|
MENGUMPULKAN empat figura yang cukup tersohor dan punya integriti
tersendiri untuk sesi fotografi sempena Aidilfitri ini membawa aura
kasih sayang yang tinggi dalam setiap gerak dan bicara mereka.
Sofea Jane, Datin Paduka Umie Aida, Vanidah Imran dan Erra Fazira,
sengaja disatukan bukan sekadar mahu berkongsi gemilang Syawal, tetapi
mahu menggali kisah kehidupan dan persahabatan yang terjalin umpama
adik-beradik.
Senda tawa, nasihat, bertukar persepsi dan saling berkongsi ideologi
yang sama membuat fotografi yang berlangsung di kediaman Umie Aida pada
hari itu penuh dengan suasana harmoni.
“Saya tidak punya ramai kawan, mereka inilah kawan rapat saya. Pada
saya seorang kawan yang baik adalah kawan yang menyokong antara satu
sama lain dan boleh dipercayai,” ujar Erra tentang jalinan persahabatan
mereka. Berbeza dengan Umie, dia mengaku mempunyai ramai kawan, namun
katanya: “Saya akan mula menjauhkan diri daripada kawan saya apabila
mereka mula menjadi hipokrit. Ini kerana antara kelompok kami berempat,
kami akan melontar pandangan biar ia menyakitkan hati secara depan,
bukan bercakap di belakang. Bagi Vanidah, menariknya hubungan mereka
adalah kerana suami masing-masing juga akrab antara satu sama lain.
Mentafsirkan mereka kini berada dalam zon selesa, masing-masing lebih
senang memilih predikat mereka menjalani sebuah kehidupan yang
sederhana tetapi kaya dengan seribu rahmat yang hadir selepas penat
lelah sejak zaman remaja berhempas-pulas mencapai kedudukan kini.
Habuan Erra Fazira
|
ERRA FAZIRA, namanya harum satu Malaysia sejak lebih 10 tahun lalu.
Melihat perjalanan dia sebagai anak seni, boleh dikategori dia sebagai
wanita yang cukup berjaya. Malah kini barangkali pada usia melebihi 30
tahun dengan keseimbangan hidup, boleh dikatakan dia sukses menempatkan
dirinya dalam kelas tersendiri.
Lama isteri kepada Engku Emran dan ibu Aleesya ini terdiam apabila
disogok dia kini sedang duduk dalam zon selesa. Namun kemudian Erra
membalas definisi tersebut dengan berkata: “Saya seorang wanita yang
berdikari. Sejak usia 18 tahun saya sudah giat bekerja termasuk menjual
kerepek. Kemudian, saya masuk ke lapangan seni.
“Sebenarnya saya tidak pernah merancang tentang apa yang saya
lakukan, tapi saya jalani pekerjaan saya dengan ikhlas dan jujur. Orang
yang banyak mengajar saya tentang merancang dalam dunia ini adalah
Rosyam Nor. Mungkin kerana saya jujur dan bekerja kuat, pada detik ini
saya sudah boleh berada dalam zon selesa. Tetapi saya adalah orang yang
sangat suka bekerja dan kalau tidak bekerja saya akan sakit.”
Bagaimanapun dia tidak menafikan, hasil susah payah dahulu membuat
dia kini meraih hasilnya dan menjadi sedikit selektif agar dia punya
ruang untuk diri sendiri dan berkumpul dengan teman untuk berkongsi
dilema dan aktiviti pada masa senggang.
Bercerita tentang sambutan Aidilfitri, Erra yang terbabit dengan dua
telemovie raya termasuk Pontianak Beraya di Kampung Batu memberitahu dia
menikmati Syawal dengan cara yang cukup sederhana. Malah kata Erra,
sambutan rayanya jauh daripada kehidupan bak selebriti.
Dia yang berlepas ke Milan pada hari raya kelima selama seminggu
untuk mencari fabrik untuk himpunan koleksi miliknya memberitahu:
“Sambutan dan gaya raya saya sangat santai. Tiada yang berlebihan
termasuk juadah yang masih lagi merupakan ketupat, lemang dan rendang.
Saya juga senang memakai baju kurung dari jenis kain kapas berbanding
baju yang glamor.”
Rezeki anak Vanidah
|
SATU hal yang selalu membuat aktres Vanidah Imran bersyukur tentang
kehidupannya adalah dia tidak pernah mengabaikan anaknya walau sibuk
berlakon. Bersama suami yang juga aktor, pengarah dan pemuzik, Rashidi
Ishak, dia bergilir menjaga dan mendidik dua buah cinta mereka, Mikhail
dan Maryam. Biar pernah sepi selama dua tahun setengah untuk memberi
fokus terhadap anak-anaknya, rezeki Vanidah tetap murah dan sempat
diiktiraf sebagai Aktres Terbaik dalam Festival Filem Malaysia melalui
lakonan daripada filem Red Kebaya.
“Itu yang selalu membuat saya bersyukur. Saya kira inilah yang
dikatakan zon selesa buat saya apabila saya tidak mengabaikan anak-anak,
dalam masa yang sama saya melakukan hal yang saya cinta iaitu
berlakon,” katanya yang juga menganggap zon selesa dirinya apabila di
dalam rumah tangga, suami tidak pernah menghalang hobi dan memberi
kepercayaan antara satu sama lain.
Kini Vanidah yang jarang berlakon juga selesa dengan rutin baharunya
sebagai hos rancangan Nona dan pelajar. Baginya, segala yang dihadapi
kini sudah tertulis dan dia yakin dengan jalan yang ditentukan Allah
S.W.T buatnya.
Berkongsi sedikit tentang sambutan Syawal, aktres ini hanya menyambut
Aidilfitri di Kuala Lumpur dan sentiasa pulang ke kediaman ibunya untuk
menikmati juadah raya kegemaran mereka, kurma kambing.
Famili tunjang Sofea Jane
|
CUKUP melekat dengan sosok Zaleha, watak yang dimainkan dalam filem
Perempuan, Isteri Dan ... lebih 10 tahun lalu, Sofea hanya ketawa besar
saat diberitahu dia masih unggul dalam kelasnya yang tersendiri.
Pembawakan diri dan kredibiliti lakonannya membuat dia disegani. Ironi,
wanita ini adalah seorang yang cukup peramah dan mudah didekati, jika
tahu memetik ‘suis’ yang betul untuk mengajak dia bersembang.
Ujarnya, dia sangat konfiden, selesa dan gembira dengan kehidupannya
sekarang. Sokongan keluarga dan perjalanan karier yang masih berada
dalam termometer panas menjadikan dia sangat menyenangi kehidupannya
kini.
“Pada masa kini, saya hanya mahu pastikan kehidupan mendatang
anak-anak saya baik. Saya sangat bertuah kerana mempunyai keluarga yang
amat menyokong apa yang saya lakukan,” katanya yang suka untuk
berfikiran positif dalam semua segi.
Ditanya tentang karier, Sofea yang bakal muncul dengan filem Hanyut
memberitahu dia kini boleh menjadi selektif terhadap apa yang dia
mahukan. Paling penting, dia tidak akan menolak sesuatu tawaran itu
apabila watak yang ditawarkan tidak klise dan memberi mesej atau impak
yang cukup berkesan.
“Saya memegang filosofi suami setiap kali ingin menerima tawaran
iaitu orang akan suka mengingat perkara yang buruk tentang kita, maka
pastikan setiap kali melakukan sesuatu, ia harus baik dan memberi
impak,” katanya yang gemar menjalani penggambaran di kawasan pedalaman
kerana dapat bergaul dengan penduduk setempat dan mengingatkan diri
tentang asal usul dan kesederhanaan hidup.
Berkongsi tentang sambutan Syawalnya pada tahun ini, aktres jelita
ini memberitahu mereka sekeluarga bercuti ke Pulau Pinang selepas
meraikan 1 Syawal di kediaman mereka di Kuala Lumpur. Signifikan memilih
negeri yang terkenal dengan jolokan Pulau Mutiara itu pula kata Sofea
kerana dia dan anak-anak begitu mengemari arkitektur bangunan yang belum
tercemar sehingga berada dalam senarai Pertubuhan Pendidikan Saintifik
dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Kesederhaan Umie Aida
|
SIBUK sepanjang Ramadan dengan penggambaran filem terbaharunya,
Azazil, Datin Paduka Umie Aida enggan mendedahkan isi filem tersebut.
Cukup katanya dia terbabit dengan filem tersebut untuk melepaskan gian
kerana watak yang ditawarkan terlalu rugi untuk dilepaskan.
Justeru saat ditebak dia kini berada dalam zon selesa selepas
bernikah dengan Datuk Paduka Khairuddin, Umie menjawab dia dan suami
hidup dalam keadaan sederhana biar mampu bermewah dengan kesenangan yang
dimiliki.
“Saya juga masih suka bekerja dan mencari duit sendiri. Namun saya
akui, jika waktu solo dulu saya bekerja mencari duit untuk anak-anak,
kini tanggungjawab tersebut dipikul suami, tetapi saya memang jenis yang
suka bekerja dan sayangkan pekerjaan saya, jadi saya akan terus
melakukannya kerana suami tidak pernah melarang,” katanya yang
mendefinisikan zon selesa terbaik buatnya kini adalah mempunyai kualiti
masa yang banyak dengan anak-anak berbanding dahulu.
Menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur pada hari raya pertama dan
pulang ke kampung suaminya di Pulau Pinang selama empat hari, tahun ini
kata Umie, dia sudah tidak begitu kekok berhari raya bersama mertua dan
sanak saudara sebelah suaminya kerana sudah mempunyai pengalaman pada
tahun lalu.
Sementara itu bercakap tentang satu kecintaannya terhadap sukan, Umie
memberi kategori terhadap diri sendiri sebagai seorang yang obses
terhadap kesihatan dan ekstrem terhadap sukan.
“Apabila saya berpeluh, itu adalah satu nikmat bagi diri saya,”
katanya yang padat dengan jadual bersukan termasuk bermain badminton,
kelas kecergasan dan memanjat.
Sumber : Kosmo!
No comments:
Post a Comment