19 December 2011

"Saya Tidak Persendakan Arwah Bapa" - Adlin


Adlin Aman Ramli.
Pelakon dan pelawak, Adlin Aman Ramli menolak dakwaan juri tetap program Maharaja Lawak (MLM), Datuk Redzuwan Ismail atau Chef Wan yang menyifatkan dirinya sebagai kurang sopan kerana mempersendakan arwah bapanya pelakon A.R Tompel.
Adlin berkata, dia tidak pernah memperlekehkan atau mempersendakan bapanya kerana dia begitu bangga dan merasakan Chef Wan telah salah faham terhadap lawaknya dipentas.
"Siapa yang tidak bangga dengan bapa mereka? Jadi kenapa perlu saya persendakan bapa sendiri. Itu adalah tidak benar kerana saya menyangjungi setiap apa perkara yang dilakukan oleh arwah bapa," ujarnya ketika ditemui selepas konsert MLM minggu ketujuh di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, Adlin berkata, dia tidak terkesan dengan semua komen pedas daripada chef selebriti itu yang kerap memberi ulasan negatif terhadap persembahannya di MLM.
Ujarnya, dia yakin telah melakukan persembahan terbaik setiap minggu untuk program tersebut untuk para peminatnya.
"Saya tidak mengambil hati dengan segala komen pedas yang diberikan kepada saya kerana tidak mahu ia menggangu emosi saya," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai penyingkirannya pada konsert minggu ketujuh itu, Adlin berkata, dia terkejut dapat bertahan selama itu selepas sentiasa mendapat kritikan negatif daripada pihak juri.
"Saya anggap menyertai program ini adalah sebagai satu percutian buat saya dan ia cukup menyeronokkan. Malangnya percutian itu telah pun habis," ujarnya.
Selain Adlin, kumpulan Bawal Power (BP) turut disingkirkan bersama-samanya selepas kedua-dua mereka mendapat markah terendah.

No comments:

Post a Comment