01 September 2012

Hunny Madu Lupakan Bidang Nyanyian


Hunny Madu kini hamil enam bulan. - Foto oleh SHAARI CHE MAT
KUALA LUMPUR: Penyampai radio Fly FM, Hunny Madu berkata kesibukan di studio radio dan penglibatannya sebagai pengacara program televisyen memaksa dia untuk mengetepikan kerjaya muzik pada waktu ini.
Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 28, berkata, bidang muzik tidak lagi menjadi keutamaannya ketika ini kerana tidak mampu mengimbangi komitmen sebagai penyampai radio, pengacara dan penyanyi secara serentak.
“Ketika saya mengeluarkan album sulung Pulau Janji pada Jun tahun lalu, saya belum hamil dan komitmen kerja juga tidak sebanyak sekarang. Kini saya akui tidak mampu mengimbangi waktu untuk melakukan pelbagai kerja dalam masa serentak.
“Buat masa ini, biarlah saya ketepikan dulu bidang muzik dan tumpukan pada radio dan televisyen sahaja, apatah lagi dalam keadaan sarat mengandung ini,” katanya ketika ditemui mStar Online pada majlis rumah terbuka Hari Raya stesen radio itu di sini.
Hunny yang juga pengacara program Nasi Lemak Kopi O di TV9 berkata, dia tidak berasa rugi atau terkilan dengan keputusan itu memandangkan kerjaya nyanyian dilihat seakan kurang memberangsangkan.
“Saya tidak berasa rugi atau kesal pun, malah saya tidak kisah dengan keputusan ini. Selepas setahun melancarkan album itu, seolah-olah tiada jalan untuk saya mengembang dan mempromosikannya selain di Fly FM sahaja.
“Stesen radio lain juga tidak memberikan sokongan kerana status saya sebagai penyampai di Fly FM. Ia membuatkan saya tawar hati dengan pelbagai halangan yang berlaku,” katanya.
Mengenai kandungannya yang kini mencecah enam bulan, Hunny berkata, dia berasa tenteram dan gembira dengan fasa kehamilan ini berbanding tempoh tiga bulan pertama dulu.
“Alhamdulillahlah, tenaga saya banyak dan saya melakukan pelbagai perkara seperti biasa, walaupun cepat letih. Kini saya berasa teruja berbanding fasa tiga bulan pertama.
“Ketika awal kehamilan, saya sengaja merahsiakannya kepada umum kerana tidak mahu kecoh-kecoh sehingga ia mencecah bulan keempat dan benar-benar stabil.
“Jika diizinkan, saya akan terus bekerja sehingga menghampiri minggu-minggu terakhir untuk bersalin yang dijangka pada Disember depan,” katanya.

09 July 2012

Fathia Pakai Gaun Koyak


Semalam telah berlangsungnya Anugerah Stail EH! 2012. Anugerah ini telah digamatkan dengan  satu jenaka, dimana seorang dramatis muda, Fathia Latiff dikhabarkan telah menyarungkan persalinan gaun malam yang koyak ketika menghadiri majlis anugerah ini.

Dalam majlis Anugerah Stail EH! 2012, Fathia telah memperagakan gaun rona hitam dari label fesyen antarabangsa, iaitu BCBG. Difahamkan suasana majlis yang berlangsung malam tadi agak meriah sehingga mengakibatkan Fathia berkelakuan sedikit lasak dan membuatkan gaunnya terkoyak.

Walaubagaimanapun, insiden kecil tersebut tidak menghalang lensa kamera untuk merakamkan kehadiran Fathia yang tampil elegan. Selain itu, Fathia turut mengekalkan sikap profesionalismanya sewaktu diminta untuk menyampaikan salah sebuah anugerah yang dipertandingkan pada malam anugerah tersebut. Menurut sumber, Fathia juga tidak segan untuk memberikan kerjasama bersama pihak media untuk merakamkan sesi fotografi.

Kepada para selebriti lain, anda haruslah lebih peka dan teliti sewaktu memilih gaun malam agar insiden sebegini dapat dielakkan.

27 May 2012

Adibah Noor Lepas Rindu Jadi Guru Dalam Oh My English!



Adibah melepaskan rindu bergelar guru dalam Oh My English!
Penyanyi dan pelakon Adibah Noor mengakui dapat melepaskan rindu terhadap kerjayanya sebagai seorang guru Bahasa Inggeris apabila memegang watak Cikgu Hajar dalam program Oh My English!.
Adibah berkata, peluang berlakon dalam siri berbentuk pendidikan itu telah mengubat rindunya untuk mempraktikkan kembali kemahiran mengajar yang telah ditinggalkan hampir 17 tahun lalu.
"Saya rindu saat-saat dapat memberikan motivasi kepada para pelajar saya dan apabila ditawarkan berlakon dalam siri ini saya terus terima kerana tertarik dengan konsepnya.
"Selain menekankan penggunaan Bahasa Inggeris dengan betul banyak juga elemen lain yang turut diterapkan dalam Oh My English! supaya ia menggambarkan situasi sebenar di sekolah," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam pada itu, Adibah berkata, walaupun kini dia kelihatan lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang lakonan dan pengacaraan tetapi hakikatnya dia masih mengutamakan karier nyanyian.
Adibah berkata, pelawaan untuknya mengadakan persembahan lebih banyak daripada lakonan atau pengacaraan cuma ia kurang mendapat publisiti dalam media.
"Saya banyak terlibat dalam acara tertutup dan majlis-majlis yang tidak melibatkan media sebab itu ia kurang mendapat liputan dan sekaligus nampak karier nyanyian saya seperti senyap.
"Berbanding dengan lakonan dan pengacaraan ia disiarkan di televisyen dan boleh ditonton oleh masyarakat," katanya.
Adibah bersama para pelakon yang menjayakan siri yang ke udara setiap Ahad, pukul 10 pagi di Astro TViQ saluran 610.
Sementara itu, Adibah memberitahu dia baru sahaja muncul dengan single terbaru berjudulKe Sana Denganmu iaitu kolaborasi dirinya dengan Sam dari kumpulan Inuendo.
Adibah berkata, lagu ciptaan komposer Azlan Abu Hassan itu dengan lirik yang ditulis sendiri olehnya disifatkan sebagai cukup istimewa kerana mendapat idea ketika menghadiri perkahwinan rakannya iaitu Harith Iskandar.
"Saya ingin menulis lagu tentang perkahwinan dan perasaan mereka yang melangkah ke fasa baru itu dan mendapat ilham ketika menghadiri perkahwianan Harith.
"Lagu ini juga ditujukan khas kepadanya dan isteri," katanya.
Tambah Adibah, buat sementara ini dia tidak akan mengeluarkan album penuh sebaliknya menumpukan kepada single dan berharap dapat menghasilkan lebih banyak single terbaru untuk para peminatnya.

26 May 2012

Lisa Surihani Gembira Berat Badan Naik Selepas Kahwin



Lisa Surihani
Pelakon Lisa Surihani mengakui berat badannya telah meningkat sebanyak empat kilogram selepas tiga bulan berkahwin dengan pengarah, Yusry Abdul Halim.
Lisa berkata, dia memang berhasrat untuk menaikkan berat badannya kerana merasakan dirinya terlalu kurus.
"Berat sebelum kahwin 46 kilogram dan sekarang telah bertambah kepada 50 kilogram dan saya gembira dengan peningkatan itu kerana berat badan saya dibawah paras ideal sebelum ini," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Lisa, dia tidak mengetahui punca peningkatan itu namun tidak menafikan bahagia bergelar isteri sebagai salah satu sebab kepada penambahan itu.
"Mungkin tengah bahagia kot," ujarnya bergurau.
Lisa dan Yusry berkahwin pada 23 Mac lalu dan pernikahan mereka diadakan di Hotel Marriot, Putrayaja.
Dalam pada itu, Lisa berkata, kehidupan sebagai seorang isteri adalah sangat menyeronokkan walaupun kedua-dua mereka sering sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Bagiamanapun kata Lisa, dia bertuah kerana mereka saling memahami tentang tanggungjawab dan kerjaya tambahan pula berada dalam satu industri yang sama.
"Yusry banyak bertolak ansur apabila cuba mengikut jadual kerja saya supaya kami dapat menghabiskan masa berkualiti bersama.
"Apabila saya sedang bekerja dia juga akan turut bekerja dan akan berhenti selepas saya selesai menjalani penggambaran," ujarnya.
Tambah Lisa, kadang-kala suaminya itu akan bertandang ke lokasi penggambarannya untuk membuat kerja sementara menunggunya.
Sementara itu, Lisa berkata dia mungkin tidak akan menerima lagi sebarang tawaran untuk berlakon dalam drama bersiri kerana ingin menumpukan lebih perhatian terhadap rumah tangga dan suami.
Ujar Lisa, drama bersiri Dimanakan Juwitaku sebanyak 15 episod untuk siaran Astro Ria yang sedang menjalani penggambaran berkemungkinan akan menjadi siri terakhirnya.
"Keputusan ini bukan atas paksaan Yusry atau daripada orang lain tetapi atas kesedaran diri sendiri kerana apabila sudah berkahwin tumpuan dan tanggunjawab saya sebagai isteri telah berubah.
"Walaubagaimanapun itu cuma kemungkinan dan jika rezeki memang kepada drama bersiri saya tetap akan buat," katanya.
Selain Dimanakan Juwitaku, Lisa bakal muncul dengan filem Dendam Orang Mati, Saya Amat Mencintaimu, Istanbul Aku Datang dan Ular.

18 March 2012

Petala cinta Aeril Zafrel



MULA digilap nama sebagai hero drama, Aeril Zafrel kini muncul dalam filem ketiganya, 7 Petala Cinta. Ia sebuah filem Islamik yang membawa penonton ke persekitaran sekolah pondok dan kehidupan seorang muslim sejati dalam mencari cinta sebenar.


PENAMPILAN pelakon muda Suhairil Sunari, 23, tampak biasa. Pencapaiannya belum dipuji atas pentas anugerah namun bakat yang disemai mulai menunjukkan impak. Pesonanya sedang menebar dan hasil daripada kerja kerasnya sedang dijaja ke serata daerah.
Aku Tak Bodoh membawa Suhairil ke layar perak. Anak muda yang kini dikenali dengan nama Aeril Zafrel itu mara tanpa setitik ilmu lakonan secara formal. Puas dia melentur karakter sebagai budak sekolah menerusi drama Klik yang disiarkan saluran Astro Ceria. Sisi anak jantan yang ada dalam dirinya mula menyerlah melalui drama yang disiarkan pada waktu puncak. Drama bersiri Ramadan Terakhir pada tahun lepas dan Pelarian yang ditayangkan Februari lalu menjadi antara rujukan hasil lakonannya yang dominan di kaca televisyen.
Selang tidak sampai sebulan selepas gandingan bersama pelakon hebat, Tiz Zaqyah dalam Cinta Kura-Kura pada 1 Mac lalu, kini filem 7 Petala Cinta pula mula berpanggung. Mula ditayangkan pada 15 Mac, 7 Petala Cinta menukar 100 peratus sifat lahiriah yang dipersembahkan Aeril dalam naskhah terdahulu.
"Ini pertama kali sebenarnya saya diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah untuk bawa watak orang dewasa. Selama ini asyik dapat watak budak sekolah macam dalam Aku Tak Bodoh dan remaja dalam Cinta Kura-Kura.
"Saya kagum sebenarnya apabila pengarah, Azhari Zain berani pilih saya," katanya yang secara peribadi merasakan 7 Petala Cinta sangat dekat dengan hidupnya.
Melihat garis wajahnya, pemuda yang membesar dalam persekitaran kampung satu ketika dulu sudah jauh keluar daripada kepompong hidupnya.
Ketika di bangku sekolah, Pekan Rengit, Johor merupakan pekan terbesar yang pernah dijejakinya manakala kebun nanas dan kelapa sawit yang diusahakan keluarga menjadi tempat bermain. Kini, kota metropolitan Kuala Lumpur sedia dijajah, seluruh negara mula intim dengan namanya.
"Sewaktu ibu dan ayah saya masih hidup, rasanya mereka gembira bila saya jadi pelakon. Mereka ada beli majalah dan simpan keratan artikel dan gambar saya yang tersiar.
"Mereka sempat berpesan, bila sudah masuk industri hiburan satu sahaja perkara utama yang harus kena selalu tanam dalam fikiran ialah jaga tingkah laku. Dalam industri ini, kalau tersalah langkah orang akan kata ibu bapa tak pandai didik anak. Itu yang paling saya ingat," kata Aeril terkenang arwah ibu bapanya yang telah tiada.
Transformasi diri
Terpesong daripada topik karier, sengaja pemuda berbintang Sagittarius itu diselam akal budinya.
"Saya anggap lakonan sebagai proses mengenal diri. Filem itu sendiri buka hati saya untuk mengenal cinta kepada agama dengan lebih dekat. Sebelum itu saya juga jenis manusia yang lalai.
"Watak Attar atau nama penuhnya Ahmad Fakharuddin Attar itu bermaksud wangian jiwa. Saya sendiri ada buat kajian. Untuk kenal dan dapatkan emosi, saya lihat sendiri suasana dan kehidupan di sekolah-sekolah pondok sekitar Selangor. Bila ia divisualkan dalam filem, memang situasi itu wujud di Malaysia, cuma jarang diterjemahkan dalam filem," ujarnya mengulas skeptikal bahawa 7 Petala Cinta itu mencedok idea filem keagamaan dari Indonesia.
Tambahnya, penonton kadangkala terpengaruh dengan budaya filem dari luar.
"Bagi saya, kalaulah ada persamaan dari segi konsep, tak salah sebab ia untuk kebaikan. Kalau dalam nyanyian ada konsep lagu-lagu nasyid, filem juga wajar ada konsep sebegitu, lagipun, ramai artis yang sudah berhijrah ke arah yang lebih baik," katanya.
Terpanggil untuk bercerita, jika boleh dia enggan menoleh ke belakang. Setiap orang ada zaman jahil, zaman hitam yang kalau dikenangkan akan mengganggu tumpuan. Kata Aeril, dia sendiri ada kisah negatif.
"Orang mungkin lihat saya masih Aeril Zafrel yang lama. Biarlah, saya selesa begini tapi dari segi dalaman, secara perlahan-lahan saya sedang mencari arah yang lebih baik.
"Saya tidak tersinggung jika masih ada kenalan yang melihat saya sama seperti yang mereka kenali beberapa tahun dahulu. Dulu saya nakal, saya baru hendak kenal dunia, baru datang ke bandar dan ada buat benda-benda negatif. Setelah kedua-dua ibu bapa saya meninggal dunia, saya terfikir sampai bila saya mahu terus lalai. Siapa lagi yang harus mendoakan ibu bapa kalau bukan anaknya sendiri," ujarnya yang baru-baru ini kembali mendalami ajaran Islam.
Jalan terang
Secara ringkasnya, 7 Petala Cinta mengisahkan Attar yang dilakonkan Aeril Zafrel yang jahil bertemu dengan seorang guru di Madrasah Qalbun Salim iaitu Aby Ikhwan (Ustaz Dini) untuk belajar mengenai Islam.
Dalam diam, Attar menyimpan perasaan terhadap Saidatul Nafisa (Shima Anuar) namun dia reda apabila Saidatul sudah bertunang dengan Hamka (Fizo Omar). Tanpa diduga, Hamka diberitakan meninggal dunia.
Menoleh semula ke arah Aku Tak Bodoh, dia menjadi budak sekolah yang nakal, Cinta Kura-Kura yang meletakkan Aeril sebagai pemuzik yang jatuh cinta dengan Nani (Tiz Zaqyah) manakala 7 Petala Cinta menuntutnya menjiwai Attar, penjenayah yang sempat bertaubat ke jalan yang benar. Jika terus mengekalkan momentum yang dipersembahkan, Aeril ada masa depan yang cerah dalam bidang lakonan.
"Alhamdulillah. Saya cuma berusaha berikan yang terbaik. Cuba pastikan setiap lontaran dialog yang disampaikan, dapat meresap ke jiwa penonton. Tunggulah sedikit masa lagi. Saya juga mahu bergelar pelakon yang disegani kerana lakonan.
"Sekarang, saya kena kerja keras, elakkan diri daripada melakukan perkara yang menjatuhkan. Bukan senang untuk dikenali dan bukan senang juga untuk membuatkan khalayak sedar akan kehadiran saya. Jadi artis kadang-kadang buat diri rasa 'terpenjara', tapi bagusnya ia bukanlah penjara yang gelap," ujar Aeril sudah pandai berfalsafah.
Mengosongkan jadual tanpa komitmen lakonan sehingga ada tawaran mendatang, untuk jangka masa panjang pemilik nama Suhairil Sunari percaya jalan hidupnya sebagai pelakon semakin menampakkan hala tuju. Jika benar sudah ada jatuh cinta dengan persembahannya, tinggal lagi 'pantang-larang' untuk kekal bertamu di mata ramai harus dijaga sebaik mungkin.

Ezlynn Gemar Memasak Untuk Suami



Penyanyi dan pelakon, Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye memberitahu semakin ligat di dapur untuk memasak untuk suami tercinta, Adam Fahmi.
Ezlynn berkata, sejak berkahwin empat bulan lalu dia lebih rajin ke dapur dan sehingga kini sudah boleh memasak pelbagai hidangan kegemaran suaminya.
"Sebelum kahwin dulu memasak tu sekali sekala sahaja sebab kesibukan dengan pelbagai tugas tetapi lepas kahwin ni kena la lebih rajin ke dapur.
"Alhamdulilah sehingga kini lebih 15 jenis lauk pauk dah boleh masak dan suami menyukainya," ujarnya kepada mStar Online.
Bercerita mengenai selera suaminya, Ezlynn berkata, Adam tidak cerewet dari segi menu yang disediakan tetapi tidak gemar kepada makanan yang pedas.
Ujar Ezlynn, perkara itu menjadi cabaran kepadanya kerana dia suka kepada makanan pedas dan dalam setiap masakannya dia perlu berpada-pada menggunakan cili.
"Di sebalik dia tidak sukakan pedas dan saya pula sebaliknya perkara ini telah mengajar saya supaya bertoleransi dengan suami," ujarnya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai kehidupan berumah tangga, Ezlynn memberitahu setakat ini kehidupan mereka berjalan lancar dan suaminya rajin membantunya menguruskan kerja-kerja di rumah.
"Sebelum kahwin pun dia memang menguruskan dan menjaga saya, selepas kahwin perangainya tetap sama dan tidak berat tulang untuk membantu saya di rumah.
"Malah dia paling rajin kerana sikapnya yang seorang pembersih berbanding diri saya yang sedikit semak. Dia melengkapi saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ezlynn berkata dia bakal muncul dengan single terbaru berjudul Dusta di bawah label Alibi Music dan akan sibuk mempromosikan single itu.

