yang kami berdua pergi bercuti bersama-sama di Sabah, sedangkan ketika itu kami sedang menjalani penggambaran. Kalau ke mana-mana pun kami turut ditemani orang lain termasuk Ahmad Idham,” jelasnya dengan bersungguh-sungguh.
Menurut Kamal, dia sendiri sangat terkejut ketika menonton rancangan tersebut, namun dia dengan tegas menyatakan kisah yang dipaparkan itu adalah sebahagian daripada permainan media Indonesia.
Ujarnya, ketika rakaman rancangan itu dilakukan dia beranggapan ia adalah sebuah rakaman biasa tanpa mengetahui bahawa ‘percintaan’ mereka di lokasi penggambaran Gerimis Mengundang cuba disensasikan.
“Sebenarnya saya tidak mahu kecoh mengenai perkara ini kerana merasakan tidak ramai yang tahu kecuali penonton di Indonesia. Namun, saya tidak sangka ia akan turut disiarkan di sini.
“Cuma saya terpaksa menerangkan situasi yang sebenar kepada ahli keluarga dan Intan supaya mereka tidak keliru. Saya berasa lega dan syukur kerana mereka faham dengan perkara tersebut,” ujarnya.
KAMAL ADLI terkejut dikatakan bercinta dengan Olivia Lubes Jensen.
Sementara itu, Olivia yang turut ditemui pada masa yang sama turut memberitahu dia dan Kamal sememangnya tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dan menganggap hubungan mereka adalah sebagai rakan sesama artis.

Ujarnya, sebagai seorang artis baharu yang sedang meningkat naik, dia sudah biasa digosipkan dengan ramai artis lelaki popular di sana dan tidak berasa terlalu tertekan dengan gosip tersebut.
“Lagipun saya sendiri tahu yang Kamal sudah mempunyai kekasih di sini dan hubungan kami memang tidak lebih daripada teman biasa. Namun, saya agak sudah tentu dia kurang selesa dengan gosip sebegini.
“Secara jujurnya sangat senang berlakon dengannya kerana dia adalah seorang pelakon yang bagus. Walaupun perbezaan umur kami agak jauh, tetapi ia tidak menyukarkan kami untuk mencari keserasian bersama dalam filem ini,” jelas pelakon yang baru menjangkau usia 18 tahun itu.
Belum bersedia
Di sebalik gosip hangat yang telah melanda dirinya itu, Kamal memberitahu perkara sebegitu sebenarnya ada membawa perkara positif kepada dirinya apabila semakin dikenali di Indonesia.
“Boleh dikatakan semenjak gosip tersebut tersebar memang semakin ramai yang sudah mengenali saya. Malah, terus terang saya katakan sudah ada beberapa produksi yang melamar saya untuk berlakon sinetron di Indonesia,” ujarnya.
Biarpun sudah menerima tawaran untuk berlakon dalam sinetron di Indonesia, dia mengakui pintu hatinya buat masa ini masih belum terbuka untuk mengembangkan sayap di negara berkenaan.
Tidak menafikan sama sekali tawaran yang diterima sememangnya cukup lumayan, namun pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Gemilang itu menyatakan dia masih lagi seronok dan gembira untuk terus berlakon di Malaysia.
“Kalau melihat dari satu sudut memang ia merupakan satu peluang yang tidak harus dilepaskan. Selain industri lakonan di sana yang lebih besar, bayaran yang diterima oleh pelakon sangat lumayan.
GELAGAT mesra Kamal dan Olivia pada sesi memasukkan suara filem Gerimis Mengundang di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Bagaimanapun, saya merasakan buat masa sekarang ini saya masih belum cukup bagus lagi untuk bersaing dengan pelakon-pelakon hebat di sana. Jadi, lebih baik kalau saya terus mencipta nama di negara sendiri,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia tidak menyesal kerana melepaskan peluang keemasan yang telah diberikan, pelakon itu memberitahu bahawa ia semuanya bergantung kepada rezeki dan akan memikirkan kembali sekiranya mendapat peluang yang sama pada masa akan datang.
Pilih filem
Jika kebanyakan pelakon di Indonesia dilihat berminat untuk berlakon dalam sinetron, tetapi Olivia mengambil pendekatan sebaliknya apabila dia lebih memilih filem dalam mengembangkan sayap lakonannya.
Semenjak muncul dalah filem pertama berjudul Bukan Cinta Biasa pada tahun 2009 ketika berusia 15 tahun, sehingga kini dia sudah membintangi sebanyak tujuh buah filem.
“Selama saya berkecimpung dalam dunia lakonan selama tiga tahun, saya lebih memilih untuk berlakon filem berbanding sinetron. Salah satu sebabnya filem tidak memerlukan tempoh yang lama untuk dihasilkan.
“Lagipun ketika sedang aktif sebagai pelakon, saya juga masih lagi bersekolah. Saya bimbang kalau tidak dapat memberikan komitmen yang sepenuhnya kalau berlakon dalam sinetron,” jelasnya yang telah pun menamatkan alam persekolahan.
Antara filem-filem lakonannya adalah Kembang Perawan, Cinta 2 Hati, The Tarix Jabrix 3, Milli & Nathan dan Masih Bukan Cinta Biasa, manakala satu-satunya sinetron yang pernah dibintanginya iaitu Hafizah.
Ditanya pengalaman sepanjang berlakon dengan pelakon dan tenaga produksi dari Malaysia, Olivia menjelaskan ia adalah satu pengalaman yang cukup menarik dan gembira dapat berlakon dalam filem tersebut.
“Ternyata banyak yang saya pelajari terutamanya mengenai cara pembikinan sesebuah filem di Malaysia. Jika diberi peluang untuk berlakon lagi di sini, sudah tentu saya tidak akan menolak,” ujarnya.
Kosmo!

