MATANYA galak bercerita. Manik-manik jernih di bibir matanya beria-ia mahu mendirikan falsafah kerjaya anak wayang bernama Hans Isaac. "Potensi diri harus ditingkatkan setiap masa, bukan untuk kepuasan peribadi tetapi untuk kepuasan dan potensi semua (kru) yang terlibat," cerita Hans tentang penghujung kalendar 2011 yang padat agenda.
Bersisa tiga minggu sebelum bunga api 2012 dinyalakan, Hans teruja berkongsi khabar tentang produk wayang lakonannya yang sudah seminggu berada di pawagam.
Filem bertajuk Misteri Jalan Lama (MJL) itu merupakan buah tangan Afdlin Shauki. Dalam naskhah itu, Vanidah Imran dan Que Haidar ditugaskan mengisi kelainan.
Hans menggalas watak Indra, abang kepada Ilya (lakonan Que). Filem bergenre drama fantasi itu dikatakan paling berkarakter dari segi stail serta fizikal dan menyakinkan penonton terhadap watak dan perwatakan yang dimainkan.
Dalam MJL, Hans melakonkan watak anak sekali gus abang yang tidak mempedulikan soal keluarga.
"Ada memuji itu lakonan saya yang paling mantap. Bagi saya, penonton ialah juri yang paling jujur dan berhak menilai persembahan saya," jelas Hans di sebalik sambutan sederhana sepanjang MJL ditayangkan.
Tambah Hans, dia tidak tahu mengapa filem itu gagal menarik penonton.
"Mungkin untuk sesebuah filem Melayu, genre fantasi masih belum betul-betul dapat diterima oleh penonton. Rasanya, kejayaan filem di pawagam juga bergantung kepada tuah.
"Saya harap, MJL akan dapat ditonton secara lebih meluas apabila diserap masuk untuk tayangan di Astro First tidak lama lagi. Sudah ada yang bertanyakan bila agaknya MJL akan masuk Astro First. Bagaimanapun, saya harus tabik Tayangan Unggul kerana berani menerbitkan filem yang berlainan genre," kata Hans.
No comments:
Post a Comment