29 January 2012

Anak muda meluas empayar



KINI anggota Bunkface, (dari kiri) Paan, Sam dan Youk boleh berbangga dengan premis perniagaan mereka.


SEDAR masa depan tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada penjualan album, semakin ramai pemuzik muda tempatan yang membuka perniagaan sendiri. Antaranya ialah grup Bunkface, Hujan dan penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna.
Buat Bunkface, BF Rock Station yang didirikan di SS15, Subang Jaya, Selangor adalah satu lagi buah tangan mereka setelah beberapa tahun mengumpulkan wang. BF Rock Station merangkumi produksi televisyen dan studio jamming.
"Tahun ini kami membuka studio jamming dulu. Ia juga membolehkan kami melakukan latihan pada bila-bila masa.
"Mengikut perancangan, tahun hadapan pula kami akan mempunyai studio rakaman di tempat yang sama.
"Produksi televisyen BF Rock Station diuruskan oleh Shawn Amer. Kami telah menerbitkan dua buah program iaitu Bunkface Di Hong Kong dan akan datang adalah Bunkface Di Jakarta," ujar Youk.
Peribadi
"Kami bercadang untuk membuka BF Rock Station sejak tahun lalu. Selepas berdepan pelbagai dugaan, akhirnya terlaksana juga impian kami," tambah Sam.
Dibuka kepada khalayak pada 17 Januari lalu, Bunkface yang digawangi oleh Paan (gitar), Sam (vokal) dan Youk (bass) mengumumkan bahawa mereka turut menjual barangan seperti topi, baju dan lencana di premis yang terletak di 9-1, SS15/8B, Subang Jaya itu.
"Idea dan inspirasi datang daripada grup Hujan dan beberapa grup lain yang sudah keluar dengan barangan sendiri.
"Sebelum ini kami hanya menjual barangan kami di tapak persembahan. Kini kami sudah ada BF Rock Station yang merupakan ibu pejabat kami dan tempat kami menjual barangan Bunkface," ujar Paan lagi sambil menyatakan konsep BF Rock Station adalah mengikut album pertama mereka, Phobia Phoney.
"Kami memulakan operasi pada pukul 10 pagi hingga 2 pagi. Di sini para peminat Bunkface atau pembeli boleh mendapatkan barangan Bunkface seperti baju, seluar, topi, jam tangan dan pelbagai barangan cenderamata lain.
"Ada juga baju T yang kami beli di luar negara. Harganya berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua," ujar Rafi, pengurus Bunkface. Pembeli boleh menghubungi talian 03-5611 3939 untuk pertanyaan atau tempahan.
"Bercakap tentang rekaan, kami tidak buat sendiri sebaliknya kami melantik ejen untuk menghasilkan rekaan pakaian yang dimahukan.
STUDIO jamming juga disediakan di BF Rock Station


"Satu lagi keistimewaan BF Rock Station ialah peminat berpeluang mendapatkan beberapa barangan peribadi Bunkface.
"Buat masa ini kami ada sebuah gitar dan papan luncur air yang boleh dijadikan koleksi," ujar Paan yang merupakan 'bendahari' grup ini.
Bukan setakat memberi fokus terhadap perjalanan grup yang kini terkenal dengan lagu Panik, Bunkface juga sudah menentukan rancangan masa depan mereka.
"Selain itu, kami juga membuka syarikat pengurusan bakat yang dinamakan BF Talent Management untuk mencari bakat baharu yang mahu bernaung di bawah syarikat kami.
"Ini adalah cara kami membantu rakan-rakan pemuzik di luar sana yang mungkin tidak tahu lorong yang betul untuk masuk ke dalam indsutri hiburan," tambah Paan yang mengundang ibunya ke pelancaran BF Rock Station baru-baru ini.
"Bunkface ingin mencari bakat muda yang membawa muzik yang segar. Paling penting, mesti ada faktor X yang boleh membuatkan mereka pergi jauh.
"Tidak kisahlah apa genre muzik yang mereka bawakan asalkan individu atau kumpulan itu benar-benar berbakat," ujar Youk pula.
Album
Banyak memberi fokus kepada perjalanan BF Rock Station yang menelan belanja RM200,000, grup yang berasal dari Klang, Selangor ini juga sibuk merencana album dan perjalanan muzik mereka.
Panas seketika dengan kes lagu Panik yang digam stesen RTM, itu adalah musibah yang tidak mengganggu misi dan visi mereka.
"Kami akan merakamkan album penuh pada bulan April atau Mei nanti. Di samping itu, kami juga akan menerima tawaran daripada syarikat Aquarius dari Jakarta.
ANTARA barangan yang terdapat di BF Rock Station.


"Setakat ini, grup ini masih berbincang soal bajet dan beberapa perkara yang sesuai dengan perjalanan Bunkface.
"Apa yang penting, kami mahu menjelajah Indonesia dengan muzik kami," ujar Paan mewakili Bunkface yang mahu keluar dengan album baharu yang mengandungi 13 buah lagu dan berteraskan lirik yang biasa mereka lakarkan.
"Kita tetap akan keluar dengan lirik-lirik yang ada unsur perjuangan. Single terbaharu yang dikeluarkan adalah Kita Perang Kita Menang. Kami hanya bersikap jujur dalam penulisan," terang Sam atau nama sebenar Shamsul Anuar.

No comments:

Post a Comment