10 September 2011

Pertama kali raya sebagai selebriti


BAKAT tiga wanita ini bukan calang-calang. Mereka disatukan selepas terpilih oleh mentor masing-masing untuk program realiti TV, Mentor musim kelima.

Baik Salma yang dipilih mentornya, Erra Fazira mahupun Shiha (mentor, Datuk Sharifah Aini) serta Iqa (mentor, Edry Abdul Halim) masing-masing mempunyai cerita raya berbeza. Biarpun berpaksikan cerita raya berbeza, namun ketiga-tiga penyanyi berbakat ini mempunyai satu persamaan iaitu dapat merasai nikmat hari raya sebagai selebriti buat pertama kali pada tahun ini.

Ditemui selepas menjalani rakaman Mentor Raya di Sri Pentas, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini, mereka disatukan untuk berkongsi rasa, pengalaman dan aktiviti sepanjang Syawal ini buat tatapan peminat.

Salma bergerak sendiri

Kehidupan Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Asis, 21, selepas dinobatkan sebagai juara Mentor 5 nyata berubah 100 peratus. Sudah menjadi rezeki buat wanita kelahiran Tawau, Sabah itu berkat bakat dan suara merdunya itu.

"Banyak perubahan sudah saya lalui selepas bergelar juara Mentor 5. Dulu tak dapat bantu keluarga tetapi sekarang ini sudah boleh bantu, lebih-lebih lagi sempena lebaran kali ini," ujarnya.

Berkongsi cerita, kata Salma, sebelum menjadi artis dia hanya mampu meraih bayaran kira-kira RM50 untuk satu-satu persembahan, khususnya di majlis-majlis perkahwinan. Namun, kini dia sudah boleh menarik nafas lega.
KETIGA-TIGA bintang kelahiran Mentor 5 ini masing-masing mengakui telah mengalami perubahan besar dalam rutin kehidupan mereka.
Namun, ada kepayahan dalam keseronokan yang diraihnya itu. Walaupun bergelar juara, namun tiada pula syarikat-syarikat rakaman yang sudi menyunting dirinya untuk bergelar penyanyi rakaman. Pada kebiasaannya, juara Mentor akan bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bones, namun lain pula nasib Salma apabila Monkey Bones sebaliknya memilih naib juara Mentor 5, Shiha untuk menjadi penyanyi mereka.

"Saya akui bergelar juara bukan satu jaminan besar untuk disunting oleh mana-mana syarikat rakaman. 

Mungkin bukan rezeki atau belum rezeki saya," tuturnya yang kini bergerak sendiri dalam karier nyanyian dan bersyukur kerana Erra banyak membimbing dan memberi tunjuk ajar buatnya.

Tidak malu untuk mengakui sejak bergelar juara Mentor 5 pada 29 Mei tahun ini, dia hanya menerima lima jemputan menyanyi pada persembahan berskala besar kata Salma: "Sejak bergelar juara Mentor 5 sejak 29 Mei lepas, saya menerima lima jemputan persembahan dengan bayaran yang lumayan."

Menyentuh tentang raya kali ini pula, ujar ibu tunggal kepada seorang anak perempuan itu, dia akan berkongsi wang kemenangan sebanyak RM100,000 bersama para peminatnya dengan mengadakan rumah terbuka.

"Buat pertama kalinya saya buat rumah terbuka untuk peminat-peminat di Tawau, Sabah pada hari raya ketujuh lalu. Raya tahun ini juga merupakan tahun pertama saya beri duit raya kepada kanak-kanak," ujarnya yang turut menyediakan wang untuk memperbaiki rumah ibunya di Tawau.

Salma juga teruja menyediakan kelengkapan raya buat anak kesayangannya yang baru berusia empat tahun bernama Putri Nurul Huda. Malah, Salma juga memperuntukkan wang kemenangannya untuk simpanan masa depan Putri serta pelaburan untuk single terbaharunya nanti.

Shiha rakam single sulung

Ternyata rezeki lebih memihak kepasa Shiha, 24, walaupun protege Datuk Sharifah Aini itu hanya bergelar naib juara Mentor 5. Selepas disunting Monkey Bones, pemilik nama Nurshiha Muhd. Zikir itu bakal merakamkan single sulungnya selepas raya.

"Alhamdulillah, rezeki saya murah selepas tamat Mentor 5. Walaupun Mentor 5 sudah melabuhkan tirai, hubungan saya dan Umi (panggilannya kepada Sharifah Aini) masih tidak putus. Saya selalu menghubunginya untuk meminta pendapat dalam merencanakan perjalanan karier saya," ujar gadis kelahiran Kuala Lumpur itu.

Walaupun sudah bergelar selebriti, Shiha tetap kekal seperti dahulu dengan menyambut Aidilfitri secara sederhana.

"Raya saya pada tahun ini, tidak ada beza disambut sederhana selepas arwah bapa sudah pulang ke rahmatullah pada tahun 2008," ujarnya yang merancang untuk membuat haji buat arwah bapanya, Muhd. Zikir Abd. Hamid.

Katanya lagi, raya pertamanya kali ini cuma disambut di Kuala Lumpur dan kemudiannya dia pulang ke kampungnya di Kuala Batas, Selangor.
DARI kiri, Shiha, Salma dan Iqa terus mengorak langkah mengharungi dunia seni tanah air berbekalkan bakat yang dimiliki masing-masing usai pendedahan yang diraih mereka menerusi Mentor 5.
Menggemari masakan rendang dan ketupat sebagai juadah wajib di hari raya, Shiha juga memberitahu dia menyukai keenakan kuih tradisional makmor dan samprit.

Iqa buat rumah terbuka

Iqa turut mengakui sambutan raya buat dirinya agak meriah pada tahun ini. Selain dapat membantu menyediakan segala kelengkapan raya, dia juga kini boleh menitipkan duit raya buat ahli keluarganya.

"Untuk diri Iqa sahaja, sebanyak tiga pasang baju raya disediakan," akuinya.

Tambahnya: "Saya juga buat rumah terbuka pada hari raya ketujuh lalu di Bukit Beruntung, Selangor," ujarnya yang menggemari hidangan rendang tok, lontong dan ketupat palas.

Menyentuh tentang nostalgia Ramadan dan Aidilfitri, kata Iqa, ketika dia masih kanak-kanak, setiap kali tiba bulan Ramadan, dia akan pastikan dirinya berjaya membaca kitab al-Quran sehingga habis 30 juzuk. Semuanya gara-gara mahukan habuan daripada ibunya.

"Mak buat syarat, jika saya berjaya baca satu juzuk al-Quran, saya akan dapat RM10. Jadi saya begitu bersemangat baca al-Quran sampai 30 juzuk," ujarnya yang akan membaca al-Quran sebagai rutin setiap kali menjelang Ramadan.

Menyentuh tentang karier seninya, pemilik nama sebenar Nursyafiqah Nasratullah Mohd. Nor, 25, dia tidak menghadapi masalah. Selepas sahaja tamat Mentor 5, dia terus disambar KRU Records iaitu syarikat rakaman mentornya, Edry.

"Saya ikat kontrak selama setahun dengan KRU. Alhamdulillah, semua program anjuran KRU saya terlibat," katanya.

Sumber : Kosmo!

No comments:

Post a Comment