|
UKIRAN pesona tentang namanya sudah mesra ditatap banyak mata. Dia Anzalna Nasir, bunga baharu yang sedang menguntumkan kelopak ke sebuah daerah bernama seni lakon ini. Di sini, baru enam bulan langkahnya diatur penuh ritma.
Melihat langkahnya, mahu tidak mahu, seringkali kelibatnya dilihat, dirujuk sebagai artis seangkatan kepada Neelofa, sementelah mereka sama-sama lahir daripada pertandingan bakat yang sama. Untuk Anzalna sendiri, dia sendiri sudah lali dibanding-bandingkan begitu.
Menyedari sedikit terkebelakang barangkali untuk sesaat, namun durasi dan kepantasan yang sedang dilalui, membekalkan Anzalna sebuah energi. Dia sudah bersedia untuk berlari lebih kencang dalam trek popular ini.
"Sungguh, beberapa bulan kebelakangan ini, saya langsung tiada waktu untuk diri sendiri, setiap hari ada sahaja urusan yang harus diselesaikan. Kalau tak ada penggambaran, ada majlis yang harus dihadiri dan ajakan fotografi yang sayang hendak dilepaskan.
"Bukannya saya tamak atau mahu ambil semua peluang, tapi selagi saya mampu lakukan tanpa merosakkan jadual sendiri, saya buat," katanya tiada berselindung saat ditebak tentang kerancakan publisiti yang sedang diraih.
Bukan untuk bertanding siapa popular atau siapa yang lebih lumayan mengait sensasi, Anzalna mampu memekarkan senyuman. Bakatnya yang masih perlu dipahat-pahat itu semakin diterima. Bersilih ganti judul drama lakonannya menghiasi kaca televisyen, Suria Di Cordoba, Ramadan Terakhir, Ajaibnya Cinta dan ketika ini, Gemersik Kalbu, namanya terpahat sebagai heroin untuk dua buah filem, Sepah The Movie dan TyIcKooUns yang baru disempurnakan.
"Saya pun tak sangka. Tapi penonton boleh tengok lakonan saya di kaca televisyen, mula-mula berlakon dahulu memanglah nak hayati watak merupakan satu tugas yang cukup payah. Tapi bila banyak kali bertukar set, jumpa lebih ramai pelakon senior dan bekerja dengan pengarah yang berlainan, saya dapat rasakan perubahan," katanya.
Sudah bersuluh dalam terang, dia sedang memanjat tangga populariti. Popular dalam kaca penglihatannya, bukan sahaja satu bonus bahkan juga satu hukuman. Menjadi popular juga bererti mengizinkan segala kisah dan hidup yang selama ini privasi berubah untuk diratah mentah di ruang terbuka.
Dilambung populariti
Terlanjur muncul sebagai pendatang yang sedang diintai-intai potensi, sengaja anak kedua daripada lima beradik itu diusik-usik tentang bayaran bergelar selebriti. Hadir dalam pakej, jelita bersama bakat yang boleh diasah, Anzalna juga seperti wanita muda sebayanya, jika salah percaturan membawa diri, mudah sahaja dia terjerumus ke lubuk sensasi yang boleh merosakkan diri.
"Sebelum masuk menjadi pelakon, saya ada mengamati corak dan permainan industri hiburan. Dari hari pertama turun ke lokasi juga, saya kutip dan nilai setiap apa yang berlaku depan mata sebagai ilmu. Bila sudah jadi pelakon, saya juga tak perlu takut.
"Banyak yang saya pelajari, termasuk cara bercakap dengan wartawan," katanya bersulam ketawa.
Menambah dalam nada berbunyi serius: "Memanglah bila dalam situasi sekarang, banyak orang mula beri perhatian, sama ada hendak memberi peluang atau mengambil kesempatan, itu Tuhan sahajalah yang tahu.
"Apa yang penting kena kawal diri, selagi pihak yang suka mengambil kesempatan itu tidak diberi ruang, kita akan selamat. Saya sentiasa ingatkan diri, selalu hati-hati dengan lelaki," katanya.
Teman lelaki mahasiswa
Bertukar topik ke topik, anak kepada pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim ini secara terbuka berkongsi kisah hati. Sedang intim bersama seseorang, si cantik yang genap berumur 24 tahun pada tanggal 9 Januari lalu, enggan berselindung atau menyembunyikan hubungan istimewa yang dijalin penuh kasih.
"Mulanya saya keliru juga dalam soal ini (teman lelaki). Sudahlah kami memang selalu ke mana-mana berdua, ada masanya dia yang hantar dan jemput saya dari lokasi. Takkanlah saya hendak cakap dia sebagai pembantu peribadi saya pula.
"Jadi lebih baik saya mengaku sahaja, senang cerita. Dia bukan artis, baru sahaja habis pengajian. Cukuplah saya kenalkan namanya sebagai Hanif," telus sahaja pengakuan itu keluar daripada bibir mongelnya.
Heroin dua filem
Manis bersulam manja yang tidak dibuat-buat, emosinya melonjak saat judul TyIcKooUns disebut semula. Katanya, filem arahan pengarah Khairunazwan Rodzy itu boleh dikira satu pencapaian dan keberuntungan untuknya.
"Saya masih baru, tapi dalam filem berkenaan, saya mungkin antara yang paling junior tapi diberi peluang bergandingan dengan pelakon-pelakon besar seperti Aaron Aziz, Wan Hanafi Su, Bront Palarae serta Remy Ishak.
"Saya diminta buangkan segala sifat asal saya dan masukkan karakter yang diberikan. Jalan ceritanya bagus walaupun saya hanya bawak watak kecil, sebagai Ramona. Apa yang saya faham, walaupun watak itu kecil tetapi, saya antara punca kepada konflik filem itu," katanya puas melakonkan watak primadona bernama Ramona yang menjadi rebutan dalam filem itu.
Masih hijau membentuk kematangan dalam lakonan, wanita yang fasih berbahasa Perancis itu meluahkan, dalam tempoh singkat sejak lakonan menjadi fokus, sudah variasi watak telah dipersembahkan.
"Saya sudah bawa watak perempuan sejahat-jahatnya, perempuan paling baik, tapi paling mendebarkan, watak dalam TyIcKooUns. Saya kena tembak orang guna pistol sebenar. Menggigil-gigil dibuatnya, sampaikan orang yang akan kena tembak juga naik menggigil, mungkin tak yakin dengan lakonan saya atau takut peluru dalam pistol itu belum dikosongkan," ceritanya seronok.
Masih panas dan bersemangat untuk mencuba banyak watak, soalan watak bagaimana yang ingin dicuba mungkin berbunyi klise. Bagi Anzalna, dia masih belum berpeluang terlibat dalam mana-mana naskhah seram, jika ada peluang pasti tidak akan dilepaskan.
Minta dibayangkan hari mukanya, dua atau tahun dari sekarang, jawabnya mudah sahaja.
"Berbaloi jadi pelakon dan saya akan pastikan keputusan masuk ke industri ini satu perkara yang masih berbaloi. Buat masa ini, rasanya saya perlukan kereta sendiri, tapi lesen memandu belum ada," lentur Anzalna menghabiskan sepetang bersama penuh santai.
No comments:
Post a Comment