18 October 2011

Olivia Jensen Matang Sebelum Usia



GADIS yang bernama Olivia Lubis Jensen (gambar) atau nama komersialnya, Olivia Jensen ini tampil hebat apabila dia menuturkan bicara. Baru berusia 18 tahun, kepetahannya bagaikan dia sudah bergelar orang dewasa.
Ketika beraksi di depan kamera, ada sahaja aksi-aksi manjanya yang diberi bagi menjayakan sesi fotografi bersama OopStarz! Senang cerita, bekerjasama dengan pelakon filem Gerimis Mengundang ini tidak mendatangkan masalah.
Kata anak kacukan Denmark-Indonesia ini, selain gemar berceloteh, kematangan yang terdapat dalam dirinya mungkin disebabkan didikan keluarga yang mahu melihat dia berdikari dalam hidup.
“Ibu dan bapa telah banyak memberi kepercayaan kepada saya. Ini membuatkan saya boleh belajar membuat sesuatu keputusan dan berfikir mana yang baik dan buruk.
“Malah hal ini juga membuatkan saya lebih terbuka apabila berbicara selain lebih berdikari,” katanya penuh yakin.
Tambah Olivia, pengalaman ini juga membuatkan dia lebih akrab dengan keluarga dan ia sekali gus dapat mengelakkannya daripada terjerumus dengan gejala-gejala sosial yang semakin menular di kalangan remaja sekarang.
Berbicara mengenai isu masalah sosial pula, Olivia agak risau apabila melihat sesetengah remaja yang semakin melupakan keluarga kerana ingin hidup bebas selain tersalah pilih kawan.
“Biasanya, remaja yang mempunyai masalah sosial adalah disebabkan pengaruh kawan-kawan. Kepada semua remaja jangan rasa takut atau malu untuk belajar daripada kesilapan,” ujarnya.
Walaupun mempunyai kerjaya yang boleh dikira kukuh dalam bidang lakonan, Olivia seorang yang sangat mementingkan akademik.
Malah dia berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi dalam bidang perniagaan.
Ibarat roda
Bergelar pelakon bukan bererti kehidupannya akan dililit dengan dunia glamor selama-lamanya.
Mempunyai misi tersendiri untuk menyambung pengajian dalam bidang perniagaan fesyen di Jakarta seandainya dia tidak lagi berada dalam industri seni.
“Rasanya semua tahu, agak sukar untuk karier kita bertapak di bidang seni sehingga tua. Bagi saya, perniagaan dalam bidang seni ibarat roda. Bila-bila masa sahaja nama kita akan berada di kemuncak dan jangan terkejut jika karier akan jatuh secara drastik. Sebab itu kena ada ‘plan B’.
“Bagaimanapun saya jenis yang tidak suka melakukan satu perkara sahaja sebaliknya ingin menerokai pelbagai bidang. Lebih seronok jika kita mencuba sesuatu yang baru kerana ia akan memberi cabaran yang akhirnya akan menghasilkan kepuasan maksimum pada diri sendiri.
“Mungkin saya akan membuka perniagaan fesyen pada masa akan datang nanti,” ujarnya.
Agak bersemangat pelakon ini apabila berbicara mengenai impiannya. Kata Olivia, dia juga ingin menjadi sukarelawan bagi mana-mana persatuan kebajikan.
Kamal Adli dan Gerimis Mengundang
Sejak berlakon sebagai heroin dalam filem Gerimis Mengundang arahan Ahmad Idham, bersama pelakon Malaysia, Kamal Adli, kedua-dua mereka sering digosipkan sedang menjalin hubungan cinta oleh media di Indonesia.
Walaupun tahu gosip itu merupakan satu publisiti untuk dirinya dan filem tersebut, dia masih risau mengenai pandangan negatif daripada peminat lebih-lebih lagi apabila Kamal sudah pun mempunyai kekasih yang juga merupakan seorang pelakon iaitu Intan Ladyana.
“Saya memang rasa kurang senang apabila gosip ini timbul kerana ia akan membuatkan orang ramai salah faham tentang perhubungan kami sedangkan kami hanya kawan yang akrab dan tidak lebih daripada hubungan rakan kerja,” tegasnya.
Bagaimanapun, dia gembira dapat bekerja dengan Kamal yang sering menghiburkan pelakon dan krew di set penggambaran.
“Di lokasi penggambaran, Kamal suka membuat lawak dan dia seorang yang ‘gila-gila’. Sepanjang bekerjasama dengannya, saya tidak henti-henti gelak ketawa kerana karakternya itu.
“Cuma keburukan Kamal satu sahaja. Dia selalu menyebabkan waktu penggambaran lewat kerana mempunyai masalah sukar bangun pagi,” guraunya.
Ditanya, bagaimanakah dia mendapat ‘chemistry’ dengan Kamal agar lakonan mereka tidak kaku, kata Olivia, sebelum penggambaran, mereka cuba mengenali antara satu sama lain dengan lebih akrab.
“Selain latihan berdialog, kami akan mengenali sesama sendiri dan sering bertukar pandangan tentang pelbagai topik.
“Mungkin kerana keakraban kami juga membuatkan media di Indonesia tersalah faham mengenai hubungan kami,” katanya.
Bercerita mengenai pengalamannya berlakon sebagai watak Mikha dalam filem itu dia gembira kerana dapat bekerja dengan syarikat produksi Malaysia buat kali pertama dan lebih menarik lagi, jangka masa penggambaran siap pada waktunya.
“Cuma, apabila berada di Pulau Manukan, Sabah, saya lupa diri seketika kerana terlalu asyik dengan pantai serta mandi laut di sana. Sehinggakan wajah saya kemerah-merahan.
“Keesokan harinya, rakan-rakan krew memanggil saya udang karang (lobster),” katanya sambil ketawa.
Filem terbitan E-Rama Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama Wanna-B Music Production dari Indonesia ini dijangka akan ditayangkan secara serentak di kedua-dua buah negara pada Mac 2012.

09 September 2011

Kecoh raya Jehan, Kamal & Afiq


TIGA fasa, tiga personaliti dan tiga kisah hidup meniti populariti dalam versi dan pesona sendiri sama ada dalam dunia lakonan mahupun peragaan.

Siapa yang tidak kenal dengan Jehan Miskin yang mula melakar nama sekitar tahun 2011 menerusi iklan Winston Kickboxer, wajahnya semakin kerap menghiasi papan iklan dan kaca televisyen.

Bukan sekadar membikin penangan dalam industri peragaan malah turut mencetus fenomena dalam industri lakonan sama ada filem mahupun drama.

Menjengah ke era yang lebih terkedepan, aktor kacak Kamal Adli yang dipilih menjadi Hero Remaja 2007/2008 turut memulakan kerjaya seni menerusi pentas peragaan. 

Malah seorang lagi aktor remaja yang kini semakin menempah tiket sukses dalam karier peragaan dan lakonan, Afiq Muiz, miliki bisa sendiri untuk menghangatkan arena seni berserta bonus sosok badan yang kekar dan sasa.

Pertemuan di Majlis Peragaan Fesyen Raya di Pusat Beli-Belah Great Eastern, Kuala Lumpur baru-baru ini sempat berkongsi kisah raya ketiga-tiga selebriti itu tiap kali menjelma Syawal setiap tahun.
TIGA aktor muda ini mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dalam dunia seni.
Jehan raya di Singapura

Pada tahun ini, Jehan Miskin atau pemilik nama Mohd. Jehan Miskin, 32, menyambut raya di Singapura.

Bukan untuk mencari keseronokan beraya di rantau orang tapi jelasnya hanya tempoh itu kesempatan bercuti diperolehnya sejak bermulanya tahun 2011 lagi.

“Saya memang perlukan cuti dan kesempatan hari raya tahun ini adalah peluang terbaik untuk saya merehatkan badan dan minda yang selama ini sibuk dengan tugas,” katanya yang memilih Universal Studio Singapura sebagai lokasi percutian.

