17 January 2012

Bob Terima Hakikat Kurang Menyerlah


Bob.
Penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Terhalang, Yusrizan Usop atau Bob enggan menyalahkan mana-mana pihak ekoran namanya sebagai penyanyi kurang mendapat perhatian peminat.
Bob, 30, berkata, sebagai seorang penyanyi dia telah berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan yang terbaik untuk para peminatnya dan tidak akan berputus asa dalam mengejar impiannya sebagai seorang anak seni.
"Saya tidak pernah kecewa atau menyalahkan mana-mana pihak atas kegagalan menyerlah dalam bidang nyanyian kerana saya sudah mencuba yang terbaik untuk peminat," ujarnya ketika ditemui mStar Online.
Tambahnya, walaupun pernah muncul dengan beberapa buah lagu baru tetapi ia jarang diputarkan di corong-corong radio akibat tidak mencapai standard dua buah lagu hitnya,Cinta Seorang Teman dan Cinta Terhalang.
Bob berkata, dia tidak kecewa dengan tindakan beberapa stesen radio tersebut enggan memutarkan lagunya kerana mungkin apa yang dikatakan mereka mempunyai kebenaran.
"Mereka mahukan sesuatu yang lebih 'besar' daripada dua hit single saya sebelum ini dan mungkin lagu yang dihantar tidak mencapai tahap dimahukan.
"Saya tidak sedih atau berkecil hati kerana mereka lebih tahu apa yang pendengar mahukan malah sebelum ini pun mereka putar lagu-lagu saya kerana ia adalah bagus," ujarnya.
Katanya, dia juga sedang dalam proses pembikinan album terbarunya dan mengambil setiap kritikan daripada pelbagai pihak sebelum ini untuk memperbaiki mutu album itu nanti sekaligus mendapat perhatian peminat.
Bob juga memberitahu, dia juga ada mencipta beberapa buah lagu dan lirik untuk album terbaru itu nanti dan tidak sabar untuk diperdengarkan kepada peminat.
"Seperti yang saya katakan, ada hikmah disebalik semua yang berlaku. Saya menganggap semua kritikan sebelum ini adalah untuk kebaikan diri saya untuk terus lebih maju," ujarnya.
Sementara itu, bercakap mengenai penglibatannya dalam filem terbitan KRU Studios,Cinta Kura-Kura, Bob memberitahu dia telah dilamar oleh pihak syarikat itu kerana pernah terlibat dalam drama bersiri muzikal, Hotel Mania sebelum ini.
Bob berkata, dia teruja berlakon dalam filem arahan Nizam Zakaria ini kerana dia dapat menyanyi dan berlakon pada masa sama.
"Watak Amin iaitu abang kepada Nani (Tiz Zaqyah) adalah seorang penyanyi nasyid yang kemudiannya bertukar menjadi penyanyi dalam kumpulan indie.
"Filem ini juga mencabar kerana memerlukan saya bercakap dengan kura-kura yang menggunakan suara Zizan Razak," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Bob memberitahu selain bakal muncul dengan single terbaru iaitu Jangan Jangan ciptaan Audi Mok dan Omar K dalam masa terdekat, dia juga baru selesai menjalani penggambaran drama Anak Iban United selain sibuk dengan aktiviti sebagai Selebriti Sokongan Riben Merah bersama Majlis AIDS Malaysia.
"Walaupun nama kurang menyerlah dan jarang-jarang muncul di dada akhbar tetapi Alhamdulilah rezeki saya masih ada," katanya.

No comments:

Post a Comment