Penyanyi Adira (AF8) memohon agar masyarakat tidak memandang serong kepadanya susulan dakwaan terbaru yang mengatakan dia kembali menjalin hubungan songsang selepas putus cinta dengan penyanyi Hafiz (AF7), beberapa bulan lalu.
Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 22, berkata selepas apa yang dilaluinya pada tahun lalu, dia tidak mahu lagi mengenangkan semula dakwaan liar yang pernah dilemparkan sebelum ini.
“Gosip yang melampau itu adalah perkara lama dan saya tidak mahu mengingatinya semula. Ia sudah selesai.
“Saya tidak sangka pula dakwaan kononnya saya mengamalkan hubungan songsang itu kembali diperkatakan hingga timbul spekulasi bahawa ia menjadi punca hubungan saya dan Hafiz berkecai,” katanya.
Adira berkata kemunculan tahun 2012 ini mahu dimanfaatkannya untuk memantapkan lagi kerjaya seni dan bukan terus dihantui dengan gosip dan kontroversi yang menjejaskan reputasi.
“Sejujurnya, saya sangat sedih dan terkejut apabila gosip itu diperkatakan semula. Saya sangka apabila muncul tahun baru ini, perkara hitam itu sudah berakhir, malangnya ia terus menjadi bualan.
“Saya tidak pernah mengganggu atau menyusahkan hidup orang lain. Saya memohon agar cerita-cerita negatif ini dihentikan kerana ia mencemarkan reputasi saya dan keluarga,” katanya.
Ditanya mengenai reaksinya berkenaan dakwaan kononnya dia kembali menjalin hubungan songsang dengan individu yang dikenali sebagai Zack, Adira menegaskan dia masih lagi seorang perempuan sejati.
“Gosip ini sangat memalukan tetapi sebagai hak milik masyarakat saya perlu hadapinya.
"Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya masih lagi perempuan sejati yang mempunyai perasaan terhadap lelaki,” katanya.
Menyentuh perkembangan kerjaya, anak bongsu dalam keluarga ini berkata klip video lagu ‘single’ terbarunya berjudul Sakura mula ditayangkan di Astro Ria pada malam Sabtu.
Selain sibuk memenuhi pelbagai undangan nyanyian, Adira juga sedang merakamkan lagu tema sebuah drama televisyen yang bakal ditayangkan pada pertengahan tahun ini.
No comments:
Post a Comment