07 December 2011

'Lena Di Khayalan' Pengubat Rindu Faizal AF4


Faizal ketika mendendangkan lagu Watimang Landak di Konsert Akhir Reunion Akademi Fantasia di AEON AU2, Setiawangsa, Sabtu lalu.
Penyanyi Mohammad Faizal Ramly (Faizal AF4) yakin kemunculan lagu barunya berjudul Lena Di Khayalan pada hujung tahun ini bakal menjadi pengubat kekecewaannya.
Menurut Faizal, dia agak kecewa apabila lagu Watimang Landak yang pernah dipopularkan dalam album pertamanya kurang mendapat sambutan pendengar.
“Lagu Watimang Landak sudah lama berada di pasaran namun lagu itu kurang diputarkan di radio.
“Insya Allah, saya yakin lagu Lena Di Khayalan yang menjadi single terbaru saya pada hujung tahun ini akan mendapat sambutan,” katanya kepada mStar Online.
Lagu Lena Di Khayalan yang bergenre pop balada itu digubah oleh Awang BPR manakala liriknya ditulis oleh Alfa Booty.
Tambahnya: “Lagu Watimang Landak itu mungkin tidak menjadi tarikan di kalangan pendengar.
“Orang kata, kalau rezeki kita, tetap akan menjadi rezeki kita. Penyokong tidak tahu bahawa lagu tersebut telah diubahsuai kepada muzik country yang lebih menarik.
“Selepas lagu ini dipersembahkan di Konsert Akhir Reunion AF, maka terpulanglah kepada pendengar untuk menilai atau meminati lagu tersebut.”
Faizal yang memenangi Anugerah Komedi menerusi lagu Watimang Landak di Konsert Akhir Reunion AF di AEON AU2, Setiawangsa di sini, Sabtu lalu turut mengundang tiga penyanyi latar iaitu Falah Bassim, Fahd Ezuan dan Deen Hasumi untuk bersamanya.
Ketiga-tiga penyanyi itu yang juga berasal dari Terengganu turut menjayakan beberapa persembahan bersama-sama Faizal di negeri tersebut termasuk di Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment