PERJALANAN seni Johan Ariff Asari bagai calitan warna nipis atas lembaran kain putih. Masih hijau pucuk pisang bak kata orang lama. Belum tercuit yang kelam.
Membuka hijab pandangan khalayak kepada peribadi dan penghayatannya dalam drama bersiri Juvana menjadi sudut pandang paling tepat untuk dia memulakan permainan. Bola emosinya dilantun ke sana ke mari dalam jiwa khalayak hingga melekat dengan nama karakter antagonis yang dibawanya, Botak. Masih lagi dia digelar dengan nama karakter itu hingga kini.
Tangga populariti Johan
Johan mengawali mimpi kecilnya dengan cuma menjadi pelakon tempelan dalam siri Penunggu Raya. Kini dalam sekelip mata, Johan sudah membuahkan kagum dengan dua drama bersiri popular termasuk Cinta Elysa yang kini ditayangkan di saluran TV3.
Dia juga menjadi pilihan sutradara untuk drama Kesuma Jiwa, telefilem Janjiku Pada Walid dan drama Ramadan. Juga menjadi pengikat mata khalayak untuk naskhah telefilem Janji Songsang dan Insaf.
"Saya tidak menyangka impak Juvana dan Botak sangat besar. Tidak pernah membayangkan hasilnya sebegini. Ini membuatkan saya terus mahu menjadi pelakon yang baik," katanya tersenyum memula bual bicara.
Diletak harapan menggunung dan terlekat watak ikonik Botak, Johan ternyata mengambil waktu untuk keluar daripada karakter yang digarap daripada keangkuhan Adolf Hitler itu.
"Saya cuba keluar daripada roh Botak. Saya sangat baharu, ilmu kurang dan pengalaman masih cetek. Pokoknya untuk naskhah seterusnya, saya mahu lari daripada bayang Botak. Kalau khalayak masih nampak Botak dalam Aril dalam Cinta Elysa, itu kerana saya masih baharu tetapi saya tetap berusaha keluar," luahnya yang berulang kali diberi warna hitam dalam karakternya.
"Saya mahu watak protagonis. Mahu tukar angin," pelakon berusia 25 tahun ini bersuara.
Namun, dia berterima kasih kerana ditemukan dengan Botak. Johan menanam azam serius bergelar pelakon selepas perkenalan perdana tersebut.
"Saya mahu jadi yang terbaik. Malah yang bagus. Saya mula letak matlamat itu dalam diri," ujarnya.
Penulis bertanyakan empunya diri, kalau-kalau dia sedar satu fenomena cepat naik, tidak mustahil cepat juga jatuhnya. Bukan tidak menyokong anak tempatan sebagus Johan, cuma mahu menyelusuri persediaannya.
"Saya sedar dan andainya saya jatuh, saya redha. Alhamdulillah untuk masa sekarang, saya sedang melalui pengalaman yang menyeronokkan. Ilmu yang saya dapat, saya akan guna untuk meneruskan kerjaya lakonan. Kuasa Tuhan, semuanya di luar bidang kuasa saya," senyumnya yang nekad berusaha.
"Saya takut lupa diri, takut tak perasan. Itu paling bahaya," luahnya.
Naif makan diri
Satu kriteria jitu diberikan kepada Johan saat mengenali dirinya di luar kaca televisyen ialah terlalu naif. Lurus bendul anak muda sampai terfikir kalau-kalau sikap baiknya itu memakan diri dalam pancaroba dunia sekarang.
MENGIDOLAKAN serta memberi kelas hormat yang tinggi terhadap Fasha Sandha, Johan kagum dengan disiplin yang ada pada diri aktres tersebut.
Naif Johan itu bukan yang dibuat-buat. Kadangkala dia seperti mengambil masa seketika untuk bersuara. Jawabnya halus jujur ketika ditanya. Matanya bergerak sama dan ucapan syukur tidak lepas daripada bibirnya.
Rupa-rupanya saat dikorek cerita halus memakan diri, sudah ada titik-titik itu sampai kepada dirinya yang masih meneroka indahnya dunia hiburan.
Ditikam belakang dengan khabar angin, lebih pedih, berita itu dibawa oleh orang yang dekat dengan dirinya. Jadi bahan manipulasi yang kini sedikit memakan diri.
"Saya tahu ada orang yang ambil kesempatan. Menghasut orang lain untuk tidak mengambil saya berlakon. Kononnya saya datang lambat, bermasalah. Realitinya saya selalu datang dengan van kru, kalau lambat pasti bersebab. Saya sangat takut kalau dikatakan punya sikap keras kepala, bermasalah dan tidak berdisiplin," adunya yang berasa sedih dengan khabar tidak benar tentang dirinya.
"Namun ini bukan mematahkan semangat. Saya ambil perkara ini secara baik dan tukar ke arah positif. Bila ada orang tunjukkan kekurangan saya, saya perlu lebih fokus, ambil berat dan tingkatkan disiplin. Saya kena terus berusaha," senyumnya berbunga kembali dalam sedih yang ditutup mimik muka.
Jujurnya juga buat dia sebagai aktor yang baru melangkah sedepa dua kaki ke dalam bidang ini, Johan tidak berasa padang yang dijejaki ini kotor. Walaupun sedang diuji dengan dugaan kecil, dia tahu ini bukan sandiwara yang dicipta oleh aktor bergelar pelakon.
"Saya tidak rasa dunia seni itu kotor. Malah manusia yang benar-benar bernama pelakon itu juga tidak akan mengotorkan dunia seni. Manusia yang melakukan kekotoran itu tidak benar-benar menggalas tugas sebagai pelakon," ujarnya dalam nafas naif seorang anak muda yang sentiasa bersangka baik.
Sentiasa menjaga niat bergelar pelakon, Johan menjadikan tanda aras status aktor sebagai salah satu cabang menyampaikan dakwah.
"Maksud tabligh itukan menyampaikan. Jadi saya mahu menjadi penyampai mesej kepada khalayak dalam bidang lakonan dan penceritaan. Ini niat saya yang saya pegang," ujarnya yang belajar jurusan Kaunseling di Kolej Universiti Islam Melaka.
Cuba atasi Fasha Sandha
Bukan hanya jadi rebutan pengkarya seni untuk sebuah terjemahan watak, Johan di luar panggung juga panas sebagai aktor baharu yang kononnya direbut dua hati wanita.
Persahabatan bersama aktres cantik, Fasha Sandha menjadi bahan bual khalayak. 'Percintaan' lalu dengan pelakon berbakat, Izreen Azminda juga tinggal tanda tanya.
Izreen dalam satu temu bual sebelum ini menyatakan dengan jelas kekesalannya terhadap Johan kerana perubahan sikap yang tiba-tiba dingin. Nah daripada situ, persoalan lagi muncul akan keakraban Johan dan Fasha yang sedang mengulit cinta Aril dan Elysa di lokasi.
"Sejujur-jujurnya saya anggap Fasha sebagai pelakon senior yang mempunyai sikap kerja yang baik dan tip top. Saya ambil segala contoh yang baik daripadanya. Cara kerja Fasha, saya jadikan panduan. Tentang rasa cinta itu memang tidak ada dan tidak hadir. Saya hormat kerana dia sangat membimbing saya dan salah satu tanda hormat saya terhadapnya adalah dengan tweet saya di laman sosial Twitter yang mungkin menjadi perbualan umum," jujur si anak naif ini bersuara dengan matanya seolah-olah berkata jua.
"Saya cuba menandingi Fasha. Maksudnya di sini disiplin kerjanya. Bayangkan dalam 45 hari di set Cinta Elysa terbitan Suhan Movies itu, cuma dua kali saya datang lebih awal daripada Fasha. Selebihnya dia menang dan dia memang datang awal ke lokasi daripada waktu yang dijadualkan," katanya dengan buah hormat terhadap aktres yang dianggap sahabat itu.
Johan baru memulakan jalan di padang permainan baharunya. Sedang ditatap indah bunga-bunga lalang yang mewarnai matanya. Semoga sahaja duri-duri nakal tidak mengenakan bisa pada kakinya kelak.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment