|
MALAM Sabtu lalu, di dada langit metropolitan Kuala Lumpur hampir
tiada bintang. Namun jauh di tengah Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, di
atas pentas, cahaya gemerlapan sudah cukup membuat seluruh isi stadium
terang-benderang.
Ia juga bukan cahaya biasa-biasa, tetapi ia merupakan pancaran
‘sinaran’ dari 'dua butir bintang' terkenal tanah air, Sweet Charity dan
Blues Gang.
Mereka sedang berkongsi pentas mengisi dahaga dan membangkit
nostalgia 27 tahun lampau - melagukan untaian lagu malar segar mereka
dalam konsert yang dinamakan Konsert 2 Raksasa.
Benar, saya tidak lahir dalam era kegemilangan dua buah band yang
mengusung nuansa rock n roll dan blues ini. Lebih parah waktu album
perdana Blues Gang yang dilahirkan pada tahun 1979, Any Time Any Day dan
kelahiran album sulung Sweet Charity dengan menggunakan nama grup yang
ditubuhkan pada tahun 1977 iaitu pada tahun 1979, saya belum wujud di
dunia ini.
Lantas untuk mengaku diri sebagai penggemar tegar mereka adalah satu
pembohongan besar, kecuali sama seperti kebanyakan orang seusia saya,
lagu seperti Mak Siti, Khatulistiwa, Oh Mama Saya Mahu Kahwin atau Apo
Nak Dikato milik Blues Gang dan Kamelia, Teratai, Sejuta Wajah serta
Batu dan Zakia juga Datang dan Pergi dari Sweet Charity adalah antara
lagu hit mereka yang diketahui.
Justeru, apabila berpeluang menjadi salah seorang saksi generasi kini
yang menonton konsert dua band yang memang begitu akrab dalam
perjuangan seni mereka itu adalah satu momen yang mengujakan.
|
Sementelah, stadium pada malam itu dibanjiri lebih 8,000 penonton,
yang hampir 90 peratus daripadanya adalah golongan pak cik-mak cik yang
satu ketika dahulu menjadikan untaian karya dua band ini sebagai pengisi
hiburan hati.
Tepat pukul 9 malam, Blues Gang yang cukup terkenal dengan nuansa
tersendiri mereka, blues, menebarkan ‘haruman’ itu dengan persembahan
yang tampak cukup menyeronokkan.
Setiap anggota band itu yang diketuai vokalisnya yang juga bermain
harmonika Ito Mohd., Julian Mokhtar (gitar), Ghani Datuk Abu Talib
(gitar kedua/keyboard), Jim Madasamy (bass/vokal) dan Shaik Karim
(drum/vokal) begitu bersemangat dalam kembali mengimarahkan muzik mereka
di atas pentas berskala konsert selepas sekian lama bubar dan bermain
di kelab-kelab malam.
Selama lebih sejam, mereka menghiburkan peminat dengan hit-hit
seperti Malaya Blues, Jumpo Kawan Lamo, Sakit, Sakit, Sakit, Ku Tetap
Menanti, Damai dan Cinta oh Cinta yang mengembalikan nostalgia
tersendiri kepada setiap yang hadir.
Malah untuk lagu-lagu seperti Oh Mama Saya Mahu Kahwin, Mak Siti dan
tentulah Apo Nak Di kato, band yang mempunyai lapan buah album studio
ini telah mengundang seisi stadium untuk berdendang dengan mereka.
Sementara pada lagu Khatulistiwa pula, Ito sempat menukar liriknya
kepada 'oh orang kita, 1Malaysia' yang mendapat tepukan gemuruh daripada
khalayak.
Usai Blues Gang meninggalkan pentas, Sweet Charity dengan figura yang
cukup ikonik, Ramli Sarip tidak menunggu lama untuk membawa seisi
stadium larut dengan hipnosis mereka.
Di atas pentas, tanpa perlu pengenalan, cukup dengan dentuman muzik
yang padu berserta pencahayaan yang menarik, Ramli bersama ‘pasukannya’,
‘berpesta’ dengan peminatnya seluruh stadium dengan 22 buah lagu tanpa
henti!
Dibuka dengan Sejuta Wajah, vokal serak basah Ramli sudah cukup
membuat seluruh stadium bergema dengan sorakan dan iringan nyanyian.
Ia kemudian diikuti dengan lagu Kawan Ketawa Kawan Menangis serta
lagu-lagu hit seperti Rock & Roll, Ribut, Tahun 2000, Penunggu,
Terharu, Jangan Tunggu Lama-lama, Musibah, Batu dan Datang dan Pergi.
Adalah satu kesalahan besar seandainya Sweet Charity tidak
mendendangkan rangkaian hit mereka yang cukup luar biasa indah, Kamelia
dan Teratai.
Bagaimanapun sebelum menghadiahkan dua hit tersebut secara langsung
dengan permainan yang begitu impresif, Sweet Charity terlebih dahulu
mendera peminatnya dengan meletakkan dua lagu berhantu tersebut di
penghujung persembahan.
Hasilnya, ia telah menjadi encore atau penutup konsert yang begitu mengesankan.
Biar usia setiap anggota band tidak lagi muda, Blues Gang dan Sweet
Charity tampil bersahaja dan menampakkan kematangan mereka
menyembunyikan kelemahan masing-masing kerana faktor usia.
Lebih menarik apabila persembahan pada malam itu tidak pincang dan
mereka berada dalam piawaian cemerlang untuk band otai yang sudah jarang
benar untuk dilihat dalam sebuah konsert berskala besar.
Sesuatu yang terkesan juga adalah tentang lirik-lirik di dalam karya
mereka. Ia bukan untaian kosong atau bercerita tentang soal picisan
hati, tetapi menyentuh tentang sosial dan budaya yang setakat ini tidak
banyak diambil berat oleh band-band generasi baharu yang lebih
mementingkan soal kemajuan muzik sahaja.
Ternyata penangguhan konsert yang sepatutnya berlangsung pada 9 Julai
lalu dan dibawa ke tarih 1 Oktober yang baru meninggalkan kita kurang
seminggu adalah penangguhan yang berbaloi.
Konsert 2 Raksasa yang dianjurkan oleh Netzah Productions Sdn. Bhd. itu sukses dan tiada tolak bandingnya.
Ia juga membuktikan kenyataan Ramli sebelum ini yang berbunyi:
“Konsert ini tidak mungkin bosan kerana pengalaman 40 tahun kami dalam
bermuzik.”
Ternyata, orang lama memang ada gaya dan aura yang tidak akan mati begitu sahaja.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment