12 December 2011

Amukan rockers



BARISAN tentera-tentera rock yang akan membedil peluru muzik di konsert Loudspeaker pada 25 Disember ini.



PESTA muzik berbayar penghujung tahun sering berpihak kepada genre rock. Pencinta irama ini masih setia berkunjung ke lokasi dengan jiwa dan semangat untuk meraikan lagu mahupun pembawa acara. Dalam mengejar tahun ini yang hanya berbaki kurang 20 hari, konsert dengan nama Loudspeaker menyediakan barisan tentera muzik yang bukan calang-calang.


Bersatu bawah payung muzik dan pentas, Wings, XPDC, Azlan and The Typewriter dan Faizal Tahir and The Royal FT Force dijangka memberi persembahan bukan calang-calang. Sinonim pada kekuatan vokal dan pengaruh nama masing-masing, Loudspeaker diramal menjadi jambatan menghubungkan jentera muzik dengan para peminat yang pastinya mahu menyaksikan kekuatan vokal kumpulan pujaan mereka. Stadium Merdeka dijadikan tapak para rockers beraksi pada 25 Disember ini.
Pemilihan empat figura rock ini turut berlandaskan kelantangan vokal.
"Dengan pengaruh, kuasa dan legasi seni yang diperjuangkan oleh empat entiti seni ini, saya yakin konsert selama lebih tiga jam itu dijangka mampu memanaskan serta memberikan impak maksimum pada tahun 2011 ini" ujar Mohd. Idi Iskandar Abu Zahar selaku penganjur pada sidang media yang diadakan di Borneo Baruk Club, Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Meletakkan empat penyanyi hebat dianggap sebagai umpan terbaik untuk menarik peminat masing-masing datang ke konsert ini. Tambah pula kita mengenakan harga yang boleh dianggap berpatutan," kata Dira Abu Zahar yang memikul tanggung jawab sebagai Pengarah Pengiklanan dan Promosi, Red Garage Group Sdn. Bhd.
Azlan gerun
Menjadi 'adik' paling bongsu daripada sudut usia dan pengalaman, vokalis dengan suara penuh bertenaga dan bernota tinggi, Azlan mengaku berasa gerun untuk menghadap suasana malam 25 Disember kelak.


FAIZAL TAHIR (dua dari kiri) akan muncul bersama The Royal FT Force dalam Loudspeaker.


"Daripada sudut pementasan dan persembahan tidak ada rasa takut cuma gerun membayangkan suasana malam itu kelak. Grup-grup pada malam itu semuanya hebat dan mereka ada ribuan peminat fanatik," ujar Azlan yang akan membawakan pemain muzik yang diberi gelaran The Typewriter.


"Saya akan mempersembahkan lima buah lagu dengan susunan baharu agar ia sesuai untuk suasana konsert itu. Saya kena buat betul-betul untuk mencapai tahap persembahan grup otai yang lain," jujurnya yang akan membawakan lagu Jeritan Batinku dalam senarai lagunya kelak.
Intro reunion XPDC
Konsert Loudspeaker juga dianggap momen yang patut ditonton oleh pencinta dan pengikut tegar grup XPDC. Kesemua ahli grup itu bakal bersatu di atas pentas Loudspeaker. Ahli lama dan baharu akan ditampilkan dalam dua set persembahan bergilir lapan orang jentera XPDC.
Semuanya datang dengan serba dua kecuali gitar. Pada posisi vokalis, Mael dan Ali bakal beradu suara buat pertama kali dalam konsert tersebut.
Membayangkan malam konsert kelak, ujar Mael, dia dan Ali akan bergilir-gilir muncul di pentas dalam slot mereka yang berdurasi selama satu jam. Lapan hingga 10 lagu popular XPDC bakal dinyanyikan, repertoir awal pembabitan mereka dalam dunia muzik hingga kini.
Ujar Mael, konsert itu merupakan persembahan pemanas buat XPDC yang dijangka muncul dalam konsert solo mereka tahun depan.
Pada 28 Januari nanti, XPDC dan Search dijadual mengadakan persembahan di Singapura.
"Sebenarnya tahun depan XPDC ditawarkan mengadakan konsert jelajah yang pertama. Persembahan kami dalam konsert Loudspeaker boleh dijadikan sebagai medan latihan untuk konsert sendiri nanti.
"Kami harap konsert itu akan menjadi kenyataan. Buat permulaan kita akan pantau sambutannya. Sekiranya sambutan menggalakkan, konsert itu akan diadakan di beberapa negeri sekitar Semenanjung. Ali akan terbabit sama dalam konsert ini," ujar Mael yang turut membayangkan album unplugged XPDC akan muncul tahun hadapan.
Wings terus mengganas
Tahun 2011 menyaksikan kemeriahan berpentas buat grup otai, Wings. Sebanyak mana pentas mereka jejaki, tidak sekali pun ia gagal membawa jiwa-jiwa rock menonton kehebatan mereka berpesta. Untuk tahun ini, selaku penutup tirai 2011, Loudspeaker turut menyaksikan Wings beraksi.


DARI kiri: Black, Eddie, Awie dan Joe akan menggegarkan Stadium Merdeka selama satu jam dengan rangkaian lagu-lagu popular mereka.


"Wings bakal menyanyikan enam atau tujuh buah lagu. Ini ialah sebuah konsert gabungan muda-mudi yang menggabungkan grup lama dan baharu, sesuai dengan tajuk cerita Loudspeaker yang menuntut vokal lantang dan muzik menggegarkan," wakil Wings, sang vokalis Awie bersuara.


Ditanya tentang 'penjualan' genre rock yang terus-terusan laris di pentas berbayar, Awie mengangguk dan menjawab:
"Itulah hiburan yang jujur dan tidak dibuat-buat. Setiap anggota grup rock itu melepaskan kejujuran mereka di pentas berbekalkan lagu-lagu bermelodi sedap serta lirik yang senang dicerna. Jadi, setiap lagu yang dimainkan boleh dinyanyikan bersama oleh penonton, itu yang penonton suka."
Tambah Awie, kemunculan grup seperti Wings dan Search terus menjadi pilihan bukan kerana grup baharu tidak hebat tetapi mungkin tidak cukup stabil.
"Suatu masa nanti grup-grup muda yang ada sekarang mungkin akan digilai suatu masa lagi, mereka kena kerja keras dan kekalkan konsep yang dibawa, kalau cacar-marba, peminat tak suka. Itu juga antara sebab kenapa kami masih bertahan," jelas Awie menceritakan material baharu Wings yang dijadualkan terbit pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment