KETIKA membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam dunia seni suara bermula pada tahun 1995 penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 32, (gambar) tidak pernah membayangkan dirinya akan meniti populariti sebagaimana yang dikecapnya hari ini.
Tapi hakikatnya Siti berjaya membuktikan anak gadis kampung seperti beliau boleh menjadi bintang yang amat berharga sekiranya bakat yang dianugerahkan itu digunakan pada jalan yang betul.
Kesungguhan itu dapat dilihat bagaimana sukarnya Siti tatkala mula melangkah ke dunia seni dengan melalui pelbagai ranjau dan duri ketika namanya terukir indah sewaktu usianya masih muda.
Ujar Siti, peristiwa lalu sebenarnya menjadi kekuatan dalam dirinya. Dan dia amat bersyukur kerana ketika bergelar “Siti Nurhaliza” pada ketika ini, dia sudah melalui pelbagai pahit dan maung terlebih dahulu.
Tanpa susah payah itu, tentu sekali Siti akan menjadi wanita yang lemah, tiada ketabahan dan hilang kekuatan.
“Dek kerana susah payah Siti selama ini dengan melalui macam-macam ujian hidup, syukurlah Siti boleh menjadi seorang yang kuat. Siti bersyukur dengan pengalaman-pengalaman itu,” katanya.
Sesuatu yang tidak dapat dibayangkan oleh wanita ini terhadap kemuncak kejayaannya apabila beliau mampu menghasilkan produk kecantikannya sendiri iaitu SimpySiti dan sebuah album Inggeris, All Your Love.
Ujar Siti, album yang memuatkan 10 buah lagu ini adalah hadiah yang paling bermakna dalam dirinya bagi merealisasikan impian selama ini untuk memiliki sebuah album Inggeris.
Beliau juga memahami, penghasilan album itu juga bukanlah mudah kerana pasti ada yang akan memberi pelbagai penilaian dan tafsiran terutama sekali terhadap kemampuannya berbahasa Inggeris.
Tanpa mahu berselindung, kata Siti dia mengaku menerima pelbagai kritikan dan pujian tetapi semua perkara itu dipertimbangkannya secara serius.
“Siti tahu ramai yang memberi macam-macam pendapat terhadap penghasilan album ini tetapi Siti menerimanya dengan baik. Apa yang penting ia dapat memenuhi impian Siti untuk memiliki album berbahasa Inggeris. Yang lebih mustahak lagi Siti dapat memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris Siti,” ujarnya.
Tegas dengan anak tiri
All Your Love dihasilkan di bawah syarikat What’s Up Entertainment iaitu syarikat milik anak tirinya iaitu Adib Khalid.
Ditanya apakah perbezaannya sebagai seorang ibu apabila bekerja dengan syarikat ahli keluarga sendiri yang mana individu itu adalah bos, Siti menjelaskan beliau tidak menghadapi masalah mengenainya.
Tetapi walaupun Adib pemilik syarikat berkenaan, ia tidak bermakna Siti tidak boleh bertegas dalam memberikan pandangan dan juga pendapat.
“Terus terang Siti katakan, semasa merakamkan album ini Siti sangat serius. Iya lah... bekerja dengan orang muda-muda, mereka lebih suka relaks tetapi Siti selalu juga tegur supaya tidak membuang masa untuk merakamkan lagu ataupun buat kerja ambil mudah,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Siti, walaupun beliau seorang yang tegas, beliau masih boleh berbincang dengan Adib serta tenaga kerja yang terlibat.
“Setakat ini Siti amat berpuas hati bekerja dengan mereka dan penghasilan album ini adalah yang terbaik,” katanya.
Selain sibuk dengan projek terbaru rakaman kisah mengenai sejarah hidupnya untuk saluran History Channel yang akan disiarkan pada tahun hadapan, Siti juga akan menjadi hos sebuah rancangan permainan terbaru.
Dalam rancangan itu Siti dijangka akan bergandingan dengan Johan (Raja Lawak) dan menjayakan beberapa permainan yang turut melibatkan para artis lain.
“Insya-Allah selepas rancangan bual bicara iaitu Siti, terbaru pihak syarikat produksi Global Station mahu menghasilkan sebuah rancangan permainan pula,” jelasnya.
11 Soalan menarik Siti Nurhaliza
1. Antara Datuk K (suami) dan Tarudin Ismail(bapa)?
Kedua-duanya sangat protective. Arwah bapa nampak garang tetapi sangat sensitif dan senang menangis. Suami pula seorang yang pemurah dan ada masanya serius. Tapi dia kelakar kepada Siti.
2. Apa seronoknya menjadi Siti Nurhalizasemasa menjual kuih dan Siti Nurhalizaseorang penyanyi?
Seronok masa jual kuih apabila kuih tu laku terutamanya karipap sardin dan kuih keria. Masa tu la Siti “asah” vokal dengan menjerit “kuih…kuih…” Ketika menjadi penyanyi Siti mendapat layanan istimewa dan berjaya pergi ke merata tempat yang Siti tak pernah pergi serta boleh menghiburkan orang.
3. Siti Nurhaliza semasa tujuh tahun?
Haa… Siti suka berangan, menyanyi dan menari seorang diri. Masa zaman sekolah, Siti suka bergaduh dengan budak lelaki, suka panjat pokok dan naik basikal.
4. Siti Nurhaliza pada usia 55 tahun?
Nak jadi wanita yang ada anak antara dua hingga tiga orang serta ahli perniagaan wanita yangberjaya. Yang paling penting sihat tubuh badan.
5. Apa hebatnya kereta pertama Siti, ProtonAeroback?
Itulah kereta yang banyak berjasa. Kereta itulah yang bawa Siti seluruh Semenanjung Malaysia.Kereta tu Siti beli hasil duit titik peluh Siti selepas kejayaan album pertama Jerat Percintaan.
6. Bilakah air mata terakhir Siti?
Awal tahun ni kalau tak silap. Siti menangis tengok Australian Junior Master Chef. Kagum dengan budak-budak dalam rancangan tu.
7. Perkataan apa yang terkesan dalam kalbu?
Kata-kata daripada suami dan pesan arwah abah.
8. Nombor pilihan Siti. Kenapa?
Pertama, nombor 111 kerana tarikh lahir Siti iaitu11 Januari. Kedua pula nombor 38 iaitu kombinasi nombor Siti dan Datuk K. Nombor yang kami rasakan membawa tuah.
9. Menunggang kuda, membonceng motosikalyang mana akan dipilih?
Menunggang kuda Siti memang tak pernah cuba tetapi yang paling Siti suka tentulah membonceng motosikal he...he...
10. Paling lewat melelapkan mata, paling awalterjaga tidur?
Kalau banyak aktiviti pukul 3 pagi baru Siti tidurdan pernah juga Siti terjaga sekitar pukul 3 pagiuntuk ke bilik air.
11. Duit! Paling banyak dapat dompet, palingsikit dalam poket?
Paling banyak Siti bawa RM1,000 dalam dompet.Tapi sekarang dah ada kad debit dan kad kredit,Siti tak amalkan dah bawa duit banyak. Paling sikit yang ada dalam poket ialah 50 sen. Tu pun masa zaman sekolah rendah.
No comments:
Post a Comment