03 December 2011

Asmara Hattan, Farah


















TENGAH hari Khamis, lewat 10 minit dari temu janji, telefon bimbit berdering. Pemanggil di talian, penyanyi Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Sahabuddin telah menanti di kafe seperti yang dijanjikan sehari sebelum pertemuan.
Sampai di kafe, Hattan tersenyum menyambut kami, lebih-lebih lagi selepas disapa, dengan pertanyaan apa khabar pengantin baharu. Dia senyum makin meleret dan segera memanggil pelayan mengambil pesanan.
Inti pertemuan pada hari itu hanya satu. Hattan mahu bersuara tentang fitnah yang menuduh dia menceraikan isterinya dengan talak tiga selepas tujuh hari berkahwin. Ada api kemarahan bercampur kecewa dalam bola mata Hattan saat dia mula berbicara. Sesekali terdiam, menggeleng kepala dan mendengus sebagai tanda amarah terhadap fitnah yang ditimbulkan seorang penulis gosip, hujung minggu lalu.
Bagaimana tergamak seorang lelaki yang baru ingin menjamah semula rasa cinta, menjatuhkan talak tiga terhadap suri hidup yang selama ini dicari sepanjang tujuh tahun menduda. Ujar Hattan berkali-kali, ia adalah fitnah yang terlalu kejam dan gila.
"Menjatuhkan talak tiga adalah perbuatan paling zalim yang dilakukan lelaki. Saya tak akan ceraikan isteri dengan talak tiga dan itu semua adalah fitnah!," katanya sambil menggeleng kepala.
Suri hidup
Bagi penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu, saat cinta dia dan isterinya, Farah Asyikin Othman, 32, dimeterai dengan lafaz taklik pada 11 November lalu dia sebolehnya tidak akan mempersiakan wanita itu. Katanya, tujuh tahun hidup menduda dan berdoa di hadapan Kaabah sewaktu menunaikan umrah awal tahun ini agar dikurniakan seorang suri hidup, itu sudah cukup buat dia untuk tidak mengkhianati permintaan sendiri.
"Ini (kahwin) janji saya dengan Tuhan. Saya mohon jodoh daripada-Nya dan Dia beri seperti apa yang saya mohon. Tiba-tiba saya menceraikan isteri dengan talak tiga dalam tempoh tujuh hari perkahwinan sahaja. Ini adalah satu fitnah yang cukup gila!," katanya lagi.
Bercerita tentang gosip tersebut yang menyentak hatinya, dia tidak mengetahui hal tersebut sehingga dihubungi seorang teman yang dengan selamba berkata: "Beb, lu memang real!" dan dijawab saya: "Apa yang real," sebelum teman tadi menjelaskan gosip yang tersebar pada hari itu.

ULAS Hattan tentang perkahwinan keduanya dengan Farah: "Saya tak mahu kahwin dan cerai dalam hidup. Cukup dengan perkahwinan ini."





Segera mendapatkan akhbar, dia mula membaca fitnah itu. Biar tiada nama, dia amat yakin fitnah tersebut ditulis untuk dia dan isteri. Kesal dan marah bergaul. Apatah lagi isterinya tidak biasa dengan 'permainan' dunia hiburan. Dia bukan orang yang ambil pusing tentang industri hiburan, namun sebaik dikaitkan dengan fitnah tersebut, ada rasa kesal timbul di benak isterinya tentang 'permainan' dalam lapangan yang diceburi Hattan.
Dan kemudian mereka mula dihujani panggilan telefon daripada keluarga kedua belah pihak. Ujar Hattan, ibunya menangis membaca fitnah tersebut, sementara keluarga Farah pula mahu penjelasan lanjut.
"Isteri saya tidak biasa dengan dunia hiburan. Selepas keluar fitnah itu, kami berdiskusi. Dia tidak faham mengapa orang tergamak sehingga membuat cerita seperti itu dan mula mempunyai persepsi buruk terhadap wartawan hiburan dan industri seni itu sendiri," kata Hattan yang menyifatkan penulis tersebut sebagai tidak mempunyai etika dan tidak tahu menghormati institusi kekeluargaan.
Tambahnya lagi, jika mahu menjual cerita pun, jangan sampai memporak-perandakan hidup orang, apa lagi menabur fitnah yang tidak masuk akal dan bernafsu binatang.
Sedang asyik berbicara, Hattan menghubungi isterinya yang sedang berada di Kota Kinabalu, Sabah atas urusan kerja. Di hujung talian, terdengar mesra Farah menyapa sebelum menjelaskan dia kesal dengan fitnah tidak berasas itu.
Sebagai seorang ibu tunggal kepada dua orang anak iaitu Nazril, 6, dan Khara Latiesya, 5 yang telah enam tahun hidup berdikari tanpa seorang suami, dia terpukul dengan fitnah tersebut.
Katanya: "Selepas enam tahun hidup sendiri dan baru sahaja berumah tangga semula, fitnah tersebut cukup memalukan dan menjatuhkan maruah saya sebagai seorang wanita. Saya harap di masa hadapan, tidak ada lagi fitnah sebegini. Saya sayang suami saya dan kami bahagia."
Adaptasi

HATTAN dan Farah merupakan dua individu dengan latar berbeza namun berkongsi satu cinta.





Biar boleh disifatkan sebagai cinta kilat, namun ia tidak berjalan terlalu lancar. Ada gelombang yang harus direnangi sebelum mereka berjaya ke destinasi. Terbuka Hattan berkongsi, mereka juga hampir memutuskan hubungan kerana terkadang emosi tidak dapat menanggung dugaan yang ditempuhi termasuk Farah 'diracun' dengan pelbagai label tentang Hattan seorang kaki perempuan, kaki pukul dan label-label negatif yang lain.
Bagaimanapun berkat kesabaran, semua berjaya diatasi. Akhirnya kata sepakat diambil dalam tempoh yang singkat. Cinta mereka harus disimpul dengan ikatan suci iaitu perkahwinan.
Selepas bernikah, ada satu lagi fasa yang harus mereka tempuhi. Tujuh tahun menduda dengan hanya ditemani anak terunanya, Adam Iman, 14, akui Hattan banyak benda yang harus diadaptasi terhadap perkahwinan kedua ini. Hal yang sama berlaku kepada Farah yang juga sudah terbiasa sendiri bersama dua buah cintanya.
Baru tidak sampai sebulan bernikah, mereka berdua berusaha untuk saling melengkapi satu sama lain, memahami dunia antara mereka yang benar-benar tidak sehaluan dan cuba mencantumkan semua hal untuk keharmonian serta masa depan mereka bersama. Jujurnya kata Hattan ada banyak perkara yang perlu dia dan Farah kompromi.
"Kami mempunyai dunia yang berbeza. Dia seorang ahli perniagaan yang beribu pejabat di kota London dan Hong Kong. Saya pula dengan dunia saya yang serba sederhana. Benar, kami adalah sepasang manusia yang berlainan.
"Namun sebaik mungkin kami akan bertoleransi, kompromi dan belajar untuk menerima dunia satu sama lain dengan sebaik yang boleh. Malah Farah selalu minta maaf kerana dia tidak dapat menguruskan makan atau menyediakan pakaian saya seperti suri rumah lain kerana kesibukannya. Tapi saya faham kerana sebelum berkahwin, saya telah terlebih dahulu memahami kerjaya dia," ujar Hattan penuh hemah.

BAHAGIA. Hattan dan Farah berharap agar kehidupan mereka tidak dilanda fitnah lagi.





Mengenang cinta kilat mereka, Hattan berulang kali memberitahu itu yang dinamakan jodoh. Cinta mereka bertaut tidak lama, tidak mencecah usia setengah tahun. Namun bagai ada satu arus elektrik yang mencuit rasa cinta antara mereka. Dia jatuh cinta dan membuat keputusan untuk menikahi Farah selepas insiden Farah mengaku Adam (anak Hattan) sebagai anaknya sewaktu Adam pengsan di bazar Ramadan. "Saya tersentuh dan ia mengerakkan hati saya untuk menikahi dia kerana ciri utama yang harus ada pada bakal isteri saya adalah menyayangi anak saya sepenuh hati, katanya lagi.
Sementara ditanya apa kriteria yang membuat Farah juga bersetuju untuk mengakhiri riwayat status ibu tunggal, jawab Hattan sambil tersenyum: "Dia kata saya mempunyai sifat kebapaan."

No comments:

Post a Comment