11 March 2012

Roby Geisha Dan Tasha Shila Makan Malam Bersama Di Kuala Lumpur, Ada Hubungan Cinta?


Roby, gitaris utama Geisha telah di’lihat bersama Tasha Shila makan malam di’sebuah restoran Itali yang popular sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Roby Geisha sudah kita ketahui turun ke Malaysia untuk menyertai siri jelajah Rock & Stars tetapi ini sesuatu yang menjadi misteri — apakah status sebenar hubungan Roby Geisha & Tasha Shila? Kawan sekolah? Sepupu? Atau mereka punyai hubungan cinta rahasia? 


Almy Nadia Ada Anak Angkat, Sudah 3 Tahun Bela!



Setelah beberapa lama berdiam diri sehinggalah beberapa minggu lepas ada khabar angin tersebar mengenai Almy Nadia terkena gangguan makhluk halus, akhirnya, Almy Nadia muncul di sidang akhbar pelancaran drama lakonannya, “Cinta Buat Emelda”.


Bertempat di Fullhouse Sunway Giza, pelancaran drama lakonan terbaru dari Almy Nadia bersama Fizo Omar dan Mia Sara itu berlangsung seiring dengan pelancaran wajah baru Wanita Inspirasiku. Ketika ditemui, Almy Nadia kelihatan lebih berisi dari biasa dan nampak lebih sihat selepas sembuh dari gangguan halus.
“Setahun saya tidak keluar pergi kemana-mana majlis, dapat tawaran berlakon banyak. Ada yang sudah disiarkan dan saya masih tidak putus-putus berlakon. Mungkin itu rezeki untuk keluarga dan ‘anak’ saya,” ujar Almy Nadia.
Terkejut mendengar perkataan ‘anak’ dari mulut Almy, OHBULAN! terus bertanya sejak bila pula Almy Nadia mempunyai anak sedangkan tidak pernah dikeluarkan dalam mana-mana kenyataan sebelum ini.
“Saya memang ada anak dan dia sudah berusia 3 tahun. Saya ambil dia ketika dia masih bayi lagi dari saudara dan kini saya sedang menguruskan surat beranak untuk dia, Nurafrina Darwisya, di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” tambah Almy lagi.
Almy turut memberitahu, sepanjang dia bersama anak angkatnya itu, hatinya selalu tenang apabila melihat senyuman dan telatah anak angkatnya yang sudah dianggap seperti anak sendiri.
“Harapan saya pada tahun 2012 ini, semoga saya dimurahkan rezeki dan saya berdoa pada Tuhan agar anak saya mudah mendapat surat beranak dan sahkan itu anak saya,” ujar Almy Nadia lagi mengakhiri perbualan.
Dalam pada itu, Almy Nadia menafikan bahawa dia dan Fizz Fairuz telah berpisah dan mengakui mereka masih lagi bersama, namun begitu, mereka mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak terlampau menonjol.

Nabil & Zira Bahagia Bersama!


Bukan main bahagia tengok pasangan suami isteri, Nabil dan Nazira Ayub semalam ketika majlis pelancaran wajah baru Wanita Inspirasiku bertempat di Fullhouse, Sunway Giza.
Nabil yang hadir bersama isteri kelihatan bersahaja dengan kemeja berwarna biru laut manakala Zira pula mengenakan baju berwarna hijau. Ketika ditanya samada Zira sudah berbadan dua, Nabil hanya menjawab masih belum ada rezeki lagi.
Untuk pengetahuan, Nabil akan membintangi drama dalam slot Senda Pagi yang berjudul, “Mak Lang Datang, Kompang Bergendang”. Drama ini akan dibintangi bersama Seha dan juga Leez.

02 February 2012

Pilih Bintang Seberang, Pierre Andre Tidak Pandang Ringan Aktres Tempatan


Pierre Andre dan pelakon Indonesia, Nurul Ekasari beraksi dalam filem Chantek 
Pengarah filem Pierre Andre berkata pemilihan pelakon Indonesia, Nurul Ekasari sebagai heroin filem Chantek kerana kesesuaian paras rupa dan karakter aktres itu sebagai pembantu rumah Indonesia untuk filem berkenaan.
Pierre, 26, juga menolak persepsi dia bersikap prejudis terhadap kredibiliti aktres tempatan sehingga mencari pelakon dari seberang bagi menggalas watak bernama Chantek menerusi filem komedi romantik itu.
"Tiada isu prejudis di sini. Bukan kerana pelakon Malaysia tidak bagus. Saya sendiri adalah karyawan Malaysia cuma di Indonesia pilihan untuk watak pembantu rumah itu lebih banyak berbanding di negara kita.
"Pemilihan Nurul adalah berdasarkan kesesuaiannya dengan watak itu ketika uji bakat diadakan," katanya pada sidang media selepas pra-tonton filem itu di Cathay e@Curve, di sini, Selasa.
Pierre berkata kesesuaian watak dan pilihan yang lebih ramai di kalangan pelakon Indonesia menjadi faktor dia mencari pelakon negara berkenaan bagi watak tersebut.
"Memang saya boleh ambil aktres tempatan tetapi untuk mejayakan watak itu, pasti penjiwaannya kurang kerana konflik lenggok dan stail pertuturan bahasa Indonesia yang tepat.
"Apabila kami mencari aktres Indonesia, ramai pelakon popular dan berbakat yang menghadiri uji bakat, sekaligus menawarkan banyak pilihan kepada kami untuk mencari calon paling sesuai," katanya.
Ditanya tentang cadangan pelakon asal iaitu Acha Septriasa bagi watak itu, Pierre berkata ia terpaksa ditukar memandangkan skrip filem yang ditulis hampir lima atau enam tahun yang lalu itu diterbitkan oleh syarikat produksi yang berbeza.
"Kalau mengikut perancangan asal, penerbit David Teo daripada MIG yang meminta saya menggunakan khidmat Acha sebagai watak pembantu rumah.
"Namun, ia tertangguh dan saya simpan sahaja skrip ini sehingga bertemu penerbit baru, Empat Semudra.
"Apabila mereka berminat, kami memutuskan untuk mencari pelakon lain yang lebih sesuai dengan watak itu," katanya.
Selain Nurul Ekasari dan Pierre sendiri, filem terbitan Empat Semudra Plantation Sdn Bhd ini turut membariskan Chew Kin Wah dan Maimon Mutalib.
Ia bakal ditayangkan pada 16 Februari ini di seluruh Malaysia.

Gambar Neelofa Di Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26)



Tergoda bila tengok gambar Neelofa di Anugerah Juara Lagu 26 yang lalu.Sangat cantik dan kelihatan Neelofa sangat sesuai dengan pakaian beliau. Pakaiannya juga sepertinya menarik perhatian ramai. Bertulisan atau lebih diilustrasikan sebagai pakaian tampalan kertas. Memang unik dan jarang dipertontonkan. 

  

01 February 2012

Bakal Suami Ubah Persepsi Negatif Ana Raffali Terhadap Lelaki


Ana Raffali dan Naim bakal disatukan pada 25 Februari ini. 
Penyanyi Ana Raffali atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd Raffali, 26, mengakui sukar mempercayai golongan lelaki selepas beberapa kali dikecewakan.
Bagaimanapun, Ana berkata, perkenalan dengan teman karibnya, Ahmad Aznaim Abdullah, 30, atau Naim itu terus memberikan persepsi berbeza mengenai golongan itu apabila memulakan perkenalan pada tahun 2005.
"Dia seorang yang penyabar dan sangat memahami diri saya. Sedikit demi sedikit perasaan sayang mula wujud dan kami bercinta secara rasminya pada 8 Oktober 2008.
"Bagaimanapun, kami tidak pernah menganggap yang kami adalah pasangan bercinta sebaliknya lebih senang dengan gelaran kawan karib.
"Malah ketika saya dilamar, Naim terus berkata “jom kahwin” dan keluarganya terus merisik saya pada awal Disember tahun lalu. Dia langsung tak romantik," seloroh Ana pada sidang akhbar pengumuman majlis perkahwinannya di PNB Darby Park, di sini, Selasa.
Ana dan Naim bakal bergelar suami isteri pada 25 Februari 2012. Mereka akan bernikah di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, di sini.
Majlis dimulakan dengan acara bertunang pada pukul 10.30 pagi dan sejam kemudian, Ana akan dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohd Raffali Mod Nor.
Dalam pada itu, acara resepsi pula diadakan pada hari sama sejurus selepas akad nikah di masjid tersebut berlangsung.
Bagaimanapun, Ana memberitahu dia tidak akan memperlahankan aktiviti nyanyiannya selepas berumah tangga.
Sebaliknya fasa kehidupan barunya itu merupakan satu semangat untuk dia terus melakarkan nama dengan muzik yang ditonjolkan di persada seni tanah air.
"Saya tahu, orang selalu menganggap seseorang artis wanita itu akan memperlahankan karier seninya sejurus selepas kahwin.
"Tak mungkin saya berbuat begitu kerana sebaliknya saya mendapat semangat baru untuk meneruskan kerjaya nyanyian saya .
"Malah, saya akan mengeluarkan album terbaru pada bulan Mei ini dengan memuatkan sebanyak 10 buah lagu," ujarnya.
Sementara itu Naim yang bekerja sebagai pengurus kerjaya seni Ana berkata, dia gembira kerana akhirnya hubungan teman rapat itu menjadi satu ikatan suami isteri yang sah dan ia lebih memudahkan mereka untuk bergerak ke mana-mana tanpa ada batasan.
"Ini merupakan satu perkongsian hidup antara dua sahabat. Kalau nak tahu, kami mempunyai banyak persamaan daripada segi pemikiran. Sebagai contoh, kami sering berkata serentak apabila ingin memberi pendapat mengenai sesebuah hal.
"Selain itu, saya dan Ana juga suka makan. Selain itu kami juga berkongsi minat tentang apa-apa saja berkaitan dengan seni," ujarnya.
Pada majlis perkahwinan penyanyi yang popular dengan lagu Tolong Ingatkan Aku itu, dia akan menerima sebanyak tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas sembilan.
Bagaimanapun, wang hantaran tidak akan diberikan sebaliknya pihak perempuan hanya menerima mas kahwin yang belum ditentukan jumlahnya.

Neelofa Minta Tidak Dibandingkan Dengan Ogy


Neelofa 
Pelakon jelita Neelofa berharap penonton akan lebih bertimbang rasa dalam menilai kemampuannya menggalas watak Azura menerusi filem Azura 2012 berbanding lakonan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dalam filem tersebut terbitan 1984.
Neelofa berkata walaupun dia sudah menjangkakan perbandingan pasti akan berlaku, dia tetap berharap penonton akan bersikap adil kepadanya kerana watak itu adalah percubaan sulungnya dalam dunia lakonan.
"Perbandingan lakonan saya dan Ogy adalah sesuatu yang sudah dijangkakan dari awal lagi apabila saya menerima tawaran ini.
"Sebab itu saya sudah bersedia untuk dikritik dan dinilai oleh penonton yang sudah menonton kedua-dua versi filem ini," katanya ketika ditemui selepas pra-tonton filem itu di GSC One Utama, di sini, Isnin.
Ujar Neelofa, sebagai pendatang baru adalah tidak adil jika penonton menghukum atau memperlekehkan percubaannya menggalas watak itu tanpa memberikan peluang terlebih dahulu.
"Saya begitu sedar watak Azura sangat besar dan keramat kerana impak lakonan yang ditinggalkan oleh Ogy.
"Saya sudah berusaha untuk memberikan penghayatan terbaik tanpa asas dan pengalaman lakonan di dada.
"Tidak adil jika orang membandingkan lakonan saya dengan Ogy kerana beliau hebat dan berpengalaman berbanding pelakon baru seperti saya," katanya.
Neelofa berkata jika dilihat pada sudut positif, cabaran dan kesulitan menggalas watak itu sangat berguna dan baik untuk perkembangan kerjaya lakonannya.
"Selain menjadi profil yang bagus untuk saya, ilmu dan pengalaman dalam menjayakan watak ini sangat berguna bagi memantapkan mutu lakonan.
"Saya berharap ia akan jadi platform yang baik bagi perkembangan karier lakonan," katanya.
Selain Neelofa dan gandingannya Shahrizal Jaszle sebagai Zek, filem arahan Aziz M. Osman itu turut dibintangi Afdlin Shauki, Erma Fatima, Afida Es dan Nini Marlini.
Filem tersebut bukan filem versi baru (remake) tetapi hanya diadaptasi daripada konsep dan idea asal filem 1984 itu dengan olahan berbeza dan mengikut peredaran semasa.
Lakonan Neelofa dalam filem tersebut agak mengejutkan apabila beberapa pihak melihat pelakon itu gagal menghayati watak yang diberikan dengan baik.
Azura 2012 akan ditayangkan kepada umum bermula Khamis ini di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura

30 January 2012

Juara Anugerah Juara Lagu 26 “Hafiz – Awan Nano”!

Juara Anugerah Juara Lagu 26 “Hafiz – Awan Nano”!
Berkat “Jozan la ni kot? Terbaikkk la 
Berikut ialah keputusan penuh Anugerah Juara Lagu 26…
Juara Anugerah Juara Lagu – Hafiz – Awan Nano
Naib Juara Anugerah Juara Lagu – 3 Suara Ning Baizura, Jaclyn Victor & Shila – Beribu Sesalan -
Ketiga Anugerah Juara Lagu – Faizal Tahir – Karma
Pada pendapat peribadi Rindok Blog, memang tidak dapat dinafikan lagi kehebatan persembahan “Beribu Sesalan” & “Awan Nano”…
Persembahan Terbaik – Alyah – Kisah Hati
Vokal Terbaik – Hafiz – Awan Nano

29 January 2012

Anak muda meluas empayar



KINI anggota Bunkface, (dari kiri) Paan, Sam dan Youk boleh berbangga dengan premis perniagaan mereka.


SEDAR masa depan tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada penjualan album, semakin ramai pemuzik muda tempatan yang membuka perniagaan sendiri. Antaranya ialah grup Bunkface, Hujan dan penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna.
Buat Bunkface, BF Rock Station yang didirikan di SS15, Subang Jaya, Selangor adalah satu lagi buah tangan mereka setelah beberapa tahun mengumpulkan wang. BF Rock Station merangkumi produksi televisyen dan studio jamming.
"Tahun ini kami membuka studio jamming dulu. Ia juga membolehkan kami melakukan latihan pada bila-bila masa.
"Mengikut perancangan, tahun hadapan pula kami akan mempunyai studio rakaman di tempat yang sama.
"Produksi televisyen BF Rock Station diuruskan oleh Shawn Amer. Kami telah menerbitkan dua buah program iaitu Bunkface Di Hong Kong dan akan datang adalah Bunkface Di Jakarta," ujar Youk.
Peribadi
"Kami bercadang untuk membuka BF Rock Station sejak tahun lalu. Selepas berdepan pelbagai dugaan, akhirnya terlaksana juga impian kami," tambah Sam.
Dibuka kepada khalayak pada 17 Januari lalu, Bunkface yang digawangi oleh Paan (gitar), Sam (vokal) dan Youk (bass) mengumumkan bahawa mereka turut menjual barangan seperti topi, baju dan lencana di premis yang terletak di 9-1, SS15/8B, Subang Jaya itu.
"Idea dan inspirasi datang daripada grup Hujan dan beberapa grup lain yang sudah keluar dengan barangan sendiri.
"Sebelum ini kami hanya menjual barangan kami di tapak persembahan. Kini kami sudah ada BF Rock Station yang merupakan ibu pejabat kami dan tempat kami menjual barangan Bunkface," ujar Paan lagi sambil menyatakan konsep BF Rock Station adalah mengikut album pertama mereka, Phobia Phoney.
"Kami memulakan operasi pada pukul 10 pagi hingga 2 pagi. Di sini para peminat Bunkface atau pembeli boleh mendapatkan barangan Bunkface seperti baju, seluar, topi, jam tangan dan pelbagai barangan cenderamata lain.
"Ada juga baju T yang kami beli di luar negara. Harganya berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua," ujar Rafi, pengurus Bunkface. Pembeli boleh menghubungi talian 03-5611 3939 untuk pertanyaan atau tempahan.
"Bercakap tentang rekaan, kami tidak buat sendiri sebaliknya kami melantik ejen untuk menghasilkan rekaan pakaian yang dimahukan.
STUDIO jamming juga disediakan di BF Rock Station


"Satu lagi keistimewaan BF Rock Station ialah peminat berpeluang mendapatkan beberapa barangan peribadi Bunkface.
"Buat masa ini kami ada sebuah gitar dan papan luncur air yang boleh dijadikan koleksi," ujar Paan yang merupakan 'bendahari' grup ini.
Bukan setakat memberi fokus terhadap perjalanan grup yang kini terkenal dengan lagu Panik, Bunkface juga sudah menentukan rancangan masa depan mereka.
"Selain itu, kami juga membuka syarikat pengurusan bakat yang dinamakan BF Talent Management untuk mencari bakat baharu yang mahu bernaung di bawah syarikat kami.
"Ini adalah cara kami membantu rakan-rakan pemuzik di luar sana yang mungkin tidak tahu lorong yang betul untuk masuk ke dalam indsutri hiburan," tambah Paan yang mengundang ibunya ke pelancaran BF Rock Station baru-baru ini.
"Bunkface ingin mencari bakat muda yang membawa muzik yang segar. Paling penting, mesti ada faktor X yang boleh membuatkan mereka pergi jauh.
"Tidak kisahlah apa genre muzik yang mereka bawakan asalkan individu atau kumpulan itu benar-benar berbakat," ujar Youk pula.
Album
Banyak memberi fokus kepada perjalanan BF Rock Station yang menelan belanja RM200,000, grup yang berasal dari Klang, Selangor ini juga sibuk merencana album dan perjalanan muzik mereka.
Panas seketika dengan kes lagu Panik yang digam stesen RTM, itu adalah musibah yang tidak mengganggu misi dan visi mereka.
"Kami akan merakamkan album penuh pada bulan April atau Mei nanti. Di samping itu, kami juga akan menerima tawaran daripada syarikat Aquarius dari Jakarta.
ANTARA barangan yang terdapat di BF Rock Station.


"Setakat ini, grup ini masih berbincang soal bajet dan beberapa perkara yang sesuai dengan perjalanan Bunkface.
"Apa yang penting, kami mahu menjelajah Indonesia dengan muzik kami," ujar Paan mewakili Bunkface yang mahu keluar dengan album baharu yang mengandungi 13 buah lagu dan berteraskan lirik yang biasa mereka lakarkan.
"Kita tetap akan keluar dengan lirik-lirik yang ada unsur perjuangan. Single terbaharu yang dikeluarkan adalah Kita Perang Kita Menang. Kami hanya bersikap jujur dalam penulisan," terang Sam atau nama sebenar Shamsul Anuar.