KEJAYAAN mereka sentiasa menjadi inspirasi kepada penggiat seni di negara ini. Bertahan sehingga 30 tahun lamanya, ini merupakan petunjuk jelas akan kehebatan mereka dalam arena muzik tanah air.
Justeru bagi meraikan ulang tahun kumpulan rock paling berpengaruh ini di pentas hiburan, mereka bakal mengadakan Konsert Fenomena 30 Tahun Search pada 19 November, 3 dan 17 Disember ini di tiga lokasi berlainan.
Konsert tersebut yang berkonsepkan siri jelajah Search memilih Pulau Pinang, Johor Bahru, Johor dan Petaling Jaya, Selangor untuk bertemu para peminat mereka.
Menurut vokalis utama kumpulan ini, Suhaimi Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Amy, penganjuran konsert itu adalah untuk menghargai para peminat yang setia menyokong mereka selama tiga dekad.
“Tempoh 30 tahun bukanlah satu waktu yang singkat. Kami percaya tanpa sokongan padu dari peminat, tidak mungkin Search dapat bertahan sehingga hari ini.
“Maka itulah, penganjuran siri jelajah konsert ini dilihat bakal menghimpunkan semula peminat Search dari awal penubuhan kumpulan kami ini sehingga ke generasi kini,” katanya pada sidang akhbar ketika mengumumkan penganjuran Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Annex Gallery, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Amy berkata, persembahan Search di tiga lokasi berlainan kelak diharap dapat melepaskan rindu para peminat yang menunggu untuk melihat aksi mereka di pentas.
Sementara itu, pemain gitar bass Search, Nasir Daud menganggap, pemilihan perkataan Fenomena sebagai nama untuk konsert kali ini berkait rapat dengan peristiwa yang berlaku semasa pembikinan album keempat mereka.
“Album Fenomena merupakan album yang memuatkan lagu Isabella dan lagu ini banyak menghidupkan Search.
“Selain itu, semasa rakaman album itu sedang berlangsung, Search tersepit dalam konflik bersama dengan syarikat rakaman Polygram.
“Insiden tersebut merupakan pengalaman yang membuatkan perkataan fenomena begitu sinonim dengan kami,” katanya memberi penjelasan mengapa konsert Search kali ini dinamakan sebegitu.
Menyedari konsert mereka bakal menguji kemampuan dan ketahanan mereka ketika beraksi di pentas kelak, Nasir memberitahu, mereka kini gigih menjalani latihan.
“Kita semua perlukan stamina untuk menyajikan satu persembahan yang bertenaga. Maklumlah, konsert kali ini bukan one off sebaliknya ada tiga lokasi.
“Oleh itu, sejak beberapa bulan lalu, kami sudah mula menjalani latihan dan melakukan senaman,” ujarnya.
Enggan memberikan persembahan yang klise, Konsert Fenomena 30 Tahun Search tidak akan menyampaikan lagu-lagu secara medley.
“Dalam persembahan, kita perlu berikan kelainan. Kelainan yang akan dibawa kali ini, kami semua bersetuju untuk menyampaikan lagu-lagu kami secara penuh. Tidak ada yang dimedleykan.
“Kami berpendapat, untuk konsert kali ini, kami mahu peminat puas menghayati lagu-lagu Search sepanjang dua jam persembahan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Oracle, Jerome Lee berkata, selaku penganjur konsert, pihaknya mahu memastikan peminat yang hadir untuk menyaksikan Konsert Fenomena 30 Tahun Search merasai suasana berada di sebuah festival muzik rock.
Beliau berkata, untuk membangkitkan suasana tersebut, pihaknya menyediakan sistem bunyi bertaraf antarabangsa.
“Apabila kita mementingkan kualiti bunyi sewaktu persembahan, Yamaguchi yang pernah terlibat dengan konsert Black Eye Peas akan bertindak sebagai jurutera bunyi bagi ini.
“Perkara ini amat penting kerana Search bukanlah satu nama kecil dan jumlah peminat setia mereka juga ramai,” katanya.
Konsert Fenomena 30 Tahun Search akan bermula pada 19 November ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
Diikuti di Stadium Yunos, Larkin, Johor Bahru, Johor pada 3 Disember dan penutup siri jelajah Konsert Fenomena 30 tahun Search, 17 Disember di Padang Astaka, Petaling Jaya, Selangor.
Tiket-tiket boleh didapati di semua cawangan Petronas terpilih serta wakil jualan sah yang tersenarai di www.tickethotline.com.my.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment