|
TIGA fasa, tiga personaliti dan tiga kisah hidup meniti populariti
dalam versi dan pesona sendiri sama ada dalam dunia lakonan mahupun
peragaan.
Siapa yang tidak kenal dengan Jehan Miskin yang mula melakar nama
sekitar tahun 2011 menerusi iklan Winston Kickboxer, wajahnya semakin
kerap menghiasi papan iklan dan kaca televisyen.
Bukan sekadar membikin penangan dalam industri peragaan malah turut
mencetus fenomena dalam industri lakonan sama ada filem mahupun drama.
Menjengah ke era yang lebih terkedepan, aktor kacak Kamal Adli yang
dipilih menjadi Hero Remaja 2007/2008 turut memulakan kerjaya seni
menerusi pentas peragaan.
Malah seorang lagi aktor remaja yang kini semakin menempah tiket
sukses dalam karier peragaan dan lakonan, Afiq Muiz, miliki bisa sendiri
untuk menghangatkan arena seni berserta bonus sosok badan yang kekar
dan sasa.
Pertemuan di Majlis Peragaan Fesyen Raya di Pusat Beli-Belah Great
Eastern, Kuala Lumpur baru-baru ini sempat berkongsi kisah raya
ketiga-tiga selebriti itu tiap kali menjelma Syawal setiap tahun.
|
Jehan raya di Singapura
Pada tahun ini, Jehan Miskin atau pemilik nama Mohd. Jehan Miskin, 32, menyambut raya di Singapura.
Bukan untuk mencari keseronokan beraya di rantau orang tapi jelasnya
hanya tempoh itu kesempatan bercuti diperolehnya sejak bermulanya tahun
2011 lagi.
“Saya memang perlukan cuti dan kesempatan hari raya tahun ini adalah
peluang terbaik untuk saya merehatkan badan dan minda yang selama ini
sibuk dengan tugas,” katanya yang memilih Universal Studio Singapura
sebagai lokasi percutian.
1 Syawal tahun ini juga, percutian ke rumah rakannya di Singapura bermula dua hari sebelum raya hingga hari raya ketiga.
Pernah menyambut raya di luar negara seperti Amerika Syarikat, luah
pemegang Sarjana Muda Sains Komputer dari University of Lincolnshire,
Humberside, United Kingdom itu lagi, sambutan raya di Singapura sangat
berbeza berbanding di Malaysia.
“Di Singapura, setiap keluarga mengenakan pakaian yang sama warna
dan mereka menyewa bas untuk berkunjungan ke rumah saudara-mara.
“Satu masa dulu saya pernah beraya di Amerika Syarikat bersama adik
saya, Faiz Nur Miskin, yang ketika itu belajar di Kanada, tiada yang
istimewanya kerana orang di sana tidak menyambutnya semeriah di
Malaysia,” ujarnya yang turut meluangkan masa melawat zoo negara dan
taman burung Singapura.
Kamal letupkan katak
Berbeza pula bagi aktor berzodiak Aries, Ahmad Kamal Ahmad Adli atau
lebih serasi dikenali Kamal Adli, 25, setiap kali raya adalah perkara
terbaik yang berlaku dalam hidupnya setiap tahun.
“Hari raya merupakan hari yang sangat indah dan terbaik sepanjang
tempoh setahun dan sememangnya itu yang ditunggu-tunggu saya
memandangkan pada ketika itu saja dapat bertemu keluarga dan berkumpul
sanak-saudara,” luah keterujaannya yang tidak pernah tidak beraya di
kampungnya sama ada di Jitra, Kedah mahupun Pekan, Pahang
berselang-seli.
Mendahulukan persiapan raya empat adiknya berserta dua anak
saudaranya sebelum memikirkan empunya diri, Kamal mengakui mood raya
lebih terasa apabila beraya di kawasan kampung.
“Apabila beraya di kawasan kampung saya yang ada bendang padi, terasa
pula seperti dalam iklan. Sememangnya feel raya itu lagi kuat
terkesan,” cerita anak ketiga daripada tujuh beradik itu.
Ketupat palas dan rendang ayam menjadi keutamaan Kamal di pagi
lebaran sementara mercun pula menjadi kebanggaannya di kala berakhirnya
Ramadan.
“Mercun itu umpama nasi bagi saya, memang perlu ada setiap kali tiba musim perayaan.
“Masih saya ingat sampai sekarang pengalaman saya meletupkan katak menggunakan mercun pada ketika saya berusia 16 tahun.
|
“Mujur pada ketika itu ayam yang saya sasarkan untuk diletupkan
mercun terlepas dan akhirnya katak menjadi mangsa saya,” bicaranya
berseloroh bersulam gelak tawa.
Pengalaman bermain mercun bukan terhenti di situ, katanya pernah juga
dia membaling mercun ke dalam rumah orang yang dibencinya selepas solat
Subuh.
“Rasa puas hati bila dapat balas dendam pada orang tapi itu semua
perkara silam, kini perlu lebih matang dan mercun bukan lagi menjadi
kewajipan semasa raya,” katanya yang kini memilih mercun bunga api
berdasarkan kematangannya.
Rentak Afiq
Mengagumi aktor kacak Hugh Jackman dan mendambakan kualiti serta
pesona yang dimiliki bintang Wolverine itu, ujar Afiq Muiz, 19, atau
pemilik nama sebenar Muhammad Afiq Muiz Azman Shah, dirinya masih lagi
mentah dan memerlukan bimbingan daripada pelakon senior.
Bakat lakonan yang dihidu kesan daripada keaktifannya dalam dunia
peragaan membuahkan hasil menerusi drama pertamanya iaitu Darah
Pontianak pada tahun lepas.
Selepas terlibat dalam pementasan teater Gelanggang Tuk Wali beberapa
bulan lalu, katanya keyakinan untuk menggalas peranan yang lebih berat
makin diperoleh.
“Syukur Alhamdulillah kini saya sudah mendapat rentak untuk memulakan
perjalanan dalam dunia seni, bagaimanapun saya masih memerlukan
bimbingan pelakon-pelakon senior untuk saya bertapak dalam bidang ini,”
ujar pelakon baharu yang mendapat pendidikan di Akademi Seni Budaya
& Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu.
Sepanjang berkelana selama hampir dua tahun dalam industri seni
katanya bajet kali ini antara yang paling banyak dikeluarkannya
semata-mata untuk raya.
“Lebih RM1,000 saya sediakan untuk angpau raya saja dan setakat ini
jumlah itu yang paling banyak pernah saya keluarkan,” katanya yang
menantikan kuih tart buatan ibunya setiap kali tibanya Syawal.
Bajet raya juga tertumpu pada persiapan raya di rumah keluarganya
termasuk membeli kuih-muih raya, pakaian dan hiasan baharu sempena
Aidilfitri.
Sumber : Kosmo!
No comments:
Post a Comment