09 October 2011

Sepahtu singkir Mamat

WALAUPUN Sepahtu menghibur tanpa Mamat, (kanan sekali), tiga anggota Sepah yang merupakan produk Raja Lawak itu masih boleh bekerjasama dalam filem Sepah The Movie yang akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

SEMASA mula mencuri perhatian dalam episod mingguan pertandingan Raja Lawak musim ketiga, Sepah awal-awal lagi dilihat sebagai pelawak berkumpulan yang mampu mengikut jejak dan mencipta fenomena seperti yang pernah dicipta kumpulan Senario. Itu antara komen-komen positif yang pernah keluar daripada mulut pengkritik tetap ketika itu, Fauziah Nawi. Syaratnya, Sepah harus mengekalkan momentum dan ikatan tiga sekawan yang telah mereka jalin.
Baru masuk tahun ketiga dan kini bergelar Maharaja Lawak pergolakan dalaman kumpulan yang dianggotai tiga anak kelahiran Johor itu kini menggelegak. Bagaikan melecur, ia membakar dan akhirnya memusnahkan kesatuan dan setiakawan Mohd. Nazri Zainal Abidin (Jep), 26, Shahmira Muhamad (Shuib), 27, dan Mohd. Noor Murad (Mamat), 26.
Pembubaran Sepah secara tidak rasmi bermula pada Ogos lalu apabila setiap anggotanya boleh muncul solo sekiranya mendapat tawaran secara individu. Namun keretakan Sepah sampai ke tahap tidak dapat diselamatkan apabila Jep dan Shuib mengumumkan mereka hanya berdua. Mereka menjenamakan Sepah sebagai Sepahtu (sepatu).
“Saya ingatkan ketika di atas pentas final Raja Lawak musim ketiga saya ingin umumkan kami mahu berpecah begitu juga halnya ketika program Maharaja Lawak, tetapi tidak adil untuk peminat yang mengundi kami, jadi saya diamkan sahaja masalah kami.
“Kami sudah hilang sabar. Bukan sekali dua kali tetapi sudah tiga tahun saya beri peluang, ruang dan nasihat kepada Mamat untuk memberi komitmen pada kumpulan Sepah sehingga sampai satu tahap kami sudah tidak boleh buat apa-apa lagi. Jadi jalan penyelesaian terbaik adalah berpecah meskipun kami bertiga sedar ramai yang tidak mahu melihat kami berpecah,” bongkar Jep tentang masalah yang dihadapi Sepah selama ini.
Sayangkan reputasi dan mahu karier lawak tidak terus berkubur atau Sepah jadi bersepah-sepah, Jep dan Shuib mahu Sepah tanpa Mamat dikenali sebagai Sepahtu, lebih adil untuk Mamat walaupun mereka masih boleh bekerjasama dalam projek-projek terdekat, Superlawak FC dan Sepah The Movie.
Mereka hanya boleh bekerjasama dalam televisyen atau filem tetapi untuk menerima masuk semula Mamat, jawapannya tidak. Jep dan Shuib sudah berpatah arang berkerat rotan dengan gelagat Mamat.


SEPAHTU yang dianggotai Jep dan Shuib (kiri) akan meneruskan legasi kumpulan Sepah yang menjuarai program realiti Maharaja Lawak.

“Saya sudah berkahwin dan tidak lama lagi akan menjadi ayah, tanggungjawab saya semakin besar. Saya tidak mahu kerana terlalu asyik menjaga hal orang, itu tidak adil (buat keluarga saya). Kalau saya tidak ada duit, saya minta orang, mana ada orang nak bagi duit. Sekarang kami hanya mahu fokus pada kerja sahaja. Terima Mamat kembali, rasanya tidaklah,” ulas Shuib pula yang bakal menimang anak lelaki dalam masa terdekat.


Pengumuman Jep dan Shuib itu dibuat selepas majlis pelancaran album sulung nyanyian mereka yang diterbitkan oleh MW Entertainment milik Mawi dan Sheikh Qalam Records.
Pekung di dada sudah dibuka namun persoalannya, adakah benar Sepahtu itu benar-benar bebas daripada Sepah. Sebagai anggota yang disingkirkan, Mamat tetap berasakan dirinya sebagai teraniaya.
“Saya rasa Sepah masih wujud. Shuib akan bersama-sama dengan saya apabila membuat persembahan dan aktiviti melibatkan Sepah. Jika mereka (Jep dan Shuib) mengatakan saya bermasalah, saya rasa semua orang ada masalah. Saya tak nak komen lanjut dan tak kisah dengan apa yang orang nak kata,” kata Mamat yang turut terpalit kontroversi kisah cinta bersama Fida Gadis Melayu.
Tambah Mamat, dia berasa amat terkilan dengan kenyataan yang keluar dari mulut sahabat-sahabatnya. Tutup Mamat, sekalipun mahu berjaya, janganlah kejayaan itu datangnya daripada penat jerih orang lain.
Kosmo!

No comments:

Post a Comment