1 Syawal tahun ini juga, percutian ke rumah rakannya di Singapura bermula dua hari sebelum raya hingga hari raya ketiga.

Pernah menyambut raya di luar negara seperti Amerika Syarikat, luah pemegang Sarjana Muda Sains Komputer dari University of Lincolnshire, Humberside, United Kingdom itu lagi, sambutan raya di Singapura sangat berbeza berbanding di Malaysia.

“Di Singapura, setiap keluarga mengenakan pakaian yang sama warna dan mereka menyewa bas untuk berkunjungan ke rumah saudara-mara. 

“Satu masa dulu saya pernah beraya di Amerika Syarikat bersama adik saya, Faiz Nur Miskin, yang ketika itu belajar di Kanada, tiada yang istimewanya kerana orang di sana tidak menyambutnya semeriah di Malaysia,” ujarnya yang turut meluangkan masa melawat zoo negara dan taman burung Singapura.

Kamal letupkan katak

Berbeza pula bagi aktor berzodiak Aries, Ahmad Kamal Ahmad Adli atau lebih serasi dikenali Kamal Adli, 25, setiap kali raya adalah perkara terbaik yang berlaku dalam hidupnya setiap tahun.

“Hari raya merupakan hari yang sangat indah dan terbaik sepanjang tempoh setahun dan sememangnya itu yang ditunggu-tunggu saya memandangkan pada ketika itu saja dapat bertemu keluarga dan berkumpul sanak-saudara,” luah keterujaannya yang tidak pernah tidak beraya di kampungnya sama ada di Jitra, Kedah mahupun Pekan, Pahang berselang-seli.

Mendahulukan persiapan raya empat adiknya berserta dua anak saudaranya sebelum memikirkan empunya diri, Kamal mengakui mood raya lebih terasa apabila beraya di kawasan kampung.

“Apabila beraya di kawasan kampung saya yang ada bendang padi, terasa pula seperti dalam iklan. Sememangnya feel raya itu lagi kuat terkesan,” cerita anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Ketupat palas dan rendang ayam menjadi keutamaan Kamal di pagi lebaran sementara mercun pula menjadi kebanggaannya di kala berakhirnya Ramadan.

“Mercun itu umpama nasi bagi saya, memang perlu ada setiap kali tiba musim perayaan.

“Masih saya ingat sampai sekarang pengalaman saya meletupkan katak menggunakan mercun pada ketika saya berusia 16 tahun.
DARI KIRI: Kamal, Afiq dan Jehan sudi berkongsi kisah raya masing-masing dengan peminat dunia hiburan tanah air.
“Mujur pada ketika itu ayam yang saya sasarkan untuk diletupkan mercun terlepas dan akhirnya katak menjadi mangsa saya,” bicaranya berseloroh bersulam gelak tawa.

Pengalaman bermain mercun bukan terhenti di situ, katanya pernah juga dia membaling mercun ke dalam rumah orang yang dibencinya selepas solat Subuh.

“Rasa puas hati bila dapat balas dendam pada orang tapi itu semua perkara silam, kini perlu lebih matang dan mercun bukan lagi menjadi kewajipan semasa raya,” katanya yang kini memilih mercun bunga api berdasarkan kematangannya.

Rentak Afiq

Mengagumi aktor kacak Hugh Jackman dan mendambakan kualiti serta pesona yang dimiliki bintang Wolverine itu, ujar Afiq Muiz, 19, atau pemilik nama sebenar Muhammad Afiq Muiz Azman Shah, dirinya masih lagi mentah dan memerlukan bimbingan daripada pelakon senior.

Bakat lakonan yang dihidu kesan daripada keaktifannya dalam dunia peragaan membuahkan hasil menerusi drama pertamanya iaitu Darah Pontianak pada tahun lepas.

Selepas terlibat dalam pementasan teater Gelanggang Tuk Wali beberapa bulan lalu, katanya keyakinan untuk menggalas peranan yang lebih berat makin diperoleh.

“Syukur Alhamdulillah kini saya sudah mendapat rentak untuk memulakan perjalanan dalam dunia seni, bagaimanapun saya masih memerlukan bimbingan pelakon-pelakon senior untuk saya bertapak dalam bidang ini,” ujar pelakon baharu yang mendapat pendidikan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu.

Sepanjang berkelana selama hampir dua tahun dalam industri seni katanya bajet kali ini antara yang paling banyak dikeluarkannya semata-mata untuk raya.

“Lebih RM1,000 saya sediakan untuk angpau raya saja dan setakat ini jumlah itu yang paling banyak pernah saya keluarkan,” katanya yang menantikan kuih tart buatan ibunya setiap kali tibanya Syawal.

Bajet raya juga tertumpu pada persiapan raya di rumah keluarganya termasuk membeli kuih-muih raya, pakaian dan hiasan baharu sempena Aidilfitri.

Sumber : Kosmo!