KEHADIRAN Fouziah Gous dalam industri lakonan tempatan lebih bermodalkan rupa namun sedikit demi sedikit anak kelahiran Kuala Lumpur ini membuktikan jiwanya mampu menyerap pelbagai pelangi karakter.
Fouziah kini dilihat sebagai aktres yang mampu menarik perhatian pengarah-pengarah terkenal dan berkredibiliti tinggi.
Bukan hanya menadah wajah cantik dengan rambut panjang mengurai, Fouziah sudah ada anjakan demi anjakan positif dalam skil lakonan.
Dalam deretan portfolionya, wanita berusia 29 tahun ini sudah diberi pelbagai karakter termasuk watak isteri bermadu. Antaranya lakonan berkesan Fouziah ialah dalam siri drama Trilogi Cinta bersama Rosyam Nor dan Amyza Adnan.
Terbaru, Fouziah kembali menggalas pahit dan manis hidup bermadu dalam drama bersiri Karma yang kini ditayangkan pada setiap hari Isnin dan Selasa sejak 28 November lalu di saluran TV9.
Drama 13 episod arahan Erma Fatima ini mempamerkan kemampuan Fouziah membawa watak Karmila yang merupakan seorang pelakon popular. Karmila jatuh cinta dan berkahwin dengan lelaki berusia, Tan Sri Fahrul Sani, lakonan Datuk Ahmad Tamimi Siregar. Namun, cinta dan rumahtangga mereka tidak diterima isteri pertama, lakonan Ziela Jalil.
“Saya dan Ahmad Tamimi perlu bercinta dalam drama ini. Ini agak sukar kerana percintaan pelik ini mendatangkan tekanan kepada saya kerana sudah terbiasa menyapa (Tamimi) dengan panggilan ayah. Kini (saya) kena biasakan diri (dengan) memanggilnya ‘sayang’ pula,” ujarnya yang diubah penampilan dan gaya rambut untuk menjiwai Karmila.
“Awalnya saya macam tak boleh nak buat karakter ini. Skrip memerlukan reaksi mata yang menunjukkan kasih sayang isteri kepada suaminya. Kena ada manja, mengada-ngada. Namun saya cuba,” ujarnya yang membuang rasa kekok untuk mencantikkan watak Karmila.
Menurut Fouziah , Karma adalah kali kelima dia melakonkan watak wanita bermadu selepas Trilogi Cinta, Tahajud Cinta, Kekasih Awal dan Akhir serta Senyawa.
“Status watak sama, tetapi tuntutan jalan ceritanya berbeza. Semua itu hanyalah lakonan semata-mata. Dalam kehidupan realiti, saya sentiasa berdoa agar diberikan jodoh terbaik. Saya juga berdoa supaya dijauhkan kehidupan bermadu kerana dalam lakonan pun sudah dapat rasakan keperitannya. Apatah lagi realiti,” ujarnya yang mengaku belum punya waktu untuk bercinta.
No comments:
Post a Comment