ODI memiliki sebuah warung ayam bakar dan memang mengimpikan kerjaya sebagai usahawan.
BENANG takdir itu sudah disisir kemas dalam kehidupan manusia. Antara detik yang bertamu ke ruang hati paling dalam, ada niat suci untuk dilaksanakan.
Begitu jalan hidup yang kini menjadi pegangan aktres dan aktor terkenal dalam lapangan lakonan kerohanian. Odi atau Kholidi dan Oki Setiana Dewi ditakdirkan menjadi bintang untuk filem yang diangkat daripada novel karya Habiburrahman El Shirazy.
Niat mereka ternyata pada justifikasi yang sama, memberi ilmu dan menebar dakwah berlapik karakter.
Lewat filem Ketika Cinta Bertasbih (KCB) mereka meraih perhatian bukan sedikit. Filem dengan tajuk yang sama dikembangkan pula menjadi drama bersiri yang mesra disebut sinetron.
Terhasil drama dengan judul Dari Sujud ke Sujud merupakan lanjutan daripada filem Ketika Cinta Bertasbih, Ketika Cinta Bertasbih 2, Ketika Cinta Bertasbih: Spesial Ramadhan (Musim 1) dan Ketika Cinta Bertasbih: Meraih Ridho Ilahi (Musim 2). Kesemua drama bersiri popular bawah payung KCB ini sedang bersiaran mulai 4 Oktober lalu di saluran Bintang (Astro 141). Penulis sempat mewawancara aktor dan aktres ini yang nyata masih sibuk dengan kuliah masing-masing.
Siapa kalian di sebalik karakter-karakter dalam filem mahu pun drama Ketika Cinta Bertasbih (KCB)?
KHOLIDI: Saya ialah pelajar Universiti Al-Azhar, Indonesia dan belajar dalam jurusan penyiaran. Dahulu sebelum bergelar pelakon, saya sempat belajar teater dengan Slamet Raharjo, Alex Komang dan Christine Hakim. Daripada situ saya belajar seni berlakon. Pak Slamet pernah memberitahu saya bahawa salah satu medium paling efektif dan berpengaruh ialah filem. Saya mahu menjadi pelakon yang baik dan memberi mesej yang baik untuk semua.
OKI SETIANA DEWI (O): Saya merupakan seorang mahasiswi Universiti Indonesia jurusan Sastera Belanda. Saya tertarik mengambil jurusan tersebut kerana mahu mendekati sejarah Indonesia yang banyak dipengaruhi Belanda. Dalam masa yang sama saya bercita-cita menjadi speaker seminar dan penulis novel. Terdetik niat untuk mengikuti uji bakat KCB kerana teman-teman memberitahu prosesnya berbeza. Alhamdulillah saya mendapat watak Ana, ini saya kira sudah lebih daripada cukup. Ini cara saya mendekati Allah dan membina akhlak juga.
Berapa dekat karakter Azam dan Ana dengan diri kalian?
K: Niat kami sama iaitu mahu berdakwah. Seperti sebuah susun suai gambar, ada yang sama dan ada yang tidak sama. begitu juga karakter tersebut. Apa yang sama ialah kami dari suku Jawa dan yang berbeza ialah usia dan kedewasaan kami.
OKI menganggap filem dan drama KCB banyak mengajarnya.
O: Sampai ke detik ini, saya sangat meneladani watak Ana. Ada pelajaran baharu yang saya dapat dalam kehidupan sehari-hari saya. Terpilih untuk berlakon dalam KCB merupakan hikmah besar buat saya. Saya dapat mengunjungi tempat-tempat yang menarik, kenal ramai orang serta memperbanyakkan ilmu serta wawasan. Lebih penting, saya dapat bertemu manusia hebat yang membuatkan diri saya terpacu untuk terus berprestasi. Itu semua melalui Ana.
Bagaimana kalian melihat pengaruh drama-drama ketuhanan terhadap penonton?
K: Pengaruh filem atau drama ketuhanan lakonan kami iaitu KCB sangat besar. Malah melalui nama karakter saya iaitu Azam juga kita boleh lihat hasilnya. Ramai yang berkongsi dengan saya bahawa mereka mula menamakan anak mereka dengan nama Azam. Semoga nama tersebut dapat memberi manfaat untuk anak-anak tersebut. Malah melalui tulisan Habiburahman, Azam memang karakter luar biasa yang bagus untuk diteladani.
O: Boleh saya katakan, impaknya luar biasa. Bukan hanya terhadap pelakon tetapi kepada kru-kru yang terlibat. Mereka terinspirasi dengan naskhah ini. Lingkungan yang begitu baik dan kondusif menjadikan setiap yang terlibat atau menonton sebagai orang yang lebih baik.
Bagaiman pula dengan pengaruh sosialnya?
K: Selain pengaruh nama, saya sendiri sebagai pelakon banyak mempelajari sifat-sifat positif daripada Azam dan saya harap khalayak juga mempelajarinya. Malah sewaktu saya ke Bali, ramai yang memberitahu bahawa mereka mahu menghantar anak masing-masing untuk mendalami Islam. Selama ini mereka tidak pernah terfikir berbuat begitu. Malah ada yang mahu menghantar anak belajar ke Mesir. Melihatkan situasi tersebut, saya melihat pengaruh sosial ini terjadi apabila mereka mula terfikir malah berasa akrab dengan agama Islam. Juga kalau melihat daripada segi persaingan dalam industri, ramai pesaing yang sudah membikin produk berasaskan Islam.
0: KCB bukan sebuah naskhah biasa, bukan hanya tempat kerja saya tetapi juga tempat saya menimba ilmu, memperbaiki akhlak dan menyelesaikan masalah. Saya harap begitu juga ia sampai kepada khalayak. Begitu juga dengan sinetron bertajuk Dari Sujud ke Sujud, sebuah lanjutan KCB. Drama bersiri ini lebih memberi fokus kepada rumahtangga Ana dan Azam. Saya menangis berkali-kali membaca skrip kerana adegannya menyentuh hati. Dialog-dialognya menyentuh dan memberi instrospkesi diri untuk mendekati Allah. Kalimat-kalimat untuk kita terus mengingati Sang Pencipta.
5 episod KCB ( Meraih Ridho Illahi) mula ditayangkan di saluran Bintang 141 bermula pada 4 Oktober lalu.
Dalam membawa dakwah menggunakan medium hiburan, dugaan bagaimana yang datang menghampiri kalian?
K: Dugaan sangat besar. Perkara utama yang perlu diambil berat ialah kita tidak boleh memilih sebarangan kerja atau projek. Perlu selektif dan perlu berhati-hati dengan tawaran. Perlu jaga diri sendiri. Misalnya saya pernah ditawarkan muncul dalam program temu bual, tapi saya harus memilih agar tidak muncul dalam program yang kandungannya tidak sesuai atau sampah. Begitu juga dengan tawaran muncul dalam iklan rokok. Saya menolak kerana enggan muncul.
O: Saya tidak sebebas dahulu dan waktu tidak banyak buat famili. Itu saya lihat sebagai cabaran dan dugaan. Namun persekolahan tetap menjadi kepentingan saya.
Mungkinkah Kholidi mengambil peranan antagonis di masa hadapan?
K: Mungkin dan tidak ada masalah untuk membawakan watak hitam. Asalnya tujuannya baik dan positif.
Perancangan masa hadapan kalian?
K: Saya ingin membuka sebuah warung ayam bakar tulang lunak di Kalibata. Memang sejak di bangku sekolah saya gemar membawa buku tentang keusahawanan. Kenapa saya membuka warung makan? Ini kerana saya rasa profesi (kerjaya) ini dapat memberikan saya kemerdekaan dan saya mempunyai waktu yang dapat saya kawal. Saya berharap warung ini dapat berkembang besar. Saya sendiri yang menyediakan rempah ratus sebanyak 27 jenis dan ini amanah buat saya. Resipi ini diberikan oleh orang kampung saya Abdul Rahman. Dia pernah ditawarkan Rp.50 juta (RM17,697) tetapi dia menolak dan sebaliknya memberi resipi ini kepada saya.
O: Saya sedang menyelesaikan novel kedua saya. Alhamdulillah, novel pertama saya yang bertajuk Melukis Pelangi, Catatan Hati Oki Setiana Dewi diterima baik. Buku ini saya tulis selama empat bulan ketika sedang berehat daripada penggambaran. Sejak kecil memang saya suka menulis terutamanya diari dan saya lakukan setiap hari. Saya menulis kisah-kisah yang terjadi dalam hidup saya.
Saya juga mahu menghabiskan kuliah yang sekarang di semester akhir. Dalam masa yang sama saya turut menjadi penceramah di kampus-kampus.
Kalian terkena tempias cinta lokasi?
K: Bagi saya, kemesraan itu sekadar di lokasi saja dan semuanya berjalan secara semula jadi. Sedikit pun tidak terfikir kemesraan itu menjadi hubungan cinta. Bagaimanapun, kita hanya mampu merancang, tidak tahu kalau pada masa akan datang, perasaan itu berubah menjadi cinta. Apa yang pasti, setakat ini biasa saja dan tidak ada perasaan lain.
O: Kami seperti saudara dan setiap hari suka berbual di lokasi bukan saja mengenai lakonan, tetapi juga masalah pelajaran masing-masing. Itu juga antara faktor mewujudkan keserasian antara kami. Bagi saya, Odi teman yang sangat baik. Kami suka berbincang mengenai berita semasa dan saya suka kerana walaupun seharian di lokasi, kami tetap tahu dunia luar.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment