29 December 2011

Kemewahan anak Cruise



SURI

PASANGAN Tom Cruise dan Katie Holmes dilaporkan telah menyewa tempat meluncur ais yang ditutup daripada dikongsi orang ramai khusus untuk puteri mereka, Suri, dengan harga RM16,000 selama satu bulan.

“Cruise menyewanya selama musim (dingin) ini sehingga tidak ada orang lain yang boleh menggunakannya,” ujar sumber kepada New York Daily News.
Sebelum ini, Cruise dan Holmes juga dikhabarkan telah membelanjakan sebanyak RM410,000 untuk membeli hadiah Krismas yang diinginkan Suri iaitu seekor kuda poni, subang berlian dan gaun buat anak mereka yang hanya berusia lima tahun itu.

28 December 2011

Kerja amal Jimmy













PASTINYA ramai yang sudah tahu tentang pergolakan rumah tangga yang berlaku di antara pengacara Jimmy Shanley dan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy yang ketika ini masih lagi dibicarakan di mahkamah.
Dengan kemelut yang melanda pasangan tersebut, ia seolah-olah turut memberi impak kepada hubungannya sebagai bapa kepada anak mereka iaitu Zahrah Shanley yang telah dilahirkan pada 24 Jun yang lalu.
Masakan tidak, pengacara yang popular menerusi rancangan Trek Selebriti ini meluahkan sehingga kini dia tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan Zahrah setelah kali terakhir menatap anaknya pada bulan Jun lalu semasa baru dilahirkan.
Jimmy mendakwa, dia dihalang daripada bertemu dengan anaknya yang kini tinggal bersama keluarga isterinya.
"Bapa mana yang tidak sedih kalau tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan anak kandung sendiri. Seboleh-bolehnya saya ingin menjadi seorang bapa yang mampu memberi kasih sayang sepenuhnya seperti bapa-bapa yang lain.
"Melihat ibu bapa yang membawa anak mereka keluar bersiar-siar, sudah tentu saya ingin lakukan perkara yang sama. Dalam hati, hanya Allah yang tahu tentang perasaan rindu saya terhadap Zahrah," ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran drama Antara Garisan baru-baru ini.
Untuk mengubati kerinduan terhadap anak sulungnya itu, Jimmy memberitahu, cuma gambar-gambar sahaja yang menjadi pengubat kelukaan, selain sentiasa berdoa agar anaknya terus berada dalam keadaan yang sihat.
Ujarnya lagi, dia hanya berkesempatan dapat bermanja dengan Zahrah sewaktu baru dilahirkan, kini peluang tersebut seolah-olah semakin sukar dan dia seperti dihalang untuk bertemu dengan anaknya itu.
"Saya tidak kisah kalau sudah ditakdirkan tidak bahagia untuk menjadi seorang suami. Saya lebih rela sekiranya dapat menjadi seorang bapa yang terbaik kepada anak saya dan mahu melihatnya membesar seperti kanak-kanak lain," ujarnya.
Pada masa yang sama, Jimmy secara terus-terang mengaku masih lagi mencintai isterinya itu dan tidak berhasrat untuk melepaskannya, biarpun Suhaila sudah memfailkan penceraian di mahkamah.
Akuinya, walaupun kini dia mempunyai ramai kenalan wanita, tetapi dia tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti dan terus berharap agar isterinya itu akan kembali hidup bersama dengannya.
"Secara terus-terang saya bersedia untuk memberi kemaafan kepada isteri atas segala kesalahan yang dilakukan. Setiap hari saya berdoa supaya Allah dapat melembutkan hati dia.
TANPA disedari rumah tangga yang dibina Jimmy dan Suhaila sudah menjangkau usia setahun.


"Ibu mertua juga turut memberi nasihat supaya saya tidak melepaskan Suhaila. Buat masa ini, saya sudah lali dengan apa yang berlaku dan menyerahkan semua keputusan kepada mahkamah," jelasnya.
Mengenai pendedahannya di Mahkamah Rendah Syariah baru-baru ini dengan mendakwa isterinya itu seorang kaki judi dan perokok yang menjadi punca permasalahan rumah tangga mereka, Jimmy enggan mengulas panjang memandangkan kesnya itu masih lagi dalam proses perbicaraan.
Ujarnya, selepas ini dia berharap supaya kes perbicaraan tentang kesnya itu akan dibicarakan secara tertutup supaya tidak mengaibkan mana-mana pihak termasuk dirinya sendiri.
"Lagipun sehingga sekarang dia masih lagi isteri saya dan pada masa yang sama saya perlu menjaga nama baik dan reputasi keluarga mertua memandangkan mereka agak dikenali ramai," ujarnya.
Ditanya sama ada dia berasa kesal terhadap apa yang menimpa dirinya saat ini, pengacara tersebut memberitahu dia tetap menerima dengan hati terbuka walaupun agak pahit untuk ditelan.
"Ada peminat yang memberikan nasihat supaya saya terus tabah dalam mengharungi kehidupan seharian. Bila difikirkan semula, saya rasa patut bersyukur kerana ada orang lain yang lebih tidak bernasib baik," ujarnya.
Ceramah motivasi
Selain kelihatan tenang dan ceria sewaktu bertemu dalam majlis pelancaran drama Antara Garisan baru-baru ini, ternyata tubuh pengacara itu juga dilihat lebih berisi berbanding sebelumnya.
Menurut Jimmy, jika sebelum ini berat badannya cuma sekitar 54 kilogram, tetapi kini berat badannya meningkat kepada 64 kilogram sehingga menampakkan bentuk badannya yang berisi.
JIMMY kini mahu meluaskan bakat ke dalam bidang lakonan.


"Biasanya kalau tidak ada sebarang pekerjaan, saya lebih suka duduk di rumah dan memasak. Bila ada masa terluang, saya akan mengajak rakan-rakan untuk datang ke rumah dan menjamu mereka makanan yang saya masak.
"Bagi saya, itu adalah salah salah satu cara yang mampu saya lakukan dalam usaha untuk melupakan segala masalah yang dialami sekarang ini dan rasa lebih tenang dengan kehidupan sekarang," ujarnya.
Menurutnya lagi, kini dia juga telah dilantik sebagai salah seorang ahli jawatankuasa masjid di kawasan kediamannya dan diberi tugas untuk memberi ceramah motivasi kepada kanak-kanak.
Ujarnya, ia adalah salah satu aktiviti secara sukarela yang dilakukan ketika ini dan gembira kerana dapat mendampingi kanak-kanak, sekali gus turut dapat mengubat kerinduan terhadap anaknya itu.
"Pada masa yang sama, saya kini turut menyertai Islamic Relief Malaysia untuk menjalankan kerja-kerja sukarelawan. Pada bulan hadapan, saya sudah ada perancangan untuk memberikan ceramah motivasi di sekolah-sekolah," ujarnya.

19 December 2011

"Saya Tidak Persendakan Arwah Bapa" - Adlin


Adlin Aman Ramli.
Pelakon dan pelawak, Adlin Aman Ramli menolak dakwaan juri tetap program Maharaja Lawak (MLM), Datuk Redzuwan Ismail atau Chef Wan yang menyifatkan dirinya sebagai kurang sopan kerana mempersendakan arwah bapanya pelakon A.R Tompel.
Adlin berkata, dia tidak pernah memperlekehkan atau mempersendakan bapanya kerana dia begitu bangga dan merasakan Chef Wan telah salah faham terhadap lawaknya dipentas.
"Siapa yang tidak bangga dengan bapa mereka? Jadi kenapa perlu saya persendakan bapa sendiri. Itu adalah tidak benar kerana saya menyangjungi setiap apa perkara yang dilakukan oleh arwah bapa," ujarnya ketika ditemui selepas konsert MLM minggu ketujuh di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, Adlin berkata, dia tidak terkesan dengan semua komen pedas daripada chef selebriti itu yang kerap memberi ulasan negatif terhadap persembahannya di MLM.
Ujarnya, dia yakin telah melakukan persembahan terbaik setiap minggu untuk program tersebut untuk para peminatnya.
"Saya tidak mengambil hati dengan segala komen pedas yang diberikan kepada saya kerana tidak mahu ia menggangu emosi saya," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai penyingkirannya pada konsert minggu ketujuh itu, Adlin berkata, dia terkejut dapat bertahan selama itu selepas sentiasa mendapat kritikan negatif daripada pihak juri.
"Saya anggap menyertai program ini adalah sebagai satu percutian buat saya dan ia cukup menyeronokkan. Malangnya percutian itu telah pun habis," ujarnya.
Selain Adlin, kumpulan Bawal Power (BP) turut disingkirkan bersama-samanya selepas kedua-dua mereka mendapat markah terendah.

"Ombak Rindu" Cecah Kutipan RM10 Juta


Filem "Ombak Rindu" dilakonkan Aaron Aziz dan Maya Karin
Filem adaptasi novel popular Ombak Rindu kini berjaya mencecah RM10 juta setelah 17 hari ditayangkan.
Kutipan tersebut dikira bermula pada tarikh tayangannya iaitu pada 1 Disember lalu.
Pengarah Urusan Tarantella Pictures, Sharad Sharan, berkata, kutipan tersebut mungkin akan meningkat kerana tayangan filem tersebut dilanjutkan selama dua minggu.
"Setakat ini kutipan Ombak Rindu ialah RM 10 juta yang mana melebihi sasaran awal kami iaitu RM6 juta.
"Saya jangkakan mungkin boleh mnecapai RM14 juta kerana tayangan akan dilanjutkan selama dua minggu lagi selepas tarikh wajib tayang," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Dalam pada itu, Sharad turut berkata pihaknya akan menyediakan ganjaran atau bonus kepada pelakon dan krew produksi sebagai penghargaan terhadap usaha mereka.
"Pihak kompeni sudah tentu berbangga dengan kejayaan filem ini dan semamangnya telah merancang untuk memberikan ganjaran kepada mereka yang terlibat," katanya.
Selain itu, Sharad berkata, selepas kejayaan filem adaptasi Ombak Rindu dan Lagenda Budak Setan tahun lalu,Tarantella Pictures akan terus menerbitkan filem yang diadaptasi novel.
“Kejayaan dua filem Ombak Rindu dan Lagenda Budak setan, Tarantella Pictures akan muncul dengan filem Untuk 3 Hari arahan Afdlin Shauki tulisan Ahadiat Akashah danLagenda Budak Setan 2," katanya.
Katanya, filem Ombak Rindu akan dihantar untuk ditayangkan pada Festival Filem Cannes 2012
Ombak Rindu, ia mengisahkan Izzah lakonan Maya Karin iaitu gadis yatim piatu yang kematian ibu dan ayah. Lalu ayah dan ibu saudaranya, mengambil alih tugas memelihara Izzah.
Namun, Taha banyak berhutang dan disebabkan kesempitan wang, Taha menjual Izzah kepada seorang pemilik kelab malam. Di situlah bermulalah perkenalan Izzah dengan Hariz (Aaron Aziz) yang menjadi pelanggan di kelab itu.

Ruth Sahanaya Pukau Penonton Malaysia


Ruth ketika menyanyikan lagu Kaulah Segalanya. - Foto THE STAR Oleh ROHAIZAT DARUS.
Penyanyi popular Indonesia, Ruth Sahanaya berjaya memukau hampir 2,800 penonton yang hadir di Konsert 25 tahun Ruth Sahanaya yang berlangsung di Plenary Hall, pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam Sabtu.
Konsert yang bermula kira-kira pukul 8.40 malam itu dibuka dengan dendangan lagu-lagu popular Ruth Sahanaya yang disampaikan secara medley sebagai pembuka tirai.
Peminat penyanyi berasal dari Bandung, Indonesia ini bagaikan terpukau dengan kemerduan suara Ruth yang mengalunkan lagu-lagunya biarpun terdapat beberapa lagu yang tidak popular di Malaysia.
Pada malam itu juga, Ruth sempat menyanyi lebih 30 buah lagu termasuk solo dan medley antaranya termasuk lagu Kaulah Segalanya, Bawa Daku Pergi, Astaga dan Keliru.
Selain itu, Ruth juga memberi kejutan apabila menyanyikan lagu Tan SriP.Ramlee, Getaran Jiwa duet bersama penyanyi tersohor tanah air, Datuk Khatijah Ibrahim sebagai penyanyi jemputan.
Khatijah yang mendendangkan lagu popularnya Ku Pendam Sebuah Duka juga berjaya menarik perhatian penonton untuk turut menyanyi bersama.
Selain Khatijah, dua orang puteri Ruth, Nadine dan Amabel yang berusia 16 tahun dan 11 tahun turut tampil membuat persembahan pada malam itu.
Persembahan Ruth memukau.
Ruth yang ditemui pada sidang media selepas persembahan selesai menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih terhadap sokonganpeminat-peminatnya sepanjang 25 tahun berada dalm industri muzik.
"Saya sangat gembira dan puas hati apabila apa yang saya hajati dan rancang untuk konsert ini telah berjalan dengan lancar.
"Malam ini akan menjadi kenangan paling indah dalam hidup saya.
"Hajat saya untuk sampaikan rindu terhadap peminat di sini akhirnya terlaksana dan berharap peminat yang hadir berpuas hati dan terhibur," katanya.
Tambah Ruth, dia juga berbangga dapat berduet dan berkongsi pentas dengan penyanyi yang menjadi idolanya selama ini, Khatijah Ibrahim.
“Kehadiran Kak Kathy adalah sebagai satu penghormatan yang cukup besar memandangkan beliau adalah seorang penyanyi Malaysia yang cukup saya kagumi,” jelasnya.

18 December 2011

Amy Search Hampir Titiskan Air Mata Lihat 15,000 Peminat


Vokal Amy masih mantap dan memukau penonton. Foto THE STAR Oleh RICKY LAI.
Vokalis kumpulan Search, Amy, hampir menitiskan air mata apabila melihat seramai 15,000 penonton tidak henti-henti menyanyi bersama-samanya sepanjang konsert jelajah Fenomena 30 Tahun Search yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran MINES, di sini, malam Sabtu.
Amy berkata, perasaan terharu semakin memuncak ketika membawakan lagu terakhir iaitu Fantasia Bulan Madu lebih-lebih lagi mendengar gema suara nyanyian seluruh penonton yang berada di konvesyen berkenaan.
"Saya rasa, konsert ini adalah yang terbaik. Kami berpuas hati dengan persembahan dan respons yang diberikan peminat.
"Ia merupakan satu momen yang sangat indah lebih-lebih lagi ketika membawakan lagu Fantasia Bulan Madu sambil diringi suara nyanyian penonton, mereka membuatkan saya terduduk dan hampir mengeluarkan air mata.
"Semangat mereka membuatkan kami terharu," katanya yang ditemui selepas konsert tersebut.
Selain Amy, Search dibarisi Din, Kid, Nasir dan Yazid.
Persembahan energetik Search selama hampir tiga jam telah memukau para penonton yang tidak henti-henti menyanyi bersama-sama sepanjang 25 buah lagu dipersembahkan
Suntikan 'magis' Search bermula dengan lagu pembukaan, Panggung Khayalan diikuti dengan barisan lagu lain seperti Gothik Malam Edan, Fenomena, Metropolitan, Melayar Bahtera, Serigala Segalanya, Pemuzik Jalanan, Isabella, Melastik Ke Bintang, Cakap Memang Meriah, Rozana dan Bisa.
Malah pentas yang dibina khas agak menarik dan mesra penonton dimana Amy dapat beraksi lebih dekat dengan mereka.
Hampir 15,000 penonton membanjiri konsert.
Kelincahan Amy juga membuatkan dirinya hampir terjatuh saat mendendangkan lagu Isi dan Kulit.
Penonton juga diberi kejutan dengan kemunculan M.Nasir untuk berduet dengan Amy dalam beberapa seleksi lagu seperti Mat Rock, Paranoid dan Meniti Titian Usang.
"Ini adalah satu penghormatan buat saya apabila dijemput berduet dengan Amy.
"Ternyata perjuangan Search selama 30 tahun cukup hebat sehingga mencetuskan fenomena.
"Lihat saja penonton-penonton yang hadir, ia cukup jelas memberitahu,peminat Search masih lagi kekal malah bertambah dengan peminat generasi baru pula," ujarnnya.
Lagu-lagu lain yang juga dipersembahkan Search ialah Laila Namamu Teratas, Kejora, Mat Rock, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Pawana dan Fantasia Bulan Madu.
Dalam pada itu, beberapa selebriti terkenal seperti Aizat, Ella, Ika (Mentor), Altimet, Nana dan Burn turut hadir menyaksikan konsert tersebut.
Siri jelajah bersempena dengan 30 tahun penubuhan kumpulan itu telah bermula di Stadium Batu Kawan, pulau Pinang dengan jumlah penonton sebanyak 7,000 orang dan Johor, seramai 10,000 penonton.

17 December 2011

Faktor Usia Jadi Penyebab Shahora Tidak Memilih


Sharifah Shahora tidak memilih watak yang ditawarkan kepadanya.
Dramatis popular, Sharifah Shahora Syed Akil, 36, menjelaskan tidak lagi memilih watak yang ditawarkan kepadanya kerana menyedari faktor usia yang kian meningkat.
Shahora berkata, dia kurang memikirkan mengenai soal watak kerana pada usia sedemikian dia lebih memikirkan keselesaan apabila berlakon dalam sesebuah produksi.
"Saya bukan lagi seorang pelakon berusia 20 tahun yang boleh “demand” watak dan tawaran. Macam sekarang saya banyak menerima watak menjadi ibu, saya tetap terima kerana itu adalah rezeki saya.
"Paling penting saya selesa bekerja dengan seseorang pengarah drama atau filem itu," ujarnya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Shahora memberitahu dia kini selesa bekerja di bawah arahan pengarah drama dan filem terkenal, Michael Ang yang dianggap sebagai rakan baiknya.
Shahora yang pernah membintangi lebih 200 buah drama sejak 1996 berkata, Michael bukan sahaja seorang pengarah tetapi sahabat yang murah hati dalam membantu pelakon sepertinya mendapatkan sesuatu peranan.
"Sekarang saya banyak berlakon di bawah arahan Michael walaupun hanya satu babak saya akan lakukan kerana dia adalah sahabat saya," ujarnya.
Sementara itu, bercerita mengenai perkembangan terbarunya, Shahora memberitahu dia kini sedang sibuk menguruskan perniagaan pakaian dalam wanita dan pakaian lelaki yang diusahakan bersama suaminya, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.
Ia bertempat di tingkat bawah Axis Atrium, Ampang.
Ujarnya, kedai yang diberi nama Fiedra Shahora Shop dan Red Guogi Mens Wear itu diusahakan selepas cubaan menjual “padding” secara kecil-kecilan mendapat sambutan hangat di kalangan pelanggan dan rakan-rakan artis.
"Saya bermula daripada menjual “padding” untuk wanita dan apabila ia mendapat sambutan menggalakkan saya terfikir untuk memperluaskan perniagaan saya dengan menjual pakaian dalam wanita yang jarang dilakukan oleh orang lain.
"Selepas berbincang dengan suami, kami mulakan dua perniagaan sekali gus yang diusahakan bersama-sama," ujarnya.
Pun begitu katanya, dia masih sibuk menjalani penggambaran drama dan memberitahu baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama “Palesit” arahan Michael Ang.
"Saya cuba mengimbangkan antara perniagaan dan lakonan dan Alhamdulillahlah ia berjalan dengan baik," ujarnya.

