|
PASTINYA ramai yang sudah tahu tentang pergolakan rumah tangga yang berlaku di antara pengacara Jimmy Shanley dan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy yang ketika ini masih lagi dibicarakan di mahkamah.
Dengan kemelut yang melanda pasangan tersebut, ia seolah-olah turut memberi impak kepada hubungannya sebagai bapa kepada anak mereka iaitu Zahrah Shanley yang telah dilahirkan pada 24 Jun yang lalu.
Masakan tidak, pengacara yang popular menerusi rancangan Trek Selebriti ini meluahkan sehingga kini dia tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan Zahrah setelah kali terakhir menatap anaknya pada bulan Jun lalu semasa baru dilahirkan.
Jimmy mendakwa, dia dihalang daripada bertemu dengan anaknya yang kini tinggal bersama keluarga isterinya.
"Bapa mana yang tidak sedih kalau tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan anak kandung sendiri. Seboleh-bolehnya saya ingin menjadi seorang bapa yang mampu memberi kasih sayang sepenuhnya seperti bapa-bapa yang lain.
"Melihat ibu bapa yang membawa anak mereka keluar bersiar-siar, sudah tentu saya ingin lakukan perkara yang sama. Dalam hati, hanya Allah yang tahu tentang perasaan rindu saya terhadap Zahrah," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran drama Antara Garisan baru-baru ini.
Untuk mengubati kerinduan terhadap anak sulungnya itu, Jimmy memberitahu, cuma gambar-gambar sahaja yang menjadi pengubat kelukaan, selain sentiasa berdoa agar anaknya terus berada dalam keadaan yang sihat.
Ujarnya lagi, dia hanya berkesempatan dapat bermanja dengan Zahrah sewaktu baru dilahirkan, kini peluang tersebut seolah-olah semakin sukar dan dia seperti dihalang untuk bertemu dengan anaknya itu.
"Saya tidak kisah kalau sudah ditakdirkan tidak bahagia untuk menjadi seorang suami. Saya lebih rela sekiranya dapat menjadi seorang bapa yang terbaik kepada anak saya dan mahu melihatnya membesar seperti kanak-kanak lain," ujarnya.
Pada masa yang sama, Jimmy secara terus-terang mengaku masih lagi mencintai isterinya itu dan tidak berhasrat untuk melepaskannya, biarpun Suhaila sudah memfailkan penceraian di mahkamah.
Akuinya, walaupun kini dia mempunyai ramai kenalan wanita, tetapi dia tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti dan terus berharap agar isterinya itu akan kembali hidup bersama dengannya.
"Secara terus-terang saya bersedia untuk memberi kemaafan kepada isteri atas segala kesalahan yang dilakukan. Setiap hari saya berdoa supaya Allah dapat melembutkan hati dia.
"Ibu mertua juga turut memberi nasihat supaya saya tidak melepaskan Suhaila. Buat masa ini, saya sudah lali dengan apa yang berlaku dan menyerahkan semua keputusan kepada mahkamah," jelasnya.
Mengenai pendedahannya di Mahkamah Rendah Syariah baru-baru ini dengan mendakwa isterinya itu seorang kaki judi dan perokok yang menjadi punca permasalahan rumah tangga mereka, Jimmy enggan mengulas panjang memandangkan kesnya itu masih lagi dalam proses perbicaraan.
Ujarnya, selepas ini dia berharap supaya kes perbicaraan tentang kesnya itu akan dibicarakan secara tertutup supaya tidak mengaibkan mana-mana pihak termasuk dirinya sendiri.
"Lagipun sehingga sekarang dia masih lagi isteri saya dan pada masa yang sama saya perlu menjaga nama baik dan reputasi keluarga mertua memandangkan mereka agak dikenali ramai," ujarnya.
Ditanya sama ada dia berasa kesal terhadap apa yang menimpa dirinya saat ini, pengacara tersebut memberitahu dia tetap menerima dengan hati terbuka walaupun agak pahit untuk ditelan.
"Ada peminat yang memberikan nasihat supaya saya terus tabah dalam mengharungi kehidupan seharian. Bila difikirkan semula, saya rasa patut bersyukur kerana ada orang lain yang lebih tidak bernasib baik," ujarnya.
Ceramah motivasi
Selain kelihatan tenang dan ceria sewaktu bertemu dalam majlis pelancaran drama Antara Garisan baru-baru ini, ternyata tubuh pengacara itu juga dilihat lebih berisi berbanding sebelumnya.
Menurut Jimmy, jika sebelum ini berat badannya cuma sekitar 54 kilogram, tetapi kini berat badannya meningkat kepada 64 kilogram sehingga menampakkan bentuk badannya yang berisi.
"Biasanya kalau tidak ada sebarang pekerjaan, saya lebih suka duduk di rumah dan memasak. Bila ada masa terluang, saya akan mengajak rakan-rakan untuk datang ke rumah dan menjamu mereka makanan yang saya masak.
"Bagi saya, itu adalah salah salah satu cara yang mampu saya lakukan dalam usaha untuk melupakan segala masalah yang dialami sekarang ini dan rasa lebih tenang dengan kehidupan sekarang," ujarnya.
Menurutnya lagi, kini dia juga telah dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa masjid di kawasan kediamannya dan diberi tugas untuk memberi ceramah motivasi kepada kanak-kanak.
Ujarnya, ia adalah salah satu aktiviti secara sukarela yang dilakukan ketika ini dan gembira kerana dapat mendampingi kanak-kanak, sekali gus turut dapat mengubat kerinduan terhadap anaknya itu.
"Pada masa yang sama, saya kini turut menyertai Islamic Relief Malaysia untuk menjalankan kerja-kerja sukarelawan. Pada bulan hadapan, saya sudah ada perancangan untuk memberikan ceramah motivasi di sekolah-sekolah," ujarnya.
No comments:
Post a Comment