29 January 2012

Tasha nafi mabuk, ghairah



TASHA yang enggan bersikap hipokrit mengaku dia gemar mengunjungi kelab malam.


DALAM hendak berseronok-seronok, melepaskan tekanan kerja dan meraikan hari ulang tahun kelahiran bersama kawan-kawan, pelakon Bunga April, Tasha Shilla tiba-tiba sahaja ditimpa bahana.
Rabu lalu, dia digembar-gemburkan beraksi liar, berparti serta menari ghairah ala-ala tarian tiang di sebuah kelab hiburan, Rootz Club di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Beberapa portal hiburan di internet mendakwa Tasha yang baru pulang dari Perth, Australia itu dilihat berseronok bersama kawan-kawannya, berparti serta asyik menari tanpa menghiraukan pengunjung lain di kelab berkenaan.
Mengiyakan dakwaan dia mengunjungi kelab hiburan untuk meraikan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-25 tahun ini, Tasha yang dihubungi Sensasi Bintang bagaimanapun melahirkan rasa terkilan kerana cerita itu telah ditokok tambah seolah-olah dia sengaja menimbulkan kontroversi.
SENSASI BINTANG: Jadi benarlah kamu ke Rootz Club pada malam 25 Januari lalu?
TASHA SHILLA: Ya benar tapi cerita mengatakan saya menari ghairah ala-ala tarian tiang itu tidak benar. Saya masih sedar siapa diri saya. Rasanya penulis itu yang tidak sedar apa yang telah ditulisnya tentang saya.
Kelab itu hanya memainkan muzik berentak R&B, kenapa pula saya tiba-tiba hendak menari ghairah dan istilah pole dancing yang digunakan juga tidak tepat, kerana saya hanya menari di lantai tari bersama kawan-kawan sedangkan pole dancing pula adalah tarian tiang.
Kamu marah dan terkejut dengan isu berkenaan?
Tak marah dan tak terkejut pun, cuma pelik seolah-olah ia ditulis dengan niat yang tidak baik.
Sebenarnya sebelum ke kelab berkenaan, saya agak keberatan memandangkan kelab itu sedikit 'panas' dan pernah membabitkan perihal artis sebelum ini.
Tapi sebab tak sanggup menolak pelawaan kawan-kawan, saya tetap datang walaupun sudah agak lewat, kira-kira pukul 1 atau 2 pagi.
Ketika itu saya dari lokasi penggambaran, jadi ada beberapa kru penggambaran juga dalam parti berkenaan.
Jadi kamu akan mengelak dan jauhkan diri dari kelab hiburan selepas ini?
Tidak sebab saya tidak mahu jadi hipokrit. Saya tidak akan meninggalkan kawan-kawan saya. Tapi saya tahu jaga diri, tahu batasan saya dan tidak akan sia-siakan kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa saya.
Adik-beradik dan keluarga saya kenal saya jenis yang bagaimana. Saya juga tak salahkan media dalam hal ini.
Adakah kamu memang seorang yang suka bersosial?
Dulu sewaktu kerja di lapangan lain memanglah saya keluar malam, ke kelab jumpa kawan-kawan tapi keluarga akan tahu ke mana langkah saya.
Sekarang, bila sudah jadi pelakon, saya mahu bina kerjaya dan ingin fokus tapi sekali-sekala bila terima ajakan kawan-kawan, rasanya tak salah. Lagipun bukannya saya buat benda tak senonoh, bukannya saya mabuk, ambil alkohol atau minum arak.
Saya cuma suka layan muzik dan jumpa kawan tapi komitmen kerja dan disiplin masih nombor satu.
Kamu mabuk ke pada malam berkenaan?
Tak, memang tak mabuk, tak ambil minuman beralkohol pun. Malam itu juga bukan saya seorang artis yang ada di kelab itu, ada beberapa artis lain bersama kumpulan yang berlainan.
Mungkin sebab saya pelakon baharu yang tengah naik, tercalon pula dalam kategori Top 5 Artis Baharu untuk Anugerah Bintang Popular, jadi orang fokus pada saya.
Sekarang bayaran menjadi popular itu sudah mula memberi impak, apa komen kamu?
Saya baru hendak popular tapi syukurlah rezeki pun tidak pernah putus. Ada tawaran filem tapi tak boleh diteruskan sebab terikat dengan drama.
Sekarang saya sedang habiskan penggambaran drama bersiri untuk slot Akasia TV3, Atas Nama Cinta serta telemovie Landasan Cinta bersama Zeel Production.
Bulan Jun nanti ada satu lagi tawaran daripada Zeel. Saya akan menjalani penggambaran di India pula untuk drama Cinta Agra. Syukur sangat sebab lepas masuk bidang lakonan inilah baru saya dapat merasa untuk ke luar negara.
Yang buruknya pula?
Orang akan mula cari dan selongkar segala keburukan saya. Tapi tak apa, saya sudah bersedia dan tidak akan jadi manusia hipokrit.

No comments:

Post a Comment