17 January 2012


Kurang Menyerlah Dalam Nyanyian, Syawal Tumpu Pada Lakonan
Syawal.
Penyanyi kelahiran program realiti, Akademi Fantasia 5 (AF5), Mohd Syawal Ruslan atau Syawal memberitahu ingin lebih serius sebagai pelakon selepas gagal menyerlah dalam bidang nyanyian.
Syawal berkata, dia bukannya terus melupakan karier nyanyian tetapi tawaran berlakon yang mencurah tidak mahu dilepaskan begitu sahaja.
"Alhamdulilah walaupun rezeki dalam bidang nyanyian tidak begitu menyerlah tetapi dalam lakonan amat memberangsangkan. Oleh sebab itu juga saya ingin menumpukan perhatian kepada dunia lakonan," ujarnya ketika ditemui mStar Online.
Tambahnya, dia sebelum ini tidak tahu mempunyai bakat dalam bidang lakonan dan bersyukur beberapa percubaannya sebelum ini menerusi beberapa buah drama dan filemKaripap-Karipap Cinta telah membuka mata ramai penerbit drama dan filem untuk mengambilnya berlakon.
Syawal berkata, penghargaan juga perlu diberi kepada semua tenaga pengajar di Akademi Fantasia kerana segala input yang diberikan kepada mereka nyata memberi faedah besar kepada mereka.
"Mungkin sebelum ini orang tidak nampak apa sebab pihak AF mengadakan pelbagai kelas kepada pelajar walaupun ia sebuah pertandingan nyanyian.
"Nyata ini semua ada hikmah tersendiri yang pada akhirnya telah membuka pelbagai cabang rezeki buat kami sebagai bekas pelajar," ujarnya.
Dalam pada itu, Syawal yang sedang berada di set lokasi penggambaran filem keduanya, Pak Pung arahan Fauzi Nawawi berkata, dia tidak terus melupakan karier nyanyian sebaliknya ia masih berjalan seperti biasa malah bertindak sebagai artis residen di Afti Events.
Syawal berkata, dia telah menyertai syarikat pengurusan acara itu lebih tiga tahun dan sering mengadakan persembahan di pelbagai tempat.
"Mungkin tidak begitu menyerlah kerana kebanyakan persembahan itu bukan untuk siaran televisyen tetapi lebih kepada persembahan tertutup," katanya.
Pun begitu, Syawal berkata, dia bakal muncul dengan single terbaru bagi mengubat kerinduaannya pada bidang nyanyian dan menjangkakan bakal dilancarkan selewat-leawatnya pertengahan tahun ini.
Sementara itu, bercakap mengenai filem Pak Pung, Syawal berkata sebelum ke set penggambaran dia aktif menjalani latihan silat bagi memenuhi kehendak wataknya yang memerlukan dia beraksi dalam seni mempertahankan diri itu.
Syawal berkata, dia seronok dapat berlakon di bawah arahan Fauzi kerana pelakon itu banyak mengajarnya teknik lakonan terutamanya dalam babak-babak cemas.
"Abang Fauzi pernah beberapa kali memenangi anugerah sebagai ahli lagak ngeri dan banyak terlibat mengarahkan aksi-aksi cemas dalam beberapa filem.
"Saya ambil kesempatan ini untuk belajar daripadanya supaya dapat memberikan persembahan baik dalam Pak Pung," ujarnya.

No comments:

Post a Comment