KEHIDUPAN selalu disamakan seperti pergerakan roda. Naik dan turun sudah menjadi lumrah alam untuk dihitung sebagai tauladan atau sempadan.
Gerakan roda adakalanya pantas dan terkadang terlalu perlahan. Roda hidup artis seberang, Acha Septriasa juga tidak terkecuali. Setiap mata dan minda pasti mengingati gadis genit penghias filem Heart.
Acha membuai simpati yang bukan sedikit tatkala itu. Beregu dengan aktor Irwansyah, mereka menjadi item yang bukan sahaja popular di Indonesia tetapi juga di Malaysia.
Ketika itu usianya baru belasan. Anak cilik yang menapak kaki menjadi aktres dan kemudian membikin jenamanya sendiri melalui dunia hiburan, lakonan dan nyanyian. Wanita muda ini enak bercerita tentang jalan solonya baik dalam karier mahupun kehidupan.
Semakin matang
Acha Septriasa di depan sudah berubah. Fizikal dan buah katanya bertunjang kematangan. Ketawa manja, dia menghampiri usia wanita. Kini usianya menerjah angka 23.
“Ramai yang berkata perihal kematangan saya. Saya sedar, banyak hal yang tak boleh kita raih atau dapat dalam hidup ini. Sebagai manusia, kita tidak boleh terlalu mahukan kesempurnaan,” senyumnya memula bicara.
Tuturnya lagi: “Hidup ini perlu pengorbanan. Kita tidak selamanya berada di atas. Ada masa di bawah seperti perjalanan roda,” kiasnya tentang roda hidup yang sedang dinikmati kini. Dia melalui naik dan turun. Acha selesa di tempat sekarang walaupun dia tidak kerap muncul di mata khalayak seperti dahulu.
Mungkin fasa selesa sedang dirasai sekarang. Menyelak lembaran buku lebih banyak berbanding naskhah skrip, Acha sekarang mengaku sudah merasai naik turun namanya dalam senarai populariti aktres.
“Disember ini saya akan tamat belajar dengan segulung ijazah. Bermula 2008, pejam celik sekejap masa berlalu dan saya akan tamat pengajian dalam bidang penyiaran. Saya sangat fokus sebagai pelajar. Pada saat belajar, saya tidak fikir soal kerja dan sebaliknya,” ujarnya yang pernah menunda belajar satu tahun kerana tawaran kerja dan tiba-tiba berasa 'kosong' dengan keputusan itu.
DISELANG waktunya ‘bercinta’ dengan buku-buku dan kuliah, Acha sempat mengikuti jelajah Astro untuk mempromosikan Indo Pek yang memberi saluran Bintang dan Pelangi. |
Usai menyarung persalinan siswazah, jiwa yang sebelahnya berdarahkan seni sedang meronta-ronta untuk kembali ke set penggambaran. Ditahan-tahan seketika namun jadual lengkap meneruskan jalan seorang aktres sudah disusun sang ibu.
Jujur Acha, cuti semester yang kadang berjalan dua bulan diisi dengan lakonan. Terkadang waktu libur itu digunakan sebagai eskapisme daripada bergelar pelajar mahupun bintang dengan mengembara ke luar negara.
“Pulang ke Indonesia nanti saya akan menjalani penggambaran filem bertajuk 9 Reasons. Sebuah filem historikal dan saya membawakan karakter sebagai salah seorang isteri Presiden Sukarno. Dia itu seorang introvert, tidak vokal dan banyak bermain emosi dalaman. Filem ini berkisar sisi cinta seorang mantan presiden,” ujar Acha yang banyak membaca buku sejarah sebagai panduan dan juga menggali puisi-puisi nukilan sang presiden. Utaranya dia cukup teruja untuk terlibat dengan sebuah filem historikal bersama Wulan Guritno, Happy Salma, Revalina S. Temat dan Mariana Renata.
“Saya percaya dengan istilah karakter itu yang memilih pembawanya. Filem ini sesuatu yang baru buat saya. Dalam filem terdahulu, khalayak melihat saya banyak bersuara tapi kali ini berlainan. Jujurnya banyak tawaran yang saya tolak kerana skrip yang saya rasa tidak selari dengan jiwa saya,” pemain filem ini bersuara seraya menyatakan keinginannya berlakon sinetron untuk menguji kemampuan dirinya.
“Saya mendapat beberapa tawaran sinteron tetapi sayang terpaksa ditolak. Jujurnya, berlakon drama bersiri sangat memenatkan tetapi hasilnya terlihat cepat. Saya lebih selesa bermain filem. Pada saya, berlakon sinetron itu ada kesukarannya. Untuk seorang aktres filem terjun ke drama bersiri, perlu ada kemahiran. Perlu pandai menjadi spontan,” akuinya yang terlibat dengan 15 buah telefilem.
Jadi eksklusif
Melihat kemunculannya sekali sekala di dada akhbar mahupun majalah, secara harfiah Acha terbawa sisi eksklusif. Cerita-cerita panas dirinya sudah mendatar termometer dan dia tidak terbabit gosip murahan. Tidak seperti dahulu, pernah ditunggu paparazi di hadapan rumah gara-gara mahu mengorek cerita cintanya selepas berstatus solo.
“Ada sisi eksklusifnya. Mungkin dengan cara ini jangka hayat sebagai artis itu lebih lama. Saya melihat dan menjadikan Dian Sastrowardoyo sebagai contoh dalam hal ini. Ceritanya tidak banyak keluar tetapi dia tetap ‘ada’ dalam industri dan hati umum. Saya mahu menjadi seperti dia,” ujar Acha yang turut mendapat perhatian pelbagai jenama untuk menjadi duta, sama seperti idolanya Dian.
Penulis turut bertanya tentang hala tujunya sebagai anak seni.
Senyumnya seraya memula topik ini, dia tidak pernah meletakkan sasaran menjadi pelakon wanita terbaik sewaktu masuk ke dalam dunia hiburan namun bersemangat apabila dinobatkan pada tahun 2008 melalui filem Love.
“Jujurnya juga ya, bercakap tentang hala tuju, saya mengikut apa sahaja yang dirancang oleh ibu saya. Saya menyelesaikan persekolahan dan dalam masa yang sama merancang perjalanan karier seperti yang ibu mahukan. Syukur dalam masa yang sama, saya masih dapat mencari wang buat diri saya. Saya berasa bertuah kerana keluarga sangat menyokong apa sahaja keputusan saya. Andai saya mahu berhenti berlakon, keluarga tidak akan menghalang,” ujarnya yang teruja dapat menggembirakan ibu bapa dengan segala keputusan bijaknya.
“Perancangan jangka masa pendek, habiskan kuliah. Jangka panjang, saya mahu membikin album untuk meneruskan karier nyanyian. Juga akan berlakon beberapa filem yang sudah direncanakan,” senyumnya yang mahu menjalani kehidupan dengan seadanya.
AKUI wanita muda ini, dia menyandang status solo sejak April lalu dan sedang menikmati fasa ini seadanya.
|
Mengurangkan serius topik bicara, Acha mengaku kini dia kembali solo.
“Sejak April tahun ini, saya single. Sudah malas mahu mencari-cari. Ada jejaka yang cuba mendekati. Jujurnya saya rindu untuk rasa jatuh hati kepada seseorang. Tapi untuk jangka waktu solo ini, saya sedang menikmatinya. Jelas lebih masa kualiti untuk famili juga tidak terkongkong untuk keluar bersama teman-teman,” ironi si pendendang Berdua Lebih Baik ini bersuara.
Tetapi dia turut mengakui, mahu menamatkan zaman solo pada usia yang muda, mahu menjejak usia kahwin sang ibu katanya.
“Ibu bapa sering mendoakan saya senang dapat jodoh. Kalau mencari, saya mahu mencari yang benar-benar serius dalam perhubungan. Bukan masa bermain-main lagi. Dia tidak hanya perlu baik dan elok di mata saya tetapi juga di mata Allah dan famili. Perlu kerja keras, berusaha dan yang penting romantis seperti bapa saya,” ketawanya meledak dalam jujur kata-kata. Dia meletakkan umur 25 untuk bergelar pasangan kepada seseorang, ada tempoh dua tahun untuk mengejar impian cintanya.
“Ada media di Indonesia yang mengatakan saya tidak boleh melepaskan kisah lalu bersama Irwansyah. Mereka boleh menebak cara mereka, yang tahu hanya saya. Jujurnya kisah lalu tidak membelenggu hidup saya kini,” ujarnya yang meledak meletup dengan nyanyian duet bersama Irwansyah melalui lagu Sampai Menutup Mata dan My Heart.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment