Kumpulan Sepah yang dianggotai Jep (kiri), Shuib (tengah) dan Mamat jalin kerjasama terakhir menggunakan jenama kumpulan itu dalam filem Sepah The Movie.
Kumpulan pelawak Sepah mengakui faktor perpecahan kumpulan itu langsung tidak menjejaskan tumpuan dan keserasian mereka untuk bekerjasama dalam penggambaran filem terbaru, Sepah The Movie, baru-baru ini.
Salah seorang anggotanya Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jep) menyifatkan keakraban mereka yang berlaku secara telus dan semula jadi itu seolah menggambarkan mereka masih bersama seperti dulu.
“Filem ini adalah impian kami yang sudah dua tahun ditunggu. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kami berpecah bukan kerana bergaduh tetapi untuk membawa haluan kerjaya masing-masing.
“Sebab itu kami masih akrab dan boleh mendapatkan keserasian itu secara spontan dan semula jadi dan ia bukannya dibuat-buat,” katanya.
Shahmira Muhamad (Shuib) pula berkata, kerinduan untuk bekerjasama sejak kali terakhir terlibat dalam set penggambaran kira-kira lapan bulan lalu terubat sepanjang penggambaran filem komedi aksi itu.
“Bayangkan, memang sudah lama kami tidak bekerjasama dan berlakon bersama, kali terakhir pun kira-kira lapan yang lalu.
“Sepanjang berkampung di Johor selama lebih 20 hari, kami dapat mengubat kerinduan masing-masing kerana kami tidak pernah bergaduh atau bermasam muka,” katanya.
Selepas pembubaran kumpulan yang menjuarai pertandingan Maharaja Lawak itu pada Ogos lalu, Jep dan Shuib bergabung menubuhkan kumpulan baru yang dinamakan Sepahtu tanpa Mamat.
Pasangan itu kini sedang dalam persiapan untuk menghasilkan album sulung mereka iaitu Sepahtu Bikin Album.
Manakala Mohd Noor Murad (Mamat) pula meneruskan kerjaya seninya secara solo.
No comments:
Post a Comment