Suami 'Risau', Elly Suriati Mengandung Empat Bulan


Azri Iskandar risau dengan keadaan isterinya yang sedang mengandung. - Foto THE STAR Oleh ELLIS KHAN.
Pelakon berbakat, Azri Iskandar memberitahu risaukan keadaan isterinya, pelakon dan pengarah, Elly Suriati yang sedang mengandung empat bulan.
Azri berkata, kerisauannya itu disebabkan Elly kini sedang sibuk dalam kerja-kerja pengarahan filem sulungya, Penanggal yang baru memulakan penggambaran pada 10 Disember lalu.
"Saya bimbang dia akan tertekan dan akan memberi kesan kepada kandungan dengan sikapnya yang tidak mahu mendengar kata ketika mengandung.
"Tetapi dia adalah seorang yang bersemangat dan teliti apabila melakukan sesuatu," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran filem tersebut di sini, Jumaat.
Azri berkata, isterinya tidak mengetahui sudah berbadan dua sehinggalah dia dan beberapa krew produksi filem Penanggal membuat lawatan ke lokasi penggambaran.
Ujarnya, keadaan isterinya yang kurang sihat selepas membuat lawatan lokasi telah memaksanya untuk melakukan rawatan dan doktor memberitahu bahawa Elly sedang mengandung.
"Masa Elly dapat tawaran mengarahkan filem ini dia masih tidak tahu keadaan dirinya sedang mengandung dan hanya mengetahui selepas itu.
"Walaupun sedikit risau tetapi saya yakin dia dapat menjaga dirinya dengan baik tambahan pula saya turut berlakon di dalam filem sama. Jadi dapatlah memerhatikan dirinya," ujarnya.
Elly Suriati tegah bersemangat untuk menyiapkan filem arahan pertamanya walaupun sedang mengandung empat bulan.
Dalam pada itu, Azri menolak dakwaan bahawa dia diambil berlakon sebagai watak utama dalam filem tersebut hanya kerana hubungan suami isteri antara mereka.
Ujarnya dia perlu menghadiri uji bakat yang diadakan oleh pihak produksi sebelum diterima berlakon.
"Benar filem berkenaan adalah idea, hasil tulisan dan arahannya tetapi saya sendiri tidak mendapat jalan mudah kerana perlu menghadiri uji bakat bersama-sama pelakon lain.
Sementara itu, Elly ketika ditemui berkata, dia tetap mahu meneruskan penggambaran filem tersebut walaupun sedang mengandung dan memberitahu tidak mempunyai sebarang alahan di peringkat awal kandungannya itu.
Elly berkata, kesibukan di lokasi kadang kala menyebabkan dirinya terlupa bahawa dia sedang berbadan dua kerana teruja dengan buah tangan pertamanya itu.
"Ada kalanya saya terlupa tetapi itu tidak bermakna saya tidak menjaga kesihatan diri dan tahu batas saya sebagai seorang ibu mengandung.
"Insya-Allah semuanya dalam keadaan terkawal dan doakan agar semuanya selamat buat saya," katanya.
Filem usaha sama antara Astro Shaw dan Grand Brilliance itu adalah filem pertama menggunakan khidmat pengarah wanita dan menelan belanja sebanyak RM2.1 juta.
Selain Azri, Penanggal turut dilakonkan oleh Ummi Nazeera, Zulkifli Ariffin, Normah Damanhuri, Fauziah Nawi, Rozie Othman dan sebagainya.
Ia masih dalam proses penggambaran dan dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.

Zul Ariffin Akui Masih Sayangkan Abby Abadi


Pelakon Zulkifli Ariffin, 25, mengakui masih sayangkan bekas kekasihnya, pelakon Abby Abadi walaupun tidak lagi mempunyai sebarang hubungan cinta.
Zul berkata, adalah tidak mungkin dia dapat melupakan hubungannya bersama Abby yang telah berlangsung selama tiga tahun begitu sahaja dan masih menghormatinya sebagai seorang kawan.
"Hubungan saya dengan Abby masih baik dan ada kalanya kami bertanya khabar melalui panggilan telefon atau pun berbalas SMS. Sudah tentu perasaan sayang kepadanya masih ada kerana percintaan kami bukan berlangsung selama tiga hari tetapi tiga tahun lamanya.
"Sudah tentu ia masih berbekas di hati saya," ujarnya kepada media ketika ditemui pada majlis sidang media filem Penanggal di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, ditanya adakah dia akan kembali menjalinkan hubungan cinta dengan bekas penyanyi kumpulan Elite itu, Zul menjawab ringkas. “mungkin...!
Zul juga mendedahkan dia masih mengambil tahu mengenai perkembangan diri Abby dan tiga anaknya menerusi laman Facebook milik bekas kekasihnya itu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai punca keretakan hubungan mereka, Zul enggan mengulas lanjut dan menyifatkan ia adalah perkara bersifat peribadi untuk dikongsi kepada umum.
"Saya tidak pernah menyesal mengenali Abby malah dia adalah antara insan yang paling baik pernah saya temui selain daripada keluarga saya.
"Cuma saya sesalkan mengenai kesalahan dan kesilapan yang pernah berlaku sepanjang kami bersama," ujarnya.
Bercakap mengenai perkembangan terbaru mengenai dirinya, Zul berkata dia bersyukur dapat berlakon di dalam filem Penanggal arahan sulung pelakon berbakat Elly Suriati.
Ujarnya, peluang berlakon di bawah arahan pelakon berkaliber itu adalah peluang keemasan buatnya untuk membuktikan diri sebagai seorang pelakon yang baik.
"Elly Suriati sangat berbakat dan begitu profesional ketika berada di lokasi penggambaran dan sentiasa memastikan apa yang dilakukan adalah terbaik.
"Walaupun ada mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang garang tetapi bagi saya jika kita sebagai pelakon mempersiapkan diri sebelum ke lokasi tiada sebarang alasan untuk dimarahi.
"Jika ada pun itu sudah tentu untuk kebaikan bersama bagi menjayakan filem berkenaan," ujarnya.
Zul berkata, cabaran berlakon dalam filem yang turut menggandingkannya bersama Azri Iskandar dan Fasha Sandha itu adalah dia perlu bercakap dalam dua bahasa iaitu bahasa Arab dan Bahasa Malaysia.
Bagaimanapun katanya, atas bimbingan pengarah yang mengadakan kelas bahasa dan persediaan berlakon telah memberikannya semangat dan keyakinan diri untuk melakukannya.

Ella, Awie Kongsi Pentas Untuk Sebuah Konsert Rock


Ella teruja dapat bergandingan dengan Awie dalam sebuah konsert.
Ratu rock negara, Ella menyatakan rasa teruja apabila dapat berganding dengan vokalis kumpulan Wings, Awie dalam sebuah konsert pada Januari depan.
Ella berkata, walaupun telah lama mengenali Awie dan pernah membuat persembahan bersama, Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Malaysia itu adalah konsert pertama yang menggandingkan mereka berdua.
"Ella tidak berfikir panjang ketika menerima tawaran untuk menjayakan konsert ini bersama-sama Awie kerana ia adalah peluang besar untuk berganding dengannya dalam sebuah konsert yang sama," katanya ketika ditemui sidang media konsert berkenaan di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Ella berkata, dia masih berbincang dengan pengarah muzik konsert itu, Edrie Hashim mengenai pemilihan lagu untuk dipersembahkan kerana terlalu banyak lagu yang diminati oleh peminat.
Ujarnya, dia perlu berhati-hati dalam memilih lagu yang akan dibawa kerana tidak mahu peminat berasa terkilan jika tidak menyanyikan lagu yang disukai mereka.
"Ella ada lagu yang diminati dan peminat ada lagu yang mereka inginkan. Jadi ia sedikit sukar," ujarnya.
Pun begitu, Ella berkata dia tidak akan melepaskan peluang untuk berduet dengan Awie menerusi lagu Baldu Biru yang sebelum ini tidak pernah dinyanyikan secara langsung di hadapan peminat.
"Selain Baldu Biru, Awie dan Ella akan menyanyikan beberapa lagu duet yang dipilih daripada koleksi lagu-lagu kami sendiri," ujarnya.
Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Malaysia bakal diingati oleh peminat.
Sementara itu, Awie menyifatkan konsert tersebut adalah sebuah pengiktirafan dan penghormatan daripada seorang rakan kepada seorang kawan yang lain.
Katanya, dia terharu apabila rakan baiknya, Hans Isaac sudi untuk menerbitkan konsert tersebut yang dianggap sebagai hadiah buat dirinya dan Ella.
"Ini adalah satu tanggungjawab besar buat saya dan Ella. Sudah pasti kami tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang telah diberikan oleh Hans," ujarnya.
Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Malaysia akan diadakan selama empat hari bermula pada 12 Januari 2012. Dalam konsert itu sebanyak enam persembahan akan diadakan oleh mereka.
Memasang hasrat - Hans Isaac
Sementara itu Hans Isaac, mengakui teruja dapat menerbitkan sebuah konsert khas untuk dua rakan baiknya itu.
Hans berkata, dia telah lama memasang hasrat untuk menerbitkan sebuah konsert sejak menubuhkan syarikat produksi Tall Order Productions (TOP) lima tahun lalu.
"Selepas hampir lima tahun baru kini saya berpeluang menerbitkan sebuah konsert khas dan ia seperti melaksanakan sebuah impian.
"Tambah manis apabila konsert itu nanti bukan sahaja menampilkan dua legenda dan ikon dalam genre rock tetapi juga mereka adalah sahabat baik saya," ujarnya.
Dalam pada itu, Hans berkata, pemilihan Awie dan Ella adalah berdasarkan kekuatan mereka yang memberi impak kepada seluruh rakyat Malaysia dan masih digemari oleh peminat.
Hans berkata, Edrie Hashim akan mengetuai persembahan pada malam itu di samping Ujang Exists (drum), Ujang (gitar), Fly (bass), Amir Feerza (percussion), Kudin dan Jason Voo (keyboard).
"Semua pemuzik adalah yang terbaik dalam alatan masing-masing untuk persembahan itu nanti dan sudah pasti ia tidak akan mengecewakan," ujarnya.
Tiket untuk Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock Malaysia telah pun mula dijual pada 14 Disember dengan harga dari RM40 hingga RM450 dan tempahan tiket boleh dibuat melalui www.TICKET2U.BIZ atau boleh menghubungi 03-4147 8600.

16 December 2011

Kereta Mewah Fasha Dicuri Depan Salun


Fasha Sandha
Pelakon jelita, Fasha Sandha, 27, mengesahkan kereta mewah miliknya hilang dipercayai dicuri.
Kejadian itu dikatakan berlaku di tempat letak kereta berdekatan salun miliknya di Wangsa Walk, di sini, Jumaat.
"Saya akui kereta milik saya hilang dan satu laporan polis telah pun dibuat.
"Saya serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan mengenai perkara itu," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media filem Penanggal di sini, Jumaat.
Ditanya dengan lebih lanjut mengenai kehilangan kereta itu, Fasha enggan memberi sebarang ulasan sebaliknya mengelak untuk menjawab soalan wartawan.
“Hanya seringkas itu sahaja saya boleh cerita,” katanya.
Difahamkan kereta mewah yang hilang itu merupakan hadiah daripada seseorang buatnya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Fasha menjelaskan dia menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan apabila gambarnya memakai busana pengantin tersebar di laman blog yang turut dikaitkan kononnya dia ingin berumah tangga.
"Insya-Allah jika sampai jodoh saya akan berkahwin dan apabila sudah bersedia saya akan maklumkan kepada semua. Saya tidak mahu bercakap mengenainya terlalu awal," katanya.

Penat Layan Gosip, Nabil Akui Tetap Sibuk


Ahmad Nabil Ahmad
Pelawak Ahmad Nabil Ahmad, 28, atau Nabil mengakui semakin tenang dan bahagia selepas hampir tiga bulan bergelar suami kepada Nazirah Ayub, 23.
Juara program Raja Lawak musim kedua itu berkata pengalaman melayari alam rumah tangga telah banyak mengubah kehidupannya yang sebelum ini kurang terurus dan berserabut.
“Alhamdulillah, saya berasa semakin bahagia dengan kehidupan hari ini. Jika sebelum berkahwin, kehidupan saya kurang teratur tetapi sejak ada isteri, semuanya semakin lancar dan teratur.
“Keutamaan saya kini adalah pada keluarga dan kerja. Malah, saya juga berdoa dan berusaha agar segera dikurniakan anak,” katanya kepada mStar Online, Rabu.
Ditanya mengenai perkembangan dirinya yang dilihat agak sepi daripada publisiti kebelakangan ini, Nabil berkata keadaan tersebut berlaku secara semula jadi ekoran kesibukannya dengan komitmen keluarga dan kerja.
“Bukan saya sengaja mendiamkan diri atau mengelak daripada sebarang publisiti, cuma buat masa ini saya senang untuk menumpukan perhatian pada keluarga dan kerjaya.
“Sebenarnya, saya sudah penat melayan pelbagai gosip dan cerita panas sebelum ini. Sekarang, saya suka untuk berkongsi cerita yang baik-baik tentang kerja dan keluarga saja,” katanya.
Pelakon yang bakal muncul dalam filem Bujang Terlajak Belum Terlanjur pada 19 Januari depan ini berkata dia juga sedang sibuk dengan sesi latihan teater tradisional anjuran Petronas berjudul Mek Mulung yang akan dipentaskan pada 16 hingga 18 Disember ini.
“Mungkin antara sebab saya agak sepi dan senyap kebelakangan ini adalah kerana komitmen teater Petronas berjudul Mek Mulung. Jadual latihan juga sangat padat dan tidak tentu masa.
“Apabila pihak Petronas menawarkan saya watak Awang Pengasuh untuk teater ini, saya teruja untuk menerimanya kerana ingin memantapkan profil lakonan,” katanya yang akan kembali dalam musim terbaru teater Cuci The Musical pada Februari depan.
Nabil dan isterinya yang juga bekas pramugari AirAsia bernikah pada 30 September lalu di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya.

Akma (AF3) Jaga Batas Selepas Bertudung


Penyanyi dan pelakon yang dicungkil daripada program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Akma, 26, lebih selektif dan menjaga batas sejak bertudung pada 13 Syawal lalu.
Menurutnya, atas sebab itu dia memilih untuk tidak beraksi keterlaluan semasa menyanyikan lagu dangdut berjudul Selamat Jalan Romeo yang dipertandingkan dalam Konsert Akhir Reunion Akademi Fantasia di AEON AU2, Setiawangsa baru-baru ini.
Konsert tersebut akan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) pada 31 Disember depan, pukul 10 malam.
“Saya menerima pelawaan pihak Astro apabila diminta menyanyikan lagu tersebut kerana saya pernah mendendangkannya semasa konsert AF3 dahulu.
“Pada mulanya saya ingatkan persembahan biasa tetapi sehari sebelum konsert reunion itu berlangsung, baru saya tahu ia adalah sebenarnya sebuah pertandingan.
“Bagaimanapun, saya lakukan persembahan itu secara sederhana dan tidaklah beraksi keterlaluan. Cukuplah sekadar menghiburkan mereka yang hadir pada malam itu,” kata Akma kepada mStar Online.
Menyentuh tentang perubahan barunya itu, Akma pada mulanya mengenakan selendang tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk bertudung.
“Selain menjalankan kewajipan sebagai seorang Islam, saya juga lebih selesa berpakaian sebegitu kerana rasa lebih tenang. Alhamdulillah kerana Allah membuka hati saya untuk berubah ke arah kebaikan.
“Saya juga bersyukur apabila mendapat peluang untuk berniaga dengan menghasilkan coklat dari rumah yang dinamakan “Cocolycious by Akma”. Memandangkan sekarang sudah hujung tahun, saya mendapat banyak tempahan untuk majlis perkahwinan,” katanya yang turut memberi tumpuan kepada persembahan pentas.
Beralih kepada cinta, Akma akui belum menemui jodoh yang sesuai sebaliknya memohon agar semua peminat mendoakan kebahagiaannya.

15 December 2011

'Gaduh Kerana Kata-Kata Kesat'- Awie


Pelakon dan vokalis kumpulan Wings, Awie, mengakui pergaduhannya di sebuah kelab di Langkawi pada bulan lalu kerana perbuatan provokasi individu tertentu yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, pergaduhan tersebut berpunca apabila segelintir pengunjung enggan menghormati permintaannya agar tidak mengambil gambar dia di dalam kelab.
"Punca pergaduhan tersebut adalah kecil apabila saya enggan bergambar dengan mereka di dalam kelab. Saya beritahu kalau nak bergambar, ambil di luar kelab sahajalah tetapi mereka tidak hormat permintaan saya.
“Kerana tindakan itu mereka melakukan provokasi dengan mengeluarkan kata-kata kurang enak sehingga membangkitkan perasaan marah saya,” katanya.
Awie ditemui selepas pelancaran Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock Malaysia di Istana Budaya di sini, pada Rabu.
Konsert berkenaan akan diadakan selama empat hari bermula pada 12 Januari 2012.
Dalam pada itu, Awie menafikan dakwaan dalam sebuah blog hiburan yang mengatakan dia dipukul teruk namun mengakui ada berlaku pergaduhan antara dia dengan beberapa pengunjung di luar kelab itu.
"Kira-kira 30 orang telah datang untuk menyerang saya di luar kelab tetapi mereka tidak berjaya menyentuh saya dan disebabkan itu mungkin mereka lebih berang terhadap saya.
"Anda (wartawan) boleh melihat sendiri tidak ada satu lebam pun berada di badan atau muka saya, jadi laporan mengatakan saya dibelasah teruk adalah tidak benar," ujarnya.
Sementara itu, kata Awie, dia kesal apabila ada pihak luar campur tangan dalam kejadian tersebut dan menganggap pihak yang menyerangnya mempunyai motif tersendiri.
"Kelab berkenaan mempunyai sekuriti yang saya yakin boleh meleraikan pergaduhan antara kami tetapi mengapa perlu melibatkan orang luar dalam kejadian itu?
"Saya tidak faham motif mereka melakukan perbuatan itu terhadap saya kerana kunjungan saya ke sana bukan untuk mencari masalah dengan sesiapa," ujarnya.
Awie berkata, pergaduhan itu selesai apabila dia dibawa ke balai polis berdekatan namun tiada sebarang laporan polis dibuat oleh kedua-dua belah pihak.
Ditanya mengapa dia ke Langkawi Awie memberitahu, tujuannya ke pulau itu untuk melihat sebidang tanah yang dibelinya beberapa tahun lalu selain mendapat undangan membuat persembahan di kelab berkenaan.
Terdahulu, sebuah blog hiburan melaporkan Awie ke Pulau Langkawi untuk menghadiri satu mesyuarat anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan menghabiskan masa di kelab berkenaan bersama pengawal peribadinya sebelum berlakunya pergaduhan.