09 October 2011

Siti Pasrah

















USAI dua minggu sejak dilancarkan, album bahasa Inggeris Datuk Siti Nurhaliza masih menanti rangsangan peminat. Buat yang menggemari, cinta dan setia kepada penyanyi nombor satu ini, mereka mencari dan mendapatkan album terbaru itu sebagai sebuah lagi bahan koleksi yang wajib dimiliki.
All Your Love ialah sebuah refleksi eksistensi dendangannya, dititahkan oleh ratu nyanyian yang tidak pernah turun takhta.
Tidak terkecuali yang memberi respons ikhlas terhadap reformasi bahasa yang dilakukan oleh seorang penyanyi tersohor negara. Suatu perubahan untuk Siti Nurhaliza yang sudah melalui perjalanan seni dengan pelbagai situasi dan penceritaan.
SEAN KINGSTON
Pemilihan pasangan duet lagu Remember You membuahkan satu kelainan untuk sejarah pasangan Siti Nurhaliza. Ada sebab tersendiri kenapa penyanyi kelahiran Miami, Florida yang terkenal dengan lagu Beautiful Girls itu menjadi pilihan.
“Sean Kingston digilai ramai. Cara dia menyanyi dan melagukan rap ada stail. Malah vokal Sean memang kena dengan konsep lagu Remember You yang merupakan lagu paling sesuai untuk Siti berduet.”
KONSEP ALL YOUR LOVE
Ulas Siti, khalayak perlu memahami konsep yang diketengahkan album ini. Jika ada yang tercari-cari sebuah lagu balada yang merentap tangkai jiwa, All Your Love bukanlah jawapannya.
“Album ini lebih menonjolkan lagu-lagu rancak, santai dan memang konsep sebegini menjadi pilihan agar membuahkan kelainan.
“Pemilihan hanya dua komposer iaitu Christian Alexander dan Bryan Bouro juga dipilih oleh pihak What’s Up Entertainment untuk projek istimewa ini. Siti beri kebebasan kepada pihak What’s Up untuk membentuk idea yang segar dan kreatif. All Your Love ialah sebuah langkah baru buat Siti dan memberi ruang buat peminat yang baru.
“Juga satu jalan untuk keluar ke negara-negara luar. Dalam perancangan, album ini akan dibawa ke Australia dan negara-negara Eropah. Malah semua lagu Siti sudah masuk ke iTunes,” ujarnya yang menganggap album ini adalah eksklusif dan mimpi jadi nyatanya.





YAKIN BERBAHASA INGGERIS
Stigma dan persoalan tentang keyakinan peminat terhadap keupayaan Siti berbahasa Inggeris bukanlah baru. Ketawanya berbunga tatkala ditanya, dia tahu ada kumpulan yang sengaja mencari salahnya bertutur dan menyanyi dalam bahasa antarabangsa itu.
“Siti tahu ada yang mendengar untuk cari kesalahan Siti. Untuk semua itu, Siti bersiap sedia malah itu bukan perkara baru. Pasti ada kritikan dan Siti terbuka. Ini album pertama, Siti sudah lakukan yang terbaik dan boleh buat lebih baik untuk masa hadapan. Tentang sebutan yang betul, Siti tiada masalah kerana komposer banyak membantu. Mereka juga tidak ada masalah dengan bahasa Inggeris Siti,” akuinya yang tidak ambil kisah dengan kata-kata luar tentang bahasanya.
KONVOI MOTOSIKAL
Aktiviti baru Siti Nurhaliza dan suami sudah diketahui khalayak. Pasangan manis ini gemar berkonvoi menaiki motor berkuasa tinggi. Menurut penyanyi Bukan Cinta Biasa ini, bermotosikal kini menjadi hobi yang digemarinya dan suami.
“Kami lakukan dalam grup dan sering rancang untuk ke tempat-tempat yang menarik. Selalunya aktiviti ini dilakukan pada hujung minggu untuk satu jelajah yang memakan jarak yang dekat. Terbaru, kami baru selesai konvoi 1Malaysia dan Siti dapat melawat tempat-tempat yang menarik. Itu tempoh paling lama berkonvoi iaitu selama enam hari. Sebelum ini Siti juga berkonvoi di Cape Town. Seronok kerana dapat melihat pemandangan yang cantik dan cuaca yang segar di negara luar,” katanya yang tidak berasa sakit-sakit badan menaiki motor.
LAMAN SOSIAL TWITTER
Bila Siti muncul dengan akaun CTNurhaliza11 di laman Twitter, para pencintanya teruja. Ini sebuah jambatan yang mendekatkan peminat kepada penyanyi kesayangan mereka itu. Buat Siti yang sudah memiliki 117,310 pengikut, hal itu sebuah alternatif pendekatan dengan peminatnya.
“Bila Siti rajin, tidak banyak kerja, Siti akan cuba balas semua tweet peminat. Tapi bila sudah mula kerja, Siti fokus dan tidak sempat balas langsung. Bagi Siti, kepentingan Twitter adalah memudahkan akses peminat bertegur sapa dengan Siti. Banyak juga hal semasa yang Siti ketahui daripada laman tersebut. Siti sedar kadang kala peminat teruja untuk mengetahui aktiviti yang dilakukan artis kegemaran mereka. Melihat sisi lain karakter artis tersebut. Apa yang boleh Siti kongsi, Siti kongsi tetapi ada juga meletakkan batas privasi di situ,” ujarnya.
“Malah saya mendapat respons positif tentang album baru saya di laman sosial Twitter. Ramai memberi komentar dan mereka menggemari album terbaru saya,” senyum pendendang single Falling In Love ini.





PRODUK SIMPLYSITI
Pengeluar rangkaian Simplysiti membuktikan perjalanan karier malah kesungguhannya bergelar usahanita. Terkini, sebanyak 200 item kosmetik dan penjagaan kulit telah dilancarkan.
“Terbaru, Simplysiti melancarkan rangkaian Lovely dan Vogue yang memberikan pemakainya dua pilihan warna yang berbeza. Kami juga tampil dengan produk Clear Solution untuk kulit sensitif. Banyak kajian dilakukan untuk setiap produk. Contohnya kami menggunakan arang dalam produk Simplysiti untuk menyedut toksin,” ujar Siti selaku taukeh yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini alat solek untuk pengguna Simplysiti.
Kosmo!

No comments:

Post a Comment