Showing posts with label Shuib. Show all posts
Showing posts with label Shuib. Show all posts

13 November 2011

Perpecahan Tidak Jejas Keakraban Sepah Berlakon Filem















Kumpulan Sepah yang dianggotai Jep (kiri), Shuib (tengah) dan Mamat jalin kerjasama terakhir menggunakan jenama kumpulan itu dalam filem Sepah The Movie.
Kumpulan pelawak Sepah mengakui faktor perpecahan kumpulan itu langsung tidak menjejaskan tumpuan dan keserasian mereka untuk bekerjasama dalam penggambaran filem terbaru, Sepah The Movie, baru-baru ini.
Salah seorang anggotanya Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep) menyifatkan keakraban mereka yang berlaku secara telus dan semula jadi itu seolah menggambarkan mereka masih bersama seperti dulu.
“Filem ini adalah impian kami yang sudah dua tahun ditunggu. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kami berpecah bukan kerana bergaduh tetapi untuk membawa haluan kerjaya masing-masing.
“Sebab itu kami masih akrab dan boleh mendapatkan keserasian itu secara spontan dan semula jadi dan ia bukannya dibuat-buat,” katanya.
Shahmira Muhamad (Shuib) pula berkata, kerinduan untuk bekerjasama sejak kali terakhir terlibat dalam set penggambaran kira-kira lapan bulan lalu terubat sepanjang penggambaran filem komedi aksi itu.
“Bayangkan, memang sudah lama kami tidak bekerjasama dan berlakon bersama, kali terakhir pun kira-kira lapan yang lalu.
“Sepanjang berkampung di Johor selama lebih 20 hari, kami dapat mengubat kerinduan masing-masing kerana kami tidak pernah bergaduh atau bermasam muka,” katanya.
Selepas pembubaran kumpulan yang menjuarai pertandingan Maharaja Lawak itu pada Ogos lalu, Jep dan Shuib bergabung menubuhkan kumpulan baru yang dinamakan Sepahtu tanpa Mamat.
Pasangan itu kini sedang dalam persiapan untuk menghasilkan album sulung mereka iaitu Sepahtu Bikin Album.
Manakala Mohd Noor Murad (Mamat) pula meneruskan kerjaya seninya secara solo.

09 October 2011

Sepahtu singkir Mamat

WALAUPUN Sepahtu menghibur tanpa Mamat, (kanan sekali), tiga anggota Sepah yang merupakan produk Raja Lawak itu masih boleh bekerjasama dalam filem Sepah The Movie yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

SEMASA mula mencuri perhatian dalam episod mingguan pertandingan Raja Lawak musim ketiga, Sepah awal-awal lagi dilihat sebagai pelawak berkumpulan yang mampu mengikut jejak dan mencipta fenomena seperti yang pernah dicipta kumpulan Senario. Itu antara komen-komen positif yang pernah keluar daripada mulut pengkritik tetap ketika itu, Fauziah Nawi. Syaratnya, Sepah harus mengekalkan momentum dan ikatan tiga sekawan yang telah mereka jalin.
Baru masuk tahun ketiga dan kini bergelar Maharaja Lawak pergolakan dalaman kumpulan yang dianggotai tiga anak kelahiran Johor itu kini menggelegak. Bagaikan melecur, ia membakar dan akhirnya memusnahkan kesatuan dan setiakawan Mohd. Nazri Zainal Abidin (Jep), 26, Shahmira Muhamad (Shuib), 27, dan Mohd. Noor Murad (Mamat), 26.
Pembubaran Sepah secara tidak rasmi bermula pada Ogos lalu apabila setiap anggotanya boleh muncul solo sekiranya mendapat tawaran secara individu. Namun keretakan Sepah sampai ke tahap tidak dapat diselamatkan apabila Jep dan Shuib mengumumkan mereka hanya berdua. Mereka menjenamakan Sepah sebagai Sepahtu (sepatu).
“Saya ingatkan ketika di atas pentas final Raja Lawak musim ketiga saya ingin umumkan kami mahu berpecah begitu juga halnya ketika program Maharaja Lawak, tetapi tidak adil untuk peminat yang mengundi kami, jadi saya diamkan sahaja masalah kami.
“Kami sudah hilang sabar. Bukan sekali dua kali tetapi sudah tiga tahun saya beri peluang, ruang dan nasihat kepada Mamat untuk memberi komitmen pada kumpulan Sepah sehingga sampai satu tahap kami sudah tidak boleh buat apa-apa lagi. Jadi jalan penyelesaian terbaik adalah berpecah meskipun kami bertiga sedar ramai yang tidak mahu melihat kami berpecah,” bongkar Jep tentang masalah yang dihadapi Sepah selama ini.
Sayangkan reputasi dan mahu karier lawak tidak terus berkubur atau Sepah jadi bersepah-sepah, Jep dan Shuib mahu Sepah tanpa Mamat dikenali sebagai Sepahtu, lebih adil untuk Mamat walaupun mereka masih boleh bekerjasama dalam projek-projek terdekat, Superlawak FC dan Sepah The Movie.
Mereka hanya boleh bekerjasama dalam televisyen atau filem tetapi untuk menerima masuk semula Mamat, jawapannya tidak. Jep dan Shuib sudah berpatah arang berkerat rotan dengan gelagat Mamat.


SEPAHTU yang dianggotai Jep dan Shuib (kiri) akan meneruskan legasi kumpulan Sepah yang menjuarai program realiti Maharaja Lawak.

“Saya sudah berkahwin dan tidak lama lagi akan menjadi ayah, tanggungjawab saya semakin besar. Saya tidak mahu kerana terlalu asyik menjaga hal orang, itu tidak adil (buat keluarga saya). Kalau saya tidak ada duit, saya minta orang, mana ada orang nak bagi duit. Sekarang kami hanya mahu fokus pada kerja sahaja. Terima Mamat kembali, rasanya tidaklah,” ulas Shuib pula yang bakal menimang anak lelaki dalam masa terdekat.


Pengumuman Jep dan Shuib itu dibuat selepas majlis pelancaran album sulung nyanyian mereka yang diterbitkan oleh MW Entertainment milik Mawi dan Sheikh Qalam Records.
Pekung di dada sudah dibuka namun persoalannya, adakah benar Sepahtu itu benar-benar bebas daripada Sepah. Sebagai anggota yang disingkirkan, Mamat tetap berasakan dirinya sebagai teraniaya.
“Saya rasa Sepah masih wujud. Shuib akan bersama-sama dengan saya apabila membuat persembahan dan aktiviti melibatkan Sepah. Jika mereka (Jep dan Shuib) mengatakan saya bermasalah, saya rasa semua orang ada masalah. Saya tak nak komen lanjut dan tak kisah dengan apa yang orang nak kata,” kata Mamat yang turut terpalit kontroversi kisah cinta bersama Fida Gadis Melayu.
Tambah Mamat, dia berasa amat terkilan dengan kenyataan yang keluar dari mulut sahabat-sahabatnya. Tutup Mamat, sekalipun mahu berjaya, janganlah kejayaan itu datangnya daripada penat jerih orang lain.
Kosmo!

06 October 2011

Jep & Shuib Kini Sepahtu

Berita yang baru aku perolehi semalam semasa menghadiri Majlis Sidang Akhbar "SEPAHTU BIKIN ALBUM". Dengan  rasminya Pengumuman telah dibuat oleh bekas kumpulan Sepah iaitu Mohd Nadzri Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan nama Jep dan Shahmira Muhamad atau nama glamer beliau Shuib bahawa Kumpulan Sepah telah berpecah.
Akhirnya segala spekulasi selama ini mengenai Kumpulan Sepah yang terdahulu dianggotai oleh 3 orang ahli kini telah berpecah. Sidang akhbar semalam adalah untuk memberi makluman mengenai penubuhan sebuah lagi Kumpulan yang baru yang dianggotai oleh Shuib dan Jep yang digelar SEPAHTU dan juga pengumuman pembubaran kumpulan Sepah.

Kumpulan SEPAHTU bakal mengeluarkan Album ,setelah mereka memetrai perjanjian dengan MW Entertaiment Sdn Bhd dan Sheikh Qalam Records untuk menerbitkan Album Sulung mereka. Album ini bakal diedar dan dipromosikan oleh Universal Music Malaysia dan dijangka akan Siap pada penghujung tahun.

Antara Komposer dan penulis yang bakal memberi sentuhan pada Album ini adalah Datuk M.Nasir, Azmeer, Sheikh Qalam, Mawi dan juga Kumpulan Sepahtu sendiri. Genre untuk Album ini bakal mengetengahkan genre pelbagai rentak yang terdiri daripada Pop dan rock (mungkin ada genre lain bergantung kepada keadaan).
 
Satu pembaharuan yang pastinya dinanti-nantikan oleh peminat Kumpulan ini.Dengan kerjasama dari Syarikat MW Entertainment yang dimiliki oleh Mawi sudah tentu ia bakal melonjakkan nama Kumpulan Sepahtu (Sepah Two) ini.Jadi kepada para peminat seni tanah air nantikan kemunculan Album dari Kumpulan Sepahtu (Sepah Two) ini nanti.
Umum mengetahui yang Jepp sendiri baru-baru ini mengakui yang Mamat adalah punca perpecahan kumpulan Sepah. Maka dengan tertubuhnya kumpulan Sepahtu ini, diharap Jepp dan Shuib akan mampu memberikan yang terbaik tanpa gangguan daripada pihak lain.

Malah katanya kumpulan Sepahtu akan turut membuat album selain daripada tampil melawak. Itu satu peningkatan yang sangat bagus. Rasa-rasanya bolehkah gandingan Jepp dan Shuib mencapai taraf seperti Jozan? Apa pendapat anda?