PANGKAL pengenalan pelantun lagu Selamilah Cinta, Amanda Imani, 18, cerita kurang enak melingkari diri. Tertampar dengan kisah berbusana seksi ketika resepsi persandingan Norman dan Memey, Amanda dihantui pula dengan dakwaan perampas tunangan orang.
Lebih rela memutuskan hubungan komunikasi sama ada menerusi telefon mahupun rangkaian sosial dengan bekas teman lelaki yang dikenalinya selama setengah tahun itu, Amanda mahu tutup buku lama. Dia sendiri mengaku tidak selesa dikaitkan lagi dengan bekas kekasihnya yang kini tunangan orang. Katanya lagi, kontroversi yang muncul tidak diminta dan dia enggan terus bercakaran pada isu yang dianggap sudah selesai.
"Malah saya juga telah menjelaskan kedudukan sebenar hubungan saya dan bekas kekasih kepada tunangnya.
"Lebih baik putuskan hubungan dan berikan perhatian kepada kerjaya, itu juga kaedah terbaik untuk tenangkan minda," ujarnya yang ditemui ketika sesi pratonton media konsert Adele Live At The Royal Albert Hall di Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini dan pelancaran album konsert tersebut dalam pakej cakera padat (CD) dan video cakera digital (DVD) yang dijual setiap satu pada harga RM65.90 dan kini sudah berada di pasaran Malaysia.
Turut mengagumi Adele sebagai ikon seni suara yang berketerampilan, tambah Amanda juga pernah mendendangkan lagu penyanyi kelahiran Britain itu.
"Paling saya suka lagu Someone Like You, memang memberikan pengertian paling bermakna dalam hidup saya sebenarnya," katanya yang gemar menyanyikan lagu yang miliki cerita di sebaliknya.
Penyanyi genre soul itu katanya lagi sedang dalam proses merakamkan lagu berbahasa Inggeris berjudul If You Need My Love dan bakal keluar bersama single Cemburu ciptaan sepenuhnya Malique Too Phat.
"Saya ingin mencuba dimensi baharu, sebelum ini selalu dengan irama pop balada. Kali ini muzik yang ditampilkan lebih matang, segar dan ada unsur-unsur rap," ceritanya mengenai single yang bakal keluar pada bulan Januari tahun depan.
Kisah kontroversinya merampas tunang orang muncul ketika hari Amanda ingin berangkat ke China bagi memenuhi undangan Federation International Musicians sempena rakaman televisyen A Beautiful Place bagi sambutan tahun baru 2012.
Pemenang kategori vokal terbaik wanita, Anugerah Planet Muzik 2011 itu mengakui dirinya masih gugup ketika beraksi di atas pentas di hadapan 10,000 penonton.
"Saya masih gementar untuk mengadakan persembahan tak kira di mana saja, itu buktinya saya masih baru dalam industri ini," ujarnya yang berpeluang berkongsi pengalaman bersama penyanyi lain dari Thailand, India, Kemboja, Sri Langka, Hong Kong dan Indonesia selama seminggu di daerah Kunming, China.
Dalam konsert itu, Amanda membawakan lagu Cindai yang pernah dipopularkan oleh Datuk Siti Nurhaliza serta sebuah lagu duet When You Believe bersama penyanyi dari Sri Lanka dengan menyarung busana rekaan Wan Huzairil dan Arif Shukor.
Sepanjang berada di China juga, Amanda terpaksa menutup telefon bimbitnya untuk mengelak daripada menerima SMS atau dihubungi sebarang pihak berhubung isu rampas tunang orang itu. Malah, langkah itu dirasakan lebih baik untuk dia fokus sepenuhnya untuk persembahan.
Amanda sebelum ini pernah membawa nama Malaysia ke Bulgaria untuk pertandingan 20th International Pop Music Festival Discovery 2011 di Varna, Bulgaria pada 13 hingga 15 Mei lalu.
Penuntut tahun akhir ijazah sarjana muda komunikasi dan psikologi Kolej Segi itu dijangka melancarkan kalendar 2012 edisi terhad pada 11 Januari di Hotel Hilton Kuala Lumpur.
Katanya: "Saya ingin mencuba imej baharu dan berbeza daripada sebelum ini dan tahun 2012 merupakan babak baharu buat saya bermula semula."
No comments:
Post a Comment