|
LIYANA FIZI, si pendendang suara seperti buluh perindu ditiup angin
tatkala dinihari ini sedang bercerita. Isi ceritanya disatukan dan dalam
10 wadah yang bertali dalam balutan penuh rasa harmoni, sebuah album
layaknya.
Si manis ini sudah lama berdampingan dengan para pemuzik ibu kota.
Vokalnya terlebih dulu sudah menjelajah telinga ke telinga. Kali ini dia
tampil solo setelah puas menjadi vokalis dan pemanis grup Estrella.
Tetapi tidak sendirian di atas pentas, dia ditemani teman sejiwa
bermuzik di barisan sessionist. Cuma kariernya di garis status solo.
Vokalis sekali gus gadis pemetik instrumen berdawai ini makin menjadi
pemandangan yang indah dilihat dan dikecapi. Namun Liyana bukanlah
gadis tipikal yang ada dalam pemikiran anda. Dia bukan sekadar wajah
manis di atas panggung atau acara.
Ujarnya, seorang temannya pernah berkata, ‘dunia Liyana kecil tapi
impiannya besar.’ Tetapi dengan buah tangan perdananya ini dia mahu
berskala besar. Memberi dan menerima dengan imbuhan pada kadar yang
lebih terbuka. Kita berbicara dan berkenalan dengan si manis yang diberi
jolokan song bird dan penerokaan dunianya.
|
Pembacaan di sebalik
Satu hal yang tidak dapat disangkal apabila melihat wanita muda
berusia 27 tahun ini adalah kemanisan yang diberikan baik daripada segi
fizikal mahu pun material yang sedang dijuangnya.
Album Between The Lines adalah taruhan kemanisan yang dibawanya.
Bukan sekadar memuji namun setelah beberapa kali mentelaah produk
perjuangannya ini, terasa damai yang cuba dibawanya. Setiap lagu punya
penceritaan yang tersendiri, gaya dan sentuhan seorang Liyana Fizi.
Cerita-cerita pelbagai genre itu dibalut dengan susunan muzik dan
lapisan instrumen yang kaya. Bukan sekadar bunyi asas dram, gitar dan
bass. Lebih enak album ini diberi tambahan indah celo dan biola alunan
Ammy C. Kurniawan. Instrumen yang dekat dengan kata damai.
Harmoni yang dibawa oleh empunya diri kelahiran Kuala Lumpur ini juga
suntikan kembara yang dijalaninya. Dia berkelana di Bandung, Indonesia
selama dua minggu untuk mendalami muzik. Mencari sesuatu di luar kotak,
adalah tidak salah menimba dan sesekali mengerling warna hijau rumput di
luar. Semuanya atas dasar kecintaan terhadap suatu yang dinamakan
muzik.
“Material untuk album Between The Lines ini dikumpul selama dua tahun
dan proses rakamannya dalam masa dua minggu. Kalau ditanya tentang
durasi dua tahun, ini kerana kekangan masa dan kewangan. Semuanya
dijalankan secara bebas,” ujar bekas vokalis grup Estrella ini.
“Proses kreatifnya bermula dengan mendapatkan melodi dan kemudian
menulis lirik, bab lirik itu juga mengambil masa. Ada yang lama dan ada
yang sehari dua prosesnya,” ujar Liyana yang kerap mendapat ilham
menulis lirik dalam kereta.
Tambah Liyana Fizi yang seakan sudah punya stail rambut ‘fringe’
ini, momen menulis lagu biasanya memerlukan dirinya sepi daripada dunia
luar. Mahu sendiri dan mengelamun sambil memetik gitar, ilham ketika itu
datang sendiri dan itu momen yang dinanti-nanti.
|
Tidak hairan apabila membaca satu persatu, lirik ini tidak ketara
jauh untuk disentuh ke dalam setiap pendengar. Ada cerita normal yang
disuarakan di sebalik vokal dan gaya bercerita Liyana.
“Saya cuba meletakkan faktor empati dalam menulis lirik. Bukan
sekadar sebuah pengalaman personal. Harapan hati saya untuk menyatukan
pecinta muzik melalui album ini. Sewaktu proses rakaman, saya sedar
bahawa apa sebenarnya yang saya mahukan adalah para pendengar dapat
mencari sesuatu yang dekat dengan hari mereka,” luahnya yang turut
mengkhususkan sebuah lagu buat arwah neneknya.
Sentuh perihal tajuk ‘Between The Lines’ yang dijadikan tema album
perdana solonya, Liyana tersenyum menyambung penceritaan tersurat dan
tersirat seperti judul albumnya.
“Seperti definisi album itu sendiri, banyak yang tersirat dalam album
ini. Kita tidak boleh menghakimi sesuatu dengan hanya melihat. Banyak
yang saya utarakan dalam album ini contohnya lagu Light Writing
bercerita tentang kekecewaan manakala Kaku berkisar perihal perkauman.
Banyak benda nyata yang berlaku di sebalik sesebuah kejadian, bukan?”
tanya manja menyedarkan bahawa realiti ini bergulir serentak dengan
hikmah yang berlaku disebaliknya. Ada terselit faktor implisit dalam
setiap kejadian.
Mahu terus meneroka
Si pemetik gitar ini mengaku tidak tahu skil yang dinamakan strum untuk gitar sebaliknya dia lebih selesa hanya memetik.
Atas bantuan Izaad Amir (penerbit album, pemain gitar), Pito (bass)
dan Ruvi (dram, vibrafon dan perkusi), mereka berjalan membawa
penerokaan muzik.
“Lagu Killing Me ditulis sewaktu saya di Britain. Decisions,
Decisions pula hasil nukilan di Bandung,” ujarnya berbicara tersurat
tentang jelajah muziknya.
Menghirup udara Bandung sambil menyiapkan album ini, ada jelajah jiwa
dalam dirinya yang mengalun lembut antara sedar dan tidak. Dia melihat
dunia baru, lebih besar. Dulu dunianya pernah diwartakan cuma kecil
berbanding cita-citanya.
“Saya melihat pemuzik di sana bermain dengan penuh jiwa. Dedikasi
mereka berlainan terhadap muzik. Feel mereka mendalam. Saya melihat
dunia yang besar,” ujarnya dalam nafas lain bukan menidakkan dunia
pemuzik tempatan cuma mencari satu sisi yang perlu dipelajari oleh
dirinya.
|
“Budaya atau scene muzik juga berbeza-beza. Itu yang mahu saya
belajar dan terokai. Lihat dan dalami,” petah Liyana yang menjalani
proses rakaman di Aru Studio, Bandung, Indonesia. Malah dirinya sempat
membuat persembahan di daerah tersebut dan sambutan yang diterima sangat
menyejukkan hati.
Untuk kembara yang terdekat, ada dua perjalanan yang bakal diterokai.
Dua udara dan suasana yang mahu ditatap dengan mata dan dialami dengan
jiwa.
Bakal membawakan album Between The Lines dengan taruhan single
perdana Light Writing dan single kedua berjudul Jatuh, muzik ini bakal
menerawang udara Jepun pada November ini. Terdekat jua, halwa telinga
ini akan sampai ke pendegaran pecinta baru dan lama Liyana di Singapura.
“Indonesia juga harapnya dapat sampai,” celahnya penuh doa.
Paling dekat, Liyana bakal membawa geseran merdu suaranya di Bentley
Music, Mutiara Damansara pada tarikh 11 Disember ini. Tanda waktu anda
sekitar 8 malam kerana jelajah muzik Liyana bakal bermula malam itu di
lokasi anjuran Bentley tersebut.
Langgam melodinya bakal berkumandang. Bersatu dengan pemuzik yang
sejiwa dengannya, Liyana membuka kepada satu dunia. Dunia yang lebih
besar buat dirinya dan buat diri pecintanya.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment