18 October 2011

Olivia Jensen Matang Sebelum Usia



GADIS yang bernama Olivia Lubis Jensen (gambar) atau nama komersialnya, Olivia Jensen ini tampil hebat apabila dia menuturkan bicara. Baru berusia 18 tahun, kepetahannya bagaikan dia sudah bergelar orang dewasa.
Ketika beraksi di depan kamera, ada sahaja aksi-aksi manjanya yang diberi bagi menjayakan sesi fotografi bersama OopStarz! Senang cerita, bekerjasama dengan pelakon filem Gerimis Mengundang ini tidak mendatangkan masalah.
Kata anak kacukan Denmark-Indonesia ini, selain gemar berceloteh, kematangan yang terdapat dalam dirinya mungkin disebabkan didikan keluarga yang mahu melihat dia berdikari dalam hidup.
“Ibu dan bapa telah banyak memberi kepercayaan kepada saya. Ini membuatkan saya boleh belajar membuat sesuatu keputusan dan berfikir mana yang baik dan buruk.
“Malah hal ini juga membuatkan saya lebih terbuka apabila berbicara selain lebih berdikari,” katanya penuh yakin.
Tambah Olivia, pengalaman ini juga membuatkan dia lebih akrab dengan keluarga dan ia sekali gus dapat mengelakkannya daripada terjerumus dengan gejala-gejala sosial yang semakin menular di kalangan remaja sekarang.
Berbicara mengenai isu masalah sosial pula, Olivia agak risau apabila melihat sesetengah remaja yang semakin melupakan keluarga kerana ingin hidup bebas selain tersalah pilih kawan.
“Biasanya, remaja yang mempunyai masalah sosial adalah disebabkan pengaruh kawan-kawan. Kepada semua remaja jangan rasa takut atau malu untuk belajar daripada kesilapan,” ujarnya.
Walaupun mempunyai kerjaya yang boleh dikira kukuh dalam bidang lakonan, Olivia seorang yang sangat mementingkan akademik.
Malah dia berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi dalam bidang perniagaan.
Ibarat roda
Bergelar pelakon bukan bererti kehidupannya akan dililit dengan dunia glamor selama-lamanya.
Mempunyai misi tersendiri untuk menyambung pengajian dalam bidang perniagaan fesyen di Jakarta seandainya dia tidak lagi berada dalam industri seni.
“Rasanya semua tahu, agak sukar untuk karier kita bertapak di bidang seni sehingga tua. Bagi saya, perniagaan dalam bidang seni ibarat roda. Bila-bila masa sahaja nama kita akan berada di kemuncak dan jangan terkejut jika karier akan jatuh secara drastik. Sebab itu kena ada ‘plan B’.
“Bagaimanapun saya jenis yang tidak suka melakukan satu perkara sahaja sebaliknya ingin menerokai pelbagai bidang. Lebih seronok jika kita mencuba sesuatu yang baru kerana ia akan memberi cabaran yang akhirnya akan menghasilkan kepuasan maksimum pada diri sendiri.
“Mungkin saya akan membuka perniagaan fesyen pada masa akan datang nanti,” ujarnya.
Agak bersemangat pelakon ini apabila berbicara mengenai impiannya. Kata Olivia, dia juga ingin menjadi sukarelawan bagi mana-mana persatuan kebajikan.
Kamal Adli dan Gerimis Mengundang
Sejak berlakon sebagai heroin dalam filem Gerimis Mengundang arahan Ahmad Idham, bersama pelakon Malaysia, Kamal Adli, kedua-dua mereka sering digosipkan sedang menjalin hubungan cinta oleh media di Indonesia.
Walaupun tahu gosip itu merupakan satu publisiti untuk dirinya dan filem tersebut, dia masih risau mengenai pandangan negatif daripada peminat lebih-lebih lagi apabila Kamal sudah pun mempunyai kekasih yang juga merupakan seorang pelakon iaitu Intan Ladyana.
“Saya memang rasa kurang senang apabila gosip ini timbul kerana ia akan membuatkan orang ramai salah faham tentang perhubungan kami sedangkan kami hanya kawan yang akrab dan tidak lebih daripada hubungan rakan kerja,” tegasnya.
Bagaimanapun, dia gembira dapat bekerja dengan Kamal yang sering menghiburkan pelakon dan krew di set penggambaran.
“Di lokasi penggambaran, Kamal suka membuat lawak dan dia seorang yang ‘gila-gila’. Sepanjang bekerjasama dengannya, saya tidak henti-henti gelak ketawa kerana karakternya itu.
“Cuma keburukan Kamal satu sahaja. Dia selalu menyebabkan waktu penggambaran lewat kerana mempunyai masalah sukar bangun pagi,” guraunya.
Ditanya, bagaimanakah dia mendapat ‘chemistry’ dengan Kamal agar lakonan mereka tidak kaku, kata Olivia, sebelum penggambaran, mereka cuba mengenali antara satu sama lain dengan lebih akrab.
“Selain latihan berdialog, kami akan mengenali sesama sendiri dan sering bertukar pandangan tentang pelbagai topik.
“Mungkin kerana keakraban kami juga membuatkan media di Indonesia tersalah faham mengenai hubungan kami,” katanya.
Bercerita mengenai pengalamannya berlakon sebagai watak Mikha dalam filem itu dia gembira kerana dapat bekerja dengan syarikat produksi Malaysia buat kali pertama dan lebih menarik lagi, jangka masa penggambaran siap pada waktunya.
“Cuma, apabila berada di Pulau Manukan, Sabah, saya lupa diri seketika kerana terlalu asyik dengan pantai serta mandi laut di sana. Sehinggakan wajah saya kemerah-merahan.
“Keesokan harinya, rakan-rakan krew memanggil saya udang karang (lobster),” katanya sambil ketawa.
Filem terbitan E-Rama Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama Wanna-B Music Production dari Indonesia ini dijangka akan ditayangkan secara serentak di kedua-dua buah negara pada Mac 2012.

No comments:

Post a Comment