GOSIP percintaan antara pelakon popular Sharnaaz Ahmad, 26, dengan pelantun Patah Seribu, Shila Amzah, 21, semakin kencang bermain di bibir ramai. Bermula daripada kerjasama menghasilkan klip video single Patah Seribu, hubungan dan kemesraan mereka semakin terserlah.
Kerap kali mereka dilihat bersama bahkan pada acara karpet merah Anugerah Skrin 2010, mereka juga hadir berpasangan. Kepada pengikut Sharnaaz dan Shila di laman sosial Twitter, kemesraan dua selebriti ini bukan satu rahsia. Luahan rindu, sayang serta panggilan 'anja' antara mereka berdua mudah mengiakan sangkaan bahawa anak sulung ND Lala itu sedang menganyam cinta bersama aktor kelahiran Georgetown, Pulau Pinang.
Terbaru, gambar-gambar yang dimuat naik Shila dan Sharnaaz semakin menjelaskan status hubungan mereka walaupun Shila sendiri ada membuat penafian. Di matanya, Sharnaaz bagaikan biasan cermin. Mereka intim tetapi belum sampai ke tahap bercinta.
"Kami memang rapat tetapi untuk bercinta mungkin belum masanya kerana saya ada sasaran, mungkin empat atau lima tahun lagi baru saya akan sedia untuk memikirkan soal perkahwinan," katanya yang pernah menangis melihat lakonan Sharnaaz dalam drama Ungunya Cinta.
Tidak adil untuk Shila, jawapan Sharnaaz yang sedang menjalani penggambaran drama bersiri Bicara Cinta, mungkin mampu menjelaskan situasi sebenar. Secara budiman akui Sharnaaz, cinta yang diperkatakan itu belum berbunga namun seperti Shila, Sharnaaz mengiakan mereka kini dalam status sahabat baik.
SENSASI BINTANG: Makin kuat gosip percintaan kalian, benarkah sedang bercinta dengan Shila?
SHARNAAZ: Memang tidak bercinta tapi kami memang rapat. Saya selesa sebab dia jenis gila-gila macam saya juga, kami tak perlu nak 'kontrol-kontrol' bila bersembang.
Pernah keluar berdua?
Tak pernah, langsung tak pernah. Saya takut nanti kena belasah dengan ayah Shila. Saya masih hormatkan orang tua Shila, setakat ini belum pernah kami keluar berdua, kalau berjumpa selalunya Shila ditemani ibu atau adik lelakinya. Saya memang rapat dengan ahli keluarga termasuklah bapanya, mungkin kalau dibenarkan ayahnya, suatu hari nanti mungkin kami pun akan keluar bersama.
Kenapa begitu tertarik mahu bersahabat dengan Shila?
Saya anggap Shila anak seni yang serius dengan kerja seninya, saya suka cara dia bekerja. Biarpun muda, tapi kematangannya mengatasi usia.
Apa panggilan terhadap Shila?
Saya panggil dia dengan panggilan 'anja', memang sejak dulu lagi saya panggil Shila 'anja' sebab karakternya yang manja-manja. Dia pun panggil saya anja juga.
Mula kenal Shila sebenarnya sejak bila?
Rasanya sudah setahun lebih, sebelum kami buat klip video bersama, saya dipertemukan dengan Shila dalam satu fotografi untuk majalah Mangga. Dari situ mulai baik sampailah Shila hubungi saya untuk projek klip video Patah Seribu.
Ada apa-apa perancangan bersama?
Sebenarnya kami tengah bekerjasama untuk sebuah projek, projek apa kena tunggu. Saya belum umumkan lagi. Apa yang pasti, bukan projek duet sebab saya tak pandai menyanyi macam Shila.
No comments:
Post a Comment