18 October 2011

Berusaha kawal diri

BERTEMU...Neelofa dan Fauzi digandingkan pertama kali di layar perak.
BERTEMU...Neelofa dan Fauzi digandingkan pertama kali di layar perak.
FILEM pertama lakonannya, Azura, belum ditayangkan di pawagam untuk melihat kemampuan yang ada padanya. Namun dirinya terus mendapat perhatian hingga berderet filem dibintangi, tetapi semuanya masih menanti tayangan.

Itulah tuah bintang baru yang jelita, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa, 22, yang mula mendapat perhatian apabila ditawarkan Aziz M Osman membintangi Azura versi baru. 


Selepas Azura, Neelofa membintangi King Kapcai terbitan KRU Studios, SAM (Skop Productions Sdn Bhd) dan Lemak Kampung Santan arahan Hans Isaac yang menjalani penggambaran sejak 8 Oktober lalu. 

Terbaru, Neelofa turut menjadi pilihan pelakon dan pengarah Fauzi Nawawi untuk membintangi filem pertama arahannya, Pak Pong, filem bercorak aksi komedi ini.
Foto
Neelofa mengakui tertarik dengan tawaran Fauzi kerana menjangkakan pengalaman yang bakal ditimba dalam filem ini nanti suatu yang menarik dan mencabar kerana perlu melakonkan adegan aksi.


“Sebelum setuju berlakon, saya terlebih dulu meneliti plot dan watak yang ditawarkan. Apabila cepat melangkah ke layar perak, saya berasakan tekanan diberikan banyak dan jangkaan penonton juga tinggi.

“Orang kata jika cepat naik populariti, akan cepat jatuh, tetapi saya berusaha kawal diri. Saya percaya tidak semesti berlakon sekadar rupa kerana ramai lagi pelakon lain yang lebih cantik.

“Apa yang penting, ia bergantung kepada pembawakan diri seseorang. Saya sendiri percaya pendidikan itu penting walaupun tidak menjadi artis.


“Saya bersyukur dalam tempoh lapan bulan menjadi pelakon, bayaran yang saya terima agak tinggi. Bagi pelakon, jika dapat memberikan lakonan dengan betul, ia memberi kepuasan tetapi saya sukakan cabaran,” katanya.
Foto
Bergandingan bersama Pelakon Terbaik Anugerah Skrin 2010, Neelofa bersama Fauzi dipertemukan pertama kali menerusi drama Jiwa & Lara yang kini disiarkan di TV3 setiap Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam.

Bagi Fauzi, pemilihan Neelofa sebagai salah seorang tiga ‘heroin’ bersama Marsha Londoh menjadi pilihan tepat berdasarkan pengalaman mereka berlakon sama menerusi Jiwa & Lara.

“Saya nampak dia mempunyai faktor X yang mungkin dia sendiri tidak tahu. Dia mudah bekerjasama dan terima pandangan orang lain.

“Mengikut profil dia dikenali ramai dan mempunyai sifat lemah lembut, saya berusaha mencipta karakter berbeza dirinya dalam filem ini,” katanya ketika hadir pada sesi fotografi di Balai Berita baru-baru ini.

Memberi tarikan, watak Neelofa dijelmakan sebagai orang bunian iaitu Puteri Serapik dari satu kawasan penempatan yang diserang jin. Dalam menterjemah skrip dihasilkan sejak tiga tahun lalu, Fauzi positif mengenai sokongan penonton terhadap filem tempatan.
Foto
“Latihan aksi filem ini dibuat sebulan bermula 1 November nanti sebelum penggambaran dijangka bermula 1 Disember di sekitar Lembah Klang dan Melaka.

“Dalam tempoh sebulan berlatih, saya berusaha melatih pelakon dari aspek aksi bersama kumpulan aksi saya sendiri, X-Stream yang sudah ditubuhkan sejak 12 tahun lalu.

“Pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh latihan itu. Jika ada pelakon yang tidak menunjukkan kesungguhan, saya boleh tukar mereka pada saat akhir. Dalam menjadikan filem ini terbaik, saya juga dapatkan khidmat pelakon pembantu yang hebat seperti Saiful Apek dan Hattan,” katanya turut dibantu pelakon aksi berpengalaman, Faiz Azmi dan Ahmad Hilmi Ishak.

Sebagai debut mengarah di layar perak, Fauzi akui dia cerewet dari aspek lakonan dan aksi yang ingin disampaikan pada penonton. Untuk mendapat kepuasan, dia sanggup menunggu.

“Produser Nine Country Pictures Sdn Bhd tidak cerewet seperti saya kerana dia banyak kali melakukan kajian mengenai kutipan filem. Saya percaya cerita yang bagus disimpan lama.

“Dalam pada itu, saya juga mengadakan uji bakat untuk mencari watak hero dan seorang lagi ‘heroin’. Untuk hero, saya mencari lelaki berwajah Melayu asli berusia antara 20 hingga 30-an, boleh melakukan adegan pertarungan tanpa mengira pengalaman pelakon baru atau senior. 

“Heroin pula, mesti bertudung dan pandai mengaji kerana karakternya lebih pada ustazah dan muslimah,” katanya.
Foto
Neelofa pasang impian bertudung 
BARU setahun jagung dalam industri hiburan, namanya terus hangat diperkatakan. Selepas digosip bercinta dengan Shahz Jazle ketika membintangi Azura, Neelofa juga dikaitkan pula dengan kontroversi berebut lelaki status VIP.Ketika sibuk menjalani penggambaran Lemak Kampung Santan, dia sekali lagi berdepan kontroversi apabila dikatakan menjalin hubungan cinta dengan Hans Isaac yang bertindak sebagai pengarah.


Neelofa mengakui ada mendengar gosip menyatakan dia dengan Hans keluar berdua menonton wayang. Katanya, situasi sebenar mereka bukan keluar berdua tetapi bertiga bersama seorang lagi produser atas dasar berbincang mengenai filem ini.

“Saya masih waras untuk keluar berdua dan jika saya sudah mempunyai kekasih sekalipun, saya tidak mempunyai masalah menunjukkan aksi seperti itu depan khalayak,” katanya.



Dalam Lemak Kampung Santan, Neelofa diberi watak penjual nasi lemak tepi jalan yang hidup berdikari membantu bapanya berniaga. 

Foto
Neelofa juga tidak kisah dengan deretan filemnya yang belum ditayangkan sebaliknya terus melangkah penuh yakin dengan berlakon drama TV. Selepas muncul tiga drama, Kitab Cinta, Jemaah Kolestrol dan Anjasmoro, dia beraksi menerusi drama bersiri, Tahajjud Cinta arahan Erma Fatima yang semakin diminati ramai. 

Menariknya, watak pelakon pembantu, Suraya dimainkan dalam drama ini menonjol bakat diri melakonkan karakter penggoda. Berbeza dengan lakonan itu, dia pernah membawa watak bertudung menerusi Kitab Cinta.

Begitu juga, Neelofa kembali membawakan karakter gadis bertudung menerusi filem keduanya, King Kapcai. Dia yang sibuk dengan proses rakam suara (dubbing) filem ini, berpandangan watak Jun yang dibawa kali ini turut mencabar diri.

“Dalam filem ini, saya melakonkan watak pelajar dan bertudung. Saya tidak kisah sebenarnya pakai tudung atau tidak untuk berlakon tetapi apa yang saya sedar, ada penonton yang suka saya bertudung,” katanya yang memasang impian memakai tudung secara peribadi suatu hari nanti. 

Harian Metro


No comments:

Post a Comment