|
Pelakon yang terlibat dalam klip rakaman selama dua minit itu ialah vokalis kumpulan terkenal One Nation Emcees, Shamimi Amalina Norhisham atau lebih dikenali sebagai Mimi.
Klip video tersebut pula dikatakan adalah salah satu babak filem sulung lakonan Mimi berjudul Klip 3GP iaitu adegan ranjang yang terdapat dalam filem terbitan Primeworks Studios itu yang turut membabitkan seorang lagi pelakon filem itu iaitu Fikhree Bakar.
Klip video juga dikatakan telah tersebar luas bukan sahaja di dalam negara malah sehingga ke negara jiran, Thailand.
Isu tersebut telah menjadi kontroversi yang mungkin sedikit sebanyak membantu promosi filem ini secara tidak langsung.
Namun persoalannya, adakah penyebaran klip tersebut merupakan gimik pihak penerbitan dalam merangka promosi filem itu?
Menjawab persoalan tersebut, Penerbit Eksekutif Primeworks Studios, Tengku Iesta Tengku Alaudin menyangkal sama sekali penyebaran klip tersebut adalah perbuatan Primeworks Studios dalam usaha mempromosi filem baharu terbitan syarikat itu.
"Ini bukannya gimik dan sebenarnya kami sedang menyiasat perkara tersebut. Memang ada di antara rakaman itu merupakan rakaman dalam filem ini namun ada di antaranya merupakan rakaman yang tidak menjadi yang tidak dipakai dalam filem ini.
"Namun, klip yang disebarkan itu telah ditokok tambah, disunting dan digabungkan bersama klip lucah lain yang kami juga tidak tahu dari mana sumbernya dan kononnya itu merupakan lakonan pelakon (Mimi) dalam filem ini.
"Mungkin rakaman itu tersebar semasa penggambaran mahupun semasa proses pascaproduksi," tegasnya yang juga mengatakan proses pascaproduksi Klip 3GP dihantar untuk diproses di Thailand.
Jelasnya juga, jika pihak Primeworks Studios menjumpai sebarang bukti kukuh terhadap apa yang berlaku, perkara tersebut akan dilaporkan kepada pihak polis.
Tengku Iesta, bagaimanapun tidak menafikan jika ada sumber dalaman yang menjadi dalangnya.
"Dalam hal ini, ia adalah di luar kawalan pihak kami. Klip aksi ghairah tersebut bukan datang dari kami dan jika ia merupakan rangka promosi, kami pastinya menggunakan saluran yang benar.
Namun apa yang pasti, klip tersebut terdapat dalam laman web yang sememangnya memuatnaik klip-klip video tidak senonoh.
"Jadi dengan ini, kami dengan tegas mengatakan ia bukannya dari pihak kami dan bukan antara promosi filem yang dijalankan.
"Bukannya mahu mengambil kesempatan dari perkara ini, namun kita ambil serius tentang perkara ini dan kami juga meminta maaf kepada pelakon-pelakon kerana tidak ada niat untuk mengaibkan sesiapa. Keduanya, kami tidak mahu memudaratkan kempen promosi kami untuk filem ini," jelas Tengku Iesta.
Mimi bukan bogel
Impak penyebaran klip video yang heboh diperkatakan itu, Mimi yang melakonkan karakter Maya Akhtar dalam Klip 3GP turut melahirkan perasaan kesal dengan tindakan kotor pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut.
Menurut Mimi, babak ranjang tersebut yang seolah-olah menampilkan dirinya berbogel hanyalah salah satu adegan dalam babak yang perlu dilakonkan olehnya dalam filem Klip 3GP dan ia dilakukan berdasarkan profesionalisme dirinya sebagai seorang pelakon.
Mengamalkan prinsip tersendiri, secara jujur ujar Mimi, aksi berbogel tersebut bukan dilakukan oleh dirinya.
"Sebetulnya, Mimi tidak berbogel dalam Klip 3GP. Ia hanya kelihatan seolah-olah Mimi seperti berbogel. Ada perkara yang Mimi tidak lakukan sendiri dan menggunakan pelakon pengganti yang kelihatan seperti Mimi," jelasnya.
"Perkara yang Mimi tidak boleh hindari, Mimi terpaksa serahkan kepada pelakon pengganti Mimi. Itu kerana sememangnya Mimi tidak dapat melakonkan babak tersebut."
Ceritanya serius, dia amat kesal dengan perbuatan tersebut pihak yang menyebarkan klip video kontroversi itu yang dilihat telah cuba menjatuhkan maruahnya.
Namun, Mimi sebaliknya mengakui berbangga diberi kepercayaan oleh pengarah filem itu, Aidilfitri Mohamed Yunos membawa karakter yang mencabar biarpun ini adalah pembabitan sulungnya untuk filem.
Sebagai pelakon yang baharu terjerumus dalam bidang lakonan, watak Maya Akhtar yang juga digambarkan sebagai seorang wanita psiko bukanlah mudah untuk dilakonkan.
"Ini filem pertama lakonan Mimi dan Mimi memang tidak pernah berlakon sebelum ini. Justeru, watak Maya memang sukar dilakonkan.
"Namun, dengan tunjuk ajar dan latihan yang diberikan oleh pengarah, Mimi dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberi ini," ujarnya.
Bagaimanapun kata Mimi, kebebasan 100 peratus yang diberi pengarah kepada Mimi untuk mengolahkan watak itu mengikut pemahaman sendiri memberi Mimi ruang untuk meluahkan kreativiti diri.
"Terus terang adegan dan aksi ranjang dan juga babak saya menjadi wanita psiko itu memang menguji dan memberi cabaran buat diri Mimi sepanjang penggambaran berlangsung. Tapi, Mimi menjadikan lakonan Angelina Jolie sebagai rujukan Mimi terutama filem lakonan Angelina yang berjudul, Gia.
Fikhree buka baju
Fikhree Bakar yang memegang watak Sani atau Sunny iaitu seorang suami yang menjalankan kegiatan gigolo mengakui, apabila diberikan watak tersebut oleh Aidilfitri, dia sememangnya telah menolak tawaran itu kerana diserang kebimbangan.
Namun, setelah dipujuk dan diberi nasihat oleh Aidilfitri, Fikhree mengambil keputusan untuk menerimanya sebagai cabaran dan pengalaman sebagai pelakon baharu.
"Apa yang mula-mula terdetik pada fikiran saya semasa ditawarkan watak ini adalah perasaan takut menyelubungi diri kerana saya memegang watak seorang lelaki gigolo. Namun, saya menerimanya kerana Aidilfitri sendiri yang banyak membantu saya dan juga saya anggap ini sebagai cabaran," ujar Fikhree yang juga mengatakan dia perlu belajar cara-cara merokok supaya kelihatan hidup dengan watak yang dibawakannya.
Jelasnya lagi, bagi watak ranjang yang dilakonkan bersama Mimi, ia merupakan perkara paling berat dan membuatkan dirinya resah, takut dan gementar untuk melakukannya.
Menurut Fikhree, dia tidak pernah membayangkan akan melakonkan adegan sebegitu dan wujud juga perasaan malu dalam dirinya.
"Walaupun takut, saya ambil ini sebagai cabaran bagi diri dan fikirkan ini hanya lakonan. Dan jika benar, orang luar menganggap saya benar-benar begitu, ia bermakna saya telah mencapai kejayaan dalam membawa watak tersebut," tutur lelaki kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang mengakui hanya membuka bajunya semasa melakonkan babak ranjang tersebut.
Apabila diaju soalan mengenai klip adegan ranjangnya bersama Mimi di Internet, jawapan pertama yang terpacul dari mulutnya, Fikhree mengakui sangat terkejut dengan isu tersebut.
Zahiril puji Mimi
Dalam pada itu bagi Zahiril Adzim yang memegang watak Eddie, iaitu seorang jutawan siber yang mengaut keuntungan dari penyebaran klip-klip video lucah tersebut, ada sebab kenapa dia bersetuju menerima tawaran berlakon dalam Klip 3GP.
Ini kerana bagi seorang pelakon berbakat besar seperti Zahiril, wataknya dalam itu tidak memerlukan dia mengerah tenaga dengan banyak.
Kebanyakan dari babak filem ini, Zahiril hanya berada di hadapan komputer sambil menyunting, memuatnaik serta memantau laman yang web lucah yang dikenali sebagai Klip 3GP yang diasaskannya itu.
"Saya menerima watak ini kerana apabila membaca skrip, saya rasakan skrip ini dekat dengan masyarakat. 3GP merupakan satu benda atau rakaman yang semua orang tahu biarpun dari peringkat sekolah hingga ke dewasa," ujarnya yang memuji lakonan Mimi dalam filem itu.
"Saya tahu walaupun watak saya hanya berlakon di hadapan komputer, namun itu mungkin boleh memberi kesan kepada masyarakat tentang bahayanya teknologi jika tidak berhati-hati," jelas Zahiril yang memuji lakonan Mimi dalam filem itu.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment