13 October 2011

Aishah Selebriti Hijau



















AISHAH menggunakan populariti dengan cara positif dalam mempromosi gaya hidup mesra alam kepada orang ramai.

AISHAH SINCLAIR merupakan salah seorang daripada selebriti yang sangat peka kepada alam sekitar. Mula melibatkan diri dalam aktiviti pemuliharaan flora dan fauna seawal usia lapan tahun, ketika itu, dia hanya memahami bahawa aktiviti tersebut adalah saat berharga menghabiskan masa bersama keluarga.

Waktu itu, dia pasti berada bersama ibu bapanya yang juga pengasas Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) dan adik-beradiknya untuk menikmati keindahan alam.
Menurut ibu yang berusia 31 tahun itu, secara semula jadi kanak-kanak sangat suka mendampingi ahli keluarga terutama ibu bapanya dan sangat mudah diasuh serta diterap nilai-nilai positif.
Oleh sebab itu, tidak pelik apabila melihat semangat cintakan alam sekitar begitu menebal dalam diri Aishah terutama ketika dia meniti usia dewasa. Kini, dia dan abangnya, Ashraf Sinclair merupakan antara ahli lembaga pemegang amanah YAWA.
Tanam pokok
Sama seperti ibu bapa lain, Aishah mempunyai matlamat untuk memberikan yang terbaik kepada anaknya, Suraya Ann dari segi pendidikan, kehidupan dan masa hadapan.
“Namun, tanpa kita disedari sebenarnya kita telah memberikan dunia yang tidak pasti keselamatannya dengan cara tidak menjaga alam sekitar,” ujarnya ketika ditemui di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr, Ismail, Kuala Lumpur.
Sebagai tanda menyambut kelahiran puteri sulungnya, Aishah telah menanam sebatang pokok bunga melor ditempat uri anaknya ditanam.
Selain itu, dua batang pokok lagi turut ditanam oleh ibunya dan sebatang lagi di sebuah taman yang terletak di Bukit Kiara.
“Walaupun ia kedengaran seperti orang dahulu kala tetapi, cuba bayangkan jika setiap ibu bapa melakukan perkara tersebut apabila ada kelahiran.
“Sudah pasti, pokok-pokok di hutan yang telah ditebang sebagai sumber bumi dapat diganti semula sebagai mengimbangi ekosistem,” ujarnya yang turut mengakui bahawa aktiviti teknologi seperti cari gali minyak perlu dilakukan untuk keselesaan.
Diri sendiri
Mendidik melalui perilaku juga adalah salah satu cara menerapkan nilai menjaga alam sekitar. Aishah sendiri sentiasa mengamalkan kehidupan ke arah itu.
Ketika mandi, Aishah pasti menutup pili air jika mahu mencuci rambut atau memberus gigi dan sentiasa memastikan plug barang elektrik dicabut apabila tidak mahu digunakan.
“Standby light pada plug tersebut akan mengambil lima peratus daripada kos penggunaan elektrik sepanjang tahun,” katanya berkongsi maklumat.
Mengasingkan sampah kertas dan plastik untuk dikitar semula pula telah menjadi rutin biasa sejak Aishah sejak kecil lagi.
Meningkatkan lagi semangat cintai flora dan fauna, pada akhir bulan Mei lalu, Aishah atau nama sebenarnya, Aishah Jennifer Mohamed Sinclair telah dilantik sebagai duta Earthkeepers Malaysia yang merupakan sebuah khidmat sosial oleh Timberland.
Pada bulan Jun lalu, Aishah menyertai kumpulan sukarelawan Timberland terbang ke padang pasir Horqin, China untuk menanam pokok di sana selain membuat kerja-kerja mencantas dahan pokok.
AISHAH sedang mencantas dahan pokok dalam program di Horqin, China.

Peluang tersebut memberi kesempatan kepada Aishah untuk menyampaikan kesedaran dan mesej kepada orang ramai betapa pentingnya menjaga dunia ini.

Menurutnya, Malaysia merupakan negara yang boleh dikatakan sangat menitikberat alam sekitar. Ia boleh dilihat dengan kewujudan banyak badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkannya.
Pihak kerajaan juga banyak mengeluarkan polisi dan kempen-kempen yang bertujuan menjaga alam sekitar namun, baginya seperti ada yang tidak kena.
Melalui pemerhatian Aishah, masalah sampah sarap amat ketara dan paling menjanggalkan adalah apabila papan tanda amaran dilarang membuang sampah diolok-olok dengan menjadi tempat longgokan sampah.
“Barangkali sikap rakyat Malaysia yang tidak kisah dan sentiasa mengganggap akan ada individu yang membersihkannya.
“Penguatkuasaan juga memainkan peranan penting kerana setiap undang-undang dan polisi yang dibuat akan terlaksana dengan berkesan jika ada ketegasan,” ulasnya mengenai tahap kesedaran rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, tegas Aishah, rasa tanggungjawab dalam diri perlu ada dan ia perlu dipupuk dari rumah lagi oleh ibu bapa.
Lampin kain
Sementara itu, seorang lagi selebriti yang terkenal sebagai pencinta alam sekitar, Sazzy Falak turut berusaha mengamalkan gaya hidup mesra alam sekitar.
“Lebih kurang 98 peratus barang-barang yang saya gunakan akan dikitar semula atau bersifat mesra alam,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Baru sahaja dikurnia sepasang anak kembar, Sazzy turut mengaplikasi kitar semula dalam mengurus anak-anaknya.
Jika tiada aktiviti dan sentiasa berada di rumah, menurut wanita berusia 30 tahun itu, dia akan menggunakan lampin jenis kain supaya boleh digunakan semula selepas dibasuh.
Selain itu, dia juga menggalakkan rakan-rakannya menggunakan botol minuman yang diperbuat daripada aluminium kerana ia lebih tahan lama.
“Ketika menjalani sesi penggambaran, saya pastikan tidak mengambil minuman yang disediakan dalam botol air mineral, manakala skrip-skrip yang diterima tidak akan dibuang begitu sahaja.
“Saya akan menggunakan kertas-kertas tersebut pada bahagian yang belum dicetak seperti menulis nota atau cetak pula pada bahagian tersebut,” terangnya.
Walaupun hanya menjadi duta Earth Hour pada tahun 2009, Sazzy tetap memastikan dia dan rakan-rakannya yang lain menyambut hari alam sekitar itu dengan menutup suis lampu selama sejam setiap tahun.
Ujarnya, penjimatan hasil daripada kempen Earth Hour itu sangat banyak meskipun dilakukan dalam tempoh yang boleh dikatakan singkat iaitu sejam.
Cukup hanya sekadar sejuta buah rumah tidak menggunakan bekalan tenaga elektrik maka, tenaga yang diperlukan dibekalkan selama sejuta jam sudah dapat dijimatkan.
Kosmo!

No comments:

Post a Comment