DALAM diam, rupa-rupanya Sahri Mohd. Sarip,32, peserta program realiti Akademi Fantasia musim pertama sedang melanjutkan pelajaran peringkat diploma di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya.
Sahri yang sedang megikuti pengajian dalam bidang muzik itu sudahpun memasuki semester keempat.
Kata Sahri, dia mengambil keputusan menyambung pelajaran sebagai langkah persiapan masa depan.
"Kalau ada ilmu, sekurang-kurangnya saya boleh guna untuk memantapkan lagi kerjaya seni. Seperti orang lain, saya pun ingin memajukan diri.
"Saya tidak mahu setakat menyanyi, kalau boleh saya mahu mencipta dan seterusnya mengajar," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran lagu tema, Woman of Tomorrow sempena Karnival Wanita Institut Pengupayaan Wanita bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW) 2011 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, Sahri bersama rakan-rakan sepenggajian mendendangkan lagu tema itu secara koir.
Katanya, dalam koir yang dianggotai oleh 40 pelajar daripada pelbagai fakulti, dia adalah di antara penyanyi utama bersama empat rakan lain, malah koir itu juga sering diundang mengadakan persembahan untuk majlis korporat.
"Lagu Woman of Tomorrow dicipta oleh tenaga pengajar universiti, Anuar Razak. Kami sudah dapat tahu mengenai lagu itu beberapa bulan lalu.
"Kami menjalani latihan beberapa kali sebelum persembahan kerana menyanyi koir disampaikan dalam pelbagai harmoni. Setakat ini kumpulan koir kami tidak menghadapi masalah kerana setiap anggota diuji bakat terlebih dahulu sebelum dipilih," ceritanya.
Sahri yang pernah menggantikan Kaer mendendangkan lagu Izinku Pergi untuk pertandinganAnugerah Juara Lagu ke -22 berkata, walaupun jadualnya sibuk sebagai pelajar, dia tetap meneruskan kerjaya seni.
Kata Sahri, dalam seminggu hanya beberapa hari sahaja dia perlu mengikuti kelas dan pada hari lain akan dipenuhi dengan kerja-kerja separuh masa.
"Sekarang ini saya adalah pelajar yang bekerja separuh masa. Saya bertuah kerana mendapat kerjasama daripada Astro yang sudi memberi saya ruang pekerjaan.
"Saya pernah buat kerja-kerja produksi terbitan Astro untuk program Akustik Anugerah Industri Muzik dan Kilauan Emas. Saya suka dengan apa yang dilakukan sekarang kerana apa yang dipelajari boleh dipraktikkan dalam kerjaya," ceritanya.
Selain bagi menambah ilmu pengetahuan, kata Sahri, dia perlu bekerja untuk menampung kos pembelajarannya sepanjang belajar di universiti.
Katanya, nak harapkan undangan persembahan, berapalah sangat kerana dalam sebulan hanya satu atau dua sahaja tawaran. Disebabkan itulah dia perlu cari jalan lain untuk menampung kehidupan.
"Walaupun bekerja separuh masa, saya akan pastikan ia tidak mengganggu tugasan pengajian. Apabila sudah belajar ilmu muzik, saya dapat rasakan perbezaan dalam diri.
"Jika dulu orang suruh menyanyi, saya nyanyi sahaja tapi sekarang saya sudah tahu teknik-tekniknya. Malah kalau saya sudah memperoleh diploma kelak, saya juga boleh menjadi tenaga pengajar," katanya penuh semangat.
Sehubungan itulah, Sahri menyimpan hasrat untuk merakamkan lagu ciptaannya sendiri pada masa hadapan.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment