Showing posts with label erra fazira. Show all posts
Showing posts with label erra fazira. Show all posts

16 October 2011

Emelda bermentorkan suami






























OBSES dengan kecantikan dan proses memanjakan diri, isteri Adlin ini membuka sebuah spa dan butik seiring minatnya.

SERING muncul di kaca televisyen terutamanya untuk naskhah seram, Emelda Rosmila kini mahu berubah angin dan mencabar dirinya sendiri.


Bukan bereksperimen di pentas perdana apabila terlibat dalam teater Badai Semalam yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada 11 hingga 20 November kelak, sebaliknya Emelda terlebih dahulu merasa ruang teater muzikal P. Ramlee dengan membawakan watak Azizah.
“Dalam teater Badai Semalam yang diadaptasi melalui novel Khadijah Hashim ini, saya membawakan watak Mahani yang kepoh dan suka menyibuk hal dalam kain orang. Dia juga sakit hati dengan Mazni lakonan Erra Fazira kerana mahu mengahwinkan anaknya dengan Karim (Aaron Aziz). Namun dia seorang yang bergaya dan memang berangan menjadi orang kaya,” ujar Emelda yang ditemui di sidang media teater Badai Semalam.
Bakal sibuk dengan latihan dan pementasan teater yang ditunggu ramai ini, isteri kepada aktor Adlin Aman Ramlee ini juga terlibat dengan penggambaran drama bersiri 14 episod bertajuk Tihany yang akan disiarkan di saluran TV9.
“Saya juga baru selesai dengan penggambaran filem Azazil arahan Khabir Bhatia dan membawakan watak Melor,” ujarnya yang kini sangat fokus mengendalikan butik dan spa miliknya.
CABARAN TEATER
Saya melihat teater sebagai salah satu cabang seni dan sekarang ialah masa yang terbaik untuk saya menceburinya. Bila berhadapan dengan penonton secara langsung, tidak ada ruang untuk buat kesilapan dan di situlah profesional lakonan diuji. Kalau silap, memang nampak dan ini sebenarnya memberi saya sedikit ketakutan. Gemuruh saya berlipat kali ganda ditambah pula untuk Badai Semalam, saya berlakon dengan barisan aktor dan aktres yang berpengalaman. Namun saya gembira kerana dapat bertukar angin.















EMELDA membawakan watak Mahani dalam teater Badai Semalam.


SUAMI JADI MENTOR

Pengalaman dalam teater terdahulu memberi saya pengalaman dan banyak yang saya pelajari. Teater muzikal P. Ramlee dahulu hadir dengan set dan bajet yang besar serta bertaraf antarabangsa. Itu sebuah pembelajaran yang berguna. Selain itu, saya sangat bertuah kerana suami saya merupakan seorang pelakon dan pengarah yang sangat berpengalaman. Itu kelebihan yang saya dapat. Adlin menyuruh saya keluar daripada zon selesa dan keluarkan bakat yang ada.
ADA MALU-MALU
Sejujurnya saya ada sikap pemalu dan sentiasa berasa kecil dibandingkan pelakon lain. Ini merupakan satu masalah yang perlu saya atasi. Saya perlu berfikir dengan skala besar dan melupuskan rasa malu saya. Mungkin kelak ketika sudah di sesi latihan teater nanti, saya akan dapat meningkatkan tahap keyakinan saya.
OBSES BAJU DAN SUBANG
Saya memang obses dengan baju dan subang. Pantang nampak mesti beli. Kerana obses terhadap baju maka saya sudah membuka sebuah butik dengan nama Suka Suka di Axis Atrium. Juga kerana sukakan rawatan dan memanjakan diri saya turut membuka sebuah spa di Plaza Damas. Tetapi spa yang dinamakan Raine itu masih dalam peringkat ubah suai.
POSITIF PRODUK HANTU
Industri lakonan kita ini boleh dikatakan mengikut musim. Ada musim komedi, aksi dan kini musim filem atau drama hantu. Melihat secara positif, kita perlu terima seadanya kerana industri kita kecil. Ini adalah satu satu proses kreatif dan perlu mendapat sokongan. Kalau ia menakutkan kanak-kanak, ibu bapa perlu ada untuk mengawal anak-anak mereka.
Kosmo!

10 September 2011

Pertama kali raya sebagai selebriti


BAKAT tiga wanita ini bukan calang-calang. Mereka disatukan selepas terpilih oleh mentor masing-masing untuk program realiti TV, Mentor musim kelima.

Baik Salma yang dipilih mentornya, Erra Fazira mahupun Shiha (mentor, Datuk Sharifah Aini) serta Iqa (mentor, Edry Abdul Halim) masing-masing mempunyai cerita raya berbeza. Biarpun berpaksikan cerita raya berbeza, namun ketiga-tiga penyanyi berbakat ini mempunyai satu persamaan iaitu dapat merasai nikmat hari raya sebagai selebriti buat pertama kali pada tahun ini.

Ditemui selepas menjalani rakaman Mentor Raya di Sri Pentas, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini, mereka disatukan untuk berkongsi rasa, pengalaman dan aktiviti sepanjang Syawal ini buat tatapan peminat.

Salma bergerak sendiri

Kehidupan Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis, 21, selepas dinobatkan sebagai juara Mentor 5 nyata berubah 100 peratus. Sudah menjadi rezeki buat wanita kelahiran Tawau, Sabah itu berkat bakat dan suara merdunya itu.

"Banyak perubahan sudah saya lalui selepas bergelar juara Mentor 5. Dulu tak dapat bantu keluarga tetapi sekarang ini sudah boleh bantu, lebih-lebih lagi sempena lebaran kali ini," ujarnya.

Berkongsi cerita, kata Salma, sebelum menjadi artis dia hanya mampu meraih bayaran kira-kira RM50 untuk satu-satu persembahan, khususnya di majlis-majlis perkahwinan. Namun, kini dia sudah boleh menarik nafas lega.
KETIGA-TIGA bintang kelahiran Mentor 5 ini masing-masing mengakui telah mengalami perubahan besar dalam rutin kehidupan mereka.
Namun, ada kepayahan dalam keseronokan yang diraihnya itu. Walaupun bergelar juara, namun tiada pula syarikat-syarikat rakaman yang sudi menyunting dirinya untuk bergelar penyanyi rakaman. Pada kebiasaannya, juara Mentor akan bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bones, namun lain pula nasib Salma apabila Monkey Bones sebaliknya memilih naib juara Mentor 5, Shiha untuk menjadi penyanyi mereka.

"Saya akui bergelar juara bukan satu jaminan besar untuk disunting oleh mana-mana syarikat rakaman. 

Mungkin bukan rezeki atau belum rezeki saya," tuturnya yang kini bergerak sendiri dalam karier nyanyian dan bersyukur kerana Erra banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar buatnya.

Tidak malu untuk mengakui sejak bergelar juara Mentor 5 pada 29 Mei tahun ini, dia hanya menerima lima jemputan menyanyi pada persembahan berskala besar kata Salma: "Sejak bergelar juara Mentor 5 sejak 29 Mei lepas, saya menerima lima jemputan persembahan dengan bayaran yang lumayan."

Menyentuh tentang raya kali ini pula, ujar ibu tunggal kepada seorang anak perempuan itu, dia akan berkongsi wang kemenangan sebanyak RM100,000 bersama para peminatnya dengan mengadakan rumah terbuka.

"Buat pertama kalinya saya buat rumah terbuka untuk peminat-peminat di Tawau, Sabah pada hari raya ketujuh lalu. Raya tahun ini juga merupakan tahun pertama saya beri duit raya kepada kanak-kanak," ujarnya yang turut menyediakan wang untuk memperbaiki rumah ibunya di Tawau.

Salma juga teruja menyediakan kelengkapan raya buat anak kesayangannya yang baru berusia empat tahun bernama Putri Nurul Huda. Malah, Salma juga memperuntukkan wang kemenangannya untuk simpanan masa depan Putri serta pelaburan untuk single terbaharunya nanti.

Shiha rakam single sulung

Ternyata rezeki lebih memihak kepasa Shiha, 24, walaupun protege Datuk Sharifah Aini itu hanya bergelar naib juara Mentor 5. Selepas disunting Monkey Bones, pemilik nama Nurshiha Muhd. Zikir itu bakal merakamkan single sulungnya selepas raya.

"Alhamdulillah, rezeki saya murah selepas tamat Mentor 5. Walaupun Mentor 5 sudah melabuhkan tirai, hubungan saya dan Umi (panggilannya kepada Sharifah Aini) masih tidak putus. Saya selalu menghubunginya untuk meminta pendapat dalam merencanakan perjalanan karier saya," ujar gadis kelahiran Kuala Lumpur itu.

Walaupun sudah bergelar selebriti, Shiha tetap kekal seperti dahulu dengan menyambut Aidilfitri secara sederhana.

"Raya saya pada tahun ini, tidak ada beza disambut sederhana selepas arwah bapa sudah pulang ke rahmatullah pada tahun 2008," ujarnya yang merancang untuk membuat haji buat arwah bapanya, Muhd. Zikir Abd. Hamid.

Katanya lagi, raya pertamanya kali ini cuma disambut di Kuala Lumpur dan kemudiannya dia pulang ke kampungnya di Kuala Batas, Selangor.
DARI kiri, Shiha, Salma dan Iqa terus mengorak langkah mengharungi dunia seni tanah air berbekalkan bakat yang dimiliki masing-masing usai pendedahan yang diraih mereka menerusi Mentor 5.
Menggemari masakan rendang dan ketupat sebagai juadah wajib di hari raya, Shiha juga memberitahu dia menyukai keenakan kuih tradisional makmor dan samprit.

Iqa buat rumah terbuka

Iqa turut mengakui sambutan raya buat dirinya agak meriah pada tahun ini. Selain dapat membantu menyediakan segala kelengkapan raya, dia juga kini boleh menitipkan duit raya buat ahli keluarganya.

"Untuk diri Iqa sahaja, sebanyak tiga pasang baju raya disediakan," akuinya.

Tambahnya: "Saya juga buat rumah terbuka pada hari raya ketujuh lalu di Bukit Beruntung, Selangor," ujarnya yang menggemari hidangan rendang tok, lontong dan ketupat palas.

Menyentuh tentang nostalgia Ramadan dan Aidilfitri, kata Iqa, ketika dia masih kanak-kanak, setiap kali tiba bulan Ramadan, dia akan pastikan dirinya berjaya membaca kitab al-Quran sehingga habis 30 juzuk. Semuanya gara-gara mahukan habuan daripada ibunya.

"Mak buat syarat, jika saya berjaya baca satu juzuk al-Quran, saya akan dapat RM10. Jadi saya begitu bersemangat baca al-Quran sampai 30 juzuk," ujarnya yang akan membaca al-Quran sebagai rutin setiap kali menjelang Ramadan.

Menyentuh tentang karier seninya, pemilik nama sebenar Nursyafiqah Nasratullah Mohd. Nor, 25, dia tidak menghadapi masalah. Selepas sahaja tamat Mentor 5, dia terus disambar KRU Records iaitu syarikat rakaman mentornya, Edry.

"Saya ikat kontrak selama setahun dengan KRU. Alhamdulillah, semua program anjuran KRU saya terlibat," katanya.

Sumber : Kosmo!

03 September 2011

Antara selesa dan sederhana


MENGUMPULKAN empat figura yang cukup tersohor dan punya integriti tersendiri untuk sesi fotografi sempena Aidilfitri ini membawa aura kasih sayang yang tinggi dalam setiap gerak dan bicara mereka.

Sofea Jane, Datin Paduka Umie Aida, Vanidah Imran dan Erra Fazira, sengaja disatukan bukan sekadar mahu berkongsi gemilang Syawal, tetapi mahu menggali kisah kehidupan dan persahabatan yang terjalin umpama adik-beradik. 

Senda tawa, nasihat, bertukar persepsi dan saling berkongsi ideologi yang sama membuat fotografi yang berlangsung di kediaman Umie Aida pada hari itu penuh dengan suasana harmoni. 

“Saya tidak punya ramai kawan, mereka inilah kawan rapat saya. Pada saya seorang kawan yang baik adalah kawan yang menyokong antara satu sama lain dan boleh dipercayai,” ujar Erra tentang jalinan persahabatan mereka. Berbeza dengan Umie, dia mengaku mempunyai ramai kawan, namun katanya: “Saya akan mula menjauhkan diri daripada kawan saya apabila mereka mula menjadi hipokrit. Ini kerana antara kelompok kami berempat, kami akan melontar pandangan biar ia menyakitkan hati secara depan, bukan bercakap di belakang. Bagi Vanidah, menariknya hubungan mereka adalah kerana suami masing-masing juga akrab antara satu sama lain.

Mentafsirkan mereka kini berada dalam zon selesa, masing-masing lebih senang memilih predikat mereka menjalani sebuah kehidupan yang sederhana tetapi kaya dengan seribu rahmat yang hadir selepas penat lelah sejak zaman remaja berhempas-pulas mencapai kedudukan kini.

Habuan Erra Fazira
ERRA FAZIRA, namanya harum satu Malaysia sejak lebih 10 tahun lalu. Melihat perjalanan dia sebagai anak seni, boleh dikategori dia sebagai wanita yang cukup berjaya. Malah kini barangkali pada usia melebihi 30 tahun dengan keseimbangan hidup, boleh dikatakan dia sukses menempatkan dirinya dalam kelas tersendiri.

Lama isteri kepada Engku Emran dan ibu Aleesya ini terdiam apabila disogok dia kini sedang duduk dalam zon selesa. Namun kemudian Erra membalas definisi tersebut dengan berkata: “Saya seorang wanita yang berdikari. Sejak usia 18 tahun saya sudah giat bekerja termasuk menjual kerepek. Kemudian, saya masuk ke lapangan seni.

“Sebenarnya saya tidak pernah merancang tentang apa yang saya lakukan, tapi saya jalani pekerjaan saya dengan ikhlas dan jujur. Orang yang banyak mengajar saya tentang merancang dalam dunia ini adalah Rosyam Nor. Mungkin kerana saya jujur dan bekerja kuat, pada detik ini saya sudah boleh berada dalam zon selesa. Tetapi saya adalah orang yang sangat suka bekerja dan kalau tidak bekerja saya akan sakit.”

Bagaimanapun dia tidak menafikan, hasil susah payah dahulu membuat dia kini meraih hasilnya dan menjadi sedikit selektif agar dia punya ruang untuk diri sendiri dan berkumpul dengan teman untuk berkongsi dilema dan aktiviti pada masa senggang.

Bercerita tentang sambutan Aidilfitri, Erra yang terbabit dengan dua telemovie raya termasuk Pontianak Beraya di Kampung Batu memberitahu dia menikmati Syawal dengan cara yang cukup sederhana. Malah kata Erra, sambutan rayanya jauh daripada kehidupan bak selebriti.

Dia yang berlepas ke Milan pada hari raya kelima selama seminggu untuk mencari fabrik untuk himpunan koleksi miliknya memberitahu: “Sambutan dan gaya raya saya sangat santai. Tiada yang berlebihan termasuk juadah yang masih lagi merupakan ketupat, lemang dan rendang. Saya juga senang memakai baju kurung dari jenis kain kapas berbanding baju yang glamor.”

Rezeki anak Vanidah
SATU hal yang selalu membuat aktres Vanidah Imran bersyukur tentang kehidupannya adalah dia tidak pernah mengabaikan anaknya walau sibuk berlakon. Bersama suami yang juga aktor, pengarah dan pemuzik, Rashidi Ishak, dia bergilir menjaga dan mendidik dua buah cinta mereka, Mikhail dan Maryam. Biar pernah sepi selama dua tahun setengah untuk memberi fokus terhadap anak-anaknya, rezeki Vanidah tetap murah dan sempat diiktiraf sebagai Aktres Terbaik dalam Festival Filem Malaysia melalui lakonan daripada filem Red Kebaya.
 
“Itu yang selalu membuat saya bersyukur. Saya kira inilah yang dikatakan zon selesa buat saya apabila saya tidak mengabaikan anak-anak, dalam masa yang sama saya melakukan hal yang saya cinta iaitu berlakon,” katanya yang juga menganggap zon selesa dirinya apabila di dalam rumah tangga, suami tidak pernah menghalang hobi dan memberi kepercayaan antara satu sama lain.

Kini Vanidah yang jarang berlakon juga selesa dengan rutin baharunya sebagai hos rancangan Nona dan pelajar. Baginya, segala yang dihadapi kini sudah tertulis dan dia yakin dengan jalan yang ditentukan Allah S.W.T buatnya.

Berkongsi sedikit tentang sambutan Syawal, aktres ini hanya menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur dan sentiasa pulang ke kediaman ibunya untuk menikmati juadah raya kegemaran mereka, kurma kambing.

Famili tunjang Sofea Jane
CUKUP melekat dengan sosok Zaleha, watak yang dimainkan dalam filem Perempuan, Isteri Dan ... lebih 10 tahun lalu, Sofea hanya ketawa besar saat diberitahu dia masih unggul dalam kelasnya yang tersendiri. Pembawakan diri dan kredibiliti lakonannya membuat dia disegani. Ironi, wanita ini adalah seorang yang cukup peramah dan mudah didekati, jika tahu memetik ‘suis’ yang betul untuk mengajak dia bersembang.
 
Ujarnya, dia sangat konfiden, selesa dan gembira dengan kehidupannya sekarang. Sokongan keluarga dan perjalanan karier yang masih berada dalam termometer panas menjadikan dia sangat menyenangi kehidupannya kini.

“Pada masa kini, saya hanya mahu pastikan kehidupan mendatang anak-anak saya baik. Saya sangat bertuah kerana mempunyai keluarga yang amat menyokong apa yang saya lakukan,” katanya yang suka untuk berfikiran positif dalam semua segi.

Ditanya tentang karier, Sofea yang bakal muncul dengan filem Hanyut memberitahu dia kini boleh menjadi selektif terhadap apa yang dia mahukan. Paling penting, dia tidak akan menolak sesuatu tawaran itu apabila watak yang ditawarkan tidak klise dan memberi mesej atau impak yang cukup berkesan.

“Saya memegang filosofi suami setiap kali ingin menerima tawaran iaitu orang akan suka mengingat perkara yang buruk tentang kita, maka pastikan setiap kali melakukan sesuatu, ia harus baik dan memberi impak,” katanya yang gemar menjalani penggambaran di kawasan pedalaman kerana dapat bergaul dengan penduduk setempat dan mengingatkan diri tentang asal usul dan kesederhanaan hidup.

Berkongsi tentang sambutan Syawalnya pada tahun ini, aktres jelita ini memberitahu mereka sekeluarga bercuti ke Pulau Pinang selepas meraikan 1 Syawal di kediaman mereka di Kuala Lumpur. Signifikan memilih negeri yang terkenal dengan jolokan Pulau Mutiara itu pula kata Sofea kerana dia dan anak-anak begitu mengemari arkitektur bangunan yang belum tercemar sehingga berada dalam senarai Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kesederhaan Umie Aida
SIBUK sepanjang Ramadan dengan penggambaran filem terbaharunya, Azazil, Datin Paduka Umie Aida enggan mendedahkan isi filem tersebut. Cukup katanya dia terbabit dengan filem tersebut untuk melepaskan gian kerana watak yang ditawarkan terlalu rugi untuk dilepaskan.

Justeru saat ditebak dia kini berada dalam zon selesa selepas bernikah dengan Datuk Paduka Khairuddin, Umie menjawab dia dan suami hidup dalam keadaan sederhana biar mampu bermewah dengan kesenangan yang dimiliki.

“Saya juga masih suka bekerja dan mencari duit sendiri. Namun saya akui, jika waktu solo dulu saya bekerja mencari duit untuk anak-anak, kini tanggungjawab tersebut dipikul suami, tetapi saya memang jenis yang suka bekerja dan sayangkan pekerjaan saya, jadi saya akan terus melakukannya kerana suami tidak pernah melarang,” katanya yang mendefinisikan zon selesa terbaik buatnya kini adalah mempunyai kualiti masa yang banyak dengan anak-anak berbanding dahulu.

Menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur pada hari raya pertama dan pulang ke kampung suaminya di Pulau Pinang selama empat hari, tahun ini kata Umie, dia sudah tidak begitu kekok berhari raya bersama mertua dan sanak saudara sebelah suaminya kerana sudah mempunyai pengalaman pada tahun lalu.

Sementara itu bercakap tentang satu kecintaannya terhadap sukan, Umie memberi kategori terhadap diri sendiri sebagai seorang yang obses terhadap kesihatan dan ekstrem terhadap sukan.

“Apabila saya berpeluh, itu adalah satu nikmat bagi diri saya,” katanya yang padat dengan jadual bersukan termasuk bermain badminton, kelas kecergasan dan memanjat.

Sumber : Kosmo!